ANALITIC

Selasa, September 26, 2000

M. Nasir wakili negara ke Jerman

petikan Utusan Malaysia 26 September 2000

KOMPOSER M. Nasir akan mewakili negara buat kali kedua dalam Kolobrasi Penulisan Lagu Antarabangsa-Music Bridges/Expo 2000 di Jerman hujung bulan ini.

Pemilihan komposer itu berasaskan kemampuannya mencipta lagu untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Kolobrasi penulisan akan diadakan mulai 30 September hingga 8 Oktober depan.

Pengasas Music Bridges, Alan Roy Scott dalam satu kenyataan berkata, dia yakin M. Nasir mampu melangkah lebih jauh dalam bidang penciptaan di peringkat antarabangsa.

''Sebab itulah saya memilih M. Nasir untuk menyertainya,'' kata Alan lagi.

Selain Malaysia, 35 komposer dari 20 buah negara akan menyertainya termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Belgium, United Kingdom, negara-negara benua Afrika dan negara-negara Asia.

Kolobrasi itu akan diadakan di dua buah bandar di Jerman iaitu bandar Goslar yang akan dilangsungkan sesi penciptaan lagu.

Acara kemuncak, iaitu dendangan lagu-lagu yang dicipta akan diadakan pada 7 Oktober di bandar raya Hanover.

Kali pertama M. Nasir me-wakili kolobrasi anjuran Music Bridges, Kolobrasi Penulisan Pasifik Harmoni lima tahun lalu dalam satu upacara yang diadakan di Bali, Indonesia.

Ia bukanlah satu pertandingan sebaliknya satu perkumpulan antara pencipta-pencipta lagu untuk mencari formula menghasilkan lagu terbaik.

M. Nasir akan bergabung dengan komposer lain dalam satu kumpulan untuk menghasilkan lagu-lagu ciptaan mereka.

Sekiranya dalam kelompok kumpulannya tiada penyanyi, M. Nasir sendiri akan menyanyikan lagu yang telah dihasilkan itu.

Syarikat Luncai Emas iaitu pemegang hak cipta hasil karya M. Nasir berbangga dengan penyertaan M. Nasir ke sana.

''Dia akan bertolak pada 29 September depan dan akan kembali ke tanah air pada 9 Oktober,'' kata Pengurus Hak Cipta Luncai Emas, Jennifah Johari.

M. Nasir kini dalam proses menghasilkan album terbaru yang menampilkan muzik yang disifatkannya sebagai muzik dunia.

Dia akan menghasilkan lagu ciptaan sendiri yang turut dihasilkan dalam bahasa Inggeris kerana ia bakal diterima dengan lebih menyeluruh.

Ahad, September 03, 2000

Pengakuan Marlia Musa pada hari pernikahan - "M.Nasir ialah cinta pertama saya''

petikan Utusan Malaysia 3 September 2000


WANG dinar emas menjadi mas kahwin M. Nasir kepada Marlia.

Mulai tahun depan mereka bukan saja akan menyambut hari itu sebagai Hari Kebangsaan tetapi juga hari ulang tahun perkahwinan mereka.

"Ia adalah satu tarikh yang senang diingat,'' seloroh Marlia apabila ditanya kenapa mereka memilih tarikh itu.

Tetapi artis berusia 33 tahun itu kemudian menambah, mereka memilih tarikh 31 Ogos kerana kesesuaian masanya.

Kisah cinta M.Nasir, 43, dan Marlia hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu, dan mereka kemudian memilih untuk bersama sebagai suami isteri.

Ini merupakan perkahwinan kedua M.Nasir selepas kematian isterinya Junainah Johari, manakala Marlia menamatkan zaman gadisnya.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di rumah Marlia di Subang Jaya pada hari Khamis lalu ketika seluruh rakyat Malaysia bergembira merayakan Hari Kebangsaan.

Mereka selamat diijab kabulkan dalam suasana yang serba sederhana tetapi meriah. Marlia berwalikan sepupunya Muhammad Aris Jailani. Bapa kepada Marlia, Musa Albakri sudah lama meninggal dunia.

Kebanyakan 500 orang jemputan yang hadir merupakan keluarga terdekat pasangan itu termasuk rombongan keluarga M.Nasir dari Singapura.

Keluarga M.Nasir dari Singapura yang turut hadir pada majlis itu ialah bapa, abang dan kakaknya. Ibu pengantin lelaki tidak hadir khabarnya kerana masalah kesihatan.

Bagi majlis akad nikah tersebut, M.Nasir membawa tujuh dulang hantaran berbalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pengantin perempuan.

Setiap hantaran dihias dengan begitu cantik terdiri daripada barangan diri seperti pakaian, barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan jam tangan. Wang hantaran daripada pengantin lelaki ialah sebanyak RM20,000.

Apa yang uniknya dalam majlis akad nikah itu ialah M.Nasir memilih untuk menggunakan wang dinar emas sebagai bayaran mas kahwinnya kepada pengantin perempuan.

Tiga belas keping wang dinar emas bernilai RM2,000 menjadi bukti penyatuan kedua-dua mereka.

Menurut M.Nasir, dia memilih wang dinar tersebut kerana 'ingin kembali kepada tradisi Islam.'

M.Nasir duda lima anak itu kematian isteri sejak dua tahun lepas.

Daripada perkahwinan pertama, M.Nasir memiliki lima orang anak iaitu Muhammad Ilham, 14, Muhammad Yasin, 12, Muhammad Hidayat, 6 tahun, Muhammad Syafii, 5 tahun dan Nilam Sari, 2 tahun. Cuma Hidayat, Syafii dan Nilam Sari kelihatan hadir pada majlis tersebut.

Penyatuan pasangan Nasir-Marlia kini secara tidak langsung menjadikan Marlia 'ibu segera' kepada lima orang anak tiri.

Kata Marlia, dia tidak mempunyai masalah dengan anak-anak M.Nasir kerana proses penyesuaian antara dirinya dengan mereka berjalan lancar.

Biar apa pun kata Marlia, dia akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang masih kecil itu.

Begitu pun artis itu memang agak berkecil hati apabila persoalan penerimaan anak-anak tiri itu diajukan berulang kali. Marlia tidak menafikan bahawa dia memang agak sensitif dengan soalan seperti itu.

"Hanya mereka yang melihat saja tahu bagaimana rapatnya hubungan saya dengan anak-anak Abang Nasir.

"Saya tetap sentiasa memperbaiki hubungan tersebut. Tanggungjawab itu bukan kecil kerana kini saya bukan saja harus memikirkan dua kepala tetapi lima yang lain,'' kata Marlia.

Berbulan madu? Kata M.Nasir, setakat ini mereka tidak merancang untuk ke mana-mana lantaran kesibukan kerja. Tetapi mereka tetap akan mencari satu tarikh yang sesuai kelak.

"Tetapi mungkin dalam negara saja kerana kami ingin menyambut seruan kerajaan,'' katanya.

Bercerita tentang percintaan mereka, kata M.Nasir, dia sebenarnya sudah lama mengenali Marlia iaitu sejak Marlia berusia 16 tahun. Ketika itu M.Nasir berusia 26 tahun. "Pada masa itu Marlia adalah pelakon radio di Singapura,'' katanya.

Kata M.Nasir, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Marlia kerana menganggap wanita itu cukup sesuai untuk mengisi kekosongan hidupnya dan anak-anak.

Bagi Marlia pula, M.Nasir adalah cinta sejati yang pertama. Seperti pasangan lain, Marlia dan M.Nasir berharap ikatan itu berkekalan.

Kata Marlia, selepas berkahwin M.Nasir tetap tidak menghalang dirinya untuk terus berlakon. Bagaimanapun kata Marlia, selepas ini dia harus teliti memilih tawaran. Itu kerana dia tetap akan mengutamakan masa untuk keluarga barunya.

"Kalau berlakon drama televisyen mungkin itu agak berat tetapi kalau drama pentas saya akan menimbangkan sebarang tawaran,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Marlia juga menolak dakwaan bahawa dia akan bekerja dengan syarikat M.Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selepas diijab kabulkan, M.Nasir dan Marlia mengadakan majlis persandingan mereka di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 1 September dan di rumah pengantin lelaki di Sungai Buloh pada 2 September.

Jumaat, September 01, 2000

M. Nasir dan Marlia pilih bernikah di Hari Kebangsaan

petikan Utusan Malaysia 1 September 2000

Akhirnya penyanyi itu memilih pelakon Marlia Musa sebagai pasangan hidupnya. Mereka bernikah semalam ketika rakyat negara ini dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan ke-43.

Tarikh itu sengaja dipilih untuk menyenangkan mereka mengingati dan merayakan ulang tahun perkahwinan serentak dengan perayaan sambutan Hari Kebangsaan.

M. Nasir, 43 membawa wang hantaran se-banyak RM20,000 serta tujuh dulang hantaran manakala pihak Marlia, 33 membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Penyanyi itu membawa 13 keping dinar emas bernilai RM2,000 sebagai mas kahwin ketika bernikah di rumah keluarga Marlia di Subang Jaya tengah hari semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Subang Jaya, Othman Arifeen. M. Nasir menjawab akad nikah sebanyak dua kali.

Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu dihadiri oleh kira-kita 500 tetamu. Sekitar 50 orang rombongan daripada pihak M. Nasir menghadirinya termasuk bapanya yang kelihatan uzur.

Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya malam ini manakala M. Nasir akan mengadakan majlis di Dewan Serbaguna Bandar Baru Sungai Buloh, tengah hari esok.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu M. Nasir berkata dia belum memikir-kannya kerana masih banyak komitmen kerja yang harus diselesaikan.

"Saya hanya cuti beberapa hari sahaja dan akan meneruskan kerja selepas ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis akad nikah itu.

Mereka menyatakan kemungkinan akan berbulan madu bersama lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu di kawasan peranginan dalam negeri.

M. Nasir yang kelihatan ceria sepanjang majlis berlangsung tidak pernah menghalang Marlia aktif berlakon, malah dia senang melihat isterinya maju dalam kerjayanya.

"Sekiranya dia maju ke depan, saya lagi suka,'' kata M. Nasir apabila ditanya mengenainya.

Sementara itu Marlia berkata dia akan membataskan aktiviti seni untuk memberi tumpuan pada keluarga dan kerjanya sebagai pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan.

"Telah lebih dua tahun saya tidak berlakon drama televisyen dan kali terakhir saya berlakon teater pada April lalu,'' kata Marlia.

Dia akan menimbangkan tawaran berlakon drama televisyen sekiranya dapat menguruskan masa dan keutamaan akan diberikan kepada keluarga.

"Saya akan terus berlakon teater selepas ini,'' kata Marlia lagi.

Ditanya mengapa dia memilih dinar emas sebagai mas kahwin kata M. Nasir dia ingin kembali kepada tradisi Islam dalam perkahwinan.

Dia akan membawa Marlia pindah ke rumahnya di Sungai Buloh selepas majlis perkahwinan mereka selesai sepenuhnya.

Ahad, Ogos 27, 2000

Cabaran Marlia sebagai isteri M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 27 Ogos 2000


MARLIA berikrar memberikan kebahagiaan kepada M. Nasir dan anak-anaknya.

Dalam debaran itu, seperti juga bakal isteri lain, Marlia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan kenyataan ini dirasakan sendiri oleh Mingguan Malaysia.

Seminggu sebelum Marlia bergelar isteri orang, Mingguan Malaysia sempat menemu bual Marlia dan pelakon yang berusia 30 tahun itu nyata sukar untuk menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Bukan mengelak, tetapi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata kerana pada ketika itu, fikiran Marlia melayang memikirkan pelbagai perkara dan persiapan yang perlu dilakukan.

"Seperti orang lain juga, selain gembira saya juga berdebar kerana tidak lama lagi akan bergelar isteri orang,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Perkahwinan mereka, pertama buat Marlia dan yang kedua buat M. Nasir (yang kematian isteri, Allahyarham Junainah Johari) pastinya satu cabaran baru yang perlu ditempuhi oleh Marlia khususnya.

Bagi Marlia tanggungjawabnya begitu besar apatah lagi dia perlu mengambil alih tanggungjawab memberikan kasih sayang kepada lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Marlia dalam temu bual eksklusif majalah URTV tidak lama dulu, Marlia menerangkan, sememangnya perkahwinan suatu cabaran baru buatnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sehingga hari ini kelima-lima anak bakal suaminya itu sudah boleh menerima kehadirannya.

"Saya impikan yang terbaik untuk saya dan Abang Nasir, apalagi Abang Nasir dah ada lima orang anak... saya mahu diterima bukan sahaja sebagai isteri malah kawan kepada anak-anaknya,'' jelas Marlia penuh makna.

Anak kepada pasangan Allahyarham Musa Al-Bakri (pelakon drama) dan Zaiton Shamsuddin (bekas juruhebah radio) ini turut mengakui, bukan suatu perkara yang mudah untuk anak-anak M. Nasir menerimanya sebagai ibu mereka.

"Saya tahu saya tidak dapat ganti ibu mereka kerana emak mereka adalah emak mereka, tapi saya harap saya dapat sama-sama dengan Abang Nasir mendidik mereka,'' ikrar Marlia.

Pun begitu jauh di sudut hatinya, Marlia yakin bahawa dia sudah mampu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya.

Seperkara yang membuatkan Marlia begitu optimis bahawa kehadirannya dapat diterima oleh kelima-lima cahaya mata itu ialah berdasarkan kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka.

"Bila saya masuk dalam keluarga Abang Nasir, saya ingin memenuhi kekosongan yang diperlukan oleh anak-anak Abang Nasir.

"Saya faham bukan senang nak mengisi kekosongan mereka tetapi saya mencari apa yang mereka mahu, selain kasih sayang tentu perhatian. Mereka pun nampaknya menerima kehadiran saya dan mereka mesra terhadap saya,'' kata Marlia.

Janji Marlia lagi, dia ingin memberikan perhatian dan sepenuh kasih sayang kepada mereka dan kesemuanya itu dilakukan dengan seikhlas yang mungkin.

Ditanya apakah dia terkejut dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah, Marlia mengakui hakikat tersebut.

"Bukan sahaja kawan-kawan saya, malah saya sendiri macam tidak percaya tapi inilah yang dikatakan takdir. Saya tidak pernah menyangka saya akan berkahwin dengan M. Nasir,'' katanya sambil menyimpul senyum penuh makna.

Marlia dan M. Nasir, 42, akan disatukan pada pagi 31 Ogos ini di kediaman keluarga Marlia di Subang Jaya, Selangor.

Selain wang hantaran yang difahamkan berjumlah RM20,000 (Marlia dan M. Nasir enggan memberitahu jumlahnya), Marlia juga akan menerima hantaran-hantaran lain termasuk mas kahwin berjumlah RM80 daripada M. Nasir.

Pasangan ini juga akan meraikan teman-teman rapat dan saudara-mara pada dua majlis persandingan yang berbeza.

Pertama di Grand Selangor Ballroom, Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya pada 1 September, yang dianjurkan oleh keluarga Marlia.

Sementara bagi pihak M. Nasir pula, majlis kenduri dan persandingan akan diadakan pada 2 September di Taman Permainan Dewan Kemas 1B, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Kepada para pembaca yang ingin melihat gambar-gambar eksklusif Marlia, M. Nasir bersama lima orang anaknya jangan lupa mendapatkan majalah URTV keluaran 1 September yang mula berada di pasaran pada 30 Ogos ini

Sabtu, Julai 15, 2000

Belanja Salam Taj Mahal meningkat

petikan Utusan Malaysia 15 Julai 2000


M. NASIR dan Umie Aida dalam satu adegan drama Salam Taj Mahal.

Belanja untuk menerbitkan drama Salam Taj Mahal meningkat hingga RM725,000 dari anggaran asal hanya RM65,000 kerana menghadapi banyak masalah.

Pengarah urusan Kuasatek Pictures, Mohd. Noor Kadir memberitahu, belanja pembikinan drama tersebut meningkat kerana pihaknya terpaksa berdepan dengan pelbagai permintaan yang berlaku secara spontan.

''Walaupun kami sudah mendapat surat kebenaran dari pihak berkuasa tapi kami terpaksa berurusan dengan orang perseorangan pula untuk meneruskan penggambaran,'' ujar Mohd Noor.

Katanya, semasa di India dia terfikir untuk menukar lokasi ke negara lain tapi memikirkan skrip yang terpaksa dirombak, penggambaran di India diteruskan juga.

Tempat yang menjadi pilihan Kuasatek Pictures untuk dijadikan lokasi ialah New Delhi dan Agra yang merupakan lokasi penting untuk drama tersebut.

Jelas Mohd Noor, walaupun pihaknya menghadapi kesukaran tapi dia berpuas hati kerana semua yang dikehendaki sudah terlaksana.

Ujarnya, dia memilih India sebagai lokasi kerana bersesuaian dengan jalan cerita yang ditampilkan dan bukan sengaja hendak menonjolkan pemandangan negara tersebut.

Salam Taj Mahal yang diarah oleh Zek Zukry dijayakan oleh M.Nasir, Vanidah Imran, Umie Aida, Sharifah Eja, Erma Fatima dan Rashidi itu menjalani penggambaran selama 42 hari di sana.

Tegas Mohd Noor, setiap drama keluaran Kuasatek Pictures yang menjalani penggambaran di luar negara mempunyai jalan cerita tersendiri.

Sebelum ini drama Cinta Antara Benua menjalani penggambaran di London, Cinderella di New Zealand dan sebuah drama lain di Turki.

Menurut Mohd Noor, objektif Kuasatek Pictures untuk mengadakan penggambaran di luar negara kerana ingin melakukan sesuatu yang jarang dibuat oleh produksi lain.

Salam Taj Mahal yang skripnya dihasilkan oleh Mohd Noor lebih memfokas pada kasih sayang antara adik-beradik.

Ali yang berumur 10 tahun terpaksa berpisah dengan adiknya, Aisyah yang baru dilahir disebabkan ibu bapa mereka meninggal dunia. Ali telah dibawa ke India oleh kawan baik ayahnya sementara Aisyah pula membesar di Malaysia dan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Drama bersiri ini disiarkan di TV3 menerusi slot Panorama pada pukul 5.30 petang setiap Isnin hingga Khamis.

Seperti drama bersiri terbitan Kuasatek Pictures yang lain, Salam Taj Mahal juga dihasilkan dalam bentuk novel yang ditulis oleh Sharifah Abu Salem.

Ahad, Mei 21, 2000

Marlia & M. Nasir hanya tunggu hari

petikan Utusan Malaysia 21 Mei 2000

M. NASIR tergelak besar apabila dikatakan wajahnya semakin berseri dan ceria kerana dia tahu itu adalah jambatan untuk bertanya mengenai perancangan perkahwinannya dengan pelakon Marlia Musa.

Dia sendiri menduga soalan sedemikian akan ditujukan kepadanya apabila segala persoalan mengenai penghijrahannya ke syarikat Warner Music terungkai.

Namun mencungkil rahsia M. Nasir bukan semudah mendapat perkembangan sensasi artis lain kerana sesuai dengan dirinya yang dikatakan berseni itu, M. Nasir menjawab semua soalan dengan seni juga.

Ditanya bilakah tarikh atau bulan dia dan Marlia akan bernikah, M. Nasir cuma menjawab, dalam masa terdekat.

''Kamu akan tahu juga kerana saya akan membuat sidang akhbar mengenainya,'' kata M. Nasir sambil tergelak besar.

M. Nasir dan Marlia bertunang dengan dihadiri oleh keluarga terdekat di rumah keluarga Marlia pada 7 Mei lalu.

''Saya akan kahwin dalam masa terdekat ini,'' katanya apabila ditanya tarikh pernikahannya.

Dia juga enggan memberitahu berapakah hantaran dan wang hantaran yang bakal dibawa apabila bernikah nanti kerana baginya itu adalah sesuatu yang sensitif.

''Kamu akan tahu juga nanti apabila menghadiri majlis pernikahan saya,'' kata M. Nasir ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak menjadi artis rakaman Warner Music, Rabu lalu.

Penjelasannya membayangkan bahawa masa untuk M. Nasir dan Marlia disatukan semakin hampir. Malah persiapannya telah dibuat.

Mengenai perancangan perkahwinan di pihaknya, sekarang ini segala persiapan telah dilakukan oleh kakaknya di Singapura.

M. Nasir mengakui anak-anaknya rapat dengan Marlia dan mereka kini memanggilnya dengan panggilan Yaya.

''Sebenarnya panggilan nama itu dimulakan oleh Nilam (Nur Nilamsari) dan sehingga kini terus melekat,'' katanya.

Apabila bernikah nanti dia ingin anak-anaknya memanggil Marlia dengan panggilan 'Mak', ujar penyanyi itu lagi.

Ditanya mengapa dia memilih Marlia, kata M. Nasir ciri-ciri seorang wanita yang disukainya ada pada anak pelakon drama Allahyarham Musa Al-Bakri itu.

''Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu,'' katanya dengan kiasan tersendiri.

Ditanya warna kegemaran Marlia, M. Nasir memegang hujung baju warna kulit kayu yang sedang dipakainya.

''Dia suka warna ini,'' kata M. Nasir merujuk kepada warna baju yang dikenakannya hari itu.

Dia tidak menganggap keputusannya memilih Marlia sebagai pasangan hidup sebagai keputusan yang sukar untuk dilaksanakan.

''Bukan saya yang pilih dia tetapi kami sama-sama memilih antara satu sama lain,'' katanya lagi.

Ditanya sama ada sukar baginya membuat persiapan perkahwinan kali kedua itu, M. Nasir berkata dia ada banyak saudara yang membantu.

''Aku ada banyak kot dulu-dulu,'' katanya sambil tergelak apabila ditanya apakah pakaian yang akan dikenakan semasa bersanding nanti.

Oleh: ROSLI MANAH

Sabtu, Mei 20, 2000

M. Nasir mahu globalkan muzik Melayu

petikan Utusan Malaysia 20 Mei 2000

M. NASIR bersama orang kuat Warner Music, Rudy Ramawy (kanan) dan Nasser Abu Kassim pada majlis menandatangani kontrak di ibu kota, baru-baru ini.

PENGHIJRAHAN komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ke syarikat rakaman Warner Music adalah satu usaha penyanyi itu untuk mengetengahkan muzik Melayu ke peringkat global.

Menurut M.Nasir, peluang itulah yang menjadi pendorong utama kepadanya untuk berhijrah setelah tuntutan itu tidak dapat disempurnakan oleh syarikat rakaman terdahulu.

Pada pandangannya, semua syarikat rakaman mempunyai keupayaan berbuat demikian dan dia nampak Warner Music mempunyai kesungguhan ke arah itu.

Sebagai langkah awal, M. Nasir kini sedang menyiapkan sebuah lagu yang akan dipasarkan dalam bentuk 'single' untuk pasaran luar negara.

''Untuk itu, saya akan menghasilkan lagu menggunakan elemen muzik Melayu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

M. Nasir menyatakan demikian pada majlis menandatangani kontraknya bersama Warner Music selama tiga tahun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kontrak itu ditandatangani oleh M. Nasir dan Pengarah Eksekutif Warner Music, Nasser Abu Kassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Warner Music, Rudy Ramawy.

Malah, kata penyanyi itu lagi, pada masa ini dia mempunyai banyak lagu yang telah dihasilkan dan kini sedang memperkemaskannya.

Penghasilan lagu dalam lirik bahasa Inggeris adalah perlu memandangkan bahasa Melayu belum kuat kedudukannya di kalangan peminat muzik dunia.

M. Nasir juga mengulangi perpindahannya ke Warner Music bukan kerana tawaran lumayan, sebaliknya kerana selari dengan misinya untuk mengetengahkan lagu Melayu.

M. Nasir menyifatkan perpindahannya sebagai langkah profesional untuk menyambung kerjanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.

Justeru dia mahu semua pihak menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah dalam dunia hiburan.

''Kontrak saya hanyalah sebagai artis dan lagu-lagu ciptaan saya masih hak milik Luncai Emas,'' kata penyanyi itu.

Penyanyi itu mengakui bukannya senang untuk mencapai apa yang diimpikannya untuk meletakkan muzik Melayu ke mata dunia.

Namun dia sanggup melalui liku-liku itu bersama Warner Music yang menyokongnya untuk merealisasikan matlamatnya.

Rudy pula berkata, M. Nasir menjadi aset syarikat itu yang paling berharga setelah menyertai Warner secara sah dan berharap dapat melihat hasil kreativiti penyanyi itu hujung tahun ini.

Antara yang terkandung di dalam kontrak itu ialah penerbitan album Melayu dan album untuk pasaran luar negara.

Menurut M. Nasir pula, tiga pasaran luar yang tidak menghadapi masalah cetak rompak ialah Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Dia akan berusaha mencari tempat di pasaran yang dinyatakan dengan kerjasama rangkaian Warner Music antarabangsa.

Sementara itu, ditanya mengenai komitmennya dengan BMG untuk mempromosikan album Srikandi Cintaku ke Indonesia, M. Nasir berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan.

''Saya tidak bermasalah memenuhi promosi yang diatur untuk album yang telah menembusi pasaran Indonesia itu,'' katanya.

Oleh: ROSLI MANAH