Khamis, Mac 13, 2025

Lagu raya, tradisi tidak boleh ditinggalkan

petikan Berita Harian 13 Mac 2025 

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin - bhnews@bh.com.my

M Nasir menggemari hasil karya pencipta baharu, namun kebanyakan lagu baharu kurang ‘menyengat’ dari sudut melodi. - NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Sebulan membawa impak, begitulah kuasa lagu-lagu raya. Menjelang Syawal, stesen radio tempatan rancak memutarkan lagu raya, baik daripada koleksi malar segar yang sentiasa menjadi pilihan pendengar hinggalah terbitan baharu bagi menghangatkan sambutan hari mulia.

Kuasa lagu raya cukup besar, terdengarnya amat ikhlas, klasik dan 'mahal'.

Melihat trend hari ini, lagu berentak catchy dan lirik mencuit hati menjadi pilihan kebanyakan komposer dan penyanyi muda.

Lagu Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam kini mencecah hampir 50 juta tontonan di YouTube, manakala Raya Mana nyanyian Nabila Razali meraih 18 juta tontonan.

Ini menunjukkan selera pendengar kini semakin berubah apabila lebih tertarik kepada lagu berentak rancak.

Bagaimanapun, lagu raya syahdu dan menjentik emosi seperti Dendang Perantau, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Pulanglah, Kepulangan Yang Di Nanti masih mendapat putaran tinggi di corong radio.

Maestro muzik, Datuk M Nasir yang cukup popular dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya berkata, pemilihan lagu raya berentak catchy bukanlah satu kesalahan.


M Nasir berpendapat, seni kata lagu menjadi elemen penting dalam sesebuah karya. - NSTP/Rohanis Shukri

Katanya, dia sendiri menggemari hasil karya pencipta baharu, namun daripada penghayatan, kebanyakan lagu baharu kurang 'menyengat' dari sudut melodi.

"Saya suka lagu Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU), lagu ciptaan catchy tetapi bila dihayati, ia seperti kekurangan melodi.

"Mungkin disebabkan ada sedikit bahagian catchy atau seni kata menarik menyebabkan lagu berjaya menjadi perhatian.

"Namun, lagu-lagu seperti ini kurang malar segar dan mungkin boleh bertahan lima tahun sahaja.

"Bila menyanyikan lagu terlalu 'melodi', orang anggap kita orang lama. Tetapi, lagu inilah yang masih bertahan sehingga sekarang," katanya kepada BH Online.

Hampir lima dekad berjuang dalam dunia muzik, M Nasir berkata, seni kata lagu menjadi elemen penting dalam sesebuah karya.

"Seni kata akan melahirkan rasa gembira, syahdu dan keheningan. Sama juga seperti lagu antarabangsa yang mempunyai tema dalam seni kata. Ini kerana lagu adalah penceritaan.

"Bukan bermaksud hanya lagu-lagu sedih sahaja sesuai dijadikan lagu raya, tetapi banyak tema boleh diangkat sebagai lagu raya. Namun, ia harus mempunyai melodi yang bagus.

"Hari raya adalah universal, semua orang rasa sama. Tapi, khusus untuk Aidilfitri, kita lebih ke arah keagamaan.

"Jadi, apabila nak gubah lagu kena fahami perkara ini. Orang Melayu bila hari raya, mereka akan balik ke kampung kerana itu adalah tradisi.

"Apa sahaja berkaitan raya, termasuk lagu raya dan tradisi tidak boleh ditinggalkan," katanya.

Tiada ulasan: