ANALITIC

Isnin, Julai 04, 2022

Konsert Kembara terjemahan suara generasi 1980-an

petikan Kosmo! 4 Julai 2022

Oleh Tengku Suzana Raja Mamat


UNGKAP Datuk M. Nasir: “Kita (Kembara) lahir zaman Dayabumi didirikan, dalam gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu. Kita lahir era itu. Kita rasa sesuai kembalikan nostalgia itu.”

Ringkas tetapi penuh jiwa. Begitu tokoh dengan jolokan sifu muzik itu menterjemahkan hubung kait zaman kelahiran Kembara dengan sebuah konsert besar hujung Julai nanti.

Berjarak masa lapan tahun, itu bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum.

Terakhir, pada 2014 kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert di ibu kota, Kuala Lumpur. Berbekalkan persembahan 1001 kenangan tersebut, ada yang masih terheret ingatan terhadap lagu-lagu rakyat dan perjuangan muzik mereka.

Enggan terus berlama-lama atau sekadar merancang, apatah lagi saat pandemik tidak lagi menjadi pekung, kumpulan dengan nama penuh ikonik itu akan kembali dengan konsert yang dinamakan Kembara Panorama Jingga: 144 Hijrah.


M. NASIR menyifatkan pemilihan tajuk Konsert Panorama Jingga sebagai satu terjemahan terhadap suasana zaman kelahiran Kembara.

Melihat judulnya sahaja, acara yang dibawakan Shiraz Projects Sdn. Bhd. tersebut dijangka menjadi satu acara dinanti-nantikan.

Dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Konsert Panorama Jingga akan sekali gus membasuh kerinduan ramai.

Tidak sahaja memugar ingatan untuk sebuah kelana muzik panjang, konsert menghimpunkan tenaga dan kehebatan Datuk M. Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md. Shah Othman (keyboard) tersebut akan turut mengheret penonton ke suatu dimensi bersama lagu-lagu berjiwa besar selama tertubuhnya Kembara.

Zoul selaku gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada 1979 itu mengakui, semangat mereka kali ini lebih membara.

“Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semua sudah agak menjangkau tetapi semangat kuasa kuda masih ‘maintain’.

“Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini,” katanya.

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepas. Menarik lagi, pemilihan lagu-lagu untuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa dan rare!

TIDAK sekadar muzik dengan bunyi yang bersemangat keras, seni kata lagu Kembara yang bertemakan kerakyatan menjadi identiti paling mahal kumpulan berkenaan.

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkan lagi. Jadi praktis kena lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.

“Tak disangka apabila Kembara semak balik lagu-lagu yang ada, kita sendiri jadi ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini,” ujar mereka bersama.

Buat Shahrum, pemain dram yang tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu, dia sangat ternanti-nantikan acara besar Kembara menjelang 31 Julai ini.

“Saya rasa konsert ini macam yang terbaik untuk semua kerana konsert yang lepas saya tak dapat main disebabkan tuntutan kerja. Saya berasa bangga,” kata Shahrum seraya menjanjikan persembahan terbaik.

Suara generasi

Menjanjikan keistimewaan, M. Nasir sendiri menyifatkan konsert berkenaan sebagai terjemahan suara satu generasi.

“Istimewanya, konsert ini merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an.

“Selain muzik rock yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata.

“Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang merupakan vokalis dan pengasas Kembara.


SELEPAS lapan tahun, Kembara kembali dengan penganjuran konsert besar yang akan berlangsung di Dewan Plenari, KLCC pada 31 Julai ini.

Tambahnya: “Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak tuju kepada generasi itu (1980-an) sahaja. Bentuk muzik akan menjangkau generasi.”

Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects pula berkata, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu malar segar seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat itu.

“Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari, KLCC nanti.

Melihatkan sokongan yang diberikan kepada penghibur tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Konsert Panorama Jingga 1444H juga menjanjikan bukan sahaja hiburan tetapi sajian jiwa untuk seluruh pencinta muzik.

Tiket-tiket berharga RM160 hingga RM860 sudah dijual mulai 10 Jun 2022 lalu. Layari laman web www.myticket.asia untuk maklumat lanjut.

Ahad, Julai 03, 2022

'Rasa bahagia nyanyikannya'

petikan Harian Metro 3 Julai 2022

Sudirman Mohd Tahir

sudirman@hmetro.com.my

RAFFA akui lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris dekat di hati selain menyifatkan liriknya sangat puitis.

SELAIN mencipta fenomena menerusi single sulungnya, Cinta Sampai Mati, nama penyanyi Indonesia, Raffa Affar turut popular menerusi beberapa lagu nyanyian semula atau 'cover version' yang pernah popular di tanah air seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists.

Berbekalkan lebih empat juta pengikut di aplikasi TikTok, Raffa Affar atau nama sebenarnya Raffa Aldiansyah menerusi lagu 'cover version' itu menjadi bualan dan tular. Malah, nyanyiannya itu turut dijadikan lagu latar bagi kebanyakan pengguna laman sosial.

Harian Metro yang berpeluang menemu bual Raffa menerusi aplikasi WhatsApp mengakui gembira apabila dia dikenali selepas membuat 'cover version'.

"Saya sangat gembira sebab dapat buat 'cover' versi saya sendiri dan saya terkenal sebab selalu buat 'cover' lagu dengan versi saya sendiri," katanya.

Terbaharu, Raffa muncul dengan lagu 'cover version' Tiara yang pernah popular pada 1991 nyanyian kumpulan Kris.

Dalam pada ramai yang memuji, tidak dinafikan terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan lagu bergenre 'slow rock' ciptaan Datuk M Nasir itu tidak kena dinyanyikan dengan cara nyanyian Raffa.

Enggan melatah, Raffa berkata, setiap orang bebas memberikan pendapat masing-masing.

"Semua orang bebas berpendapat. Jadi, saya tak boleh memaksa orang untuk suka atau tidak. Kalau mereka suka alhamdulillah, kalau tak ada yang suka berterima kasih juga. Versi saya ini juga adalah arahan daripada syarikat rakaman dan sudah dipersetujui oleh penerbit. Jadi, saya tak buat sesuka hati.

"Saya tahu lagu Tiara itu popular pada 1991. Saya tahu daripada syarikat rakaman dan saya pun mendengarkannya. Jadi, saya suka lagu yang mendayu-dayu sebegitu. Saya cuba membuat versi 'cover' sendiri," katanya.

Ditanya alasan memilih lagu Tiara untuk dinyanyikan semula, Raffa mengakui lagu itu dekat dalam hati selain menyifatkan lirik lagu itu sangat puitis.

"Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya berasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini. Lirik lagu Tiara ini sangat puitis dan saya mahu dengarkan lagunya yang lain," katanya.

Berkongsi lanjut, Raffa yang meminati kumpulan Exists dalam perancangan untuk membuat 'cover version' lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.

"Penyanyi atau band yang saya suka adalah Exists sebab saya pernah 'cover' dua lagu mereka. Pada masa sama, saya ada perancangan untuk 'cover' lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.

"Kalau nak tahu, saya juga suka kumpulan Floor 88 kerana lagu berjudul Hutang itu sangat terkenal di Indonesia. Insya-Allah, saya juga akan berduet dengan penyanyi Malaysia iaitu Aiman Tino atau Khai Bahar. Jadi doakan semoga perancangan ini dapat dicapai," katanya.

Seiring dengan populariti diraih kini, Raffa berharap dapat datang ke Malaysia untuk bertemu peminatnya di sini.

"Insya-Allah saya akan ke Malaysia dan juga teringin berjumpa orang Malaysia. Saya mahu melihat suasana dan ingin menghiburkan orang Malaysia secara langsung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar berkata, ketika ini menjadi trend lagu Malaysia dirakamkan semula oleh penyanyi Indonesia.

"Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu malar segar daripada pencipta negara ini, boleh pergi jauh hingga ke negara seberang. Kami yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat. Jumlah tontonan di saluran YouTube Raffa mencecah 300,000 setiap hari. Selepas Raffa, ramai yang sudah mula merakamkan semula atau 'cover' lagu ini di Indonesia.

"Terima kasih kepada Datuk M Nasir dan Luncai Emas Sdn Bhd dengan kebenaran yang diberikan untuk merakamkan semula lagu Tiara. Proses pelesenan hak cipta dipermudahkan oleh pihak Luncai Emas.

LAGU Tiara adalah lagu ‘cover version’ ketiga Raffa.

"Dengan kerjasama ini, Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakamkan semula lagu malar segar popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ia dapat memperkenalkan kembali lagu lama kepada generasi muda hari ini," katanya.

Lagu Tiara adalah single kedua hasil kerjasama di antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment manakala, hak cipta lagu ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.

Persembahan 'rare' M Nasir di Manchester kini boleh dihayati menerusi album khas

petikan Astro Awani 3 Julai 2022

Irwan Muhammad Zain

Walaupun dilihat minimalis, tetapi bunyian yang digabungkan dengan vokal padu M Nasir menjadikan persembahan itu 'besar'. - Gambar ihsan Tiang Seri Entertainment

KUALA LUMPUR: Dua puluh lima tahun yang lalu, lebih 900 penonton memenuhi SEMA Group Concert Hall di Royal Northern College of Music (RNCM), Manchester, England.

Pada 2 dan 4 April 1997 itu, mereka hadir untuk menonton dan menghayati konsert akustik Datuk M.Nasir.

Persembahan anjuran Tiang Seri Entertainment bersama Luncai Emas Sdn Bhd itu dinamakan M Nasir Crossing UK'97.

Kini, selepas 25 tahun dan bagi meraikan ulang tahun konsert berkenaan, Tiang Seri Entertainment dan Luncai Emas memberikan bingkisan khas berupa sebuah album 'live' konsert berkenaan kepada peminat seniman bergelar sifu itu yang tidak dapat terbang ke Manchester ketika ia diadakan dahulu.

Walaupun persembahan ini diadakan 25 tahun lalu, namun ia masih relevan. Malah, ia sesuatu yang 'rare' dilakukan M Nasir ketika itu.

M Nasir hanya diiringi lima pemuzik iaitu Rafi (gitar akustik), Jay Jay (bass akustik), S Atan (harmonium dan akordian), Mohar (seruling) dan Ramli (rebana dan gendang Melayu).

Walaupun dilihat minimalis, tetapi bunyian yang digabungkan dengan vokal padu M Nasir menjadikan persembahan itu 'besar'.

Penerbit album ini yang juga penganjur konsert berkenaan, Ismail Mohd Shariff berkata, bermain muzik dan menyanyi di dewan akustik SEMA Group Concert Hall itu adalah suatu pengalaman baharu dan mencabar buat M Nasir dan pemuzik terbabit.

"Ia memerlukan kemahiran tinggi dari segi permainan instrumen dan vokal kerana persembahan itu adalah akustik sepenuhnya tanpa wayar (unplugged).

"Proses rakaman yang dilakukan agak rumit di mana enam 'ambience microphone' digantung dari atas setiap pemuzik dan penyanyi. Semua alat muzik tidak menggunakan mikrofon atau sebarang 'pick up' kecuali bass akustik disambung ke 'amplifier'.

"Vokal M Nasir menggunakan mikrofon untuk rakaman dan pembesar suara dewan. Kesimpulannya, bunyi yang dirakam secara analog adalah bunyi yang sebenar dari alat muzik dan vokal," katanya.

Ismail yang juga penulis lirik berkata, idea untuk membawa M Nasir mengadakan persembahan di sana bermula sekitar 1996.

Ketika itu, Ismail sedang melanjutkan pengajian di Manchester bersama beberapa rakan dalam kalangan penuntut dan pekerja di sana yang juga peminat M Nasir 'bersembang' mengenai penyanyi legenda itu.

Mereka kerap berbincang mengenai album M Nasir bersama Kembara dan album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan.

Secara kebetulan, setahun sebelum itu M Nasir menghasilkan album akustik 'live' iaitu Konsert Akar M Nasir Manifestasi Akustika yang disifatkan sebagai antara album terbaik beliau.

"Selain kerap menghayati lagu-lagu M Nasir di sana, kami mempunyai impian lebih besar untuk membawa M Nasir membuat persembahan di sana.

"Idea itu juga tercetus selepas saya menonton persembahan kumpulan Gamelan Jawa dari Amsterdam di Manchester.

"Saya berasakan sudah tiba masanya artis Malaysia keluar dari rantau Asia Tenggara sebagaimana dilakukan penyanyi dan pemuzik dari Amerika Latin, Timur Tengah, India, China dan negara Asia Tenggara lain," katanya.

Album dengan set edisi terhad itu mengandungi dua cakera padat yang memuatkan 17 lagu yang dipersembahkan secara akustik dalam konsert itu seperti Akar Kita, Keroncong Untuk Ana, Rajawali Terbang Tinggi, Lambaian Sukma, Tanya Sama Itu Hud Hud, Berikan Nurbisa, Mustika, Apokalips, Kepada-Mu Kekasih dan Gurindam Gunung Tahan.

Turut dimuatkan ialah Ada, Anak Anak Kita, Keroncong Nostradamus, Suatu Masa, Bonda, Mentera Semerah Padi dan Kupu Kupu.

Ia juga mengandungi 50 muka surat buku memorabilia dan sehelai replika kain pemidang dari bahan 'cotton canvas' bersaiz A2 yang dilukis Mohd Foad Hassan.

Untuk peminat yang ingin mendapat maklumat lanjut berhubung album edisi terhad yang dijual dengan harga RM250 ini, mereka boleh menghubungi nombor 011-37421492.

Kembara kembali dengan 'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah'

petikan Astro Awani 3 Julai 2022

Irwan Muhammad Zain

Kembara kembali dengan 'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah'

Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 1980-an dan memberi peluang kepada generasi baru untuk mengenali muzik kumpulan itu dengan lebih akrab. - Gambar ihsan Shiraz Projects Sdn Bhd.

PADA era tahun 1980-an, ketika ibu kota Kuala Lumpur melihat terdirinya bangunan tinggi yang dinamakan Dayabumi, kebanyakkan anak muda waktu itu juga begitu terpesona dengan kumpulan Kembara.

Semangat perjuangan dan kerakyatan yang ditampilkan dalam lagu-lagu Kembara membuatkan kalangan anak muda meminati kumpulan ini.

Bagi mengembalikan nostalgia dan semangat era 1980-an, Kembara sekali lagi hadir dengan sebuah konsert berskala besar selepas 10 tahun lalu kembali bersatu di Konsert Ekspress Rakyat di Singapura.

Selepas lapan tahun serta tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, kumpulan yang pernah mencipta fenomena golongan anak muda tahun 80-an ini kembali bergabung.

Kembara bukan sebarang kumpulan. Ketika kebanyakan artis rakaman muncul dengan album lagu-lagu pop balada, Kembara hadir dengan lagu-lagu folks dan progressive rock.

Bercerita tentang konsert yang bakal diadakan pada 31 Julai nanti di Dewan Plenary, KLCC, teraju utama Kembara, Datuk M.Nasir menganggap konsert ini sesuai dengan gelombang pemikiran masa kini.

"Kembara yang kumpulan ini lahir di zaman Dayabumi didirikan dan gelombang kerakyatan serta politik pada waktu itu.

"Kita lahir pada era itu jadi bagi kita sesuai untuk kembalikan nostalgia itu dan mungkin ada persamaan dengan gelombang pemikiran orang pada masa kini," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Pasar Seni di ibu kota baru-baru ini.

Dengan tujuh album sewaktu aktif pada tahun 1981 hingga album terakhir pada 1986, kumpulan ini mempunyai himpunan lagu-lagu yang menjadi siulan peminat setianya.

Pemain gitar serta penyanyi Kembara, Zoul pula sangat teruja untuk memperdengarkan lagu-lagu kumpulan ini yang jarang didendangkan di mana-mana konsert sebelum ini.

"Lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun mungkin 38 tahun lepas. Bila kita semak kembali senarai atau himpunan lagu yang ada, kita rasa ada lagu yang sebenarnya sepatutnya dinyanyikan ketika konsert reunion sebelum ini.

"Jadi kita pilih lagu-lagu itu dan berlatih. Saya sangat teruja dengan pemilihan lagu-lagu itu sebab mahu perdengarkan kepada peminat setia Kembara dari awal album pertama hingga yang ketujuh," katanya.

Bagi Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects Shirazdeen Karim selaku penganjur konsert "Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah", sudah lama pihaknya mengimpikan bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti "Hati Emas" dan "Ekspres Rakyat".

"Semua orang tahu Datuk M.Nasir mula melonjak naik dengan Kembara dan ramai kalangan peminat muzik tempatan yang membesar dengan lagu-lagu Kembara.

"Jadi saya rasa konsert ini akan jadi flashback zaman mereka muda dan zaman mereka baru mahu naik dalam kehidupan," katanya.

Konsert "Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah" merupakan konsert satu malam sahaja ini dan dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

Peminat Kembara boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) yang boleh dibeli di www.myticket.asia.

Dijadual bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan M.Nasir sebagai vokalis, Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan membawa penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

"Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah" ini bakal mengubat rindu peminat Kembara di zaman 1980-an dan memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik kumpulan itu dengan lebih akrab.

Kembara kembali dengan Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah : Sumber Youtube Astro Awani


Selasa, Jun 28, 2022

Semangat Kuda Masih Maintain" - Kembara Teruja Berkonsert 31 Julai Ini

petikan Gempak.com 28 Jun 2022

Amri Hassan

Lapan tahun bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum. Terakhir, pada tahun 2014 kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert di kota Kuala Lumpur.

Kemudian dengan konsert yang meninggalkan 1001 kenangan itu, turut berbekas kerinduan terhadap lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka itu.

Untuk tahun ini, Shiraz Projects Sdn Bhd memikul tanggungjawab melunaskan kerinduan tersebut dengan membawakan KONSERT KEMBARA PANORAMA JINGGA: 1444 HIJRAH pada 31 Julai 2022 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bakal bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan Dato’ M.Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Buat Zoul selaku gitaris dan gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1979 ini, semangat mereka kali ini lebih membara.

“Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semuasudah agak menjangkau tetapi semangat kuasa kuda masih ‘maintain’.Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini.”

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepasdan membayangkan bahawa banyak lagu yang akan dimainkan khususuntuk para peminat setia mereka. Menarik lagi, pemilihan lagu-laguuntuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewadan rare!

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkanlagi. Jadi praktis kena lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernahdimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.Tak disangka bila Kembara semak balik lagu-lagu kita ada, kita sendirijadi ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini, “ujarmereka bersama.

Buat Shahrum, pemain dram yang sebelum ini tidak dapat beraksi dalamkonsert terdahulu, dia sangat ternanti-nantikan konsert yang akanberlangsung 31 Julai ini.

“Konsert ini saya rasa macam yang terbaik untuk semua kerana konsertyang lepas saya tak dapat main kerana tuntutan kerja. Saya berasabangga dan akan buat terbaik”.

Ditanyakan kepada Datuk M. Nasir tentang keistimewaan konsert kali ini,beliau menyifatkan ia sebagai suara satu generasi.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi.Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80 an. Selain rock muzikyang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu darisegi senikata. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khasdia.

“Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kitatidak hanya tuju kepada generasi itu (80 an) sahaja. Dan bentuk muzikakan menjangkau generasi," tambahnya yang juga vokalis dan pengasaskumpulan tersebut.

Menurut Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif ShirazProjects, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengankumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Hati Emas dan EkspresRakyat akhirnya bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelumpandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Untuktahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- laguKembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari.Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yangbertenaga dengan untaian lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik danikonik untuk para pendengar.

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360(Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudahdijual mulai 10 Jun 2022 lalu. Peminat-peminat Kembara juga bolehmembeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman webwww.myticket.asia.

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akanmendukung konsert ini. Melihatkan sokongan yang diberikan kepadaselebriti tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Shirazmalah yakin konsert ini memang ditunggu-tunggu.

Konsert Panorama Jingga 1444 tesebut disifatkan akan mengubat rindupeminat Kembara di zaman 80an dan akan juga memberi peluangkepada generasi baharu untuk mengenali muzik Kembara dengan akrablagi dengan persembahan bertenaga mereka kelak.

Ahad, Jun 26, 2022

Denting Dengung : Search Dalam Pencarian

 

*klik gambar artikel untuk zoom*

Sejak kehangatan Konsert Search Rooftop & Search di Zepp pada bulan Jun 2022 ini nama Search kembali menjadi bualan ramai peminat. Perpecahan kumpulan ini mengingatkan aku pada tambahan koleksi arkib Denting Dengung kali ini. 

Keratan ini adalah sebahagian dari beberapa artikel Denting Dengung yang diterima dari dari Saudara Asmadi Asrina. Terdapat juga artikel lain sumbangan En Asmadi yang akan dimasukkan dalam arkib ini dalam masa terdekat, Terima kasih saudara....

**nota : Tarikh Denting Dengung ini diterbitkan tidak dapat dikenal pasti. Berdasarkan maklumat yang ada artikel ini adalah salah satu dari empat artikel dalam Denting Dengung yang membicarakan mengenai kumpulan Search.
Artikel no 25. Pencarian belum berakhir (tiada dalam arkib)
Artikel no 27. Politik dalam Search (tiada dalam arkib)

Jumaat, Jun 24, 2022

Akustik 'rare' M Nasir

 petikan Harian Metro 24 Jun 2022

Riadz Radzi  riadz@hmetro.com.my

M NASIR diiringi lima pemuzik (dari kiri) iaitu Mohar (seruling), S Atan (akordian), Ramli (rebana dan gendang Melayu), Jay Jay (bass akustik) dan Rafi (gitar akustik) ketika konsert M Nasir Crossing UK’97.

MUNGKIN ada yang tidak perasan atau tidak tahu, Datuk M Nasir pernah mengadakan persembahan akustik di Manchester, England pada 2 dan 4 April 1997.

Konsert yang dinamakan M Nasir Crossing UK'97 itu dihadiri 900 penonton dan diadakan di SEMA Group Concert Hall di Royal Northern College of Music (RNCM), Manchester.

Ia dianjurkan Tiang Seri Entertainment bersama Luncai Emas Sdn Bhd yang juga syarikat rakaman milik M Nasir.

Kini, sempena ulang tahun ke 25 konsert berkenaan, Tiang Seri Entertainment dan Luncai Emas khas buat peminat M Nasir yang terlepas dan tidak tahu mengenai konsert itu, menampilkan album 'live' konsert berkenaan yang mula dipasarkan sejak 2 April lalu.

Album dengan set edisi terhad itu mengandungi dua cakera padat yang memuatkan 17 lagu yang dipersembahkan secara akustik dalam konsert itu seperti Akar Kita, Keroncong Untuk Ana, Rajawali Terbang Tinggi, Lambaian Sukma, Tanya Sama Itu Hud Hud, Berikan Nurbisa, Mustika, Apokalips, Kepada-Mu Kekasih dan Gurindam Gunung Tahan.

Turut dimuatkan ialah Ada, Anak Anak Kita, Keroncong Nostradamus, Suatu Masa, Bonda, Mentera Semerah Padi dan Kupu Kupu.

Ia juga mengandungi 50 muka surat buku memorabilia dan sehelai replika kain pemidang dari bahan 'cotton canvas' bersaiz A2 yang dilukis Mohd Foad Hassan.

Walaupun persembahan ini diadakan 25 tahun lalu, namun ia masih relevan. Malah, ia sesuatu yang 'rare' dilakukan M Nasir ketika itu.

M Nasir hanya diiringi lima pemuzik iaitu Rafi (gitar akustik), Jay Jay (bass akustik), S Atan (harmonium dan akordian), Mohar (seruling) dan Ramli (rebana dan gendang Melayu).

Walaupun dilihat minimalis, tetapi bunyian yang digabungkan dengan vokal padu M Nasir menjadikan persembahan itu 'besar'.

Penerbit album ini yang juga penganjur konsert berkenaan, Ismail Mohd Shariff berkata, bermain muzik dan menyanyi di dewan akustik SEMA Group Concert Hall itu adalah suatu pengalaman baharu dan mencabar buat M Nasir dan pemuzik terbabit.

"Ia memerlukan kemahiran tinggi dari segi permainan instrumen dan vokal kerana persembahan itu adalah akustik sepenuhnya tanpa wayar (unplugged).

"Proses rakaman yang dilakukan agak rumit di mana enam 'ambience microphone' digantung dari atas setiap pemuzik dan penyanyi. Semua alat muzik tidak menggunakan mikrofon atau sebarang 'pick up' kecuali bass akustik disambung ke 'amplifier'.

ALBUM edisi terhad yang memuatkan 17 lagu yang dimainkan secara akustik.

"Vokal M Nasir menggunakan mikrofon untuk rakaman dan pembesar suara dewan. Kesimpulannya, bunyi yang dirakam secara analog adalah bunyi yang sebenar dari alat muzik dan vokal," katanya.

Ismail berkata, idea untuk membawa M Nasir mengadakan persembahan di sana bermula sekitar 1996.

Dia yang ketika itu melanjutkan pengajian di Manchester bersama beberapa rakan dalam kalangan penuntut dan pekerja di sana yang juga peminat M Nasir 'bersembang' mengenai penyanyi legenda itu.

Mereka kerap berbincang mengenai album M Nasir bersama Kembara dan album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan.

Secara kebetulan, setahun sebelum itu M Nasir menghasilkan album akustik 'live' iaitu Konsert Akar M Nasir Manifestasi Akustika yang disifatkan sebagai antara album terbaik beliau.

"Selain kerap menghayati lagu-lagu M Nasir di sana, kami mempunyai impian lebih besar untuk membawa M Nasir membuat persembahan di sana.

"Idea itu juga tercetus selepas saya menonton persembahan kumpulan Gamelan Jawa dari Amsterdam di Manchester. Saya berasakan sudah tiba masanya artis Malaysia keluar dari rantau Asia Tenggara sebagaimana dilakukan penyanyi dan pemuzik dari Amerika Latin, Timur Tengah, India, China dan negara Asia Tenggara lain," katanya.

Album edisi terhad yang dijual dengan harga RM250 boleh dibeli menerusi WhatsApp di nombor 011-37421492.

Rabu, Jun 22, 2022

Konsert Kembara Bakal Gamit Memori 80-an

sumber Youtube Utusan Malaysia

Ikuti temubual bersama anggota Kembara :  Zoul (gitar, penyanyi), Rahman Suri (bass), Md Shah Othman (keyboard) dan Shahrum Basiron (dram) 

Isnin, Jun 20, 2022

'Perancangan buat lagu untuk Adibah Noor tidak kesampaian'

petikan SINAR 19 Jun 2022

MUKHRIZ MAT HUSIN

KUALA LUMPUR - Komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir memaklumkan beliau dalam perancangan menghasilkan lagu untuk Allahyarhamah Adibah Noor.

Ujar beliau, lagu tersebut masih dalam proses pembuatan dan ia belum diberikan judul.

"Saya sepatutnya membuat lagu untuk dia (Allahyarhamah Adibah Noor).

"(Saya) tengah buat (lagu itu) sudah beberapa tahun," katanya kepada petugas media di Masjid Al Ansar, Keramat pada Ahad.

Dalam pada itu, M Nasir menyifatkan Allahyarhamah Adibah Noor sebagai seorang anak seni yang mempunyai ketegasan dan berpegang teguh dengan pendirian diri.

Katanya, sikap Allahyarhamah merupakan antara ciri istimewa yang ada padanya sepanjang perkenalan mereka.

"Jika ada sesuatu yang betul, dia akan berdiri di atas sikapnya yang betul itu.

"Dia bermula dengan saya sebagai penyanyi latar, sejak itu saya tahu dia punya kemahiran menyanyi dan mempunyai kualiti yang tersendiri," ujarnya.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat pada Sabtu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarhamah Adibah Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai pada jam 11.55 pagi Ahad.

Antaranya yang hadir bagi memberi penghormatan akhir adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac; pelawak dan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki; pelakon, Syarifah Amani dan Remy Ishak.

Adibah tegas dengan prinsip - M Nasir

petikan Harian Metro 19 Jun 2022

Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my


ANTARA rakan artis yang hadir di Masjid Al-Ansar, Keramat, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer terkenal Datuk M Nasir menyifatkan Allahyarham penyanyi Adibah Noor seorang yang tegas dengan prinsip dipegang.

M Nasir berkata, Adibah yang mula dikenalinya sebagai penyanyi latar pada persembahannya dahulu mempunyai kualiti tersendiri sebagai anak seni.

"Apabila ada sesuatu yang betul dia akan berdiri di atas sikapnya yang betul. Dia bermula sebagai penyanyi latar saya dan saya tahu dia punya kemahiran dalam menyanyi. Dia mempunyai kualiti yang tersendiri," katanya.

Menurut M Nasir, pembawaan Adibah yang gemar membetulkan penggunaan bahasa Inggeris seseorang itu baik dalam pertuturan atau nyanyian adalah sesuatu yang bagus.

"Dia juga moden dan terbuka dengan apa-apa yang moden. Saya melihat banyak persembahan dalam industri hiburan memang menekankan bahasa Inggeris.

"Dalam dunia hiburan kita melihat imej itu penting dan dia kekalkan apa yang dia percaya," katanya.