Jumaat, Disember 30, 2022

P Radhi dilamar Luncai Emas

petikan Harian Metro 30 Disember 2022

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

 Radhi ketika sidang media Fiesto Fest @ Melaka 2022 di Qasis BBQ Garden. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: Penyanyi P Radhi yang tular dengan lagu Tiara versi P Ramlee gembira apabila dilamar menjadi artis label Luncai Emas milik komposer dan penyanyi terkenal Datuk M Nasir.

  P Radhi, 31, atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Ab Rahman berkata, M Nasir menyenangi gaya lenggok nyanyiannya yang mirip Allahyarham P Ramlee dan mahu ia dikekalkan.

 "Insya Allah kalau tiada apa-apa tahun depan saya akan tampil dengan single ciptaan beliau. Bentuk nyanyian saya belum pasti dia nak macamana. 

Kuala Lumpur: Penyanyi P Radhi yang tular dengan lagu Tiara versi P Ramlee gembira apabila dilamar menjadi artis label Luncai Emas milik komposer dan penyanyi terkenal Datuk M Nasir.

   P Radhi, 31, atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Ab Rahman berkata, M Nasir menyenangi gaya lenggok nyanyiannya yang mirip Allahyarham P Ramlee dan mahu ia dikekalkan.

   "Insya Allah kalau tiada apa-apa tahun depan saya akan tampil dengan single ciptaan beliau. Bentuk nyanyian saya belum pasti dia nak macamana.

"Apabila ikut teknik, itulah yang keluar . Dia minta saya cuba menyanyi dalam bentuk lain dan saya boleh buat. Cuma dia suka gaya versi Allahyarham Tan Sri P Ramlee," katanya. 

   Menurutnya, M Nasir memintanya kekal dengan lenggok sebegitu kerana ia jarang didengar dalam industri.

   "Sebenarnya kalau ikutkan saya ikut cara nyanyian sendiri tapi orang dengar macam nyanyian P Ramlee. Saya pun suka disamakan dengan orang yang hebat.

   "Apapun saya sebenarnya takut bila kita dibayangi oleh nama yang besar, orang minta kita buat macam Allahyarham. Saya baru nak nak belajar dan benda itu agak besar bagi saya.

   "Jadi saya nak bawa itu biarlah nama P Radhi. Yang orang kenal saya ialah cara lenggok P Ramlee tapi nak tiru gaya saya memang tak boleh nak buat-buat. Saya tak pandai," katanya yang bertugas di Jabatan Kemajuan Masyarakat.

   Bakat P Radhi dicungkil selepas dia dinobatkan sebagai juara kebangsaan Kemuncak Bintang P Ramlee 2016 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sabtu, Disember 24, 2022

TRAILER FILEM IMAM



Filem Imam lakonan mantap Dato' M Nasir, Faizal Hussein dan ramai lagi! Akan datang di Pawagam Seluruh Malaysia pada 2 Mac 2023!

Filem Imam adalah sebuah filem terbitan Al Kahfi Pictures dan diarahkan oleh Pengarah Mior Hashim Manap!   #filemimam #alkahfipictures

Isnin, Disember 05, 2022

Sinergi M. Nasir, MPO saling melengkapi

petikan KOSMO 5 Disember 2022

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI

LEGENDA yang terkenal dengan gelaran sifu muzik ini menutup tahun 2022 dengan cemerlang menerusi penganjuran konsert solo, Simfoni Mustika M. Nasir.

LEGENDA yang terkenal dengan gelaran sifu muzik ini menutup tahun 2022 dengan cemerlang menerusi penganjuran konsert solo, Simfoni Mustika M. Nasir.


“JANGAN risau, pulang dengan tenang. Kita jumpa lain masa.”

Demikian kata-kata penyanyi handalan, Datuk M. Nasir usai konsert solonya memujuk peminat yang masih berharap beliau meneruskan persembahan.

Selepas setahun terpaksa menangguhkan perancangan, penyanyi yang digelar sifu itu akhirnya berpeluang mendekati peminatnya pada 25 dan 26 November lalu menerusi konsert Simfoni Mustika M. Nasir.

Tepat pukul 8:30 malam, pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP)bergema dengan alunan muzik daripada 100 pemuzik orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose selaku konduktor.

Pentas dimulakan dengan nyanyian medley berjudul Express Rakyat sebagai sesi pemanas badan sebelum M. Nasir atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed menghangatkan malam konsert.

Persembahan ditonjolkan dengan momentum yang luar biasa. Meski sudah melewati usia 65 tahun, M. Nasir tetap unggul di atas pentas dengan barisan lagu hitnya, Kau Yang Satu, Bonda, Sahabat Gua, Hijab Kekasih, Meniti Titian Usang, dan Ghazal Untuk Rabiah.

Di sebalik riak wajah dan perwatakan yang serius, peminat pada malam konsert dapat melihat sisi lucu M. Nasir apabila menyakat Ahmad Muriz dengan mengatakan pemuzik itu seorang yang sangat comel.

Bahkan, aksi bersahaja kedua-duanya saling tolak-menolak di atas pentas mengegarkan dewan DFP dengan gelak tawa penonton.

KONSERT M. Nasir berlangsung dengan penuh gemilang apabila menampilkan seramai 100 pemuzik orkestra MPO.

Tetap energetik

Berbekalkan 43 tahun pengalaman sebagai anak seni, pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu lebih mengetahui selok-belok dalam mengadakan konsert solo.

Pada konsert yang berlangsung selama tiga jam tempoh hari, M. Nasir turut menyajikan halwa telinga penonton dengan lagu yang sudah berusia 22 tahun, Langgam Pak Dogo.

Lebih manis, persembahan legenda itu turut menampilkan UiTM Chamber Choir sama menyanyikan lagu tersebut.

Kehangatan malam konsert diteruskan dengan lagu Keroncong Untuk Ana yang mempunyai maksud mendalam iaitu menceritakan dambaan kasih seseorang yang kian pudar.

“Kalau mahu nyanyi bersama-sama boleh tetapi harus lupakan kisah lampau,” gurau M. Nasir yang mendedahkan lagu tersebut dicipta buat kekasih lama bernama Ana.

Meskipun masa kian mencemburui, penyanyi yang juga pelakon itu tetap bersemangat meneruskan persembahan menyengat dengan lagu wajib buat peminat iaitu Suatu Masa dan Mustika.

Menghampiri kemuncak persembahan, suasana bertukar gamat apabila penonton berdiri dan menari ketika pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 2000 dan 2001 itu menyampaikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu.

Konsert hampir tamat, tetapi kerancakan malam ditemani suara emas M. Nasir masih belum bersisa.

Malam gemilang di DFP ditutup dengan lagu Mentera Semerah Padi dan medley Hukum Karma serta Pawana sebagai tanda penghargaan M. Nasir buat semua yang masih menyokong kariernya.

Rabu, November 09, 2022

Komposer muda diuji hasilkan lagu Irama Malaysia

petikan Berita Harian 9 November 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Mohammad Mentek bersama M Nasir pada majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia. - NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Tiada salah jika irama tradisional disuntik dengan elemen moden jika mampu membuatkannya kekal relevan dan dapat memenangi hati generasi muda.

Barangkali, mungkin ada kata-kata sinikal yang mempertikaikannya, seolah-olah muzik tradisional seakan dilacurkan, namun suka atau tidak, nyata cara itu berkesan.

Lihat sahaja bagaimana lagu tradisional diberikan nafas baharu seperti dilakukan penyanyi jolokan Ratu Pop Tradisional, Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila lagu bergenre tradisional yang dirakamkan diterima ramai.

Dan kaedah sama turut diterapkan syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn Bhd apabila memutuskan menghasilkan album Joget Made In Malaysia yang dilancarkan, baru-baru ini.

Mengulasnya, penasihat kreatif album Joget Made In Malaysia, Datuk M Nasir, berkata selain melestarikan irama tradisional dengan mendekatkan genre itu kepada golongan muda, pembikinan album juga mencabar kreativiti komposer muda dalam berkarya.

"Sudah 20 tahun saya tidak mendengar lagu joget dihasilkan secara komersial. Difahamkan, sebahagian komposer album ini terdiri daripada anak muda berkelulusan institusi pengajian tinggi.

"Jadi, kami ingin memberi cabaran, apakah mereka mampu untuk menghasilkan lagu joget yang mempunyai elemen moden.

"Boleh dikatakan ini adalah satu projek eksperimen. Saya boleh sahaja memanggil komposer yang sudah ada nama untuk terbabit dalam album ini, tetapi sudah tentu kos pembikinan melambung," katanya yang ditemui BH Online pada majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah produksi Luncai Emas, Keon Omar merangkap penerbit eksekutif dan pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Raja Iskandar Raja Halim dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan.

Mohammad Mentek, M Nasir, penyanyi bersama komposer yang juga pensyarah muzik dan penuntut universiti ketika majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Album diterbitkan dengan kerjasama K-KOMM itu turut disertai pensyarah seni dan muzik dan empat penuntut dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mengulas apakah kebanyakan lagu dicipta menepati piawaian, penyanyi Apokalips dan Tanya Sama Itu Hud Hud itu berkata, dia berpuas hati dengan karya yang dihasilkan.

"Saya mempunyai pawaian sendiri. Namun, saya faham kebanyakan penuntut ini tidak terdedah dengan muzik tradisional dan produksi lagu bergenre Irama Malaysia.

"Mereka perlu banyak belajar dan menimba pengalaman. Bagaimanapun, dari segi penciptaan lagu yang boleh menarik pendengar, mereka berjaya mencapai piawaian ini," kata maestro muzik tersohor itu.

Sementara itu, bagi mengelakkan timbul pertikaian mengenai konsep diperkenalkan, Raja Iskandar berkata, komposer diberikan penerangan mengenai asal usul muzik joget supaya pemahaman terhadap genre itu jelas.

"Kami mengadakan sesi taklimat dan akar umbi muzik joget kepada komposer dipilih.

"Ini penting agar mereka faham mengenai genre joget dan mengelakkan perkara berbangkit pada kemudian hari.

"Lagipun, album ini akan dijadikan bahan dokumentasi sebagai rujukan mengenai bagaimana muzik joget pada 2022," katanya.

Kos pembikinan album ini menelan belanja sebanyak RM400,000 termasuk promosi dan pelancaran.

Selain Puteri Khaireeza dan Azizul Hakim, antara artis komersial terbabit termasuk Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Jumaat, Oktober 14, 2022

Lima tahun Siti Nordiana tunggu M Nasir

petikan Harian Metro 14 Oktober  2022

Sudirman Mohd Tahir 

 sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Siti Nordiana bangga dan berbesar hati apabila dapat merakamkan lagu ciptaan komposer ternama, Datuk M Nasir iaitu Menyantun Kasih.

Siti Nordiana, 38, yang mesra disapa Nana berkata, dia menunggu hampir lima tahun sebelum M Nasir yang mendapat jolokan sifu itu bersetuju memberikan lagu.

"Boleh dikatakan saya insan terpilih juga. Semasa minta lagu tu, dia ada cakap bolehkah menyanyikan lagu saya. Gigil juga mendengar soalan tu. Bukan apa saya kan penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu 'leman'. Saya pun cakap ubah suara menjadi lain semata-mata untuk lagu itu. Janji saya dapat lagu M Nasir.

"Pertama kali minta lagu antara 2017 dan 2018. Kira lama jugalah dah minta, tapi baru tahun ni dia bersetuju," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nana ditemui pada Majlis Santai Media Sempena Pelancaran Lagu dan Video Muzik Menyantun Kasih yang diadakan di sebuah hotel terkemukam. di sini, hari ini.

Menurut Nana, dia perlu melalui empat kali proses rakaman antara April hingga Julai lalu sebelum M Nasir berpuas hati.

"Untuk lagu ini saja empat kali saya masuk studio rakaman. Semua pada hari berbeza. Setiap sesi antara lima hingga enam jam. Memang lama.

"Dia sangat teliti. Apabila dah rakan kali pertama, ada bahagian lain yang dia cakap boleh diperbaiki lagi. Sampailah kali keempat baru dia puas hati.

"Memang susah puaskan hatinya. Dia cakap pada saya, suara saya lembut, jadi tak boleh bagi lagu berat. Kena ada kelembutan dalam lagu. Itu yang dia bagi lagu ini sekali dengan gubahan. Memang sangat kena dengan saya," katanya.

Lagu Menyantun Kasih ciptaan M Nasir dan lirik oleh Keon Omar adalah kerjasama pertama mereka.

Siti Nordiana miliki magis – M.Nasir

 petikan Utusan Malaysia 14 Oktober 2022

Oleh HASIF IDRIS

KUALA LUMPUR: Impian penyanyi, Siti Nordiana untuk berkolaborasi dengan Datuk M.Nasir akhirnya tercapai menerusi kemunculan single terbaru, Menyantun Kasih.

Single terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. merupakan kolaborasi pertama penyanyi yang mesra disapa Nana dengan sifu industri muzik itu dan penulis lirik, Keon.

Siti Nordiana berkata, dia tertarik dengan lagu tersebut yang menggunakan elemen etnik Sunda kerana berbeza dengan karya dipersembahkannya sebelum ini.

“Liriknya menceritakan tentang kesetiaan seseorang yang bertahan demi cinta.

“Banyak cabaran dan pengalaman sewaktu merakamkan lagu ini. M. Nasir sendiri yang bimbing saya dari segi penghayatan dan lontaran vokal.

“Keon pula menerangkan erti lirik lagu supaya saya faham maksud yang ingin disampaikan. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya semasa sesi santai bersama media, di sini.

Sementara itu, M. Nasir selaku penerbit dan komposer single tersebut berkata, dia tidak mempunyai masalah besar untuk bekerjasama dengan Siti Nordiana.

“Lagu ini dihasilkan atas permintaannya dan berbeza dengan lagu etnik pop fusion yang selalu saya hasilkan.

“Apabila dirakam, ia sudah menjadi lagunya sendiri dan itulah magis yang dia miliki,” katanya.

Video muzik Menyantun Kasih boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital mulai hari ini.



Isnin, September 26, 2022

Arwah Bob persis pemberontak dalam bidang seni - M Nasir

petikan Berita Harian 26 September 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud  farihad@bh.com.my


Jumaat lalu, Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman di Kubang Kerian, pada jam 3 petang. Foto NSTP Hazira Ahmad Zaidi

KUALA LUMPUR: "Kisah hidupnya penuh cabaran. Banyak pasang surutnya."

Itu pandangan Datuk M Nasir, 64, mengenai sosok sahabatnya, Allahyarham Bob Lokman yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat lalu.

M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu.

Tambah M Nasir, kebanyakan perkara yang berlaku memberi kesan terhadap emosi teman baiknya itu.

"Arwah seorang pemberontak dalam bidang seni yang diceburinya.

"Berasakan hala tuju bidang seni bukan lagi seperti diharapkan, arwah akhirnya membuat keputusan berhijrah untuk lebih fokus dalam bidang agama.

"Selepas itu, arwah bawa keluarganya berpindah ke Kota Bharu dan memulakan kehidupan baharu di sana.

M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu. Foto NSTP Hazira Ahmad Zaidi

"Kisah hidupnya seperti sebuah drama atau filem yang penuh dengan dugaan," katanya kepada BH Online.

Tambah M Nasir atau lebih dikenali sebagai sifu, beliau mula bekerjasama dengan arwah Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, ketika pembikinan album pertama kumpulan Wings berjudul Belenggu Irama.

"Saya kenal arwah sejak awal 1980-an. Kami mula berkolaborasi ketika pembikinan album sulung Wings.

"Selepas itu, barulah kami jadi rakan sekerja, seperjuangan dan seterusnya hubungan menjadi lebih rapat seperti adik-beradik.

"Dari situ, arwah mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Sebelum ini, arwah adalah seorang penghibur serta pengacara," kata penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi ini.

Jumaat lalu, Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman di Kubang Kerian, pada jam 3 petang.

Jenazah Allahyarham Bob disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, pada jam 9.30 malam, hari sama.

Sebelum ini, Allahyarham Bob dilaporkan bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

M Nasir turut menyifatkan Bob sebagai penulis lirik sangat romantis.

"Arwah Bob dan Arwah Loloq masing-masing ada perbezaan tersendiri terutama daripada segi pemikiran.

"Saya lihat penulisan Bob lebih kepada romantisme. Loloq ada elemen itu tetapi lebih kepada moden.

"Setiap lirik yang ditulis terhasil daripada perkara yang pernah berlaku di sekeliling serta dapat menyentuh emosinya.

"Contoh, lagu Taman Rashidah Utama. Dia beritahu saya, liriknya ada kena mengena dengan kisah percintaannya masa zaman muda-muda dahulu," ujarnya.

Ketika dihubungi, M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa baru pulang menziarah keluarga Allahyarham Bob di Kota Bharu, Kelantan.

"Kali terakhir saya melawatnya adalah beberapa bulan lalu. Ketika itu, keadaan kesihatannya sudah merosot," katanya.

Selain album Wings, arwah Bob juga bekerjasama dengan M Nasir dengan menulis lirik lagu Isabella dendangan kumpulan Search yang cukup popular pada akhir 1980-an.

Penangan lagu Isabella, album Fenomena di bawah label Pacific Music Corporation (PMC) terjual lebih 250,000 unit, lantas dianggap rekod luar biasa bagi jualan album Melayu, ketika itu.

Di Indonesia album Fenomena dilaporkan dijual kira-kira sejuta unit.

Jumaat, September 23, 2022

Jenazah Bob Lokman selamat dikebumikan

petikan Sinar Harian 23 September 2022

 Jenazah Allahyarham Bob Lokman disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa Mukim Pulau sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut Kubang Kerian pada Jumaat. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Jenazah penulis lirik, pelakon dan pelawak, Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut, Kubang Kerian di sini, 9.30 malam Jumaat.

Terdahulu jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan sementara solat jenazah disempurnakan di Masjid Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.

Lebih 100 keluarga, kenalan dan rakan artis yang hadir termasuklah Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.

Sementara itu, M Nasir berkata, beberapa bulan sebelum itu beliau sempat menziarahi Bob yang masih lagi sihat.

Menurutnya, mereka bertemu buat kali pertama pada 1980-an sebelum Bob bersama kumpulan Wings sebagai pengurus dan menganggap hubungan antara mereka berdua bagaikan adik-beradik.

Mengulas lanjut M Nasir berkata, beberapa tahun kemudian, mereka bertemu semula dan Bob masih bersama kumpulan Wings dan sejak itu hubungannya terus rapat.

"Bob mempunyai pendirian dan setiap lirik dan seni kata mempunyai keunikan kerana dia berfikiran tersendiri dan kebanyakan lagu ciptaannya juga menjadi siulan ramai," katanya.

Bagi Marlia, beliau mengakui Bob adalah telangkai yang memperkenalkan beliau hingga mendirikan rumah tangga dengan M Nasir.

Khamis, September 08, 2022

Impak penting seni kata lagu

petikan Harian Metro 8 September 2022 

Syafil Syazwan Jefri am@hmetro.com.my

Kemeriahan Bulan Kemerdekaan bukan sahaja bergantung kepada jiwa patriotisme masyarakat, bahkan ia lebih daripada itu.

Jika kita melihat kepada sisi industri seni, lagu patriotik juga memainkan peranan dalam menyemarakkan lagi semangat masyarakat.

Lagu patriotik antaranya Tanggal 31 ciptaan Ahmad CB pernah menjadi pengisi jiwa masyarakat. Berdasarkan carian di beberapa sumber online, lagu Tanggal 31 terhasil daripada semangat dan keterujaan Ahmad CB saat mendengar khabar bahawa Malaya akan merdeka.

Selain 31 Ogos, banyak lagu patriotik yang berjaya menyentuh hati masyarakat antaranya, lagu Warisan nyanyian Sudirman, Saya Anak Malaysia (Dr Sam), Inilah Barisan Kita (Jamaludin Alias), Setia (Datuk Francesca Peters), Standing In The Eyes of the World (Ella) dan banyak lagi.

Bagi penyanyi dan penulis, Datuk M Nasir, jiwanya tidak pernah luntur dalam menghasilkan karya bersifat membakar semangat dan punya nilai patriotik. Mungkin ada yang tahu dan tidak tahu, M Nasir juga adalah individu yang berada di sebalik lagu Saya Anak Malaysia.

Menurutnya, seni kata dalam lagu patriotik menjadi faktor utama yang menentukan lagu itu dapat sampai tepat ke hati pendengar ataupun sebaliknya.

"Apa yang penting adalah seni katanya. Lagu patriotik apa sekalipun, selain muzik yang enak didengar, seni katanya mestilah berunsur patriotik. Biar ia tidak keterlaluan, namun, berjaya menyentuh jiwa masyarakat.

"Satu lagi aspek yang menjadikan lagu patriotik lama lebih meninggalkan kesan adalah, mungkin kerana jiwa patriotik pada zaman dahulu lebih kuat memandangkan bahang kemerdekaan itu masih lagi segar," katanya.

Tambah pelantun lagu Mantera Semerah Padi itu lagi, susunan muzik lagu patriotik zaman dahulu juga memainkan peranan dalam memastikan ia melekat di dalam jiwa setiap yang mendengar.

"Lagu-lagu lama, biasanya kerap dimainkan sehingga ia mudah untuk diingati. Karyanya bercorak sederhana dari sudut susunan muzik dan mudah untuk dinyanyikan, namun, jelas penyampaiannya.

"Kita dapat melihat transisi muzik dalam lagu patriotik yang sebelum ini lebih kepada kepada muzik marching, kepada muzik moden yang sejak akhir-akhir ini, mula berubah. Namun, elemen catchy masih lagi dikekalkan.

"Walau bagaimanapun, orang mahukan pembaharuan. Bunyi lama, boleh berubah mengikut peredaran zaman. Walaupun perasaannya sudah berbeza, namun, objektifnya adalah untuk menyentuh jiwa pendengar," katanya.

Bagi pencipta bersama lagu Standing In The Eyes Of The World, Datuk Wah Idris, dia juga membawa buah fikiran yang sama seperti M Nasir di mana seni kata memainkan peranan yang penting.

"Bagi saya, tentunya melodi sesuatu lagu patriotik itu perlu enak didengar dan perlu mewujudkan rasa semangat. Selain memiliki keunikan serta nilai komersial, pada masa sama, seni katanya juga paling penting.

"Seni kata dalam sesuatu lagu patriotik akan menonjolkan kekuatan seseorang individu itu sebelum merdeka dan sebagainya. Kiranya, ada penceritaan yang mampu menaikkan semangat orang yang mendengar," katanya.

Menghormati setiap lagu sebagai karya seni subjektif, Wah menyeru agar penulis dan pencipta lagu tempatan tidak berhenti untuk menghasilkan lagu-lagu patriotik.

"Dari sudut pendengaran remaja hari ini, ia dah berbeza. Susunan dan corak muzik remaja hari ini amat luar biasa dan turut disuntikkan dengan elemen muzik dari Barat dan sebagainya contohnya, elemen hip hop.

"Sesebuah lagu itu adalah karya seni dan kita tak boleh cakap sedap atau tidak. Setiap pencipta memiliki stail dan caranya yang tersendiri. Mereka juga memiliki pengikut tersendiri.

"Saya menyeru agar mereka yang menyimpan impian untuk mencipta lagu-lagu patriotik, buatlah sebanyak mungkin. Biar ideologi dan jiwa kenegaraan itu dapat diserap oleh muda mudi," katanya.

Ditanya perasaannya sebagai orang yang bertanggungjawab di sebalik lagu popular dendangan Ella untuk versi Bahasa Melayu dan David Gates (yang juga penulis bersama lagu ini) untuk versi Bahasa Inggeris, Wah meluahkan rasa terharunya.

"Saya rasa sangat terharu kerana selepas lebih dua dekad, lagu Standing In The Eyes Of The World masih lagi mendapat tempat di hati pendengar dan kerap dimainkan di acara-acara kenegaraan dan sebagainya.

"Saya sendiri tak pernah menyangka lagu yang dihasilkan khas buat Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Mahathir Mohamad dan sempena Sukan Komanwel 1998 terus menerus menyalurkan semangat kepada setiap yang mendengar," katanya.

Bagi komposer generasi baharu, Ezra Kong yang pernah menghasilkan beberapa karya lagu patriotik, dia gemar menelaah karya-karya ini dan meneliti dari sudut penggunaan instrumennya.

"Saya suka menelaah susunan lagu patriotik sebab instrumen yang digunakan dalam lagu patriotik bukan instrumen yang biasa digunakan dalam lagu pop. Ia membuatkan saya terfikir bahawa terdapat pelbagai cara untuk menyusun sebuah lagu.

"Impak sebagai individu adalah kenangan-kenangan menyanyikan lagu-lagu ini sewaktu zaman persekolahan. Secara tak langsung, muncul perasaan nostalgia," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan lagu patriotik, Ezra berkata, cabarannya berbeza.

"Lagu patriotik adalah lagu yang membawa perasaan, yang mampu membangkitkan semangat patritisme dan cinta akan negara dalam diri kita. Saya pernah menghasilkan lagu patriotik dan setiap lagu datang dengan cabarannya yang tersendiri.

"Untuk lagu sebegini, kita cuba membangkitkan semangat cinta akan negara dalam diri kita sewaktu menulis. Saya rasa tiada formula yang tetap untuk suatu penulisan sama ada lagu cinta atau patriotik. Yang penting kita menulis secara ikhlas.," katanya.

Baginya, setiap lagu adalah lagu patriotik memandangkan ia juga secara tidak langsung, menyumbang kepada ekonomi negara.

Ahad, Ogos 21, 2022

Panorama Kembara 1444H

Oleh Saudagar Mimpi… yang melapor dari Plenary Hall KLCC Kuala Lumpur

REVIEW :

KONSERT KEMBARA PANORAMA JINGGA 1444H

Ahad : 31 Julai 2022

Dewan Plenary, Pusat Konvensyen KL.


Konsert Panorama Jingga 1444H sudah pun berlalu 3 minggu lepas. Hari ini  berkesempatan untuk menulis coretan/ulasan sebagai tanda kenang kenangan aku pergi Konsert Kembara buat kali ke 3!


Berikut adalah catatan ringkas beberapa elemen konsert tersebut yang aku buat ikut “ranking 🔊”.



Tarikh & Hari - 🔊🔊

Konsert satu malam dibuat pada 31 Julai 2022, jatuh pada malam minggu. Kalaulah dibuat hari Sabtu malam Ahad di tarikh yang lain agaknya ramai kutu kutu dari Selatan dan Utara yang hujung minggunya Jumaat dan Sabtu boleh juga turun bersama.

Kembara punya penangan kawan aku dari Johor kena ambik cuti hari Isnin tu.

Khabarnya kawan aku tu masih demam Kembara. Kena ikhtiar bawak jumpa M.Nasir berubat di Singapura nanti! Ha ha haru……….



Merchandise - 🔊🔊


Harga keras! & kurang menarik perhatian aku.

T Shirt,  Topi & Tag… 

Ada juga dijual poster yang siap autograf. Kurang pasti adakah ia habis dijual malam itu? 

Jika ada yang berminat masih boleh mendapatkannya di shiraz.co


Sound & Lighting -🔊🔊🔊


Best! (nokhtah.)

 

….. tapi jujur aku cakap ada masa aku rasa bunyi gitar Zoul terlalu tajam, ada masa pula dalam lagu tertentu aku tak dengar sangat solo gitar. Mungkin lokasi aku duduk tu ke macam mana. Harapnya bila keluar DVD ke CD ke, mixing konsert ini  jadi elok! Di tahun 2022 ni, penganjur konsert di Malaysia patut usahakan untuk merilis semua rakaman konsert live sama ada dalam format audio atau visual untuk peminat pengumpul format fizikal tegar di luar sana. Kami tak ramai tapi kami ada.


Atmosfera Konsert - 🔊🔊🔊🔊


Konsert ni aku nobatkan konsert Kembara paling RANCAK! 

Pilihan lagu lagu dari era Kembara berlima yang membawa pelbagai genre lagu sama ada New Wave / Reggae / Prog Rock/ Folk dari album Hijrah,  Duit dan KSJ memang ditunggu. Aku paling enjoy konsert Kembara kali ini. Sakit tekak aku bila menyanyi tak ingat orang sebelah bila irama sebegini dibawa dalam konsert. Kalau terjumpa lagi abang sebelah tu aku minta maaf sangat sebab paksa dia dengar suara sumbang aku malam tu… 

Ha ha haru…. 



Tribute A Ali - 🔊🔊🔊🔊


Pilihan lagu untuk tribute sangat tepat dan mengimbau nostalgia sumbangan besar  arwah dalam mencorak bunyi Kembara. 


Penampilan Pyan Habib dalam segmen KSJ. - 🔊🔊🔊🔊


Berlatar belakang klip filem KSJ (versi HD!)  &  lontaran lirik lagu Osman Tikus dan  puisi Belalang Kupu Kupu memang saat terasa "seni" &  "rebel"  bersatu. 

Lu kena ada kat situ baru rasa beb!  Percayalah! 



Penonton -🔊🔊🔊🔊


Penonton lambat panas. Ada masa nampak usher kena bagi hint meminta penonton  tepuk amai amai beramai ramai ataupun menyuluh lampu picit dari telefon bimbit masing masing.  Yang duduk tiket mahal macam biasa,  macam malu malu kucing nak  enjoy!  Mungkin sebab duduk kot…  Ada juga lebih enjoy tengok konsert sambil buat IG story? 


Semua itu berubah selepas encore.  Penonton seumpama  tersedar konsert kenalah ada penyertaan penonton. Dewan jadi gegak gempita bila penonton tidak lagi lekat di kerusi dan mula menyanyikan lagu Hati Emas & Gerhana beramai ramai. 


Setlist -🔊🔊🔊🔊🔊

1. Panorama Jingga* 

2. Tarian Hidup

3. Duit 

4. Rindu* 

5. Kepadamu Kekasih 

6. Dimanakah Dikau

7. Rozita*  

8. Putar Alam* - (Vokal:Zoul)

9. Bunga Bakawali - (Vokal:Zoul)

10. Perwira * 

11. Gadis Berpurdah Hitam* 


Tribute A.Ali

12. Ada Sepasang Mata 

13. Di Perhentian Puduraya 

14. Impian Seorang Nelayan 

15. Kiambang 


16. Kutu 

17. Kolar Biru - Zoul

18. Impian Anak Jalanan 

19. Mencurah Janji di Daun Keladi* 

20. Kupu-Kupu

21. Musim* 

22. Keroncong Untuk Ana

23. Keroncong Untuk Ana II* 

24. Nyanyian Jiwa* 


Intermission/ segmen filem Kembara Seniman Jalanan

Sesi Puisi Pyanhabib 


25. Balada Osman Tikus 

26. Siapa Orang Kita 

27. Rupa Tanpa Wajah 

28. Harapan Terakhir* 

29. Sesat di Kuala Lumpur 


Encore

30. Ekspres Rakyat 

31. Hati Emas 

32. Perjuangan 


Lagu bertanda * adalah lagu rare yang belum pernah dibawa dalam Konsert Ekpress Rakyat, Esplanade (2013) & Konsert Hati Emas Istana Budaya (2014)


Pecahan lagu dari album dalam Konsert 1444H


2 lagu dari album Kembara (1981)

4 lagu dari album Perjuangan (1982)

5 lagu dari album Generasiku (1983)

4 lagu dari album Seniman Jalanan (1984)

6 lagu dari album 1404 Hijrah (1984)

8 lagu dari album Duit (1985)

4 lagu dari album  Kembara Seniman Jalanan (1986)


Pilihan setlist memang terbaik. Banyak lagu rare! Bagi peminat Kembara yang pernah menonton konsert Kembara sebelum ini di Singapura (2013)  dan di Istana Budaya (2014) akan bersetuju sangat berbaloi datang konsert Panorama Jingga 1444H ini. 11 lagu  bertanda. * ini belum pernah dibawa dalam konsert yang lepas. Lebih 45 % lagu pula  adalah lagu-lagu  dari album Kembara Hijrah 1404, Duit & Kembara Seniman Jalanan. Lagu Buta kerana Cinta digugurkan walaupun khabarnya dah masuk bakul setlist.  Mungkin jadi rezeki penonton dalam konsert akan datang. Bagi peminat M Nasir pula, inilah peluang mendengar dan menghargai katalog lagu-lagu Kembara yang sebenarnya banyak belum diterokai.



Persembahan keseluruhan anggota Kembara - 🔊🔊🔊🔊🔊


Sebagai sebuah band yang ditubuhkan lebih 40 tahun lalu yang membuat persembahan selama 3 jam, kehebatan Kembara ni memang tak boleh dinafikan kehebatannya.  Zoul (gitar, penyanyi), Rahman Suri (bass), Md Shah Othman (keyboard) membuktikan usia bukan penghalang untuk menjayakan konsert yang  rancak seperti ini. M Nasir tak minum air antara  isi penting yang ditulis ramai penulis diluar sana. Yang paling penting bagi aku kali ni M Nasir tak lupa lirik! Steady Dato M Nasir! Paling power dah tentu drummer, Abang Shahrum, Memang tak boleh celen,  punyalah kuat ketukan dan konsisten drum Kembara dekat Esplanade Singapura dulu terubat bila dapat tengok lagi kali ini.


Kaset Kembara 1404 Hijrah

Pesanan &  Nostalgia - 🔊🔊🔊🔊🔊

Inilah kekuatan karya Kembara. Konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah ini menguatkan nostalgia dan ingatan kita semua bahawa Kembara adalah antara kumpulan muzik Melayu yang berpengaruh besar dalam membawa lirik yang menyentuh pelbagai isu masyarakat  berlatarkan cabaran dan pembangunan pertengahan 80an. Lirik puitis Kembara berunsurkan pencarian, puisi, kritikan sosio-ekonomi dan pembangunan negara sememangnya dekat golongan masyarakat marhaen baik di bandar dan desa.


Walaupun ia penuh nostalgia , adakah semua isu dan persoalan  dalam lagu Kembara telah terjawab di tahun 2022/1444H ini?


Wajah yang pandai berpura menguasai dunia, Apakah berlaku ramalan buku yang dulu? Siapa yang harus ku ikut? Apa yang harus ku tuntut? Engkaukah perwira yang harus disanjung sanjung?


Pagi itu, usai menonton konsert Panorama Jingga , lagu Perwira Kembara terus terpasang di Spotify dalam kereta. Aku terus bernostalgia sambil tertanya-tanya.....


Terima kasih Kembara!



Jumaat, Ogos 19, 2022

Tiket konsert Simfoni Mustika M Nasir bersama MPO habis dalam masa 40 minit

petikan Astro Awani 19 Ogos 2022

KUALA LUMPUR: Tiket konsert Simfoni Mustika M Nasir dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang dijadualkan pada 26 November nanti habis dijual dalam masa 40 minit sebaik dibuka pada pukul 10 pagi Jumaat.

Konsert tersebut akan dikendalikan oleh Ahmad Muriz Che Rose sebagai konduktor dan 100 pemuzik orkestra.

Pada 2012, Datuk M Nasir pernah mengadakan konsert bersama MPO selama dua malam dan turut mendapat sambutan menggalakkan.

Hujung Julai lalu, M Nasir dan kumpulannya Kembara telah mengadakan konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah di Plenary Hall, KLCC.

Bersama Kembara beliau sempat menerbitkan tujuh album studio sebelum bergerak secara solo dan menerbitkan lima album studio.

M Nasir juga dikenali menerusi beberapa filem lakonannya antaranya Fenomena, Selubung dan beberapa filem lain serta pernah mengarahkan filem Merah.

Antara konsert beliau yang melakar sejarah ialah Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), persembahan akustik Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (1995) dan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya (2009).

Sabtu, Ogos 06, 2022

Menjengah kerancakan era 80-an dengan Panorama Jingga

petikan MalaysiaKini 6 Ogos 2022

oleh Rimanilzah


ULASAN | Sedang berada di ruang legar Plenary Hall KLCC, seorang abang dalam usia 60-an bersama anaknya datang menyapa. Dia - yang datang dari Klang - bertanya tentang kedudukan surau.

Kami ke surau bersama-sama. Ketika hendak turun ke tingkat tiga, dia menggunakan eskalator kerana ada masalah jika dia menuruni tangga. Di surau, kelihatan lebih ramai lelaki beruban, berambut semakin menipis, dan berperut maju ke depan.

Anak muda banyak juga. Mereka datang dari serata negara.

Di tempat duduk Silver dan Bronze kelihatan lebih ramai penonton berusia senja, lelaki dan perempuan. Kebanyakannya datang dengan anak-anak mereka. Wah, ini memang benar-benar konsert “panorama jingga” nampaknya!

Walaupun harga tiket Silver dan Bronze masih mahal bagi sesetengah orang, tempat penonton ini boleh dikategorikan sebagai “kelas marhaen”. Mungkin ada yang perlu berjimat-cermat untuk ke sini. Mungkin juga ada yang dibelanjai anak-anak mereka.

Mereka datang kerana Kembara dan ada juga yang datang hanya kerana M Nasir. Minat berkenaan tergambar daripada reaksi mereka sewaktu menyaksikan konsert yang berlangsung sepanjang lebih kurang tiga jam itu.

“Mak nak tepuk tangan tapi tak boleh,” kata kakak di sebelah kanan yang datang dengan dua anak perempuannya. Memang berhalanganlah dia, kerana tangan kanannya bersimen.

Menurut kakak itu, sewaktu Kembara mula popular, dia masih remaja. Dia gemar kepada lagu-lagu Kembara yang baginya bersifat kerakyatan dan ketuhanan.

Dua orang penonton di sebelah kiri pula, sewaktu lagu Duit dan Kepadamu Kekasih bergema, mereka mencari lirik lagu melalui Google sebelum kemudian menyanyi bersama.

Begitu juga sewaktu lagu Keroncong untuk Ana, mereka berdua galak menyanyi bersama. Tiba-tiba, apabila M Nasir berubah kepada lagu Keroncong Untuk Ana 2, kedua-duanya jadi terpinga-pinga. Mungkin mereka tidak tahu lagu itu ada sambungannya.

Lagu-lagu lain Kembara nampaknya tidak memberikan apa-apa reaksi dan ada kalanya mereka sibuk menatal telefon genggam untuk melayan media sosial. Mereka hanya kembali bertepuk dan menari apabila ada lagu rancak.

Sama seperti hampir keseluruhan penonton lain, kedua-duanya semakin “naik sheikh” pada bahagian encore. Mungkin mereka peminat M Nasir, bukannya peminat Kembara.

Kelihatan juga beberapa kumpulan anak muda yang lincah dan bersemangat semasa menonton. Ada satu kumpulan - salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Dukun Kebun. Sesuai dengan semangat anak muda, setiap lagu rancak dimainkan, ia disambut mereka dengan gerakan tari dan nyanyian.

Pelbagai rentak

1. Panorama Jingga

2. Tarian Hidup

3. Duit

Kumpulan Kembara memulakan persembahan dengan tiga buah lagu yang dinyatakan di atas. Ketiga-tiga lagu pembukaan itu menjadi penanda zaman era 1980-an.

Sesuai dengan kata M Nasir: “Kita dedikasikan konsert ini kepada tahun 80-an”.

Lagu Panorama Jingga berkisar tentang harapan anak muda yang berhijrah ke kota. Tarian Hidup pula pernah menjadi lagu latar filem Azura dan ia bertemakan pergolakan jiwa anak muda. Keperluan dan kerosakan hidup kerana duit pula digambarkan melalui lagu Duit.

4. Rindu

5. Kepadamu Kekasih

6. Di Manakah Dikau

7. Rozita

8. Putar Alam

9. Bunga Bakawali

10. Perwira

11. Gadis Berpurdah Hitam

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu yang mewakili era 1980-an. Zaman yang dikatakan oleh M Nasir muncul pelbagai rentak muzik. Pada zaman itu, setiap orang ada rentak muzik yang diminati mereka. Antaranya termasuklah irama pop, reggae, blues, nasyid, dan new wave.

Kumpulan Kembara tidak ketinggalan dalam menampilkan lagu dalam pelbagai rentak.

Sebelum menyanyikan lagu Gadis Berpurdah Hitam, M Nasir sempat bersenda dengan berkata: “Temanya agak 80-an, sekarang mungkin tak kena. Sekarang kalau kita buat lagu ni, orang kecam kita”.

Pada 1980-an, pengaruh revolusi Iran mula meresap masuk ke negara ini. Pakaian dengan berpurdah ialah kesan daripada pengaruh tersebut. Lagu itu lahir daripada fenomena tersebut. Kalau dihasilkan pada zaman sekarang mungkin menyinggung pihak tertentu.

12. Ada Sepasang Mata

13. Di Perhentian Pudu Raya

14. Impian Seorang Nelayan

15. Kiambang

Segmen khas yang memberikan penghormatan kepada A Ali (kembali ke rahmatullah pada 21 Nov 2020) telah menyentuh hati penonton. A Ali merupakan salah seorang ahli kumpulan Kembara pada peringkat awal penubuhannya.

Selain menyumbangkan suara sebagai penyanyi, dia turut mencipta beberapa buah lagu untuk Kembara. Sayangnya, lagu Oh, Bulan! tidak termasuk dalam medley yang didendangkan pada malam itu.

16. Kutu

17. Kolar Biru

18. Impian Anak Jalanan

19. Mencurah Janji Di Daun Keladi

20. Kupu Kupu

21. Musim

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu semangat generasi 80-an.

“Saya kira, dah 20 lagu M Nasir nyanyi. Bertenaga sungguh dia,” kata kakak di sebelah saya.

Memang keupayaan M Nasir beraksi di pentas mengagumkan. Tidak kelihatan dia meneguk air pun. Lebih-lebih lagi ketika dia dikhabarkan dijangkiti Covid-19 (penyakit yang mengganggu sistem pernafasan) sebanyak dua kali.

Lontaran vokalnya tetap padu. Hanya dua lagu dibawa oleh adiknya, Zoul, iaitu Putar Alam dan Bunga Bakawali. Lagu-lagu lain semua didendangkan oleh M Nasir.

Selepas lagu Musim, M Nasir berkata, ada tujuh album dihasilkan Kembara dan daripada tujuh itu, ada tujuh saja lagu yang hit.

“Tujuh hit saja, ada tujuh number one hit, tapi yang lain hit hit hit,” sambungnya lagi dan disambut gelak ketawa oleh para penonton.

Kata-katanya itu memang benar jika dikaitkan dengan konsert pada malam itu. Hanya lebih kurang tujuh hingga sembilan buah lagu yang benar-benar disambut dengan penuh semangat oleh keseluruhan penonton.

Antaranya Duit, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana, Ekpress Rakyat, Perjuangan, Hati Emas, dan Gerhana. Lagu Malam yang turut popular tidak didendangkan dalam konsert pada kali ini.

Kegalauan hidup era 1980-an

Lagu-lagu lain tentu mesra di telinga dalam kalangan mereka yang benar-benar meminati Kembara. Namun, bagi peminat biasa, lagu berkenaan tentu kedengaran asing dan baru pertama kali didengar pada malam konsert.

Namun begitulah Kembara di persada industri muzik tanah air. Mereka popular dengan lagu-lagu berwibawa dengan lirik yang bermakna dan puitis. Sungguhpun lagu-lagu Kembara dicipta pada era 1980-an, namun lagunya merentas masa dan zaman. Masih enak didengar pada masa ini.

22. Keroncong Untuk Ana

23. Keroncong Untuk Ana 2

Lagu Keroncong Untuk Ana terdapat dalam album Seniman Jalanan (1984). Lagu itu lebih dikenali berbanding dengan sambungannya, Keroncong Untuk Ana 2 yang diterbitkan pada tahun yang sama tetapi album berbeza, iaitu 1404 Hijrah.

Mungkin persoalan putus cinta dalam lagu yang pertama lebih dekat di hati pendengar berbanding dengan persoalan rujuk kembali dalam lagu kedua.

24. Nyanyian Jiwa

Secara peribadi Nyanyian Jiwa ialah lagu kegemaran saya. Banyak kenangan yang berkaitan dengan lagu ini dalam hidup saya. Menurut M Nasir, Nyanyian Jiwa dicipta untuk persembahan drama Uda dan Dara.

Dia mengajak penonton bernyanyi dan berjoget dengan lagu itu. Penonton menyambutnya walaupun ia bukanlah lagu popular. Lagu Nyanyian Jiwa bagaikan penanda konsert akan menjadi lebih hangat.

25. Balada Osman Tikus

26. Siapa Orang Kita

27. Rupa Tanpa Wajah

28. Harapan Terakhir

29. Sesat Di Kuala Lumpur

Memulakan segmen Kembara Seniman Jalanan, Pyanhabib (dalam filem - Osman Tikus) muncul di pentas dengan beg jinjing bertulis “politikus itu tengkorak hidup, berkomplot di siang benderang”.

Pyanhabib kemudiannya melontarkan dialog ikonik daripada filem tersebut, “Gua nak nyanyi. Ajarlah gua nyanyi.”

Seterusnya, Tokoh Puisi Kuala Lumpur itu menyampaikan sebahagian lirik lagu Balada Osman Tikus dan sajak kritikan politik berjudul Belalang Kupu-kupu.

Bahagian itu menampilkan lagu-lagu yang menjadi runut bunyi asal filem Kembara Seniman Jalanan. Lirik-lirik lagu dalam segmen berkenaan menyampaikan pernyataan tentang kegalauan hidup pada era 1980-an kerana kebejatan politik, sosial, dan ekonomi. Antara pernyataan tersebut tergambar dalam lirik seperti:


Aku hidup tanpa subsidi

tak tahu besok hidup atau mati

Jangan sedih jangan gusar

Hey, Brother! Kita mesti terus hidup.

(Balada Osman Tikus)


kebendaan menggelapkan

lupa dengan perjuangan

(Siapa Orang Kita)


tiada apa yang kupinta

dalam dunia yang banyak meminta

aku hanya manusia

sekadar kebebasan sangat berharga

(Rupa Tanpa Wajah)


sambutlah tanganku ini

agar hilang hati pilu

bersama menuju cita

impian kan jadi nyata

(Harapan Terakhir)


sesat di Kuala Lumpur

dosa dan pahala bercampur

tapi kita mesti terus hidup

kita mesti terus hidup

(Sesat di Kuala Lumpur)

Selesai lagu Sesat Di Kuala Lumpur, M Nasir tiba-tiba memberitahu konsert itu telah berakhir lalu meninggalkan pentas yang kemudiannya digelapkan.

Namun gimik klise itu ternyata tidak menjadi. Tiada penonton yang percaya dan tiada yang berganjak dari tempat duduk masing-masing. Tidak mungkin konsert Kembara berakhir tanpa lagu-lagu hit yang telah sebati dalam jiwa peminat M Nasir.

30. Ekspres Rakyat

31. Hati Emas

32. Perjuangan

33. Gerhana

Sebanyak 33 lagu dari tujuh album Kembara dipersembahkan di atas pentas, dengan M Nasir mendendangklan 31 lagu dan dua lagi oleh Zoul. Bilangan lagu mengikut album adalah seperti yang berikut:

1981 – Kembara (2 lagu)

1982 – Perjuangan (4 lagu)

1983 – Generasiku (5 lagu)

1984 – Seniman Jalanan (4 lagu)

1984 – 1404 hijrah (6 lagu)

1985 – Duit (8 lagu)

1986 – Kembara Seniman Jalanan (4 lagu)

Walaupun konsert itu memberikan tumpuan pada lagu-lagu ketika Kembara dianggotai oleh lima orang (1984 – 1986), lagu yang paling menambat hati penonton tetap lagu-lagu Kembara pada zaman tiga beradik (1981 – 1984).

Lagu-lagu pada bahagian encore mendapat sambutan yang hangat sekali daripada penonton. Keempat-empat lagu itu terdapat dalam album Kembara zaman tiga beradik.

Ia membuktikan bahawa lagu-lagu Kembara yang awal lebih dekat dan meresap dalam sanubari peminat M Nasir.

Secara keseluruhan, konsert Panorama Jingga itu menghiburkan baik kepada peminat tegar M Nasir yang akrab dengan lagu-lagu Kembara mahupun kepada peminat M Nasir yang tidak tahu yang mana satu lagu Kembara yang mana satu lagu solo M Nasir.

Kepada peminat tulen Kembara yang disebut M Nasir sebagai “yang minat, yang beli album” tentunya ada lagu langka yang terlepas daripada set list konsert.

Saya sendiri berasa ralat kerana lagu Buta Kerana Cinta khabarnya digugurkan pada saat-saat akhir. Saya juga ternanti-nantikan lagu Hidup Cara Sendiri.

Sekalung tahniah kepada Kembara atas persembahan yang hebat. Terima kasih diucapkan kepada anggota Kembara - M Nasir (vokal), Zoul (vokal dan gitar utama), Rahman Suri (gitar bass), Shahrum Basirun (dram), dan Md Shah Othman (keyboard).

Terima kasih juga kepada pemuzik tambahan, Kuzai (gitar) dan Adam (keyboard) serta penyanyi latar Eja dan Awe.

Buat konsert lagi, Kembara, jika berkesempatan dan dipanjangkan umur.

RIMANILZAH ialah peminat Kembara dari 'kota basah' di utara Semenanjung yang menonton konsert Kembara dengan tiket 'harga marhaen'.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Kembara 'telan rekod'

petikan Harian Metro 6 Ogos 2022

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

MALAM yang amat bermakna buat kumpulan Kembara serta peminat kerana penyatuan mereka menerusi Konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah mencapai kejayaan cemerlang.

Barangkali tidak ramai tahu bahawa kumpulan berusia 40 tahun ini mempunyai peminat setia yang masih memuja lagu nyanyian mereka.

Apabila ada usaha menggandingkan Datuk M Nasir (penyanyi) bersama Zoul (gitar, penyanyi), Rahman Suri (bass), Md Shah Othman (keyboard) dan Shahrum Basiron (dram) oleh Shiraz Projects Sdn Bhd, sambutannya luar biasa apabila Plenary Hall di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dibanjiri 2,600 peminat pada Ahad lalu.

Tepat jam 8.40 malam, penyanyi berusia 65 tahun ini tampil membuka pentas dengan lagu Panorama Jingga, Tarian Hidup dan Duit.

Bermula dengan sederhana, Kembara yang dibantu oleh Kuzai (gitar), Adam (keyboard) serta Eja dan Awe (penyanyi latar) terus mengukuhkan cengkaman mereka dengan rangkaian lagu menarik.

KEMBARA membawa peminat melewati era 80-an menerusi lagu mereka sehingga kini.

M Nasir dalam celotehnya berkata, Kembara yang ditubuhkan pada 1981 tidak pernah mengisytiharkan bila mereka ditubuhkan dan berpecah.

"Kembara tidak pernah isytihar ditubuhkan dan berpecah. Sebahagian anggota termasuk saya bekerja di studio rakaman. Kami gabung waktu album 1404 Hijrah. Kami ada tujuh album dan kira-kira 70 lagu," katanya.

Lagu berikutnya ialah Rindu, Kepada-Mu Kekasih, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bunga Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

Setiap lagu nyanyian M Nasir sangat bertenaga dan keserasian mereka terbukti apabila bunyi setiap lagu disesuaikan dengan peralihan evolusi muzik Kembara.

Kemunculan khas Pyan Habib ketika segmen era filem Kembara Seniman Jalanan.

Penonton teruja apabila M Nasir turun mendekati mereka. 

Hasilnya lagu ini kedengaran sama seperti kaset yang dirakam lebih 40 tahun lalu.

Lagu yang dihasilkan mempunyai kaitan dengan peristiwa pada zamannya serta digarap dengan lirik puitis dan kritik sosial.

Peminat bersorak apabila dihiburkan dengan lagu yang sinonim dengan era terbabit.

"Saya sejak lepas sekolah tidak pernah kerja makan gaji. Konsert ini dedikasi untuk era 80-an. Apa yang kita ingat waktu 80-an, bas mini, putar alam atau lagu reggae?" tanyanya kepada penonton.

Katanya lagi, istimewanya konsert ini kerana ia adalah suara satu generasi.

"Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80-an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata.

"Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia," kata M Nasir yang tetap kelihatan 'steady' dan tidak kelihatan pun berhenti seketika untuk minum air.

Lagu yang diperdengarkan pada malam itu bukan lagu lama, tapi malar segar yang turut sama dinyanyikan penonton.

"Ini bukan muzik lama, tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80-an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi," katanya.

Tidak sah menyebut Kembara tanpa mengaitkan dengan S Shahlan dan Allahyarham A Ali yang meninggal dunia pada 21 November 2020.

SEBAHAGIAN daripada peminat yang menyaksikan Konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di Plenary Hall di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

M Nasir memilih menyanyikan lagu medley, Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang ciptaan A Ali untuk segmen Tribute To A Ali.

"Kami ada kawan A Ali, beliau sudah cipta lebih 500 lagu dan menjadi hit. Beliau masuk banyak kumpulan termasuk Sweet Charity, tapi tak sempat rakaman, beliau dah keluar.

"Beliau banyak cipta lagu untuk Kembara. Berikut adalah antara lagu ciptaannya," katanya.

Lagu dalam segmen ini ialah Impian Anak Jalanan, Buta Kerana Cinta, Kolar Biru, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Kupu-Kupu, Musim, Keroncong Untuk Ana, Keroncong Untuk Ana 2 dan Nyanyian Jiwa.

Selepas itu, peminat dibawa ke era filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani dengan kemunculan khas penyair popular, Pyan Habib yang membawakan watak Osman Tikus menerusi filem terbabit.

Lagu Balada Osman Tikus, Siapa Orang Kita, Rupa Tanpa Wajah, Harapan Terakhir dan Sesat Di Kuala Lumpur menghiasi segmen ini.

Persembahan selama hampir tiga jam ini diakhiri dengan rangkaian lagu menyengat Kembara iaitu Ekpress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana.

"Jutaan terima kasih kepada anda sekalian. Buat konsert mana tahu setahun sekali ke, lima tahun sekali ke, tapi hari ini anda sudah menyaksikan satu sejarah. 40 tahun dulu Kembara wujud.

"Anda dapat menyaksikan Kembara di atas pentas. Anda menjadi saksi," katanya penuh makna mendalam.

Khamis, Ogos 04, 2022

Puitis Kembara imbau nostalgia

petikan Berita Harian 4 Ogos 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Nyanyian M Nasir cukup santai, namun, vokalnya tetap padu dan ‘berjiwa’ terutama ketika menyanyikan lagu menyentuh hati.

KUALA LUMPUR: Malam minggu lalu, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara menjadi saksi detik pertemuan semula peminat tegar kumpulan yang cukup popular pada era 1980-an, Kembara.

Masing-masing datang dengan tujuan sama iaitu untuk berhibur dan mengenang kembali nostalgia lebih empat dekad lalu melalui konsert satu malam, Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

Menampilkan gabungan tenaga Zoul sebagai gitar utama dan penyanyi, Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) serta diketuai Datuk M Nasir sebagai penyanyi utama, tirai konsert dibuka dengan dendangan lagu Panorama Jingga disusuli Tarian Hidup dan Duit.

Usai menyanyikan lagu Duit, M Nasir, 65, sempat berkongsi sejarah dan latar belakang kumpulan yang tampil dengan album pertama pada 1981 itu.

"Kembara adalah kumpulan yang tidak pernah ada istilah ditubuh atau berpecah. Kami semua bekerja di studio dan dari situ kami bersama menghasilkan album 1440 Hijrah.

"Sehingga hari ini, kami sudah menghasilkan tujuh album. Ini bermakna kita ada 70 lagu. Kalau kami nyanyikan semua lagu, bermakna konsert ini akan tamat hingga waktu Zuhur esok," kata M Nasir berseloroh sambil disambut gelak ketawa penonton.

Persembahan kemudian diteruskan dengan dendangan lagu Rindu, Kepadamu Kekasih, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bungak Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

"Konsert ini saya dedikasi untuk era 1980-an. Apa yang kita ingat waktu itu? Bas mini, putar alam atau lagu reggae?" soal M Nasir kepada penonton sebelum mendendangkan lagu Rozita yang berentak reggae.

Bagi mereka yang sudah biasa menyaksikan konsert artis serba boleh ini, pasti dapat berasakan perbezaan yang ditampilkan malam itu.

Kali ini, nyanyiannya cukup santai. Namun, vokalnya tetap padu dan 'berjiwa' terutama ketika menyanyikan lagu yang menyentuh hati seperti Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Keroncong Untuk Ana 2.

Malah, penampilan penyanyi yang digelar sifu ini tidak seperti yang sering kita lihat ketika beliau menjayakan konsert solo.

M Nasir bergaya ranggi dengan mengenakan jaket, sesuai dengan konsep yang ditampilkan Kembara pada awal kemunculan mereka.

Bukan mudah untuk seorang penyanyi mendendangkan 30 lagu untuk satu malam. Apatah lagi, pada masa sama, perlu beraksi lincah di atas pentas. Namun, semua itu berjaya dilakukan M Nasir tanpa sebarang masalah.

Kumpulan Kembara pukau peminat dengan konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

Terbit rasa kagum apabila sepanjang tiga jam beraksi, tidak ada setitik air pun diteguk M Nasir untuk membasahkan tekak.

Meskipun ada lagu mereka berusia 40 tahun, namun, seperkara yang menarik mengenai Kembara adalah muzik dan liriknya yang puitis tetap relevan dengan situasi semasa serta tidak jemu didengar.

"Konsert ini adalah suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an. Muzik Kembara berbeza iaitu dari segi seni kata.

"Lagu kami banyak bertemakan kerakyatan dan ia memang menjadi ciri khas kami," katanya.

Tidak bercakap kosong, kehadiran penonton dari pelbagai lapisan usia membuktikan lagu Kembara tidak terbatas kepada kelompok umur tertentu sahaja.

Seronok melihat masing-masing menyanyi dan menari tanda betapa terhiburnya mereka dengan persembahan kumpulan pujaan itu.

Dalam pada berhibur, M Nasir tidak melupakan jasa serta sumbangan anggota asal, Allahyarham A Ali yang menyahut seruan Ilahi, dua tahun lalu.

"A Ali sudah pergi dan sepanjang hayatnya dia pernah menghasilkan lebih 500 lagu. Ini adalah lagu yang dihasilkannya," kata M Nasir sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang secara medley.

Persembahan diakhiri dengan lagu rancak Ekspress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana sekali gus menjadikan dewan itu gamat dengan gema suara penonton yang turut sama menyanyikan rangkaian lagu itu.

Kembara membawa dimensi baharu dalam arus muzik tempatan terutama pada era 1980-an apabila mengetengahkan genre kurang popular iaitu folks dan progressive rock.

Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah dianjurkan Shiraz Projects Sdn Bhd.

Rabu, Ogos 03, 2022

'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah', dedikasi Kembara pada era gemilang 80-an

 petikan Astro Awani 3 Ogos 2022

Abdul Malek Jamaluddin

Muzik Kembara akan terus mekar dan tidak mustahil menjadi rujukan generasi akan datang. - Foto Shiraz Production

KUALA LUMPUR : Malam 31 Julai 2022 bersamaan 2 Muharam 1444 Hijrah pastinya mencatat memori emas buat para peminat kumpulan Kembara.

Lagu pembukaan, Panorama Jingga memberi maksud secara terus kepada nama produksi itu, yang sudah lama dinanti-nanti angkatan peminat Kembara. Diberi nama 'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah', kemunculan mereka di atas pentas segera mengubat kerinduan terhadap persembahan konsert seumpamanya.

“Kami buat konsert setahun atau dua tahun sekali. Hari ini menjadi sejarah. 40 tahun dahulu Kembara wujud. Hari ini anda dapat mendengar Kembara, anda menjadi saksi (sejarah ini),” jelas Datuk M. Nasir.

Persembahan semakin rancak diteruskan dengan nyanyian lagu Tarian Hidup, Duit, Rindu, Kepadamu Kekasih dan Di Manakah Dikau.

“Terima kasih pada anda sekalian kerana datang ke konsert kami. Kembara ini tak pernah isytihar ia ditubuhkan dan tak pernah isytihar ia berpecah,” ujar sosok yang diangkat dengan panggilan 'sifu' oleh pemerhati industri itu.

Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) digamatkan dengan kehebatan muzik dan nyanyian, Datuk M. Nasir, Zulkifli Mohamed (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bas), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard). Pada usia 65 tahun, kehebatan vokal dan tenaga M. Nasir tidak dapat disangkal.

“Konsert ini dedikasi untuk era 80-an. Apa yang kita ingat waktu 80-an?” soal M. Nasir kepada para penonton lantas memperkenalkan muzik reggae yang popular pada zaman itu kepada para penonton melalui lagu Rozita.

Persembahan diteruskan dengan giliran nyanyian daripada Zoul, membawakan lagu Putar Alam dan Bunga Bakawali. M. Nasir pula menyambung nyanyian dengan lagu Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

Konsert semakin istimewa apabila satu segmen dituju khas buat A. Ali, antara ahli kumpulan terawal Kembara.

“Kita ada kawan A. Ali, dia telah cipta lebih 500 lagu dan menjadi hits,” kata M. Nasir memperkenalkan sahabatnya dan mendendangkan lagu ciptaan allahyarham iaitu Ada Sepasang Mata, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang.

Kumpulan Kembara pernah menghasilkan album berjudul Kembara (1981), Perjuangan (1982), Generasi Ku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

“Kembara ada tujuh album tetapi hanya ada beberapa lagu hit,” jelas M. Nasir. Beliau juga memberitahu, terdapat banyak lagu yang apabila didengar semula, mempunyai kualiti untuk menjadi hit.

Para penonton terbuai dengan emosi ketika lagu Mencurah Janji Ke Daun Keladi dialunkan, antara lagu yang sepatutnya meraih kemuncak perhatian pendengar, tapi tidak pada ketika itu.

M. Nasir terus menggamit memori para penonton yang membesar dengan lagu Keroncong Untuk Ana serta Keroncong Untuk Ana 2.

Malam semakin gamat dengan kemunculan Pyanhabib. Para penonton semakin teruja.

Visual dari filem Kembara Seniman Jalanan menjadi latar belakang ketika Osman Tikus (Pyanhabib) mendeklamasikan sajak bertajuk Balada Osman Tikus dan Belalang Kupu-Kupu (1993).

Pada sajak kedua, jika dirujuk kepada buku berjudul Balada Pyanhabib, terdapat sedikit perubahan beberapa rangkap yang menceritakan situasi semasa negara mendapat sorakan penonton.

Turutan lagu-lagu daripada filem kontroversi Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, skrip ditulis M. Nasir iaitu Balada Osman Tikus, Siapa Orang Kita, Rupa Tanpa Wajah dan Harapan Terakhir menyerikan lagi malam bersejarah itu.

Usai menyampaikan lagu identiti kumpulan Kembara Sesat Di Kuala Lumpur, M. Nasir mengucapkan selamat malam seperti menamatkan konsert malam itu. Semua pemuzik keluar dari pentas utama.

Namun, para penonton tidak berganjak dari tempat duduk dan bersorak mahukan persembahan disambung. Kemudian kelihatan M. Nasir muncul semula dan menyampaikan lagu Ekspres Rakyat.

“Bukan nak berbohong kepada anda semua, tapi taktik lama,” gurau M. Nasir diikuti gelak tawa para penonton.

Itulah M. Nasir yang suka bercanda dengan cara tersendiri. Beliau bukan saja mengusik jiwa pendengar dengan karya buat orang rasa dan berfikir.

Antara lain beliau berseloroh kepada para penonton dengan tawaran menyanyikan lagu Tiara versi P. Ramlee atau Bahasa Mandarin, sekali gus membuat para pemuzik keliru kerana tiada dalam perancangan. Usikan itu 'relevan' memandangkan lagu ciptaan beliau untuk kumpulan Kris itu sempat viral di media sosial.

Dewan menjadi hiruk-pikuk ketika M. Nasir menyanyikan lagu Ekpress Rakyat dan meminta para penonton menyanyi sebanyak empat bar muzik.

Pastinya malam keramat buat peminat kumpulan Kembara tidak lengkap dengan persembahan lagu Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana.

Semasa menyampaikan lagu Gerhana sebagai penutup, M. Nasir melompat turun dari pentas, membuat para penonton bersorak, menyerbu dan ada yang mengambil kesempatan berswafoto.

Turut didendangkan pada malam bersejarah itu ialah lagu Kolar Biru, Kupu-Kupu dan Impian Anak Jalanan.

Muzik Kembara akan terus mekar dan tidak mustahil menjadi rujukan generasi akan datang.

Setiap lagu mempunyai falsafah tersendiri dan muziknya sangat segar melangkaui zaman walaupun ada lagu yang berusia lebih 40 tahun.

Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd. turut diiringi oleh dua pemain muzik tambahan iaitu Kuzai (gitar) dan Adam (keyboard). Eja dan Awe pula bertindak selaku penyanyi latar.

Terima kasih Kembara untuk pengalaman terindah buat para penonton.