petikan Berita Harian 1 Oktober 2007
Daripada Harris Rajahdin di Chungju (Korea Selatan)
LAGU Mentera Semerah Padi dendangan M Nasir mencetuskan semangat luar biasa pesilat lincah Malaysia yang menampilkan persembahan terpuji pada hari pertama Festival Seni Mempertahankan Diri Sedunia ke-10 di Chungju, Korea Selatan, semalam.
Segak berpakaian mahtar hitam, barisan lima pesilat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) diketuai jurulatih Mohamad Hairil Mohamad Tanuri turun pada giliran ketiga sesi tunggal tengah hari mempertaruhkan empat aksi memukau di hadapan kira-kira 2,000 penonton.
Mengambil giliran selepas wushu (China), kurash (Uzbekistan), Amrazs Zakaria membuka tirai dengan gerakan solo tangan kosong disusuli pergerakan buah asas parang Mohd Shafie Omar dan Mohd Redzuan Mohd Salleh.
Persembahan disusuli dengan gerakan tangan kosong Mohamad Hairil dan Mohd Azizi Hassan diikuti aksi regu bersenjata parang parang Shafie dan Ridwan diakhiri permainan dua lawan satu oleh Mahamad Hairil, Azizi dan Amrazs.
Tepukan dan sorakan gemuruh penonton pada akhir persembahan menceritakan betapa mereka sentiasa ternanti-nantikan persembahan barisan negara pada saban tahun.
Mohamad Hairil menyifatkan persembahan mereka amat baik, lebih lagi ketika ia dilakukan dalam keadaan mereka berpuasa.
"Persembahan permulaan amat baik, walau pun pada bulan puasa sekali pun, kami masih menampilkan mutu permainan baik," kata Mohamad Hairil.
Wakil negara akan menghabiskan masa hari ini dengan menyertai latihan bagi acara sampingan pertandingan gusti tradisional Korea (Sirum) dengan Mohamad Hairil dan Azizi dipilih bagi cabaran ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan