Jumaat, Januari 02, 2026

'Sifu' tiada istilah penat berkarya

petikan Harian Metro 2 Januari 2026

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bakal menginjak usia 69 tahun pada tahun ini, penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir mengakui tiada istilah penat atau mahu berehat daripada karier seni.

Bahkan seawal 17 Januari ini, diari seninya sudah dibuka dengan Konsert Gendang Pati @ UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak).

"Ya... saya dah mula awal. Tapi, saya ada 'benda-benda' lain yang saya sedang buat. Perancangan saya dalam enam bulan (akan datang) ini. Sebenarnya setahun sudah ada benda yang kita rencanakan untuk buat dan tengah buat.

"Antaranya kesinambungan Konsert Cipta dalam pertengahan tahun depan yang kita rancang. Tapi, sebelum itu ada lagi, persembahan lain, bukan dalam persembahan muzik.

"Dengan semua 'benda' ini, nampaknya belum ada lagi masa untuk saya rehat. Selagi boleh, saya akan terus berkarya. Istilah bersara pun belum ada," katanya.

Menurutnya, selepas kejayaan Konsert Gendang Pati di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan Singapura pada 2023, dia mahu meneruskan momentum itu dengan edisi seterusnya.

"Tapi, ia dah berlanggar dengan Cipta. Nanti saya akan rencanakan perancangan untuk yang itu (konsert), tak tahu kat mana lagi nak selit sebenarnya.

"Sebenarnya tujuan pertama dulu nak buat Gendang Pati dalam dua tiga tahun. Tapi, bila datang Cipta itu, ia macam sudah macam kacau sikit," katanya sambil ketawa.

Nasir berkata, Gendang Pati akan dipentaskan untuk siri ketiga dan dia gembira setiap perancangan yang dibuat menjadi fenomena.

"Macam saya, tujuan saya dulu nak popularkan muzik ini biar betul-betul masuk dalam saraf bangsa Melayu ini. Peminat muzik tempatan. Jadi, itu usaha saya untuk buat macam begitu.

M NASIR selepas sidang media Konsert Gendang Pati @ UPSI.

"Tapi, ia punya perjalanan itu agak tersekat-sekat juga. Ada 'benda-benda' lain. Orang takkan nak fikir saya sajakan? Cuma saya beruntung kerana peminat masih menyokong.

"Alhamdulillah, saya masih dapat sokongan peminat dan sahabat setia masih menyokong saya. Muzik sekarang ini sudah berubah dan ia sekarang ada fasa lain," katanya.

Turut dikongsikan tokoh yang juga dikenali dengan jolokan 'sifu' ini ialah perancangan menghasilkan album terbaru selepas album Sang Pencinta pada 2006 iaitu 19 tahun lalu.

Sesuatu yang ketara, namanya kini tercatat sebagai penyanyi paling aktif beraksi dengan konsert solo merangkumi tradisonal, kontemporari dan moden.

"Perancangan saya memang selalu ada. Ia akan jadi. Saya rindu untuk bekerjasama dengan generasi baharu seperti yang dibuat Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Saya boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada dari segi lagu, lirik dan sebagainya. Siapa pun boleh, tapi saya tak dapat nak perkatakan usaha seseorang itu.

"Kebanyakannya mempunyai kekuatan masing-masing. Tapi, belum nampak sangat mereka punya konsistensi ataupun mereka itu boleh terus, boleh sentiasa menghasilkan," katanya.

Tambahnya lagi, ramai penggiat seni sentiasa menghasilkan sesuatu yang kuat dan baharu, tapi selalu tidak sebagus yang sudah dibuat.

"Ia bukan macam dia dah buat 'hit', kemudian yang kedua itu dia buat lagi meletup. Fenomena itu kita sudah jarang jumpa sekarang," katanya yang membuat perbandingan berdasarkan pengalaman luasnya dalam dunia seni.

Dalam pada itu, M Nasir meletakkan keyakinan album terbaharunya dikeluarkan pada tahun ini walaupun sibuk dengan agenda seni.

Khamis, Disember 25, 2025

Apabila lukisan bernyanyi: M Nasir dan Resonans Muzikal dalam Seni Visual di Galeri PETRONAS.

petikan Astro Awani 25 Disember 2025

Zahari Hamzah

Karya M Nasir (kiri) menjadi jambatan paling jelas antara visual dan muzikal membuktikan bahawa kedua-duanya berkongsi akar yang sama: emosi, ingatan dan pengalaman manusia.

PAMERAN What Song Do You Hear When You See This Painting? yang berlangsung di Galeri PETRONAS, Suria KLCC, tampil melangkaui kerangka pameran seni visual konvensional.

Ia hadir sebagai satu eksperimen estetik yang mengajak khalayak menilai semula cara seni dialami bukan sekadar melalui penglihatan, tetapi menerusi ingatan deria, emosi dan gema muzikal yang terbit secara intuitif dalam kesedaran individu.

Dirasmikan oleh Ketua Galeri PETRONAS, Kerina Fauzi, pameran ini menandakan satu anjakan signifikan dalam pendekatan kuratorial tempatan.

Dalam landskap pasca keterpisahan sosial dan budaya, ketika masyarakat berusaha membina semula rasa kebersamaan selepas tempoh fragmentasi, pameran ini berfungsi sebagai ruang pertemuan antara visual, bunyi batin dan memori kolektif.

Menurut Kerina, seni kontemporari hari ini tidak lagi boleh dibaca secara linear atau tunggal.

Sebaliknya, ia wujud sebagai pengalaman berlapis yang menuntut tafsiran intuitif dan reflektif.

Sejajar dengan pendekatan tersebut, pameran ini tidak mengarahkan pengunjung tentang apa yang perlu dilihat, sebaliknya mengemukakan satu soalan terbuka: apakah lagu yang anda dengar apabila memandang sesebuah lukisan?

Tambah beliau, 12 seniman daripada pelbagai generasi dan latar, berpameran di Galeri PETRONAS ini mencerminkan ekologi seni visual Malaysia yang dinamik merangkumi kesinambungan tradisi moden serta penerokaan kontemporari yang bersifat interdisiplin telah berkerjasama dengan kurator jemputan, Jamal Afiq Datuk Jamaludin.

Antara tokoh penting yang diketengahkan ialah Dr Choong Kam Kow, seorang seniman multidisiplin Malaysia berusia 91 tahun, telah berkarya sejak era pra-kemerdekaan, dengan kerjaya seni yang merangkumi lebih tujuh dekad.

Dikenali sebagai “The Teacher” dalam kalangan generasi pendidik seni, akademik, dan tokoh-tokoh seni terkemuka di Malaysia, beliau dihormati bukan sahaja kerana karya-karyanya, tetapi juga sumbangannya sebagai pendidik dan pemikir yang membentuk landskap pendidikan seni negara.

Dengan latar pendidikan seni di Taipei dan New York, Dr Choong membawa gabungan unik antara tradisi Timur dan pendekatan Barat dalam praktik seninya.

Bahasa visual beliau yang reflektif dan struktural mencerminkan pengalaman budaya dan intelektual yang luas.

Karya-karyanya juga mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk penyertaan dalam koleksi The Metropolitan Museum of Art (The Met), New York.

Dalam pameran ini, kurator telah memilih karya Dr Choong dari tahun 1985 hingga 1994, termasuk siri “Rockscape” dan “Earthscape.”

Karya-karya ini lahir daripada pengalaman ekspedisi beliau ke Endau Rompin dan Taman Negara, serta memori zaman kanak-kanak beliau di Kinta, Perak.

Landskap yang digambarkan bukan sekadar representasi visual, tetapi medan pertemuan antara ingatan peribadi, pemerhatian alam, dan refleksi falsafah mengenai masa, bumi, dan kewujudan.

Melalui struktur geometri, kontras warna dan keseimbangan optikal, menghasilkan sensasi ritma yang menyerupai komposisi muzik minimalis.

Susunan visualnya seolah-olah bergerak dalam tempo terancang, seperti rangkaian not yang disusun kemas, mencetuskan pengalaman bacaan visual yang berlapis dan sistematik.

Keseluruhan karya Dr Choong Kam Kow menunjukkan kesinambungan pemikiran dan ketekunan seorang seniman yang merentasi zaman, menjadikannya sebagai rujukan penting dalam sejarah seni moden dan kontemporari Malaysia.

Sebaliknya, karya Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir merupakan seniman wanita (fine art artist) yang terkemuka menampilkan kehalusan warna dan struktur organik yang membentuk “melodi” visual yang lebih lembut dan harmonis.

Lapisan warna yang anggun menghadirkan suasana seakan alunan adagio perlahan, reflektif dan sarat dengan dimensi spiritual.

Pendekatan yang lebih senyap dan kontemplatif dapat dilihat dalam karya Datuk Tajuddin Ismail.

Komposisi minimalisnya mencipta ruang hening yang berfungsi seperti rest not dalam muzik - jeda yang memberi ruang renungan.

Dalam konteks pameran ini, karya beliau berperanan sebagai hentian meditatif yang mengajak pengunjung membaca makna melalui kekosongan dan keseimbangan abstrak.

Tenaga berbeza pula muncul melalui arca-arca karya Mad Anuar Ismail yang berasal daripada Terengganu.

Karya Mad Anuar mengangkat semangat kepahlawanan sering dizahirkan melalui tema-tema yang dekat dengan hatinya.

Rafiee Ghani dengan kecenderungan ekspresionis dan gerakan garisan yang dinamik, membebaskan warna sebagai satu bentuk gerak.

Karyanya menyerupai improvisasi jazz yang spontan, bebas dan kadangkala memberontak, namun tetap berlandaskan struktur dalaman yang kukuh.

Rafiee Ghani yang terkenal dengan keghairahan warnanya; percikan warna, tekstur dan jalinan permukaan menghasilkan kesan orkestrasi penuh, seolah-olah kanvasnya “bernyanyi” melalui ledakan emosi yang intens.

Naratif, Memori dan Geografi Emosi Chang Fee Ming, tokoh tersohor seni cat air kontemporari Malaysia, membawa dimensi naratif yang kuat ke dalam pameran ini.

Dikenali melalui visual yang kaya dengan warna, perincian dan kehidupan seharian, pendekatan beliau berakar daripada pengalaman pengembaraan merentas Asia.

Proses lakaran langsung di lokasi, interaksi bersama komuniti setempat serta pengumpulan objek budaya menjadi asas kepada penterjemahan visual yang menangkap roh sesuatu tempat.

“Setiap perjalanan saya bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk memahami. Saya melukis di tempat sebenar, hidup bersama komuniti setempat dan mengumpul objek-objek harian yang mencerminkan budaya mereka. Semua ini membantu saya merakam bukan sahaja rupa sesuatu tempat, tetapi juga jiwanya,” jelas Chang Fee Ming.

Dalam pameran ini, Chang Fee Ming memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang ditemuinya sepanjang jelajah kepulauan Asia, menghubungkan figura tersebut dengan unsur bumi dan laut.

Digambarkan melalui rutin harian, wanita-wanita ini muncul sebagai nadi komuniti yang menjaga dan tonggak kehidupan yang sering tidak disedari.

Karya-karya ini menghadirkan “lagu-lagu sunyi” yang berakar pada memori geografi, sebuah balada lembut yang diam tetapi mendalam maknanya.

Manakala dalam bidang seni cetakan, karya Juhari Said menawarkan struktur ritma yang lebih tegas.

Teknik blok kayu yang berulang dan kontras gelap-terang menghasilkan kesan perkusif - ketukan visual yang konsisten dan berdaya naratif. Setiap potongan menjadi rentak yang mengukuhkan intensiti pengalaman pameran.

Sementara itu, seniman muda dari Tawau, Sabah, Chok Yue Zan, mempersembahkan realisme kontemporari yang terfragmentasi.

Lapisan imejnya mencipta kesan gema atau reverb, di mana visual berfungsi sebagai memori yang berganda, bukannya representasi tunggal.

Pendekatan berbeza ditampilkan oleh Dr Lyne Ismail, yang menggabungkan latar sains nanoteknologi dengan praktik seni halus.

Dalam tiga karya utamanya Second Intelligence, Fractal Diffraction/Cinta dan Monolife/Jiwa Dr Lyne meneroka kebijaksanaan dalaman, kesedaran emosi dan penyatuan spiritual.

Karya ini menghubungkan sains, emosi dan kerohanian dalam bahasa visual yang kontemplatif dan puitis.

Menurut Dr. Lyne Ismail, “Saya tidak cuba menggambarkan sains. Saya mengalaminya, dan membiarkan pengalaman itu membentuk karya.”

Perspektif Global dan Ledakan Visual Tiga karya Michelle Yap pula memperlihatkan pendekatan multidisiplin yang dipengaruhi pengalaman global.

Lulusan Central Saint Martins, London, Michelle menggabungkan falsafah Timur dengan teknik Barat, menghasilkan karya yang berani, optimistik dan berlapis dari segi tekstur serta warna. Sapuan kaligrafi, kontras kuat dan warna pop menjadi identiti visualnya.

Dalam pameran ini, dua karya beraksara Cina yang melambangkan Keberanian (勇) dan Ketenangan (舒) dipersembahkan sebagai refleksi nilai kehidupan yang saling melengkapi.

Karya Blooming Skies pula menutup pengalaman visual dengan nada cerah, menzahirkan harapan dan keseimbangan emosi.

Secara keseluruhan, karya Michelle menghasilkan “bunyi” visual yang bertenaga dan agresif seumpama hentakan dram atau petikan gitar elektrik yang mengisi ruang

Dari kiri Jamal Afiq, Kerina Fauzi, Naib Presiden Hubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS, Ir Norafizal Mat Saad, M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa.

M Nasir: Apabila muzik menjelma sebagai lukisan

Kemunculan Datuk M Nasir sebagai satu-satunya seniman berlatarbelakangkan muzik memberikan dimensi yang unik dan signifikan kepada pameran ini.

Buat pertama kalinya, karya catan beliau dipamerkan di Galeri PETRONAS — ruang yang selama ini sinonim dengan gema suaranya sebagai pemuzik dan penyanyi di Dewan Filharmonik PETRONAS.

Lulusan Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura, M Nasir mengemukakan bahasa visual yang simbolik, mistikal dan introspektif.

Warna bumi, struktur organik dan elemen spiritual membentuk satu suara batin yang kuat sebagai sebuah kesinambungan daripada dunia muzik yang telah lama membentuk identitinya.

Berbeza dengan seniman lain yang menggunakan muzik sebagai metafora, karya M Nasir sendiri berfungsi seperti lagu.

Garis-garis dalam lukisannya mengalir seperti melodi, manakala lapisan warna disusun seakan struktur muzik: nada rendah yang berterusan seperti drone bass, palet tanah sebagai mid-tone, dan cahaya sebagai not tinggi yang menyuluh makna.

Lukisan-lukisan ini tidak sekadar dilihat, tetapi dirasakan dan “didengar” secara intuitif.

Dalam konteks pameran ini, karya M Nasir menjadi jambatan paling jelas antara visual dan muzikal membuktikan bahawa kedua-duanya berkongsi akar yang sama: emosi, ingatan dan pengalaman manusia.

Dari melihat ke mengalami

Jamal Afiq, selaku kurator jemputan Galeri PETRONAS telah mengstrukturkan pameran ini bagi mengelakkan pembacaan sejarah yang kaku.

Sebaliknya, ia menggalakkan pengalaman multisensori, di mana karya seni berfungsi sebagai sumber resonans yang hidup.

Tambah Jamal, persoalan tentang “lagu” yang muncul ketika melihat lukisan bukan sekadar retorik, tetapi satu pendekatan epistemologi baharu untuk menggabungkan deria, emosi dan memori sebagai cara memahami seni.

Melalui inisiatif digital seperti #HearTheArt dan #GaleriPETRONAS, respons pengunjung membentuk satu arkib suara kolektif yang mencerminkan kepelbagaian tafsiran dan pengalaman.

Seni sebagai lagu kolektif

Pameran What Song Do You Hear When You See This Painting? bukan sahaja memperluas wacana seni visual Malaysia, malah membuka ruang dialog yang lebih inklusif antara seniman dan khalayak.

Dengan menghimpunkan pelbagai generasi dan pendekatan, pameran ini membuktikan bahawa seni hari ini bukan sekadar untuk dilihat tetapi untuk didengar, dirasa dan dihidupkan dalam imaginasi kolektif.

Jika sebuah imej sering dikatakan bernilai seribu kata, pameran ini membuktikan bahawa sebuah lukisan juga mampu melahirkan seribu lagu dan dalam konteks ini, karya M. Nasir mengingatkan kita bahawa muzik dan seni visual, pada dasarnya, berkongsi denyut yang sama.

Pameran What Song Do You Hear When You See This Painting? berlangsung sehingga 26 April 2026 di Galeri PETRONAS, di aras 3, Suria KLCC.

* Zahari Hamzah merupakan pengkritik dan pemerhati teater Malaysia yang aktif menulis tentang seni persembahan kontemporari, tubuh dan bahasa dalam konteks budaya Melayu moden.

Beliau pernah menulis dan mengarah beberapa muzikal serta dramatari di Dewan Filharmonik PETRONAS, antaranya Muzikal Pap Pandir, Demang Lebar Daun, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman dan Puteri Intan Baiduri selain terlibat sebagai pelakon dan tenaga produksi teater tradisional Mak Yong dan Mek Mulung.

Beliau merupakan graduan Sarjana Pengajian Seni dari UPSI.

Jumaat, Disember 05, 2025

Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi MACP kekal milik M Nasir

petikan Utusan Malaysia 5 Disember 2025

Oleh -siti Athirah Dzulkifly

KUALA LUMPUR: Komposer ternama tanah air, Datuk M. Nasir, sekali lagi mengukuhkan reputasinya apabila dinobatkan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025 yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Tokoh muzik legenda itu mengetepikan saingan rapatnya, Saari Amir dan Ezra Kong, sekali gus mempertahankan gelaran yang turut diraihnya pada edisi lalu.

Menurut M. Nasir, pengiktirafan tersebut adalah hasil sokongan semua pihak yang sentiasa berada di belakangnya.

“Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada keluarga, isteri serta anak-anak,” katanya sejurus menerima anugerah berkenaan.

Komposer tersohor itu turut merangkul kemenangan bagi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu ikonik Tiara, mengatasi saingan karya Gatal (Aepul Roza) serta Qing Fei De Yi (Tang Xiao Kang/Zhang Guo Xiang).

Bagaimanapun, syarikat rakaman milik beliau, Luncai Emas Sdn. Bhd., terpaksa melepaskan gelaran Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi kepada Taja Archive Sdn. Bhd.

Dalam kategori lain, Lagu Melayu Persembahan Tertinggi menjadi milik Sayunk I Love You ciptaan Hari dengan lirik oleh Ajim Maze.

Bagi Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi, kemenangan berpihak kepada Old Love hasil nukilan Yuji.

Sementara itu, komposer muda Firdhaus terus menyerlah apabila sekali lagi memenangi kategori Lagu Cina Persembahan Tertinggi melalui karya Zai Jia Na Gong He Guo Li Hun.

Bintang berusia 25 tahun itu turut diiktiraf sebagai Komposer Muda Berpotensi.

Kategori Lagu Tamil Persembahan Tertinggi pula menyaksikan kejayaan Yennode Macha, ciptaan Zubir Khan & Music Kitchen, dengan lirik turut ditulis Zubir Khan.

Di peringkat penerbitan, Warner Chapel Music muncul Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi, mengetepikan Sony Music Publishing serta mengambil alih kedudukan Universal Music Publishing yang menang tahun lalu.

Bagi kategori Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi, kemenangan diraih karya Dawai ciptaan komposer Indonesia, Hendro Djasmoro.

Satu lagi penghargaan istimewa, Anugerah Nadi Cipta, diberikan kepada komposer berpengalaman Eddie Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Adenan, 63, atas sumbangan besarnya dalam dunia muzik.

Majlis anugerah MACP 2025 yang memasuki edisi ke-36 itu dikendalikan oleh pengacara Hunny Madu, dan diserikan dengan persembahan artis termasuk Ella, Ezad Lazim, Iman Troye, Firdhaus serta Sophia Liana.

Khamis, November 20, 2025

Siti Saleha, M Nasir antara dilantik Profesor Adjung Taylor’s University

petikan Astro Awani 20 November 2025

TAYLOR'S University mengumumkan pelantikan empat tokoh tersohor dalam industri seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).

Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti terbabit dalam merapatkan jurang antara pengajian akademik dan amalan profesional, serta memperkasa pelajar melalui bimbingan langsung daripada penggiat terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.

Bagi pengkhususan Persembahan, pelakon Siti Saleha Mohd Baharum dan aktres, Datin Marlia Musa bakal membawa pengalaman luas serta pandangan mendalam daripada ekosistem seni persembahan negara.

Pengkhususan Muzik pula akan diperkaya dengan penglibatan penulis lagu, komposer dan penerbit iaitu Datuk Mohamad Nasir Mohamed Sam (M Nasir) yang telah membentuk industri muzik Malaysia lebih daripada empat dekad.

Selain itu, Pengkhususan Tarian akan dibimbing oleh seorang penari balet bertaraf antarabangsa, bekas Principal Ballerina, dan Pengarah Pembangunan Artistik bagi Ballet Nights di Asia Tenggara iaitu Maria Sascha Khan.

Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Taylor’s University, Raziman Sarbini berkata bimbingan tokoh-tokoh ini akan memberikan pelajar pengalaman industri yang lebih nyata sekali gus meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka. -- Gempak

Khamis, November 13, 2025

Penulis lirik Hairul Anuar genggam PhD, kaji karya M Nasir

petikan Berita Harian 13 November 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Dr Hairul Anuar ( dua dari kanan) dan Dr Nasir (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan Institut Peradaban Melayu UPSI. - Foto ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Namanya sudah gah dalam dunia penulisan lirik tanah air, namun semangat untuk menimba ilmu terus membara bagi Dr Hairul Anuar Harun, 50, yang berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen Ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau menerima pengiktirafan tersebut daripada Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada sesi pertama istiadat.

"Proses penyelidikan dan penulisan tesis mengambil masa tiga tahun penuh, diikuti setahun bagi kelulusan. Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu keputusan, namun saya terpaksa berkeras menamatkan apa yang telah dimulakan. Alhamdulillah, tahun ini semuanya selesai," katanya.

Dr Hairul dikenali sebagai penulis lirik berpengalaman yang telah menghasilkan lebih 300 karya, termasuk lagu-lagu popular seperti Cindai, Balqis dan Hati Kama.

Beliau mendedahkan inspirasi penulisan datang daripada minat membaca dan menelaah karya seni sejak usia muda.

"Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat dan industri.

"Tesis saya pula mengkaji karya M Nasir, satu kajian pertama seumpamanya di dunia, jadi cabarannya sangat unik," katanya.

Dr Hairul menekankan bahawa proses analisis dan penyelidikan dalam penulisan lirik atau karya akademik mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya memerlukan pemahaman ilmu sebelum menghasilkan karya bermutu.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan yang diterima sepanjang pengajian, serta berharap kajiannya menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai peradaban Melayu dan warisan muzik negara.

Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI tahun ini menyaksikan pengurniaan ijazah kepada 7,173 graduan dari pelbagai peringkat pengajian, termasuk sarjana, doktor falsafah dan diploma, berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025.

Sementara itu, penyelia tesis Dr Hairul, Prof Madya Dr Mohd Azam Sulong, atau lebih dikenali sebagai Azam Dungun dalam dunia muzik, memuji pengalaman luas Hairul sebagai kelebihan dalam memperolehi data penyelidikan.

Selain Dr Hairul, graduan Institut Pengajian Melayu (IPM) termasuk Dr Nasir Razali, berjaya menamatkan PhD menerusi tesis bertajuk "Naskhah Drama Absurd Ismail Kassan Berdasarkan Konsep Estetika Bersepadu".


Tambahan pautan: 

Akal Budi Melayu dalam Karya M. Nasir - artikel oleh Dr Hairul Anuar mengenai karya M.Nasir yang diterbitkan dalam Jurnal Peradaban Melayu Bil. 2, Jilid 18, 2023

Ahad, November 09, 2025

Aznan raih kepercayaan 'sifu'

petikan Harian Metro 9 November 2025

Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my

KELIBATNYA sebagai 'guitar hero' mengiringi persembahan artis ternama terutama Datuk M Nasir tidak dapat dinafikan lagi. Gaya dan skil permainan yang hebat ternyata menjadi kelebihan buat Aznan Alias.

Bagaimanapun Aznan, 57, yang mesra disapa sebagai Nan berkata, dia aktif bermain muzik sejak di bangku sekolah dan bermula sebagai pemain dram sebelum beralih kepada gitar.

"Mulanya saya main dram dan bila berumur sekitar 11 atau 12 tahun, saya main dekat majlis orang kahwin dan main bass. Selepas itu saya mula bermain di kelab.

"Habis sekolah, saya sempat masuk kolej sekejap dan selepas itu berhenti dan terus cuba nasib dalam industri muzik. Masa itu saya dengan Roy Ratnaku untuk album pertamanya.

"Tapi sebelum itu saya ada terbabit sebagai 'sessionist' (pemuzik undangan) untuk artis Cina terbitan syarikat rakaman Happy Records. Selepas itu terjumpa Roy. Kami buat band dan main di kelab.

"Masa itu Roy baru nak buat album dia. Dan itu juga 'first time' (pertama kali) saya 'session' M Nasir panggil datang untuk cuba satu lagu untuk album pertama Roy berjudul Nekad. Kalau tak salah tajuknya Tanpa Mata Hati," kata Nan yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Karier Nan makin berkembang ketika remaja apabila mendapat kepercayaan penyanyi dan komposer terkenal terbabit.

"Setahun main kelab dengan Roy, saya pun berhenti. Kemudian Allahyarham Bob Lokman cari saya dan beritahu M Nasir nak jumpa dan ajak buat band Gong.

Nan (kanan) pernah bergandingan dengan Allahyarham Jay Jay.

"Dari situlah saya mula dengan M Nasir. Saya terbabit dengan pelbagai 'show' dia dan rakaman album. Tapi saya banyak terbabit dengan studio sebab hari-hari buat lagu dan session.

"Saya bebas dan tak terikat dengan M Nasir tapi dia banyaklah job dan bagi saya juga. Waktu itu dia banyak terbitkan album. Tapi pada masa sama, saya terbitkan dan session untuk ramai artis," katanya.

Aznan berkata, hampir semua album dia terbabit dan pernah bekerja dengan Allahyarham A Ali dan Allahyarham Zalikamari serta beberapa komposer lain.

"Alhamdulillah... jadi dari situlah yang berkembang dan buat keputusan yang saya tak nak sangatlah main untuk 'dinner show'.

"Saya selesa bekerja di studio sahaja. Dalam studio itu, saya bekerja dengan Firdaus dan Rafi.

NAN (kiri) ketika bersama Roy Ratnaku.

"Kami semua bila dah duduk studio, macam-macam nak buat, terbitkan album, buat lagu dan macam-macam lagi. Jadi perjalanan saya segala-galanya bermula di studio," katanya.

Aznan juga bertindak sebagai penolong penerbit album Strategi kumpulan May terbitan kumpulan terbabit pada 1991.

Selepas 20 tahun, M. Nasir sedia keluar album baru

petikan SeniMalaya 9 November 2025

Oleh: Ku Syafiq Ku Fozi

SAYA memandang beliau sebagai manusia yang dalam. Patah kata, renungan mata dan lebih dalam lagi bila dia memejam mata menikmati muzik, memegang kejap mikrofon lalu melantang suara mendendang lagu.

Pastilah, tak ada manusia sempurna. M. Nasir pun tak sempurna. Mungkin dalam topik tertentu beliau akan cetek tapi soal muzik, seni dan hidup, saya memandang dia sebagai manusia yang dalam.

Spencer Kornhaber menulis di The Atlantic, menganggap Brian Eno sebagai artis-intelektual kerana perintis muzik ambien itu sering berhenti selepas setiap soalan, berfikir sebelum melontarkan apa-apa jawapan. Nampak mudah sangat gelaran itu diberi tetapi hal sama saya rasa pada M. Nasir. Beliau bukan sahaja berhenti, malah berkali-kali mendekatkan telinga ke muka saya, mahu pastikan soalan saya didengar tepat. Kemudian beliau berhenti dan berfikir, dan jawapannya kadang-kadang tersekat-sekat; terjeda lama.

Teori saya, sekat dan jedanya itu untuk menyusun idea dalam kepala. Beliau mahu penjelasannya dapat difahami dan lebih penting lagi, tidak disalah tafsir. Saya juga fikir, beliau bergelut mahu meringkaskan kata-katanya sebab, mungkin beliau fikir, tak semua orang boleh hadam bahasanya jika beliau menjawab mengikut laras fikirannya.

Ada sekali, terpacul dari mulutnya, “Kadang-kadang, kita cakap ni terlalu simbolik. Orang pun masih tak faham.”

Saya cuba mengorek rahsia: bagaimana dulu beliau boleh buat hal-hal tidak komersial dan berat, seperti memasukkan idea Fariduddin Attar dan Hamzah Fansuri, menjadi komersial dan popular? Saya fikir, itu legasi M. Nasir (bersama regu-regu lazimnya) yang paling unik. Beliau antara manusia yang buat mat rock buka kamus, buka buku syair, borak falsafah, mengenal diri, mengupas alegori. Beliau memeluk tubuh dan mendongak kepala. “Macam mana boleh jadi?” Beliau ulang soalan.

“Dia mesti kena dengan penyampaian. Macam filem, semua mesti kena dengan penyampaian. Kalau penyampaian bagus, apa bentuk pun orang boleh suka. Tak kiralah bentuk kampungan atau terlampau poppish, produksi dan persembahan itu paling penting.”

“Maknanya, luaran perlu (mampu) tarik orang masuk ke dalam?” Saya mencelah.

“Ya,” beliau kata. “Luaran tu sebenarnya dalaman. Kalau luaran kosong, tak boleh.” Ketika itu beliau berkata tentang simbolik.

Meringankan yang berat

Ketika beliau memetik filem sebagai contoh pertama, mungkin beliau terkenang filem sulungnya, Merah, yang membawa isu-isu berat seperti jenayah kemanusiaan dan perjalanan keinsafan, namun tetap berjaya pecah panggung.

Merah diterbit, diarah dan ditulisnya dengan keinginan membawa pembaharuan dalam filem Malaysia tetapi tidaklah begitu ekstrem kerana, mungkin, beliau faham kepentingan menyeimbangkan kehendak seni dengan komersial. Maka tema cinta diselit menjadi pelaris. Malah, tugas pengedaran diserahkan kepada Skop Productions yang masih agak segar dengan kejayaan monumental kutipan lebih RM4 juta dari filem Sembilu.

Merah tidak menjadi filem yang disebut-sebut orang sehingga kini atau dianggap khazanah seni terbaik Malaysia tetapi pada ketika itu, ia mencapai kejayaan seimbang yang cemerlang. Kutipan tiket jutaan ringgit dan dalam masa sama, gemilang di majlis anugerah.

Tetapi di kafe Hetam+, Damansara Perdana, ketika temubual kami berlangsung, saya lebih teringatkan lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud. Ia lagu yang juga sama terbilang—menang besar di majlis anugerah dan antara karya M. Nasir yang paling popular. Topiknya berat: sebuah tafsiran terhadap syair legenda Fariduddin Attar, Musyawarah Burung yang digubah menjadi komersial.

Sebelum Tanya Sama Itu Hud-Hud, M. Nasir pernah guna alegori burung dalam lagu lain, iaitu Senandong Unggas yang dinyanyikan kumpulan nasyid pop, Al-Jawaher. Rujukannya kepada Musyawarah Burung lebih longgar dan kabur tapi dalam temu bual itu beliau sahkan, memang syair itu menjadi rujukannya untuk lagu tersebut.

Saya berteori lagi, mungkin M. Nasir sudah khatam industri ketika menerbitkan Tanya Sama Itu Hud-Hud, maka gubahan lagu itu lebih komersial dengan korus bercangkuk yang mengundang sing-along. Orang boleh nikmati lagu itu tanpa perlu berfikir berat, berbeza dengan Senandong Unggas yang intens sejak awal.

Hal sama dibuatnya apabila bekerjasama dengan penulis lirik, yang banyak dalam kalangan kawan-kawannya, yang selalu ada benda berat mahu disampaikan. Lihat apabila Buddhi Hekayat mahu bercerita tentang awan dan, sesetengah orang mendakwa, tafsiran kasih Tuhan dari aliran sufisme dalam Awan Nano.

Gubahan melodi balada yang ringan dan mesra telinga digubah M. Nasir, menjadikan ia kejayaan komersial dan ikonik, tanpa meninggalkan kualiti. Sama ada ditafsir sebagai lagu kasih bapa atau Tuhan, ia bukan tema popular tapi tetaplah lagu itu menjadi popular.

Selepas 20 tahun

Dalam usia yang menghampiri tujuh dekad, M. Nasir menjadi penyanyi yang paling aktif beraksi dengan konsert solo. Ia tradisional—sejak dulu konsert solo menjadi pentas ujian terbesar penyanyi, walaupun amalannya semakin terhakis sekarang. Tetapi beliau setia dengan tradisi itu.

Cuma ada satu tradisi yang dah lama beliau tak buat, yang membuatkan saya sedikit kecewa. Sudah 19 tahun beliau tidak muncul dengan album penuh. Tahun depan, genap 20 tahun selepas penerbitan album terakhirnya, Sang Pencinta.

Saya membandingkan beliau dengan Iwan Fals, memandangkan kedua-duanya menerbitkan album sulung pada tahun sama: 1979. Iwan Fals dengan Perjalanan, M. Nasir dengan nama Mohamed M.N. muncul dengan Untuk Pencinta Seni.

“Tahun lepas Iwan Fals terbitkan dua album. Datuk tak ada rancangan nak terbitkan album?” Saya menduga.

“Saya memang selalu ada rancangan,” katanya. Cepat saya mencelah, sebab ia sesuatu yang mengujakan. Saya mahu ia cepat-cepat terbit. Saya tanya, rancangan ada tapi akan jadi terbit atau tak? “Rasanya akan jadi,” jawabnya. Dan katanya, ia mungkin terbit pada awal tahun hadapan.


Ia mungkin album yang sarat dengan penglibatannya sendiri, atau regu-regu lazimnya. Beliau tak menjawab panjang apabila ditanya tentang kolaborasi dengan wajah-wajah baharu. Beliau menuntut konsistensi pada bakat baharu dan ia sesuatu yang sukar dilihat pada zaman ini. Zaman trend bertukar empat kali setahun.

Saya tak begitu pedulikan apa bentuk kerjasama yang ingin dibuat. Tak semua penyanyi lama yang bergabung dengan pencipta baharu mencipta kejayaan, malah lebih banyak yang gagal. Yang penting, beliau masih berselera mahu hasilkan album penuh.

Temu bual yang saya buat bukanlah temu bual eksklusif berdua, ada wartawan lain yang ikut serta. Ia dijalankan selepas sidang media Konsert Gendang Pati M. Nasir di UPSI, Tanjung Malim pada Januari nanti. Disebabkan itu, saya tak tanya semua soalan yang saya ada.

Kalau diberi ruang yang lebih lama dan eksklusif, ada banyak lagi soalan yang saya nak aju.

Saya masih ingat, ketika satu acara memperingati arwah Loloq, M. Nasir hadir dan berbicara sedikit. Saya ambil kesempatan itu untuk bertanya tentang lirik Balada Seorang Teman tetapi dipotong panelis, sebab M. Nasir hanya hadir sebagai penonton hari itu. Saya masih peram dendam, mahu jawapan dari mulut beliau sendiri.

Begitu juga tentang rujukan muziknya yang pelbagai, amalan-amalan dalam proses penulisannya serta cerita-cerita spesifik tentang lagu: bagaimana idea asal lagu Latin boleh berubah menjadi Ghazal Untuk Rabiah, kenapa tak dikeroncongkan saja Keroncong Nostradamus, apa yang buat beliau sayu melagu Hijab Kekasih. Kalau ada kesempatan, saya mahu jawapan untuk semua soalan itu.

– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

Selasa, November 04, 2025

M Nasir anggap Wings gaduh adik-beradik

petikan Berita Harian 4 November 2025

Oleh Ridzuan Abdul Rahman 

M Nasir pada sidang media Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir anjuran UPSI. Foto NSTP/Raihana Mansor

PETALING JAYA: "Saya tidak ada komen sebab saya rasa ini klasik sebuah cerita kumpulan," kata penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir mengulas isu pengunduran Eddie dan Black daripada kumpulan rock legenda, Wings.

Komposer yang turut dikenali dengan gelaran 'sifu' kerana bertanggungjawab menaikkan ramai artis termasuk Wings ini berkata, situasi ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

"Apa sebab orang bergaduh pun, macam-macam sebablah. Kalau kita nak korek, kita boleh korek kalau nak, pergilah tanya mereka.

"Tetapi yang betulnya, cara penyampaian orang itu bercerita tentang masalah itu yang penting. Kita tengok dari luar, kita jadi juri. Mana yang betul, mana yang tak.

"Tetapi, mereka di dalam, mereka yang merasakan benda itu. Dia tak nampak daripada luar. Jadi dia buat keputusan berasaskan dari emosi," katanya pada sidang media Konsert Gendang Pati @ UPSI di sebuah hotel di sini, semalam.

M Nasir yang mengharapkan semuanya berakhir dengan baik, turut menyifatkan apa yang berlaku ibarat pergaduhan adik-beradik.

"Kadang-kadang sampai mati pun ada," katanya penuh mendalam.

Ditanya kesediaannya menonton Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadual pada 28 November ini, M Nasir berkata, dia akan cuba mencari masa menikmatinya.

Terdahulu, Eddie, iaitu pemain bes dan Black (dram) mengejutkan peminat industri hiburan tanah air apabila mengumumkan pengunduran mereka daripada Wings pada 8 Oktober lalu.

Sementara itu, M Nasir akan menjayakan Konsert Gendang Pati anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tahun depan.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) ini akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI pada 17 Januari depan.

UPSI hidupkan semula Konsert Gendang Pati bersama M Nasir

petikan Astro Awani 4 November 2025

PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal mementaskan Konsert Gendang Pati @ UPSI pada 17 Jan 2026 di Dewan Tuanku Canselor dengan menampilkan legenda muzik negara Datuk Dr M.Nasir.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) itu merupakan kesinambungan konsert asal Gendang Pati yang pernah dipentaskan M Nasir lebih dua dekad lalu, namun kali ini diberi pembaharuan bagi disesuaikan dengan masa dan konteks universiti.

M.Nasir berkata konsert itu bukan sekadar persembahan pentas, sebaliknya ruang untuk pelajar mendapat pendedahan sebenar tentang tahap persembahan bertaraf industri dan disiplin kerja profesional dalam bidang muzik.

"Tahap persembahan industri dengan peringkat pelajar memang berbeza. Jadi saya nak beri satu pendedahan yang sebenarnya mahal harganya. Mereka akan tahu bagaimana dunia profesional berfungsi tanpa perlu keluar jauh dari universiti," katanya pada sidang media selepas pengumuman konsert itu, di sini semalam.

Beliau berkata konsert itu turut melibatkan kerjasama pelajar UPSI daripada pelbagai kumpulan termasuk Devokalis, kumpulan koir rasmi UPSI serta pasukan gendang dan tarian yang akan mengiringi persembahan utama.

Beliau berkata konsert itu akan menghimpunkan karya-karyanya yang merentasi generasi seperti Apokalips, Melawan Arus, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan pelbagai lagi lagu yang membentuk landskap muzik tempatan selama lebih empat dekad.

"Kalau nak ada cerita, kita boleh bentuk naratif dalam persembahan itu. Selalunya saya memang masukkan elemen cerita supaya perjalanan lagu-lagu itu lebih tersusun dan penonton dapat rasakan mesejnya," katanya.

Sementara itu, Dekan FMSP Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata konsert tersebut bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar untuk memahami aspek teknikal, artistik dan pengurusan acara berskala besar.

Beliau berkata sebelum konsert berlangsung, satu bengkel khas bersama-sama M.Nasir akan diadakan sebagai platform eksklusif untuk pelajar muzik, teater dan tari menimba pengalaman industri sebenar termasuk aspek teknikal pentas.

"Selain memberi pengalaman langsung kepada pelajar, hasil jualan tiket akan disalurkan kepada dana wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik," katanya dan menjelaskan setakat ini 30 peratus tiket telah terjual.

Tempahan tempat duduk boleh dibuat melalui pautan http://t2u.asia/e/46312 dengan harga tiket dari RM88 hingga RM308.-- BERNAMA

Jumaat, Oktober 17, 2025

SEGALANYA BAGAIKAN 'MISTERI' - DATUK DR M NASIR

 sumber Youtube Tanah Berdaulat TV


“Ia seperti satu misteri,” ujar beliau.

Saksikan temu bual eksklusif bersama Datuk Dr. M. Nasir dalam podcast Xklusif Bersama Syahril, yang  disiarkan di saluran YouTube Tanah Berdaulat TV