Jumaat, April 21, 2006

M.Nasir buat para setiausaha gamat

petikan Utusan Malaysia 21 Julai 2006

Oleh: WANDA IDRIS

MEREKA memang ‘gilakan’ M. Nasir. Jika tidak, takkan tanpa segan silu, masing-masing menjerit kegembiraan apabila dapat bergambar dan bersalaman dengan penyanyi yang digelar sifu muzik itu.

Sebab kebanyakan mereka bukan lagi muda mudi sebaliknya golongan profesional yang sudah matang usia.

Tetapi seperti peminat fanatik yang lain, mereka tetap teruja apabila menyaksikan penyanyi pujaan beraksi di pentas.

Malah tidak kira wanita muda, matang, bertudung mahupun tidak, mereka tidak sudah-sudah mengerumuni M. Nasir apabila penyanyi berusia 47 tahun itu turun dari pentas untuk beramah mesra dengan tetamu.

Lucunya, M. Nasir pula yang kelihatan sesekali mengelak. Mungkin tidak menyangka keadaan itu akan berlaku.

Sehingga dalam tawanya terpacul dari bibirnya perkataan, ‘sopan sikit’ kepada wanita-wanita yang sibuk mengelilinginya dan apabila cuba ‘melarikan diri’ ke setiap satu meja, dia sebenarnya tetap tidak mampu melepaskan diri dan terus jadi buruan.

Apa yang pasti, Selasa lalu akan menjadi hari yang akan diingati para tetamu Dewan Perdana Felda, tempat berlangsungnya Minggu Setiausaha anjuran Mahir Entertainment & Production.

Seperti temanya, A Day to Remember... tetamu acara itu tidak akan melupakan memori berpeluang bermesra dengan M. Nasir tanpa sekatan.

Malah penyanyi itu sendiri pastinya tidak akan melupakan hari itu kerana ia juga merupakan persembahan julung kalinya di pentas acara tahunan itu.

Sebenarnya tiada apa bezanya menyaksikan persembahan M. Nasir kali ini dengan persembahan-persembahannya yang lain.

Gayanya tetap bersahaja namun karisma sebagai penghibur terus menyerlah walaupun tengah hari itu dia hanya muncul dengan gaya paling ringkas - berkemeja kotak-kotak dan berseluar jean.

Aura – itu adalah salah satu penyebab yang membuatkan orang gila dan teruja dengannya apalagi M. Nasir yang selama ini dikenali ‘sukar bercakap’ kini sudah pandai bermesra.

Diiringi band 4-piece di bawah pimpinan Ramli MS, tengah hari itu lagu-lagu hitsnya menjadi hidangan pada majlis istimewa untuk meraikan para setiausaha itu.

Selain lagu Mentera Semerah Padi yang dijadikan lagu pembuka tirai, M. Nasir juga melontarkan lagu-lagu lamanya yang lain seperti Keroncong Untuk Ana yang diciptanya 20 tahun lalu tetapi masih terus diingati.

Dia juga mempersembahkan lagu kecintaan terhadap Pencipta berjudul KepadaMu Kekasih sambil berkata, ‘banyak salah yang buat kita belajar.’

Juga lagu-lagu berentak rancak yang pernah menjadi siulan ramai seperti Hati Emas dan Gerhana yang didendangkan sebelum meninggalkan pentas.

Tidak ketinggalan lagu barunya, Juwita... Citra Terindah yang kini begitu popular di corong-corong radio.

Tengah hari itu, M. Nasir turut berduet dengan ‘budak’ berbakat yang dianggapnya boleh pergi jauh, Jaclyn Victor menyampaikan lagu cinta, Dua Insan Bercinta.

Sebelum itu, Jaclyn atau Jac yang turut mengadakan persembahan pada majlis itu berjaya memukau tetamu dengan kekuatan vokalnya menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Gemilang, Di Bawah Pohon Asmara, Wajah dan Ain’t Nobody.

Juara Malaysian Idol musim pertama itu juga mempersembahkan lagu-lagu popular Tan Sri P. Ramlee iaitu medley Tunggu Sekejap dan Di Manakan Ku Cari Ganti khusus untuk jemputan kenamaan yang hadir menyaksikan persembahan itu antaranya Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Majlis itu diacarakan oleh Azwan Ali yang turut menggamatkan suasana dengan celoteh dan lawak jenakanya.


lagi petikan Utusan Malaysia 22 April 2006
M. Nasir yang digilai

Kak Tim terkaku saat memerhatikan M. Nasir dikerumuni para setiausaha pada Minggu Setiausaha di Dewan Perdana Felda Selasa lalu.

Macam gula dikerumuni semut. Pantang penyanyi itu turun pentas, hampir kesemua penonton wanita di dewan itu tanpa segan silu berlari merapatinya untuk bergambar sama. Malah ada yang sanggup bertarik-tarik dan saling bertolak-tolak bagi mendapatkan posisi paling dekat untuk berfoto dengan M. Nasir.

Bayangkan seorang penyanyi yang berusia lewat 40-an masih diminati segila itu! Justeru Kak Tim jadi tersenyum bila M. Nasir menyatakan di atas pentas persembahannya pada petang itu, “Orang Malaysia ramai yang gila. Banyak sangat cinta dalam diri yang nak diberi.”

M. Nasir bukan penyanyi remaja seusia Mawi. Namun M. Nasir tak perlu pening kepala memikirkan penampilan diri di pentas persembahan untuk digilai.

Boleh dikatakan tidak ada penyanyi lain di Malaysia yang berani muncul dengan hanya berkemeja biasa dan lengan baju dilipat paras siku serta berseluar jean pada satu persembahan yang sudah dirancangkan. Tapi M. Nasir berani berbuat begitu! Bagi seorang penghibur, kemunculan begitu dianggap ‘sempoi’ (meminjam kata-kata remaja sekarang). Pun begitu penonton sudah jadi separuh gila melihatnya. Itulah aura M. Nasir.

KAK TIM: Tahniah kepada Mahir Entertainment & Production yang berani mengetengahkan M. Nasir di pentas Minggu Setiausaha. Inilah kali pertama M. Nasir menghiburkan para setiausaha secara khusus selepas lebih 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik.



lagi petikan Utusan Malaysia 23 April 2006
Gaya berhibur Minggu Setiausaha

M. NASIR buat pertama kalinya menghiburkan setiausaha bersama Jaclyn Victor di Dewan Perdana Felda

PERTAMA kali di pentas Minggu Setiausaha, ada kejutan yang tidak terjangkakan. Penangan dua generasi yang hebat, kemeriahan terasa di Palace of The Golden Horses dan Dewan Perdana Felda sepanjang sambutan Minggu Setiausaha kali ini.

Jika sifunya M. Nasir mengambil masa lebih 20 tahun untuk berada di pentas persembahan istimewa untuk para setiausaha, anak didiknya Mawi pula lain cerita.

Mawi baru sahaja popular, tetapi kerana popularitinya dia bersama rakan-rakan lain dijemput oleh Palace of The Golden Horses untuk menghiburkan tetamu pada 13 April lalu.

Sementara M. Nasir megah di pentas Dewan Perdana Felda pada 18 April.

Sempat menyaksikan kedua-dua persembahan, lalu apakah kehebatan yang ditonjolkan?

Antara ‘sifu’ dan anak didik, pasti ada kelainannya. Walaupun perhatian besar juga diberikan kepada Mawi, M. Nasir nyata tidak pernah kalah.

Malah dalam usianya yang melebihi angka 40-an, M. Nasir berjaya memanaskan pentas Dewan Perdana Felda dengan persembahan hebatnya.

Gaya persembahan dan jenaka spontannya yang hanya sesekali meniti di bibir, peminat pulang dengan kepuasan.

Maka hampir histeria sebahagian setiausaha yang hadir, sehinggakan ada beberapa individu tanpa segan silu memeluk dan mendakap suami pelakon Marlia Musa itu. Penangan M. Nasir.

Dan Mawi? Samalah juga, histeria di sana sini bila melihat kelibatnya muncul di pentas.

Tetapi benarlah kata orang, pengalaman mengatasi segala-galanya. Mawi perlukan lebih banyak masa untuk kelihatan benar-benar mantap dan bersedia dengan persembahannya.

Bukan tak cukup apa yang diberikan oleh Mawi di majlis itu, tetapi kalau diberi sedikit kelainan daripada beberapa persembahannya sebelum ini ia mungkin menjadi bertambah bagus.

Sementara itu minggu setiausaha tidak pernah meminggirkan nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak dan Sheila Majid.

Walaupun pastinya bukan mudah dan bukan pula murah ongkosnya untuk melamar nama-nama hebat ini, penganjur tetap bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Anuar Zain memukau di Sime Darby Convention Centre anjuran Hotel Quality Kuala Lumpur pada 12 April lalu.

Siti Nurhaliza pula mantap dengan kehebatannya di tempat yang sama dengan penganjur yang sama, tetapi pada 19 dan 20 April.

Si bakat baru yang semakin gemilang, Jaclyn Victor juga sempat bergandingan di pentas minggu setiausaha bersama M. Nasir selain di Legend Hotel pada 20 April lalu.

Sepanjang April, sudah tentu para setiausaha yang selama ini memikul tugas berat di pejabat akan lebih terubat dengan adanya minggu istimewa untuk mereka.

Pihak hotel pula tidak melepaskan peluang memperkenalkan pelbagai menu istimewa untuk pelanggan mereka.

Bagi setiap persembahan yang ingin disaksikan bayaran yang dikenakan adalah di antara RM200 hingga RM500 setiap orang.

Palace of The Golden Horses yang menganjurkan persembahan Mawi misalnya menyediakan 800 tempat duduk yang setiap satunya bernilai antara RM250 hingga RM500. Kesemuanya habis ditempah.

Bayaran berkenaan walaupun dilihat agak tinggi tetapi demi menghiburkan hati setiausaha, majikan sanggup mengeluarkan peruntukan mereka.

Adalah diharap selepas sambutan ini, setiausaha perlulah bertugas dengan lebih gigih untuk kemajuan syarikat.

Minggu Setiausaha sebenarnya satu gaya berhibur baru yang diperkenalkan di negara ini. Ia seolah-olah suatu yang berprestij dan penganjur berpeluang mengenakan bayaran yang tinggi untuk makan tengah hari dan menonton persembahan.

Untuk kelihatan bergaya, banyak orang sanggup membayar dengan bayaran yang tinggi. Kalau ketika ini hanya hotel-hotel di Kuala Lumpur saja yang menganjurkan Minggu Setiausaha, mungkin masa akan datang semua hotel seluruh negara membuat perkara yang sama.

Benarkah ini satu apresiasi kepada tugas berat lagi mencabar para setiausaha? Jawapannya ini hanya satu gaya berhibur yang dijana oleh budaya kepenggunaan. Jadi Minggu Setiausaha bukanlah apa-apa sebenarnya. Cuma untuk yang mahu bergaya dengan cara yang kelihatan penuh gaya.

Tiada ulasan: