Selasa, April 11, 2006

Perbincangan siapa lebih hebat dianggap hina P Ramlee

petikan Berita Harian 10 April 2006

KUALA LUMPUR: Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila seorang penyokong kerajaan mempertikaikan kewajaran satu siaran langsung malam tadi yang disifatkan menghina Tan Sri P Ramlee.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, program itu yang mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir menimbulkan kemarahan rakyat kerana P Ramlee adalah seniman kebanggaan negara dan tidak layak dibandingkan dengan penyanyi lain.

“Saya terpaksa melahirkan perkara ini kerana program malam tadi mendebatkan siapa lebih hebat antara P Ramlee, Sudirman dan M Nasir... rakyat marah kerana segmen ini menghina P Ramlee.

“P Ramlee sebenarnya tidak ada tandingan. Jangan cuba membandingkan seniman agung yang menjadi kepunyaan, kebanggaan bangsa. Siapa M Nasir, siapa Sudirman, nak dibuat perbandingan?

“Boleh ke kita buat perbandingan mana (lebih) hebat Kinabatangan dengan Perdana Menteri...mana lebih hebat Larut dengan (Tun) Dr Mahathir, boleh? Tak boleh, tak boleh,” katanya ketika membahaskan usul mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohamed berkata, penerbit rancangan TV harus berhati-hati dan sensitif dengan perasaan rakyat terutama dalam menyentuh perkara yang menjadi milik dan kebanggaan bangsa.

“Saya tak menyalahkan Menteri, saya tak salahkan Timbalan Menteri, saya tak salahkan Ketua Pengarah tapi mengapa segmen yang macam ini boleh dibenarkan? P Ramlee tak ada tolok bandingan.

“Itu sebabnya ada lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti,” katanya sambil menyanyikan baris pertama lagu itu.

Kenyataan Mohamed itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang bangun mencelah dan menerangkan tajuk program itu sebenarnya bertujuan menyanjung P Ramlee berbanding penyanyi lain yang hebat selepasnya.

“Memang P Ramlee tak ada tolok bandingnya. P Ramlee tetap P Ramlee,” katanya sambil bertanya sama ada Mohamed sedar TV1 dan TV2 sekarang sudah bertukar nama masing-masingnya kepada RTM1 dan RTM2 memandangkan wakil Sri Gading itu masih menyebut siaran TV1 dan TV2.

Kenyataannya itu mendapat reaksi spontan beberapa Ahli Parlimen yang berkata tindakan menukar slogan dan sebagainya oleh RTM adalah perkara biasa bagi stesen itu setiap kali bertukar Menteri.

“Itu memang kerja RTMlah...sikit-sikit tukar, tukar menteri je tukar.

Esok kalau Menteri di bagi kepada Jasin, Jasin agaknya tukar juga. Kalau saya jadi Menteri, Ketua Pengarah dia sekali saya tukar,” kata Mohamed.

Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) turut mencelah dengan berkata: “Yang dulu rebranding habis dekat RM11 juta, hari ini infotainmen dah habis...hari ini inforia pula, entah berapa juta pula habis.”

Terdahulu beberapa penyokong kerajaan memuji program televisyen pada masa kini sama ada oleh TV3 atau RTM yang banyak mengutara dan mendedahkan masalah rakyat. – Bernama


Saudagar Mimpi : Nampaknya YB pun menonton TV sedangkan banyak lagi isu rakyat yang boleh diperjuang. Perbincangan isu forum itu bukan sahaja hangat di Dewan Rakyat tetapi juga di Forum Cari.com. dan juga di sini

6 ulasan:

Saudagar Mimpi berkata...

Bagi Saudagar Mimpi la ketiga-tiga nama ini adalah nama besar yang telah mencorak industri hiburan tanah air. Membuat perbandingan diantara ketiga-tiganya sama seperti membuat perbandingan antara jenis baju yang hendak dipakai yang semuanya bergantung pada citarasa & saiz badan masing-masing.

Tanpa Nama berkata...

Heiya! Ini isu ehwal semasa ka? Apa kepentingannya pada negara? Banyak lagi isu ehwal semasa boleh dibincang macam isu minyak, isu cetak rompak, isu tandas kotor, isu sekolah buruk, isu rumah tak siap dan banyak lagi la. Kenapa tak ada orang nak bincang dan cuba selesaikan secepat mungkin? Ini nak cerita yang sensasi aje. Jangan berbincang berdegar-degar tapi tidak bertindak.

Lagi satu gua tak puas hati jugak bila orang kata P Ramlee tak ada tolok bandingan? P Ramlee untouchable? Siapa P Ramlee, M Nasir dan Sudirman di mata tuhan? Renung-renungkanlah semua.

Tanpa Nama berkata...

Mengapakah harus takut untuk menidakkan sedikit kehebatan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pada sudut-sudut yang betul? Tiada sempurna sebenarnya ... begitu juga dengan Allahyarham Sudir dan M.Nasir ... tentu mereka juga ada kekurangan pada sisi yang tertentu. Cuma Ahli Parlimen kita kadang kala memang begitu ... sukar menerima argumentasi yang sihat. Mereka terikut-ikut dengan cara politik mereka, misalnya kerajaan mesti betul, pembangkang mesti salah.

Tanpa Nama berkata...

Ini petikan dari Harakahdaily.net mengenai isu ini.

Surat pembaca. Antara Sudirman, M. Nasir dan MP Sri Gading...siapa berjasa

Oleh Zulhazmi NS

aya mulanya rasa hendak ketawa bercampur baur dengan rasa loya apabila isu mengagungkan seniman Allahyarham P.Ramlee dibahaskan di Parlimen baru-baru ini. Yang lebih melucukan serta memualkan apabila mendengar hujah daripada tukang sorak dari Sri Gading, iaitu MP Sri Gading. Bersungguh-sungguh benar beliau berhujah, bertegang urat leher bagaikan berhujah mempertahankan kedaulatan agama dan bangsanya. Tetapi, biasalah dalam Parlimen ini lah tempatnya puak-puak pengampu dan pengipas nak tunjuk bakat masing-masing.

MP Sri Gading memuja ketokohan Allahyarham P.Ramlee hinggakan sanggup pula memperkecilkan seniman lain termasuk yang telah meninggal dunia. Beliau mempersoalkan `siapakah Sudirman? Siapakah M.Nasir?'. Saya tabik kepada M.Nasir kerana tidak ambil pusing apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen UMNO tersebut kerana mungkin M.Nasir dah masak dengan perangai ahli-ahli politik UMNO seperti ini. Lagi pun buat apa nak layan orang politik yang tidak ada akal dan kewarasan seperti itu. Cuma, saya sedikit simpati kepada waris dan keluarga Allahyarham Sudirman kerana nama Allahyarham juga turut terhina.

Bagi menguatkan hujah dan kipasnya, MP Sri Gading membuat perbandingan tiada siapa juga boleh mengatasi kehebatan PM Pak Lah atau Dr Mahathir. Kalaulah ditanya pada beliau pula siapa lebih hebat antara Pak Lah dan Dr Mahathir, agak-agak apa MP Parlimen itu akan menjawab? Tentu ramai yang boleh meneka apa yang pasti dijawab oleh MP Sri Gading ini. Maklumlah, nak cari makan kena pandai walaupun terpaksa `makan hati' orang lain.

Teringin juga saya bertanya kepada sekelian pembaca, siapa pula MP Sri Gading ini? Tokoh apa dia ini? Apa jasa dia pada umat Islam dan bangsa Melayu? Setakat jadi wakil parlimen bermodalkan duit peruntukan dan air liur, saya rasa jauh lebih hebat ketokohan Allahyarham Sudirman dan M.Nasir. Sekurang-kurangnya kedua-dua ahli seni tersebut tidak pernah menyakiti dan menyinggung perasaan orang lain apatah lagi di khalayak ramai. Pada saya MP Sri Gading langsung tiada kualiti berhujah di Parlimen dan beliau umpama `tukang lawak' yang ditugaskan mengejutkan Ahli-Ahli Parlimen yang tertidur. Ketika ini, saya teringat pula kepada wakil seniman kita iaitu Senator Jins Shamsudin. Mampukah beliau mempertahankan maruah Allahyarham Sudirman dan M.Nasir? Jika beliau tidak mampu, serahkan sahaja gelaran Senator tersebut.

Di samping kita menyanjung seniman P.Ramlee, menghargai jasa-jasa Allahyarham Sudirman serta menghormati ketokohan M. Nasir, kita mungkin terlupa kepada ketokohan MP Sri Gading. Semoga tokoh Sri Gading ini akan benar-benar berjasa kepada umat Islam dan bangsa Melayu setidak-tidaknya berjasa di dalam menyelesaikan pencarian Big Foot di Johor nanti, Wallahu Aklam.

Tanpa Nama berkata...

ASSALAMUALAIKUM SAUDAGAR MIMPI

Saya agak tertarik apabila membaca tulisan dan nukilan hati saudara yang saya fikir amat tidak rasional.
Saya agak terperanjat dan hairan apabila saudara mempersoalkan " SIAPA MP SRI GADING ni? dan ayat saudara yg mengatakan beliau jadi MP bermodalkan peruntukan dan air liur."
Maaf jika kedengaran agak kasar, tapi tulisan saudara begitu menggambarkan saudara sgt kurang pendedahan tentang dunia yg sbenarnya lebih besar drpd apa yg saudara jangka.terutamanya dunia politik.
Buat pengetahuan saudara,saya mmg peminat MP Sri Gading.Beliau adalah tokoh yg byk berjasa drp beliau mula menjadi wakil peribadi Tun Hussein Onn, hingga menjadi Exco Johor dan banyak lagi hingga yg terkini menjadi MP Sri Gading. Saya pasti saudara tak pernah pergi pun ke parlimen dan duduk mendengar usul yg dibawa ahli2 parlimen kita.kalau nak tahu jasa dan mutu Mp2 kita, beranikanlah diri ke parlimen. Tengok,boleh ke saudara faham apa yg dibincangkan ataupun termenung ternganga dengan dunia saudara saja?Mp Sri Gading ini mmg terkenal bukan sahaja kerana keberaniannya tetapi juga kecekapannya dalam mempertahankan hal2 berkaitan kaum bumiputera. Jika tak percaya, pergilah ke parlimen tanya siapa antara Mp yg paling dihormati dan disegani kawan dan lawan.Sedangkan org atasan kita mengakui jasa beliau apatah lagi kita ni saudara...
Hal ttg ketokohan p.Ramlee mmg tdk boleh dinafikan,jika kita tidak meletak seorang negarawan sedemikian rupa di tempat teratas, sauatu hari nanti nilai budaya kita akan tercicir dan tiada lagi sanjungan akan diterima oleh karyaman yg sedemikian hebat nanti. Saudara mungkin peminat setia m.nasir tetapi jika saudara panjangkan sedikit pemkiran, saudara boleh nampak sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh MP itu secara tersirat.Beliau tdk kata sudirman dan m.nasir tdk hebat, cuma tidak boleh dibandingkan dengan kehebatan P.Ramlee yg berupaya menjadi Pengarah,Pemuzik,Penerbit,Pelakon,Penyanyi,Pelawak,Penggubah lagu. Bandingkanlah ketiga artis itu dengan bijaksana,maka anda akan dapat kawapannya jika anda tidak fanatik.
Ingin saya ucapkan,jgn kerana satu isu,saudara dgn tdk beralas2 mempertikai seseorang itu. Buka minda dan scope pemikiran anda.Bukan semua apa yg anda fikirkan betul.
jgn terbelenggu dengan emosi anda itu sahaja.maaf jika kedengaran kasar,saya cuma tdk mahu org lain mentertawakan penulisan saudara.
Terima kasih kerana membaca.
Assalamualaikum

Saudagar Mimpi berkata...

Opsss jgn terlalu cepat melenting apa bila terbaca sesuatu. Nampaknya En Anonymous tak baca semua artikel ini. Bila masa pulak la saya meluah hati & pemikiran saya panjang lebar serta mempersoalkan " SIAPA MP SRI GADING ni? dan mengata beliau jadi MP bermodalkan peruntukan dan air liur." Yang saya tahu itu adalah petikan berita dari Harakahdaily" yang di cut & paste oleh seorang Anonymous seperti saudara.