petikan Kosmo! 29 Mei 2024
Oleh Haryati Karim
"TIADA lagi M. Nasir yang lain."Demikian kata sifu muzik, seorang legenda yang masih dianugerahkan hayat dan kesihatan bernama Datuk M. Nasir. Bukan mendabik dada, tetapi itulah fakta bahawa memang tiada insan seni sepertinya pada hari ini..
Dalam tempoh 45 tahun kembara keseniman, profil kerjayanya cukup cemerlang sebagai penyanyi, pencipta lagu, pelakon, pelukis, pengarah dan penerbit album.
Bahkan kerana itulah, beliau digelar 'sifu' oleh penggiat seni tanah air. Ditebak sukar atau tidak menjadi seorang M. Nasir, beliau hanya ketawa.
"Susah dan senang. Susah kerana untuk membentuk seorang M. Nasir pada hari ini saya perlu melalui zaman 1960- an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan 2000, barulah jadi M. Nasir.
"Orang lain yang lahir pada zaman ini, dia tidak akan menjadi M. Nasir sebab tidak melalui zaman itu.
"Jika ditanya, ada atau tidak lagi M. Nasir, saya rasa mungkin tidak ada. Sama seperti orang cakap ada lagi yang sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee? Jawabannya memang tidak ada," kata M. Nasir sarat bayangan.
Mencapai tahap seorang maestro sepertinya bukanlah sesuatu yang mudah, sama seperti orang lain beliau juga melalui jatuh bangun dalam karier.
"Sepanjang karier cukup indah, ada naik turun dan bergelombang serta banyak drama (ketawa). Cuma saya bukan jenis orang yang suka tunjuk dan kongsi masalah saya.
Walaupun sukar dan mencabar, bagi saya itu satu 'ride' yang menyeronokkan umpama roller coaster," ujarnya.
Namun tidak ramai yang tahu, pada zaman kemuncaknya sekitar tahun 1990- an, beliau pernah hampir berputus asa dengan industri muzik.
"Putus asa dalam muzik itu berlaku apabila saya buat sesuatu tetapi tidak menjadi. Saya melihat dunia hiburan tidak kesampaian seperti apa yang impikan.
"Perjalanannya tidak cantik, rasa hormat orang pada kita pun kurang.
"Walhal waktu itu, saya pada zaman pertengahan karier, tengah rancak," kongsi suami kepada aktres Datin Marlia Musa itu lagi.
Bertuah
Meskipun begitu, penerima Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 itu berasa bertuah kerana karya-karya nukilannya menjadi siulan peminat.
"Melihat perjalanan karier secara peribadi, saya rasa bernasib baik.
Perjalanannya tidak cantik, rasa hormat orang pada kita pun kurang. Walhal waktu itu, saya pada zaman pertengahan, karier tengah rancak."
Pertama saya pencipta lagu dan saya menghasilkan banyak lagu.
"Saya juga buat banyak lagu hit berbanding orang lain. Ramai orang melihat kejayaan daripada sudut itu. Tapi P. Ramlee, beliau buat 200 buah lagu sahaja tetapi dikenang sehingga hari ini.
"Saya pula perlu buat sebanyak 3,000 buah lagu untuk sampai ke tahap ini. Dunia berubah, semua sudah menjadi komersial," tuturnya yang merupakan komposer paling banyak memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu sebanyak empat kali.
Pada usia 67 tahun, pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed kekal ligat berkarya dan tidak pernah terfikir untuk bersara.
Baginya muzik adalah makanan jiwa dan pekerjaan yang sudah sebati dengan diri. Beliau akan terus berkarya selagi terdaya.
"Kalau bersara rasa susah nak hidup, risau juga.
"Sebab saya suka dengan bidang mencipta lagu. Kita buat daripada benda itu tidak ada, kemudian ada 'bentuk' (dagu) dan kemudian orang suka.
"Itu satu nikmat yang orang lain tidak dapat. Susah hendak cakap bila saya akan berhenti. "Selagi saya dapat nikmati itu sukar untuk saya berhenti," kata M.Nasir.
Dalam perkembangan terbaharu, M. Nasir bakal menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerusi Konsert Dato' M.N45ir Cipta anjuran Icon Entertainment pada 10 Ogos depan.
Orang marah
Berbicara tentang konsert, M. Nasir bakal mendendangkan sekitar 40 buah lagu. Menariknya, beliau akan turut menyanyikan karya ciptaannya yang dinyanyikan penyanyi lain.
"Lagu wajib yang akan saya nyanyikan sudah tentulah Mentera Semerah Padi. Itu kalau saya tidak nyanyi penonton akan marah (ketawa).
"Lagu lain mungkin Hijab Kekasih, Senandung Semalam dan sebuah lagu yang ramai orang suka tetapi tidak dimainkan di radio iaitu Siapa Gadis Ini yang saya tulis untuk Allahyarham Sudirman," terang M. Nasir.
Beraksi di pentas konsert sudah tentu berbeza dengan persembahan biasa atau berskala kecil. Tahap stamina dan kesihatan menjadi keutamaan.
Tiada latihan dan rutin yang khusus, M. Nasir sebaliknya sentiasa bersedia untuk menghiburkan peminatnya. "
Seorang pelaku (penghibur) dia patut sentiasa bersedia sebab sentiasa melakukan persembahan," luah M. Nasir.
Tiada lain harapan bagi M. Nasir, usai konsert beliau mahu peminat kelak pulang dengan hati yang puas.
"Saya akan beri tenaga saya dan lagu- lagu nostalgia yang malar segar serta lagu hit kegemaran ramai," tuturnya yang turut mengadakan pameran lukisannya di Galeri Puteh, Bangsar, Kuala Lumpur sempena konsert tersebut.
Tiket-tiket konsert berharga RM238 sehingga RM588 mula dijual sejak 27 Mei lalu menerusi laman web, www.ticket2u.com.my