Isnin, Ogos 18, 2008

Karyawan hantar petisyen 90:10

petikan Berita Harian 18 Ogos 2008
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Promosi keterlaluan lagu Indonesia di radio jejas industri muzik tempatan

PENYIARAN lagu luar terutama dari Indonesia secara keterlaluan oleh stesen radio swasta bukan sama menyebabkan komposer tempatan mengalami kerugian menerusi kemerosotan penjualan album tetapi juga daripada penurunan royalti persembahan awam.

Komposer terkenal dan berpengaruh yang juga Pengerusi Biro Komposer, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), M Nasir berkata, apabila lagu luar terus diberi keutamaan mereka juga memperoleh royalti tinggi daripada pembayaran royalti menerusi badan seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP).

Menurutnya, dalam usaha untuk mempertahankan hak karyawan tempatan, Karyawan menganjurkan perhimpunan untuk menandatangani satu petisyen yang meminta kerajaan mengenakan kuota dalam nisbah 90:10 iaitu 90 peratus lagu tempatan, manakala 10 peratus lagi penyiaran lagu-lagu dari luar.

“Setakat ini kami sudah mendapatkan lebih 700 tanda tangan dari penggiat muzik tempatan yang menyokong usul petisyen 90:10.

“Selepas ini kami akan mengaturkan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk menerangkan kepada beliau supaya beliau lebih memahami keadaan sebenarnya dalam industri muzik tempatan,” katanya.

M Nasir berkata demikian dalam mesyuarat khas Karyawan bersama ahli persatuan ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini bagi membantah kemasukan dan penyiaran lagu Indonesia secara keterlaluan dan menafikan hak penyiaran lagu ciptaan karyawan muzik tempatan.

Lebih 250 pemuzik, penyanyi dan komposer hadir dalam pertemuan ini yang turut disertai Presiden Karyawan, Freddie Fernandez.

Freddie berkata, perhimpunan dibuat selepas ramai ahli persatuan mengadu mengenai keadaan industri muzik yang semakin buruk sekarang serta mendakwa bahawa peluang yang semakin berkurangan untuk mendapat siaran, terutama menerusi radio swasta sehingga dianggap menjadi antara punca utama kemerosotan industri muzik tempatan.

“Salah satu agenda bagi perhimpunan ini ialah untuk menandatangani satu petisyen yang akan diserahkan kepada Datuk Shaziman, yang minta kerajaan mengenakan kuota dalam nisbah 90:10 untuk lagu tempatan berbanding lagu luar.

“Nisbah 90:10 ini akan membantu pemulihan industri muzik, yang sedang dalam keadaan yang amat kritikal. Ini kerana antara punca utama kemerosotan industri muzik berkenaan dengan isu masa siaran lagu-lagu tempatan yang semakin kurang dalam tahun tahun kebelakangan ini,” katanya.

Selain membangkitkan isu penyiaran lagu-lagu luar terutama dari Indonesia, ahli yang hadir dalam mesyuarat Karyawan turut menimbulkan pelbagai isu lain seperti kekurangan penaja dan peluang untuk membuat konsert, terlalu banyak sangat konsert percuma, dan penggunaan lagu -lagu luar sebagai lagu tema dalam filem dan drama.

Antara penyanyi yang hadir ialah Datuk M Daud Kilau, Ning Baizura, Francissca Peter, Awie, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Noh Hujan, Zehra Zambri, Nas Adilla, Neves Pretty Ugly dan Tajul FTG.

Freddie berkata, tindakan Karyawan mengutip petisyen juga adalah sebagai tanda bantahan kebanjiran lagu dan penyanyi asing di stesen radio dan dalam persembahan tempatan.

“Petisyen itu dibuat kerana Karyawan berasa bertanggungjawab untuk bertindak bagi mengatasi monopoli penyiaran lagu asing, terutama dari negara jiran yang bermaharajalela di stesen radio.

“Bagaimanapun, tindakan ini bukan atas dasar berkonfrontasi sebaliknya untuk memartabatkan hak pengkarya tempatan daripada terus dicabuli karya dari luar negara sehingga seolah-olah hendak menutup terus ruang siaran yang ada,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan membuat petisyen itu sangat perlu dilakukan kerana penyiaran lagu luar negara tanpa batasan ternyata mengancam punca rezeki pengkarya tempatan dalam industri ini sejak beberapa tahun lalu.

“Ia diambil selepas Karyawan melihat tindakan beberapa badan penyiaran terutama syarikat radio swasta yang secara membuta tuli seperti mendewa-dewakan produk dari seberang dalam siaran mereka, tetapi hanya bagaikan melepaskan batuk di tangga bagi siaran ciptaan tempatan.

“Mereka agak kurang memberi perhatian kerana wujudnya ‘double standard’ atau pilih kasih antara produk tempatan dan dari luar.

“Produk dari seberang dilihat lebih komersial berbanding produk tempatan walhal setiap hari pelbagai karya baru ciptaan pengkarya tempatan dihasilkan dan tidak kurang hebatnya,” katanya.

Menurut Freddie lagi, tindakan menyiarkan produk dari luar secara keterlaluan bukan saja menghakis kutipan royalti pengkarya tempatan sebaliknya turut membuka ruang kepada kebanjiran konsert membabitkan penyanyi luar terutama dari Indonesia.

“Perkara ini timbul akibat lagu dari seberang kini sudah menjadi satu budaya pop paling utama kepada masyarakat akibat kekerapan siaran lagu ini di corong radio.

“Kecelaruan identiti setempat, terutamanya dari sudut bahasa juga menimpa masyarakat setempat akibat kebanjiran lagu dari luar.

“Sekali imbas lagu dari seberang kini seolah-olah menjadi identiti terkini kepada gambaran muzik di Malaysia sekarang baik dari segi komposisi mahupun lirik kerana sesetengah pengkarya berlumba-lumba untuk men’Indonesia’kan lagu mereka di atas dasar ingin menjadikan ciptaan mereka bernilai komersial, menurut atau mengikut penilaian radio swasta dan juga masyarakat meskipun sebenarnya kita sebenarnya sudah mempunyai identiti muzik yang tersendiri,” katanya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

90:10?
Pada pendapat aku la, kuota seperti ni tidak dapat menyelesaikan banyak masalah selagi pemuzik tempatan tidak cukup material yg kuat dan dapat bersaing dalam pasaran di luar sana. Ditambah lagi dgn "perangai" artis tempatan yg kurang disenangi oleh pendengar.

Ande Sikutawangsa berkata...

serba sebanyak aku sokong komen yang di atas ini. bagi pandangan aku, badan penyiaran tak boleh disalahkan.

apa yang patut dilakukan adalah, ambil tahu mengapa mereka menyiarkan lagu2 bukan tempatan. maksudnya kenapa mereka tak pilih lagu tempatan. ini pandangan jela.

Dr. Bentara berkata...

dah banyak kuota tu kasi chance la kat genre muzik lain... asyik pop rock je...

macam band gua ke hehehe...