Ahad, November 09, 2025

Aznan raih kepercayaan 'sifu'

petikan Harian Metro 9 November 2025

Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my

KELIBATNYA sebagai 'guitar hero' mengiringi persembahan artis ternama terutama Datuk M Nasir tidak dapat dinafikan lagi. Gaya dan skil permainan yang hebat ternyata menjadi kelebihan buat Aznan Alias.

Bagaimanapun Aznan, 57, yang mesra disapa sebagai Nan berkata, dia aktif bermain muzik sejak di bangku sekolah dan bermula sebagai pemain dram sebelum beralih kepada gitar.

"Mulanya saya main dram dan bila berumur sekitar 11 atau 12 tahun, saya main dekat majlis orang kahwin dan main bass. Selepas itu saya mula bermain di kelab.

"Habis sekolah, saya sempat masuk kolej sekejap dan selepas itu berhenti dan terus cuba nasib dalam industri muzik. Masa itu saya dengan Roy Ratnaku untuk album pertamanya.

"Tapi sebelum itu saya ada terbabit sebagai 'sessionist' (pemuzik undangan) untuk artis Cina terbitan syarikat rakaman Happy Records. Selepas itu terjumpa Roy. Kami buat band dan main di kelab.

"Masa itu Roy baru nak buat album dia. Dan itu juga 'first time' (pertama kali) saya 'session' M Nasir panggil datang untuk cuba satu lagu untuk album pertama Roy berjudul Nekad. Kalau tak salah tajuknya Tanpa Mata Hati," kata Nan yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Karier Nan makin berkembang ketika remaja apabila mendapat kepercayaan penyanyi dan komposer terkenal terbabit.

"Setahun main kelab dengan Roy, saya pun berhenti. Kemudian Allahyarham Bob Lokman cari saya dan beritahu M Nasir nak jumpa dan ajak buat band Gong.

Nan (kanan) pernah bergandingan dengan Allahyarham Jay Jay.

"Dari situlah saya mula dengan M Nasir. Saya terbabit dengan pelbagai 'show' dia dan rakaman album. Tapi saya banyak terbabit dengan studio sebab hari-hari buat lagu dan session.

"Saya bebas dan tak terikat dengan M Nasir tapi dia banyaklah job dan bagi saya juga. Waktu itu dia banyak terbitkan album. Tapi pada masa sama, saya terbitkan dan session untuk ramai artis," katanya.

Aznan berkata, hampir semua album dia terbabit dan pernah bekerja dengan Allahyarham A Ali dan Allahyarham Zalikamari serta beberapa komposer lain.

"Alhamdulillah... jadi dari situlah yang berkembang dan buat keputusan yang saya tak nak sangatlah main untuk 'dinner show'.

"Saya selesa bekerja di studio sahaja. Dalam studio itu, saya bekerja dengan Firdaus dan Rafi.

NAN (kiri) ketika bersama Roy Ratnaku.

"Kami semua bila dah duduk studio, macam-macam nak buat, terbitkan album, buat lagu dan macam-macam lagi. Jadi perjalanan saya segala-galanya bermula di studio," katanya.

Aznan juga bertindak sebagai penolong penerbit album Strategi kumpulan May terbitan kumpulan terbabit pada 1991.

Selasa, November 04, 2025

M Nasir anggap Wings gaduh adik-beradik

petikan Berita Harian 4 November 2025

Oleh Ridzuan Abdul Rahman 

M Nasir pada sidang media Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir anjuran UPSI. Foto NSTP/Raihana Mansor

PETALING JAYA: "Saya tidak ada komen sebab saya rasa ini klasik sebuah cerita kumpulan," kata penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir mengulas isu pengunduran Eddie dan Black daripada kumpulan rock legenda, Wings.

Komposer yang turut dikenali dengan gelaran 'sifu' kerana bertanggungjawab menaikkan ramai artis termasuk Wings ini berkata, situasi ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

"Apa sebab orang bergaduh pun, macam-macam sebablah. Kalau kita nak korek, kita boleh korek kalau nak, pergilah tanya mereka.

"Tetapi yang betulnya, cara penyampaian orang itu bercerita tentang masalah itu yang penting. Kita tengok dari luar, kita jadi juri. Mana yang betul, mana yang tak.

"Tetapi, mereka di dalam, mereka yang merasakan benda itu. Dia tak nampak daripada luar. Jadi dia buat keputusan berasaskan dari emosi," katanya pada sidang media Konsert Gendang Pati @ UPSI di sebuah hotel di sini, semalam.

M Nasir yang mengharapkan semuanya berakhir dengan baik, turut menyifatkan apa yang berlaku ibarat pergaduhan adik-beradik.

"Kadang-kadang sampai mati pun ada," katanya penuh mendalam.

Ditanya kesediaannya menonton Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadual pada 28 November ini, M Nasir berkata, dia akan cuba mencari masa menikmatinya.

Terdahulu, Eddie, iaitu pemain bes dan Black (dram) mengejutkan peminat industri hiburan tanah air apabila mengumumkan pengunduran mereka daripada Wings pada 8 Oktober lalu.

Sementara itu, M Nasir akan menjayakan Konsert Gendang Pati anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tahun depan.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) ini akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI pada 17 Januari depan.

UPSI hidupkan semula Konsert Gendang Pati bersama M Nasir

petikan Astro Awani 4 November 2025

PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal mementaskan Konsert Gendang Pati @ UPSI pada 17 Jan 2026 di Dewan Tuanku Canselor dengan menampilkan legenda muzik negara Datuk Dr M.Nasir.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) itu merupakan kesinambungan konsert asal Gendang Pati yang pernah dipentaskan M Nasir lebih dua dekad lalu, namun kali ini diberi pembaharuan bagi disesuaikan dengan masa dan konteks universiti.

M.Nasir berkata konsert itu bukan sekadar persembahan pentas, sebaliknya ruang untuk pelajar mendapat pendedahan sebenar tentang tahap persembahan bertaraf industri dan disiplin kerja profesional dalam bidang muzik.

"Tahap persembahan industri dengan peringkat pelajar memang berbeza. Jadi saya nak beri satu pendedahan yang sebenarnya mahal harganya. Mereka akan tahu bagaimana dunia profesional berfungsi tanpa perlu keluar jauh dari universiti," katanya pada sidang media selepas pengumuman konsert itu, di sini semalam.

Beliau berkata konsert itu turut melibatkan kerjasama pelajar UPSI daripada pelbagai kumpulan termasuk Devokalis, kumpulan koir rasmi UPSI serta pasukan gendang dan tarian yang akan mengiringi persembahan utama.

Beliau berkata konsert itu akan menghimpunkan karya-karyanya yang merentasi generasi seperti Apokalips, Melawan Arus, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan pelbagai lagi lagu yang membentuk landskap muzik tempatan selama lebih empat dekad.

"Kalau nak ada cerita, kita boleh bentuk naratif dalam persembahan itu. Selalunya saya memang masukkan elemen cerita supaya perjalanan lagu-lagu itu lebih tersusun dan penonton dapat rasakan mesejnya," katanya.

Sementara itu, Dekan FMSP Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata konsert tersebut bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar untuk memahami aspek teknikal, artistik dan pengurusan acara berskala besar.

Beliau berkata sebelum konsert berlangsung, satu bengkel khas bersama-sama M.Nasir akan diadakan sebagai platform eksklusif untuk pelajar muzik, teater dan tari menimba pengalaman industri sebenar termasuk aspek teknikal pentas.

"Selain memberi pengalaman langsung kepada pelajar, hasil jualan tiket akan disalurkan kepada dana wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik," katanya dan menjelaskan setakat ini 30 peratus tiket telah terjual.

Tempahan tempat duduk boleh dibuat melalui pautan http://t2u.asia/e/46312 dengan harga tiket dari RM88 hingga RM308.-- BERNAMA