Oleh Mona Ahmad dan Manzaidi Mohd Amin
MANTAP: Mawi dan M Nasir berpadu suara
ketika persembahan di Kota Bharu.
KEHADIRAN juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, di negeri Cik Siti Wan Kembang pada malam 29 November lalu membuka tirai ketandusan persembahan hiburan artis tanah air di Kelantan yang diperintah pembangkang sejak 15 tahun lalu.ketika persembahan di Kota Bharu.
Kehadiran Mawi itu atas undangan Kerajaan Pas Kelantan untuk mengadakan persembahan dua malam di Konsert Amal Tautan Kasih dan konsert sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam itu mengubati kerinduan rakyat negeri ini.
Ini dapat dilihat menerusi sambutan peminat yang menunggu jejaka berusia 24 tahun itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sejak siang hari lagi walaupun penerbangan Mawi tiba jam 11.20 malam 29 September lalu.
Rakyat Kelantan datang dari segenap pelusuk bandar dan kampung di negeri ini berkumpul di Kota Bharu, malah peminat Mawi dari Terengganu dan Pahang turut hadir menatap wajah penyanyi kesayangan mereka.
Selain itu, ada juga rakyat Kelantan yang sudah berhijrah ke ibu kota mengambil kesempatan pulang untuk menyaksikan artis kesayangan mereka mengadakan persembahan di kampung halaman.
Konsert dua malam berturut-turut berlangsung di bandar ini itu menarik kira-kira 80,000 penonton untuk memenuhi setiap ruang di Padang Perdana dan Stadium Sultan Mohamed ke IV.
Walaupun mempunyai jadual padat, Mawi tetap meluangkan masa bertemu dengan peminat untuk tempoh setengah jam sebelum bertolak ke kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, di Kota Bharu untuk sesi sidang media.
Ketibaan Mawi di kediaman rasmi itu kira-kira jam 11.35 pagi pada Jumaat itu disambut kira-kira 70 wartawan tempatan dari media cetak dan elektronik yang menunggu hampir setengah jam.
Mawi ternyata semakin bijak apabila mampu menjawab pelbagai soalan diajukan wartawan dengan tenang termasuk soalan berkaitan politik, masa depan dan kariernya dalam dunia hiburan.
Apabila ditanya apakah perasaannya ketika mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan di Kelantan, Mawi berkata, dia seolah-olah tidak percaya dengan jemputan itu.
"Apabila dimaklumkan syarikat pengurusan mengenai jemputan itu, saya menerimanya dengan tangan terbuka kerana memang saya menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan di Kelantan.
"Bagaimanapun, lagu yang disampaikan adalah berunsur nasihat dan agama yang mengingatkan kita kepada mati... meremang juga bulu roma," katanya.
Namun, berbekalkan pengalamannya yang menyertai kumpulan nasyid sebelum menyertai AF3 memudahkannya mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri itu.
Malam pertama, Mawi muncul di Konsert Amal Tautan Kasih di Padang Perdana disambut kira-kira 40,000 penonton. Kira-kira 5,000 penonton yang hadir turut bersolat Isyak berjemaah di padang itu, sebelum konsert bermula.
Pada konsert itu, Mawi memenuhi janji menyampaikan lagu berunsur nasihat dengan lagu Pergi tak Kembali, Intifada, Nourel `Ain serta lagu wajibnya, Aduh Saliha.
Bagi Mawi, kehadirannya di Kelantan, selain memenuhi jemputan, katanya dia mahu membalas jasa peminat yang banyak memberi sokongan kepadanya sehingga menjuarai AF3.
Pada malam kedua, Mawi menggamatkan Stadium Sultan Mohamed ke IV dengan lagu Seroja dan Gadis Melayu tepat jam 11.10 malam sebaik perisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam disempurnakan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.
Sebelum itu, stadium yang dipenuhi penonton sejak jam 7.30 malam sepi seketika ketika azan Isyak dilaungkan penyanyi kumpulan Rabbani, Asri, diikuti selawat oleh bekas vokalis kumpulan rock d'Riyadh, Akil Hayy.
Rabbani kemudian muncul menghiburkan penonton dengan beberapa lagu popular mereka iaitu Intifada dan Assalamualaikum sebelum persembahan diteruskan dengan dikir barat oleh Halim Yazid menerusi lagi Anak Tupai.
Mawi turut muncul berduet dengan Rabbani dengan lagu Pergi Tidak Kembali, sebelum sifu M Nasir muncul di pentas utama di tengah padang di stadium itu dengan dendangan lagu Tanya Sama Itu Hud-hud, diikuti Kepadamu Kekasih dan Raikan Cinta.
Tepukan gemuruh dan sorakan penonton memenuhi ruang stadium apabila Mawi muncul berduet dengan bekas Pengetua AF3 itu menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah sebagai penutup persembahan tepat jam 12 malam.
Kesopanan dan disiplin tinggi penonton konsert itu wajar dipuji mungkin kerana tempat duduk yang diasingkan atau penonton tidak mahu persembahan artis kesayangan mereka dihentikan jika mereka tidak mengikut peraturan yang ditetapkan penganjur iaitu berkelakuan sopan.
Malah, Mawi sendiri mengakui senang dan selesa mengadakan persembahan di negeri ini kerana penontonnya lebih bersopan dan berdisiplin tinggi.
"Saya selesa mengadakan persembahan di negeri ini kerana penontonnya lebih bersopan, mungkin kerana pengasingan penonton lelaki dan wanita serta keluarga. Saya rasa baik juga jika pengasingan penonton diadakan kerana ia dapat mengurangkan gesel mengesel ketika menyaksikan konsert," katanya secara berseloroh apabila ditanya mengenai pandangannya mengadakan persembahan di hadapan penonton yang diasingkan tempat duduk mengikut jantina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan