ANALITIC

Jumaat, Disember 31, 1982

Kembara Setanding Dengan Alleycats

 Sumber asal & tarikh petikan tidak dapat dikenalpasti. Gambar milik M Taufiq (rujuk watermark)

Khamis, Disember 30, 1982

M.NASIR SENIMAN JALANAN

* petikan sebuah majalah tahun 1982 dari koleksi Wiraaz Collezzione. (Terima kasih Abg Wiraaz!)

Ketika menjenguk ke Studio SBC (Perbadanan Penyiaran Singapura) baru-baru ini, BAM secara kebetulan bertemu dan berbual sekejab dengan pencipta muda M.Nasir yang meletupkan kumpulan Alleycats dengan lagu-lagu ciptaannya "Hingga Akhir Nanti" "Andainya Ku Pergi Dulu" dan beberapa lagu lagi.

Beberapa orang teman di studio itu memberitahu BAM bahawa Nasir ini agak aneh sedikit orangnya, bahkan banyak yang aneh, hinggakan sewaktu tampil menyanyi untuk rancangan hiburan di TV, dia berpakaian seperti dia selalu...selekeh dan geloboh sana sini.

Malah, kata mereka isterinya sendiri mengelarkannya "Twilight Zone" kerana dia suka berkhayal....lain yang ditanya, lain yang dijawabnya, masa bujang dulu kata emaknya Nasir selalu tak pulang ke rumah, dia suka tidur di masjid.

Tapi dengan BAM hari tu, Nasir nampaknya serius, tak macam selalu, kalau datang ke pejabat BAM, tingkah lakunya memang pelik sikit, sampai kadangkala BAM malas menegurnya, kerana lain yang ditanya lain yang dijawabnya.

Tapi waktu di studio dia dah pandai bergurau. "Eh, orang KL ada disini, bila sampai?" tanyanya dengan ramah, Kemudian sungguh sungguh Nasir menceritakan perihal dia sekarang sedang serius menulis skrip filem. "Kisah Seniman Jalanan"  Bagus ceritanya, mengenai penghidupan penyanyi rakyat yang menyeluruh segala aspek kehidupan termasuk seks," ujarnya dengan wajah selamba.  "Hai, nak jadi penulis skrip filem pulak?" tanya BAM. "Begitulah." jawabnya sungguh-sungguh, dan mengharap ceritanya ini akan mendapat perhatian dari produser filem.

BAM- Sedang siapkan skrip "Penulis yang terdampar".


nota kaki :  Tahun 1982,  M. Nasir sudah pun menceritakan tentang Filem Kembara Seniman Jalanan. Terima kasih kepada saudara Wiraaz atas petikan majalah ini.

Ahad, Disember 05, 1982

Khamis, April 01, 1982

Mengembara Bersama Puisi

petikan Majalah Penghibur April 1982 ms 38
 Oleh Suzy Elly
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Menyanyi dan mengembara bersama puisi….. mereka menjadi kumpulan tempatan terulung berani membawakan pembaharuan begitu. Namun KEMBARA bagi tiga pemuda Singapura belum berpuas hati menghasilkan album sulung mereka yang kini sudah berada di pasaran.

Kumpulan ‘baru’ dari Polygram membawa selera baru kepada seni muzik tempatan kerana salah seorang dari anggota KEMBARA adalah penerbit dan penggubah lagu terkenal M.Nasir. Pencipta muda berbakat inilah yang telah menaikkan kumpulan kumpulan sukaramai seperti Flybaits, Al-Jawaher dan Alleycats.

Nasir membawa perubahan dalam lagu lagu nyanyian penyanyi-penyanyi baru seperti Yusnizar. Dia juga pernah berpadu suara dalam album “Dia Ibuku” . Begitu juga dengan kumpulan “Ideal Sister” tiga bersaudara dari Singapura. Salah seorang dari 3 dara ini, Junainah kini menjadi isterinya.

Kini dengan kumpulannya sendiri, KEMBARA bersama dua pemuda berpengalaman dalam muzik, Shahlan dan A Ali besar kemungkinan akan mencipta gubahan muzik dan lagu yang baik untuk selera peminat.

KEMBARA lahir dengan susunan muzik yang cukup meyakinkan dari usaha dari pemuzik berpengalaman A Ali.  Dengan warisan masa lampau dalam dunia muzik A.Ali menerapkan idea baru dan lama, seiring dan seimbang dalam adunan persembahan KEMBARA dalam LP sulung mereka ini.                                                                                                                                                                                                       
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka Shahlan, pemuda kacak dari seberang tambak Johor ini turut memberikan sokongan yang kuat sebagai anggota KEMBARA. Bagi peminat muzik di selatan Malaysia(Johor), Shahlan merupakan orang baru kepada mereka. Dia telah banyak juga memberikan sumbangan berupa idea serta suaranya yang cukup meyakinkan dalam beberapa lagu yang disampaikan secara solo memberi harapan untuk KEMBARA meneroka hati peminat peminat seni suara kelak.

Lalu, ketiga mereka ini M.Nasir, A.Ali dan Shahlan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan dengan azam yang kuat serta gigih. Mereka ingin mengalihkan pandangan dan perhatian peminat dan pencinta hiburan tempatan agar bersama mereka dalam satu penampilan yang tersendiri sifatnya. Lagu lagu yang dibawakan kepada kita begitu berlainan dari persembahan kumpulan kumpulan lain. KEMBARA telah bekerjasama dan sepakat bagi mendapatkan satu kombinasi idea muzik yang mahu diketengahkan kepada peminat semua.

Dalam album sulung yang hanya diberi nama “Kembara” , Nasir, Ali dan Shahlan telah mempersembahkan sepuluh buah lagu merdu merisik para pendengar. Hampir keseluruhan seni kata lagu-lagu ini adalah petikan dari puisi ciptaan teman teman mereka sendiri. Menggambarkan kisah hidup masyarakat.

Dimuka pertama KEMBARA memuatkan lagu lagu seperti Express Rakyat , Senandung Buruh Kasar, Lagu Untuk Seorang Ibu, Agar Kau Mengerti, dan Oh! Bulan

Dimuka kedua pula lagu-lagu yang dimuatkan ialah Hati Emas, Malam, Ragam Mat Dan Minah, Hidup Cara Sendiri dan Gadis & Kota

Khamis, Jun 04, 1981

Balai Rakyat Tanglin pentaskan dua drama

Petikan Berita Harian, 4 June 1981

Oleh KHAIRANI AHMAD 

SEDANG badan-badan drama berlumba-lumba untuk membanyakkan lagi jumlah persembahan drama tempatan, anggota Kelab Drama Balai Rakyat Tanglin juga tidak mahu ketinggalan dalam usaha itu.

Mereka, sejak Januari lalu. begitu gigih menjalankan latihan untuk menjayakan dua buah drama moden yang akan dapat disaksikan oleh para peminat seni pada 13 Jun di Pusat Kebudayaan, dekat Pusat Penjaja Rasa Singapura. 

Kedua-dua drama moden itu bertemakan pertikaian dan masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia sehari-hari. Drama pertama berjudul Syaitan Syaitan Berdrama, ditulis oleh Syed Amin Shahab, pelukis muda yang melangkahkan kakinya ke dunia penulisan drama pentas sejak beberapa tahun lalu dengan harapan dapat mengurangkan 'ketegangan' di alam seni lukisan. 

Penulis yang mengakui jiwanya lebih berat ke arah seni lukis menjelaskan semasa dia mengadakan latihan di Balai Rakyat Tanglin baru-baru ini, bahawa Syaitan Syaitan Berdrama merupakan hasil karya yang kedua selepas drama Otak'. 

Menyentuh sedikit tentang drama itu. Syed Amin menjelaskan idea untuk menulis kisah tersebut timbul di fikirannva apabila sebuah lagu bertajuk 'Mencari Tuhan" berkumandang di radio semasa dia berada di Jakarta tahun lalu. 

Kisah itu akan dibawakan oleh sebelas watak di mana watak-watak utamanya terdiri dari syaitan satu, syaitan dua dan syaitan tiga. Menurutnya lagi drama yang mendedahkan kejahilan manusia yang tunduk kepada hasutan syaitan ini diolah sebegitu rupa supaya mesejnya dapat disampaikan kepada para penonton menerusi kata-kata yang mudah difahami. 

Sebagaimana petikan kata-kata yang berbunyi: "Syabas! Aku senang sekali melihat syaitan yang optimis seperti kau.. Ya! syaitan optimis, syaitan intelek, syaitan genius tapi syaitan tetap syaitan kita akan bina satu masyaratakat syaitan yang kukuh, kita akan bina satu kerajaan baru. kerajaan syaitan-syaitan bersatu... dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengacau-bilaukan manusia.' 

Kepahitan 

Sementara drama berjudul Wabak, hasil nukilan M.Nasir pula agak begitu simbolik, memandangkan hanya seorang saja yang membawakan tiga watak, diiringi dengan suara-suara latar belakang yang beraksi sebagal perabot-perabot rumah seperti katil, jam loceng, potret. cermin. pil tidur dan lain-lain.

Wabak cuba mempaparkan kepahitan yang dirasai oleh seorang Insan yang hidup dalam wabak khayalannya sendiri terapung-apung tanpa tujuan. 

M.Nasir. sebenarnya memang tidak asing lagi di kalangan peminat seni drama dan seni suara kerana artis muda ini telah lama berkecimpung di lapangan tersebut. 

Pada 1979, M.Nasir telah terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik dalam Pesta Drama Sriwana. 

Kepuasan

Bagaimanapun, dapatkah M.Nasir memberi kepuasan kepada para peminatnya menerusi hasil karyanya yang pertama ini? Sama-sama-lah kita ikuti kisah berjudul Wabak yang akan dipentaskan pada 13 Jun nanti. 

Tiket-tiket berharga $2 kini telah pun dijual di Balai Rakvat Tanglin dan di pintu masuk Pusat Kebudayaan pada hari pementasannya. 

Dua orang pelakon yang menjayakan drama Syaitan Syaitan Berdrama, iaitu Mahani Aljunied. 21 tahun dan Maskam Mualim. 32 tahun memberitahu bahawa mcreka akan cuba menghidupkan watak-watak yang diberi supaya para penonton akan merasa puas ketika menonton drama tersebut. 

Rabu, April 22, 1981

'Malam Konsert Bintang PolyGram'

 Petikan Berita Harian, 22 April 1981

Oleh Siara

Malam Konsert Bintang Polygram ...akan kenalkan kumpulan artist pujaan dengan peminat peminat ...

Artis  dari Syarikat Piring Hitam PolyGram buat pertama kalinya akan bersama-sama berhimpun untuk menghiburkan para peminat mereka dalam satu pertunjukan pentas ‘Malam Konsert Bintang PolyGram: Bertujuan untuk memperkenalkan para artis PolyGram di samping menghiburkan para peminat mereka dengan lebih dekat lagi 'Malam Konsert Bintang PolyGram' akan diadakan di Panggong Negara pada 25 April. Normah Johari, M.Nasir, Ideal Sisters dan Al-Jawaher adalah di antara barisan artis di bawah naungan label PolyGram yang akan mendendangkan lagu-lagu `hit' dari album terbaru mereka. 

Kecekapan 

Rafeah Buang. penyanyi 60an yang hingga kini masih lagi mengekalkan keharuman namanya di arena seni suara dan penyanyi Yusnizar bintang baru PolyGram (kedua-duanya dari Malaysia) telah juga turut diundang untuk menyerikan lagi konsert tersebut. 

Bagi para peminat yang meminati lagu-lagu nyanyian dari kumpulan The Flybaits (yang sedang popular di ketika ini) dan mungkin sedang menantikan kemunculan mereka di pentas akan berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat lagi persembahan dan kecekapan ahli-ahli kugiran kelab malam ini bila mereka muncul di pentas mendendangkan lagu-lagu dari album kedua mereka. 

Kugiran Alleycats. sebuah lagi kugiran kelab malam yang ketika ini sedang bermain di Hong-kong akan didatangkan khas buat mempersembahkan lagu-lagu dari album keempat mereka. 

Anugerah 

Penyampaian Gold dan Silver Disc. kepada artis PolyGram yang paling berjaya di sepanjang tahun lalu akan menjadi acara kemuncak di pertunjukan malam itu nanti. Sebuah album keluaran khas mengandungi gabungan 10 buah lagu dari artis-artis PolyGram akan juga turut diedarkan pada malam itu. Para penonton yang telah berjaya mene-ka dengan tepat akan berpeluang merebut hadiah-hadiah istimewa yang disediakan oleh pihak penajanya. 

'Malam Konsert Bintang PolyGram' akan diiringi juga oleh Kombo Poly-Gram yang dipimpin oleh Ricky Ho. Pertunjukan malam itu nanti akan dijuruacarakan oleh Cik Suharti Ali. 


Rabu, April 16, 1980

Nasir ingin maju dlm bidang seni yg diceburi

petikan Berita Harian 16 April 1980 ms 5


Oleh DEWANI ABBAS


Nasir seorang pencinta hampir kesemua bidang seni yang baru saja ingin mengukir namanya dalam dunia nyanyian. Gambar oleh Rawi Ahmad.



Bila seseorang memperkatakan tentang seni, tentang kehalusan ertikatanya,dia kadang-kadang

tidak dapat merumus kan dengan tepat apa maksud seni itu.


Tetapi, bagi seorang pencinta seni, Mohamed Nasir Mohamed, seni baginya , Seumpama

mempunyai pengertian bahawa ia merangkumi semua aspek penglahiran kata hati atau jiwanya.


Maka itu, sajak, lukisan, drama dan nyanyian, semuanya mempunyai tempat dalam hati  pemuda berusia 22 tahun ini.


Dan, akhir-akhir ini, seni nyanyian pula yang nampaknya semakin berkembang dalam hidupnya memandangkan dia telah pun merakamkan lagu-lagunya sebanyak 12 buah, ke dalam piring hitam. Sesuai dengan jiwanya, Mohamed Nasir yang menggunakan nama pasaran Mohamed M.N. memberikan judul `Untuk Pencinta Seni bagi album sulungnya itu yang diterbitkannya sendiri. 


Sebenarnya, Nasir telah lama di bawah Syarikat Polygram berkecimpung dalam kegiatan seni nyanyian, tetapi hanya selaku pencipta senikata lagu-lagu seperti yang didendangkan oleh kumpulan The Alley Cats dan Normah Johari. Tetapi, lama kelamaan dia berpendapat, lebih baiklah dia menyanyikan sekali lagu-lagu yang diciptanya itu lebih-lebih lagi kebolehannya ada. 


Sejak Kecil


Kata Nasir: "Minat saya dalam nyanyian timbul sejak saya kecil lagi. Saya ingat ketika saya masih kanak-kanak, belum lagi bersekolah, saya telah dimasukkan ke hospital dan ibu saya mendapati saya menyanyikan sebuah lagu P.Ramlee walaupun dalam keadaan saya yang tidak sihat itu." Semua senikata dalam lagu-lagu yang disumbangkan oleh Mohamed Nasir dalam rekod terbarunya itu diciptakannya sendiri antaranya ialah Pelukis, Pohon Sena, Mari Berdangdut, Tanti dan Antara Dua Kasih. Kecuali Mari Berdangdut dan sebuah lagu joget, hampir semua lagunya bercorak sentimental, dengan sedikit unsur 'folk'. Lirik-liriknya juga indah penuh erti dan ini jelas sekali dalam lagu Pelukis. 


Tidak dapat dinafikan bahawa Mohamed Nasir mempunyai suara yang baik dalam menyampaikan lagu-lagunya itu, tetapi apa yang menjadi kepincangan sedikit ialah tentang ketiadaan iringan `muzik penuh' yang bergema, menjadikan penyampaian lagu-lagunya seolah-olah `kosong tidak berlatar. 


Kepincangan ini mungkin disedari oleh Mohamed Nasir dan dari kata-katanya, dia seakan-akan bersedia menerima apa saja sambutan yang diberikan terhadap rekod barunya itu. Sepatah kata-nya: "Saya tidak kira bagaimana orang menerima saya nanti, tetapi, soalnya, saya akan terus berazam untuk memperbaiki diri saya dalam bidang nyanyian ini." 


Ikuti kursus 


Ketika ini, dia juga sedang menyiapkan lagu-lagu untuk albumnya yang kedua dan album untuk penyanyi yang juga baru meningkat, Normah Johari. Bercakap pula tentang minatnya dalam lain-lain bidang seni, Mohamed Nasir menyatakan bahawa dia memang meminati seni lukisan. Dan kerana itu, dia telah mengikuti kursus seni tersebut di Akademi Nanyang pada 1975 dan kini mengajar lukisan batik untuk beberapa orang peminat lukisan di Kelab Belanda di Adam Road. 


Dan apa pula cita-cita-nya di masa depan? 


Katanya, sebagai cita-cita, dia ingin maju dalam semua bidarg seni yang diceburinya ketika ini, walaupun dia tidak dapat menggambarkan dengan jelas, mana satu bidang yang akan menerima perhatian lebih penuh.