petikan Bintang Popular : JomSemuka 23 Oktober 2005
Oleh Zubir Mohd Yunus
SELEPAS hampir tiga bulan sifu M Nasir melepaskan jawatannya sebagai pengetua AF3, kini dia sekadar pemerhati atau karyawan seni yang hanya mampu melihat perkembangan 14 bekas pelajar bimbingannya melayari dunia hiburan dalam arus berbeza. Bintang AF3 yang terlalu menyerlah pastinya Asmawi Ani atau Mawi sehingga terdengar bisikan, kononnya fenomena tsumawi menutup peluang bintang AF3 yang lain. Apa kata Nasir?
“TUGAS saya selama menjadi pengetua AF3, hanya membimbing dan memberi inspirasi kalau ada. Tapi, apa yang berlaku sewaktu di dalam akademi adalah watak pelajar berkenaan yang dibentuk daripada perkemba ngan watak masing-masing yang menarik perhatian orang ramai.
Dalam aspek Mawi umpamanya, dia berjaya menarik perhatian orang ramai. Ia tak dapat dielakkan kerana perkembangan watak masing-masing. Ada yang nampak dari awal lagi keistimewaan Mawi, Felix dan yang lain-lain. Sebahagiannya pula tak menonjol, tapi lama kelamaan perkembangan watak mereka terus berkembang.
Justeru, perkembangan watak dalam jangka masa tiga bulan itu, peminat sebenarnya belum lagi mengenali pelajar berkenaan.
Orang hanya nampak apa yang berlaku dalam bingkai TV itu saja, jadi merekalah yang menilai sesuatu watak itu.
Mereka akan tertarik pada satusatu watak. Contohnya, Mawi.
Kadang-kadang pelajar yang lain tak sempat atau belum berpeluang untuk mengembangkan watak mereka dalam jangka masa yang pendek di dalam akademi.
Ini kerana perkembangan watak Mawi dan Felix begitu cepat!
Kini, kesemua bekas pelajar AF3 diletakkan di bawah jagaan Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) dari aspek rakaman album dan persembahan live. Saya melihat beban, tugas besar yang ada pada Maestro untuk menyambung apa yang sudah ditinggalkan semasa di akademi.
Yang pasti, tidak semua bintang AF3 akan berjaya. Sejak musim pertama AF hingga kini, Maestro mempunyai lebih 30 artis atau bintang AF yang perlu dipromosikan menerusi media yang mereka ada seperti Astro Ria dan Era, umpamanya. Sekali lagi saya katakan, tak semua bintang berkenaan akan berjaya.
Maknanya dalam perkembangan masa, kita boleh melihat siapakah bintang yang boleh bertahan lama. Saya melihat Mawi, dari segi penerimaan orang ramai, dia paling berjaya setakat ini. Tapi, keadaan itu baru dua bulan selepas AF3.
Ketika ini segala tumpuan hanya pada Mawi. Bukan menjadi satu persoalan adakah keadaan ini sihat atau sebaliknya, tapi itulah yang akan berlaku kepada seorang bintang seperti dirinya. Lahirnya bintang di Malaysia kerana pasarannya kecil. Kepelbagaian itu tidak banyak.
Satu ketika dulu orang amat meminati Siti Nurhaliza, jadi segala tumpuan hanya pada Siti. Tapi, tidak seteruk fenomena yang dibawa Mawi! (tergelak). Saya rasa, dalam jangka masa dua, tiga tahun lagi, keadaan seperti ini (diminati) akan berlaku ke atas Mawi, tapi segala-galanya bergantung kepada penampilannya setiap kali dia muncul, selain penampilannya dalam album yang akan datang.
Kita rasa 'terkesan' kerana program realiti itu sendiri. Anda lihat 13 bintang AF3, apa jadi dengan yang lain? Tapi, kenapa anda tak pernah bertanya, apabila seorang bintang lahir dalam industri ini, apa yang akan jadi dengan artis lain? (ketawa).
Dulu, zaman Siti, semua surat khabar, majalah hiburan, pusing-pusing muka Siti kat depan, tapi apa jadi dengan artis lain?
Benar, kita ada Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan ramai lagi, tapi fenomena mereka tak sama macam Siti.
Album kompilasi Mawi, Best of Mawi World terjual hingga 170,000 unit dalam tempoh kira-kira dua minggu berada di pasaran, sedangkan ia bukan album studio, semuanya kuasa Tuhan. Kalau anda tanya keadilan, di dalam dunia ini, mana ada keadilan? Inilah yang dinamakan kebesaran Tuhan. Jadi, perkara ini sesuatu yang normal.
Saya akui, memang ramai yang kecil hati dengan keadaan yang berlaku. Apa ni, apa ni?
Saya hanya beri tumpuan pada Mawi? Bukan begitu. Ketika mula-mula saya melihat 14 pelajar berkenaan, saya dah dapat rasa, siapa yang boleh pergi, sekurang-kurangnya 70 peratus kita dah tahu siapa yang berpotensi.
Sebenarnya apa yang berlaku, penghasilan album, umpamanya adalah mengikut giliran dan ini bukan kuasa saya menentukannya.
Apa yang Maestro lakukan juga bukan tidak adil, tapi macam fitrah. Saya seorang produser dan pencipta lagu, tidak lebih dari itu. Bintang yang lain, nak buat album, kena tunggu giliran mereka. Saya rasa Mawi diberi keutamaan menghasilkan album penuhnya kerana dia seorang juara.
Dunia rakaman bergantung kepada masyarakat pembeli.
Sebenarnya, cita rasa pembeli yang seharusnya diperbaiki.
Masyarakat kita harus bijak menilai. Dalam kes Mawi, masyarakat memilih untuk melihat sesuatu yang tak dapat diterangkan dari segi fizikal.
Kenapa mereka seolah-olah menggilai seseorang seperti Mawi? Yang pasti, perkara ini satu misteri...
Mawi menyanyi sumbang, suara 'koyak' ke, peminat tetap bertepuk tangan dan bersorak setiap kali di muncul di pentas.
Mereka tak kisah sumbang, 'koyak' ke suara Mawi kerana bukan kesempurnaan vokal yang mereka cari, sebaliknya diri Mawi itu sendiri. Bukan semata-mata vokal, tapi Mawi.
Semangat fanatik ada dalam semua aliran, bukan hanya hiburan. Dalam dunia seni, orang nampak semangat itu, tapi dunia lain orang tak nampak. Fanatik ini hanya bersifat sementara, bergantung kepada penampilan artis itu.
Tapi, terlampau baru untuk kita namakan ini zaman Mawi.
Keadaan orang menggilai Mawi baru dua, tiga bulan, perjalanan seninya masih lagi panjang.
Kepada bintang AF lain, mereka perlu sabar, tambahkan kemahiran mereka dan jaga penampilan diri. Jangan melatah dan iri hati. Setiap orang ada giliran masing-masing.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan