ANALITIC

Isnin, Jun 30, 2025

'Lebih baik berunding' - M Nasir

petikan Harian Metro 30 Jun 2025

Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, komposer dan penerbit, Datuk M Nasir melihat bahawa rundingan damai adalah jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P Muzik Malaysia) serta tiga pengerusi Collective Management Organisation (CMO), yang tular baru-baru ini.

M Nasir ketika ditemui di sidang media Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 berkata, isu itu juga sudah dibawa ke peringkat undang-undang dan tidak dapat diulas olehnya.

"Benda ini sudah dibawa ke peringkat undang-undang. Rundingan adalah penyelesaian terbaik," katanya.

Terdahulu, Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan meluahkan kekecewan dengan keengganan tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik yang tidak bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Sebenarnya nak cakap susah, tak cakap pun susah. Sebab tiga pengerusi CMO boleh dikatakan kawan kami dan ahli kami. Bukan orang lain pun.

"Tapi saya nak mohon jangan keterlaluan sehingga kelihatan biadap kepada kerajaan. Ini kerana arahan bila keluar harus dipatuhi," katanya.

Sidang media yang dijalankan baru-baru ini dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) yang dilihat tidak akur dengan ketetapan baharu dibuat kerajaan dalam isu kutipan royalti.

'Pencipta ada hak, penyanyi pun ada hak' - M Nasir

petikan Harian  Metro 30 Jun 2025

Syafil Syazwan Jefri   syafil.syazwan@hmetro.com.my

Penyanyi, Datuk M Nasir ketika sidang media pengumuman Konsert Cipta 3 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO RAIHANA MANSOR

Kuala Lumpur : "Boleh dibuat perbincangan sebab masing-masing ada hak," kata Datuk M Nasir ketika diminta mengulas mengenai isu hak cipta yang sedang panas antara pasangan komposer, Man Senoi dan Mama Rap dengan kumpulan 4U2C yang akan mengadakan konsert pada September ini.

M Nasir ketika ditemui di sidang media Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 berkata, pencipta dan penyanyi ada hak masing-masing dan perbincangan adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan kemelut ini.

"Pencipta lagu dia ada hak yang kuat untuk lagu-lagu dia. Orang yang merakamkan lagu pun ada hak dia. Biarlah (perbincangan) berjalan dulu.

"Penganjur tidak ada hak terhadap lagu. Jadi, pencipta lagu mempunyai hak yang kuat terhadap lagu," katanya.

Katanya, penyanyi perlu berurusan mengikut saluran sepatutnya seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan rundingan boleh dilakukan dengan pencipta lagu sehingga mendapat keizinan.

"Penyanyi kena berurusan dengan pencipta lagu atau secara kebiasaannya, dia tak perlu berurusan, tapi melalui MACP. Yang penting, dibayar.

"Tapi, kalau pencipta lagu tak beri izin dia main, dia ada hak juga berbuat begitu," katanya.

Terbaharu, M Nasir akan mengadakan Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 pada 27 September 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil. Konsert berskala besar ini akan mengangkat tema rock dan mempertaruhkan lagu-lagu rock ciptaannya.

Konsert Dato’ M.N46ir Cipta 3 gegarkan Axiata Arena September ini

 





Ahad, Jun 01, 2025

M. Nasir, Marlia berlepas tunai haji

petikan Kosmo 1 Jun 2025

Oleh Nur Emira Saizali

KOMPOSER Datuk M. Nasir dan isteri, Marlia Musa terpilih menjadi tetamu Allah menyahut panggilan haji musim 2025.

PETALING JAYA – Lebih setahun selepas mengerjakan umrah pada 2024, maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa kali menyahut panggilan suci melengkapkan rukun Islam kelima, berangkat menunaikan haji hari ini.

Menerusi sebuah video Instagram, M, Nasir dan Marlia dilihat tiba di lapangan terbang serta diiringi ahli keluarga sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Perkara tersebut dikongsi pemilik akaun dikenali sebagai Siella Zamri yang mendoakan perjalanan penyanyi juga komposer berkenaan.

“Semoga perjalanan Datuk dan Datin ke Tanah Suci dipermudahkan Allah.

“Segala amalan diterima dan mendapat haji mabrur. Doa kami semua sentiasa mengiringi setiap langkah, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Mentera Semerah Padi turut mengulang siar foto momen di lapangan terbang sebelum berangkat dalam InstaStorynya.

Selain M. Nasir, selebriti tempatan lain yang turut menunaikan ibadah haji musim kali ini adalah Bella Dally dan suaminya

Selasa, Mei 27, 2025

Ditawar berlakon filem komedi, M. Nasir tengok jalan cerita sebelum setuju

 petikan Mstar 27 Mei 2025

Oleh: Maszuhaira Sarimin

MAESTRO muzik terkenal, Datuk M. Nasir dikhabarkan bakal berlakon dalam sebuah filem komedi yang bakal memulakan penggambaran pada Disember ini.

Menjawab mengenai perkara itu, M. Nasir atau Mohd Nasir Mohamed, 68, berkata, dia tidak teragak- agak untuk menerima watak komedi yang jarang diberikan.

"Saya akan utamakan watak dan cerita itu, mungkin orang ingat saya buat perkara serius saja.

"Tapi kalau saya suka watak dan cerita itu tentu saya terima. Itu paling penting bagi saya," katanya kepada mStar.

Dia dikhabarkan bakal terlibat dalam komedi Daud M Origin yang akan diarahkan oleh Amen Khalid memberitahu masih lagi mempertimbangkan perkara itu.

Jelasnya dia ada menerima pertanyaan daripada rakannya iaitu pelawak Joey Daud namun masih belum memberi kata putus.

"Saya tak cakap apa-apa lagi, saya cuma tanya dia (Jeoy) melamar saya ke untuk watak bapa itu? Tapi dia sudah sahkan.

"Kalau tawaran bagus saya mungkin tak tolak," ujarnya.

Sementara itu, Amen, 30, selaku pengarah filem berkenaan memberitahu dia mendapat idea untuk menghasilkan filem itu selepas mendapat pertanyaan netizen.

Anak kepada anak kepada pengarah Mamat Khalid itu berkata filem Daud M mengisahkan tentang masa kecil Daud M dan kejadian membuatkan dia pelat dalam percakapannya.

Joey (kiri) dan Amen (kanan) bersama M Nasir bakal terajui filem Daud M Origin.

"Tercetusnya idea ini apabila bertemu dengan peminat arwah ayah saya, mereka tertanya-tanya macam mana Daud M boleh dapat 'M' itu.

"Dari situlah dapat idea untuk kongsi kisah dia dari kecil sampai besar dan macam mana dia boleh dapat pelat 'M' itu.

"Skrip pun belum siap lagi, pelakon tentulah abang Joey sendiri sebagai Daud M. Pelakon yang lain masih belum beri kata putus lagi," kongsinya.

__________________

Penampilan M Nasir dalam  video klip Daud M feat Ritz Metalasia & A.D ISOBAHTOS - Wamwamsam (Official Music Video)

Khamis, Mei 22, 2025

M Nasir pun 'pelat M'

 petikan Kosmo Online 22 Mei 2025

Syafil Syazwan Jefri  syafil.syazwan@hmetro.com.my

M Nasir ketika bercakap pada Majlis Pelancaran single Daud M Wamwamsam di SkyArk Event Spaces. FOTO Nabila adlina Azahari

Kuala Lumpur: Datuk M Nasir memberi kejutan apabila tampil sebagai watak cameo dalam video muzik single baharu Joey Daud berjudul Wamwamsam.

Lebih 'mengejutkan', M Nasir yang sering dilihat sebagai 'sifu' dalam bidang muzik dan berperwatakan serius turut melontarkan dialog 'pelat' menggunakan bahasa M seperti watak Daud M yang dilakonkan Joey.

Daud M adalah watak lakonan Joey dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang, Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali dan Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid.

"Saya terbabit dalam muzik video itu. Bila dah masuk, saya muncul sebagai cameo. Bila dah masuk, saya kena bawa watak itu," kata M Nasir.

Diminta mengesahkan mengenai pembabitannya sebagai pelakon dalam filem komedi Daud M Origin yang akan diarahkan Amen Khalid, M Nasir berkata, dia akan pertimbangkan

"Saya tak cakap. Saya tanya dia (Joey), 'awak melamar saya ke?' Dia dah sahkan. Tengoklah nanti kalau tawaran dia bagus," katanya.

Ditanya mengenai watak komedi yang asing buatnya, M Nasir tidak menolak untuk terbabit sekiranya watak dan jalan cerita yang ditawarkan menarik perhatiannya.

"Yang penting bagi saya adalah watak dan jalan ceritanya. Kadang-kadang orang ingat saya lebih cenderung kepada watak yang serius.

"Tapi kalau wataknya menarik dan saya suka, saya pertimbangkan. Itu dasarnya," katanya

Rabu, Mei 21, 2025

Tanya "Siapa M. Nasir?" ‘Blue Screen’ Samsung Raih Perhatian!

*artikel janaan AI

Siapa sangka, M. Nasir sekarang jadi “bahan kempen” buat Samsung? Kejadian kelakar-seram ini berlaku bila sekumpulan papan iklan digital tiba-tiba mempamerkan carian-carian pelik, termasuk soalan “Siapakah M. Nasir?”, “Apa rasa makanan kucing?”, dan “Kenapa badan gatal selepas membeli pakaian terpakai?”. Rupa-rupanya, semua itu adalah strategi halus (tapi agak kelakar) Samsung Malaysia untuk lancarkan produk baru mereka: Galaxy S25 Series dengan Gemini Live AI Assistant. Jom kita selongkar kisah di sebalik billboard ni—dan macam mana M. Nasir tanpa disangka-sangka membantu buat kempen ni jadi tular!

Papan Iklan Misteri: Blue Screen dan Soalan Gila

Bayangkan anda sedang memandu di tengah Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kota Kinabalu  atau Kuching, tiba-tiba ternampak papan iklan digital di hadapan anda dengan layar “blue screen of death” yang biasanya muncul bila Windows nak crash. Dan yang lebih pelik, di bawahnya tertera beberapa soalan rawak macam:

* Siapakah M. Nasir?

* Apakah rasa makanan kucing?

* Kenapa badan gatal selepas membeli pakaian terpakai?

Kalau anda tertanya-tanya, “Eh, siapa guna papan iklan ni buka Google?”, anda tidak keseorangan. Netizen ramai-ramai angkat kening, ambil gambar, dan kongsikan di TikTok serta Xiaohongshu. Ada yang terfikir mungkin admin ni memang confirm “hebat”—sampai salah taip query depan khalayak ramai!

Sementara itu, pihak pengendali billboard dan pihak berkuasa pula diam seribu bahasa. Rupanya, semua ini bukan salah taip biasa… ia adalah sebahagian daripada satu kempen “guerrilla marketing” yang cukup licik (dan lucu), hasil kreativiti Samsung Malaysia bersama agensi mereka.

 “INI\_LIVE\_GEM”: Petunjuk Kecil, Makna Besar

Kalau anda perasan, di bawah skrin biru itu tertulis “INI\_LIVE\_GEM”. Sekilas – cukup mengelirukan kalau kita baca terus. Tapi kalau disusun semula, berkerlip-kerliplah satu mesej rahsia: “GEMINI LIVE”! Ya, itulah nama suara AI assistant baru daripada Google yang dibawa khas untuk Galaxy S25 Series.

Samsung, dalam satu video ringan di Instagram, mengakui “It was us. Always has been #DoneClaim.” Mereka minta pengguna bersedia untuk “Talk Not Type” (cakap, jangan taip) dengan Gemini Live—yang katanya mampu jawab segala soalan hidup tanpa kesilapan menaip. Memang kena betul-betul di hujung ucapan “baiklah, saya nak tahu apa makanan kucing rasa macam?”, terus Gemini Live boleh jawab dengan tenang, tanpa skrin biru.

 M. Nasir: Dari “Legenda Kedah” ke Duta Senyap

Soalan “Siapakah M. Nasir?” bukan sahaja gimik lucu—berkait rapat dengan “perang” papan iklan kopi yang dah lama viral. Sebelum ni, ZUS Coffee pernah letak papan iklan tulis “ZUS Coffee kegemaran M. Nasir”, dengan nota kecil “M. Nasir ni cikgu di Alor Setar, bukan penyanyi legenda”. Tak lama kemudian, Wonda Coffee bangkit dengan papan iklan rupa bentuk berlainan: “Kopi Wonda kegemaran M. Nasir” sambil letak gambar sebenar M. Nasir. Terus jadi tular sebab orang kata “baru betul!”.

Samsung Malaysia yang bijak ini ambil kesempatan untuk join “dendam kopi” ni—tiba-tiba selit soalan “Siapakah M. Nasir?” di papan iklan carian internet mereka. Dengan berani (dan licik), Samsung “pinjam nama” M. Nasir untuk tarik perhatian rakyat Malaysia. Mungkin kalau tidak letak nama seorang lagenda macam M. Nasir, ramai orang takkan berhenti kereta ambil gambar papan iklan tersebut. Ya, tanpa sedar, M. Nasir jadi “duta senyap” yang bantu Samsung viralkan kempen baru mereka.

Video Influencer: J dan “Babe” Gemini Live

Tak cukup dengan papan iklan, Samsung Malaysia juga menjemput lokal influencer bernama J (handle @isawkwardguy) menghasilkan satu video ringkas bersama “babe”nya (iaitu Gemini Live di Galaxy S25).  Beliau ketawa sorang-sorang sebab soalan-soalan tu. Dalam video tu, J geli hati tengok soalan  soalan yang dipaparkan pada billboard dan menunjukkann bagaimana Gemini Live membantu beliau mencari jawapan.

Kesimpulan: M. Nasir, Makanan Kucing, dan AI Masa Kini

Aduh, ternyata M. Nasir tak sekadar lagenda seni—dia pun secara tak langsung jadi “penyebab” orang ramai tertanya-tanya dan sama-sama gelak tengok papan iklan yang pelik. Kempen Samsung ni memang berjaya buat orang Malaysia tertanya-tanya, “Sebenarnya, apa jadi dengan M. Nasir?”, “Betul ke AI boleh jawab soalan pelik?”, dan “Adakah skrin biru boleh dijadikan bahan iklan?”.

Jadi, kalau korang ternampak iklan pelik-pelik kat tepi jalan lepas ni, ingatlah: mungkin itu strategi Samsung nak tayangkan betapa menariknya fungsi Gemini Live di Galaxy S25 Series. Dan M. Nasir? Walau tak muncul secara rasmi dalam iklan tu, nama dia dah cukup buat ramai orang berhenti scroll dan berbual tentang teknologi canggih AI sambil tergelak.


Isnin, Mei 12, 2025

M Nasir nyanyi sukarela, kenang arwah Jay Jay di Malam Rindu Bayangan

petikan Harian Metro 12 Mei 2025

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

M NASIR pada Konsert Malam Rindu Bayangan di Hotel Grand Barakah, Ampang. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Datuk M Nasir mencipta kejutan apabila tampil beraksi dalam Konsert Malam Rindu Bayangan yang berlangsung di Hotel Grand Barakah Ampang, di sini, malam tadi.

Penyanyi bergelar sifu itu menyanyikan lagu popularnya Raikan Cinta sekali gus menggamatkan suasana konsert anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini.

Kehadiran M Nasir sebenarnya bertujuan menyokong konsert penghargaan bagi mengenang jasa dan sumbangan sahabat baiknya, Allahyarham Jay Jay dalam industri seni tanah air.

Menurutnya, dia terpanggil untuk menyanyi sebagai menghargai dan mengingati sahabat baiknya yang mula dikenali sejak 45 tahun dulu.

"Masa itu saya mula menyanyi. Saya tak ada duit, comot. Saya pergi menonton konsert Carefree. Tiada yang kenal saya waktu itu.

"Saya bersama kawan-kawan saya. Di atas bukit itu ada pokok. Di atas pokok itu kita boleh menonton pementasan malam itu. Itulah pertemuan saya dengan Jay Jay.

"45 tahun dahulu. Tapi tiba-tiba dia bermain dengan saya. Dia bermain bass dengan saya, merakam album dengan saya dan mewakili sebahagian hidup saya," katanya disambut tepukan bergemuruh peminat.

Sementara itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez melahirkan keterujaan apabila M Nasir menyatakan hasrat untuk beraksi.

"M Nasir bukan dibayar, dia beli meja lagi untuk datang. Memang kita jemput dia. Pada awalnya dia kata dia tengah buat persediaan untuk pergi haji.

"Jadi kita okey. Tiba-tiba Datin Marlia hubungi tanya bolehkah mereka beli meja. Saya cakap okeylah, boleh lah.

"Sebenarnya meja dah tak ada lagi, jadi kita tambah lagi satu meja dekat depan itu. Lepas itu dia siap menyanyi lagi pasal sayangkan Jay Jay," katanya.

Malam Rindu Bayangan menampilkan artis Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Jeffrydin, Jatt Black Dog Bone, Tam Spider serta barisan asal kumpulan Carefree.

Karyawan turut memberikan sumbangan buat waris artis antaranya untuk Hairie KOOL yang kehilangan ibunya, Allahyarham Sophia Ibrahim yang meninggal dunia baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan ialah Sazali P Ramlee, pelakon Iqbal Mazlan, penyanyi veteran Mariam Ahmad, penyanyi Zaiton Sameon dan balu Allahyarham Jay Jay iaitu Zaitoon Wahid.

Ahad, Mei 04, 2025

Sultan Nazrin, Tuanku Zara Berangkat Ke Majlis Makan Malam Amal Bersama M Nasir

petikan Bernama 3 Mei 2025

Foto: Farhan Najib

IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Nusantara Kelab Bakti Gunung Kledang (KBGK) Bersama Datuk M Nasir di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini malam ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubir.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,400 tetamu itu, M Nasir mendendangkan tujuh lagu iaitu Mentera Semerah Padi, Ada, Tanya Sama Itu Hud Hud, Hati Emas, Mustika, Bonda dan Satu Hari Di Hari Raya.

Selain itu, KBGK turut menyerahkan sumbangan RM150,000 kepada 10 penerima antaranya Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Abie Taman Cempaka, Pusat Pendidikan Orang Asli Kampung Lalang, Tabung Pelajar Yatim The Malay College Kuala Kangsar serta Maahad Tahfiz al-Quran Wal-qiraat Addin Sungai Ular. Presiden KBGK Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata sesi 2025 telah membawa kelab kepada hala tuju baharu sejajar dengan sasaran kerajaan negeri Perak di bawah Rancangan Perak Sejahtera 2030. "Kelab dengan ini berikrar untuk membantu kerajaan negeri memberi penerangan tentang program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan ibu bapa di Perak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Makan Malam Amal Nusantara KBGK Norali Nordin berkata pihaknya berjaya mengumpul RM700,000 hasil jualan 140 meja. -BERNAMA

Sabtu, Mei 03, 2025

PM, M. Nasir bincang soal industri kreatif

petikan KOSMO! 3 Mei 2025

M. Nasir ketika bertemu Anwar di Putrajaya semalam.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah menerima kunjungan daripada penyanyi serta seniman agung negara Datuk M. Nasir di Putrajaya.

Anwar berkata, menerusi pertemuan bersama figura seni tanah air itu anatara lain soal industri kreatif, seni dan budaya tempatan.

“Semalam saya terima kunjungan seniman ulung Datuk M. Nasir di Putrajaya. Dalam pertemuan ini kami bicara soal industri kreatif, seni dan budaya tempatan.

“Saya juga titipkan pesan agar beliau dapat terus kreatif berkarya dalam industri muzik tanah air,” tulisnya di media sosial rasmi Perdana Menteri hari ini.



Perdana Menteri Anwar (kanan) menerima kunjungan seniman M Nasir di pejabatnya di Putrajaya, pada Jumaat. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim