Rabu, Mac 04, 2009

Rajawali terbang tinggi.

Oleh Saudagar Mimpi… yang melaporkan dari Upper Circle Istana Budaya.

REVIEW :
KONSERT ALAM MUZIK
Sabtu : 28 Februari 2009
Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur


Impian jadi kenyataan. Itu yang aku boleh katakan tentang perjalanan aku ke konsert Alam Muzik ini. Perancangan yang diatur untuk ke konsert ini sudah dibuat berbulan-bulan lamanya.

Jam 6 petang. Aku sudah sampai di KL Sentral. Awan Kuala Lumpur berarak mendung seperti mahu memuntahkan isinya. Hujan renyai-renyai menyebabkan aku membatalkan rancanganku untuk menaiki LRT ke Titiwangsa dan ke Istana budaya. Dengan tambang RM 10 aku mengambil teksi ke Istana Budaya. Ini kali kedua aku ke IB untuk tujuan menonton konsert. Sebelum ini aku hadir untuk turut serta dalam konsert Rock Timur - Ramli Sarip. Pengalaman menonton konsert Ramli Sarip itu memberi isyarat bahawa magis yang sama bakal aku rasai di Istana Budaya.Aku tiba di lobi istana Budaya jam 6.30 petang. Lenggang sahaja lobi IB tapi aku tengok car park penuh keliling Istana Budaya. Aku berlegar-legar di perkarangan lobi menjenguk-jenguk gerai yang ada. Diruang lobi cuma ada dua booth iaitu booth Luncai Emas dan gerai NST.

Aku kira elok jika mereka adakan sedikit pameran tentang perjalanan karear 3 dekad M.Nasir di lobi itu. Sekurang-kurangnya pengunjung dapat menghayati sedikit pahit maung anak seni bergelar Sifu ini. Ketika aku meninjau booth Luncai Emas cuma ada seorg kakitangan saja yang bertugas sebelum Ain and the geng datang membantu. Kesempatan itu buat aku membelek belek barangan cenderahati yang dijual antaranya t-shirt Konsert Alam dan koleksi M Nasir. Aku menjenguk pula both NSTP yang menjual mug dan mouse pad. Pada fikiran aku baik aku beli t shirt terlebih dahulu kerana aku lihat semakin ramai crowd yang datang membanjiri lobi menjelang jam 7. Lagipun jika beli mug berat pula nak membawanya ke hulu hilir.

Lingkungan usia penonton yang datang aku perhatikan terdiri dari golongan tua, muda-remaja, kanak-kanak, Melayu, Cina, India, orang putih malah golongan OKU pun ada. Selepas Maghrib di tingkat dua, jam 7.40 adik aku sampai membawa tiket. Gembira bukan kepalang bila tiket sudah berada di tangan. Kemudian aku terjumpa pula booth yang menjual buku program. Buku program memang ada dalam senarai perkara yang mesti aku dapatkan sebagai koleksi. Jam 8 aku dan adik aku dah tercegat di pintu masuk upper circle. Penat juga la memanjat tangga Istana Budaya. Dalam hati berdoa la seat yang aku pilih tu dapat panorama yang best? Disebabkan budjet yg “ciput” aku cuma mampu beli dua seat RM88.

Ok lupakan pasal tu. Sekitar jam 8.15 pintu dewan dibuka. Berpusu-pusulah manusia memasuki Panggung Sari. Seat aku dan adik aku betul-betul dihadapan sekali. Bila sudah duduk diseat di upper circle tu aku mula terdengar keluh kesah penonton yang bersungut tentang skrin latar pentas tidak penuh. Skrin latar cuma sekerat. Apa yang kita boleh jangkakan dengan tiket murah, pasti ada pro dan kontranya. Sebaris denganku duduk beberapa orang fan yang aku rasa cool juga. Manakan tidak, sepanjang persembahan nampak mereka enjoy habis bertepuk tangan dan mengikut rentak irama.

Jam 8.20 malam, MC pada malam itu, Dayang Kartini Awang Bujang mengalu-alukan kedatangan penonton. Katanya respon penonton pada malam itu tidak sekuat penonton malam pertama. Penonton diminta berdiri dan lagu Negaraku dimainkan dan dinyanyikan dengan penuh semangat. Saat yang ditunggu tiba apabila MC mengumumkan kemunculan M Nasir di pentas. Keterujaan penonton dirasai apabila semua penonton bertepuk tangan dan bersedia memasuki alam muzik M Nasir.

Setlist (Malam kedua)
1. Di Balik Cermin Mimpi
2. Gong Impian
3. Hati Emas
4. Rajawali Terbang Tinggi
5. Masirah
6. Falsafah Cinta
7. Bukalah Hatimu
8. Dah Lagu Tu!
9. Keroncong Untuk Ana
10. Bukalah Hatimu
11. Balada Seorang Teman

set gitar akustik
12. Suatu Masa
13. Langam Pak Dogo
14. Getaran Jiwa
15. Keroncong Nostradamus

set rancak
16. Mentera Semerah Padi
17. Raikan Cinta
18. Sahabat Gua
19. Phoenix Bangkit Dari Abu
20. Ada
21. Apokalips

-Encore- (We Want MORE!!)
22. Hijab kekasih
23. Sentuhan Listrikmu
24. Andalusia
25. Juwita Citra Terindah

1. Di Balik Cermin Mimpi
Lagu ini membuka persembahan. Gimik video seorang lelaki di layar putih atas pentas kelihatan terbaring dan tidak bermaya tidak dapat aku tonton kerana masalah skrin yang tidak penuh. Kelibat M Nasir juga tidak kelihatan. Cuma suara sifu mendendangkan lagu Dibalik Cermin Mimpi kedengaran mengiringi asap seolah-olah awan berkepul melintasi pentas dari kiri ke kanan dengan perlahan. Gabungan panorama itu dan irama lagu Di Balik Cermin Mimpi itu sebenarnya sudah cukup memberi momen yang mistik sekali. Bagi aku ini antara momen yang tidak boleh dilupakan (bagi aku la, org lain aku tak tau hahahahha)

2. Gong Impian
Lagu ini merupakan denyutan pertama konsert ini. Irama gamelan memenuhi ruang udara alam Istana Budaya. Pentas bertukar warna merah. Seorang pemain gamelan muncul disudut kiri pentas tidak lama kemudian Beberapa pelakon ‘pantomin’ bermain tali keluar dari tengah pentas. Leka menonton gimik yg dibuat itu menyebabkan aku terlepas pandang kemunculan sifu di belakang pentas bersama band dengan berpakaian hitam.

3. Hati Emas
Persembahan diteruskan dengan intro seakan-akan Ekspress Rakyat. Penonton sudah bersorak dan seolah-olah mahu menyanyikan bersama lagu itu tapi band terus memainkan lagu Hati Emas. Puas hati aku dengar lagu ni secara live.

Kalau tak silap aku ketika permulaan lagu ini M Nasir sempat buat joke. Katanya sekarang promoter tgh kira duit kat belakang pentas.. Projek anak melayu...
Semua bertepuk dan bantai gelak.

4. Rajawali Terbang Tinggi
Yeah! Satu lagi lagu kesukaan aku dari album Solo! Aku memang layan betul lagu ni walaupun aku tengok kiri kanan tak ramai yang sing along. Mungkin lagu lama jadi tak ramai yang tahu.

Oh ya, salah satu momen menarik ialah selepas M Nasir nyanyi beberapa lagu beliau bertanya kepada audien. Dia tanya nak lagu apa lagi? Kemudian seorang lelaki jerit. "lagu raya...!!" M Nasir dengan selamba menjawab "belialah ko.." sekali lagi audien bantai gelak.

5. Masirah
Untuk lagu skrin latar bertukar wajah dengan memaparkan gambar-gambar peristiwa dari tebing barat. Sayu. Penonton bagaikan terdiam seketika sepanjang lagu ini.

6. Falsafah Cinta
Sebelum M Nasir menyanyikan lagu Falsafah Cinta, beliau kata terlalu banyak lagu cinta tapi ini lain sikit. Skrin latar menayangkan video pantai dan alam. Sesuai dengan jiwa lagu ini. Perfomance sifu macam biasa masih best pada tahap ini.

7. Bukalah Hatimu
Lagu funky kata sifu. Skrin latar bertukar wajah dengan video berlatar belakang kota metropolitan pada waktu malam. Menarik. Permainan bass Jay-Jay memang mengujakan aku. Dalam lagu ini sifu sekali lagi mengejutkan ramai apabila sifu rappin. Best! Dalam lagu ini kalau tak silap aku sifu memperkenalkan beberapa orang pemuzik yang mengiringinya.

8. Dah Lagu Tu!
Sebelum memulakan persembahan, beliau berkata “Ada syarikat yang berasakan apa kelas kalau mereka menaja (konsert) penyanyi tempatan,” Sindiran tu.....
Atas sebab itulah, katanya, dia juga tidak ketinggalan untuk membawa penyanyi yang dibawa khas dari LA (Los Angeles) iaitu ‘Beyonce’, ‘Rihanna’ dan ‘Britney Spears’.
Ketiga-tiga nama penyanyi itu tadi ialah sebenarnya penari perempuan berbadan besar untuk menari mengiringi Nasir menyanyikan lagu Dah Lagu Tu! dalam irama jaipong. Lucu dan terhibur menonton gerak tari penari itu disamping cuba menghayati bait lirik dari lagu ini. Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan?

9. Keroncong untuk Ana
Siapa Ana disini. Sila angkat tangan. Katanya sebelum memulakan persembahan.

10. Balada Seorang Teman
Tirai ditutup dan kemudian dibuka semula. Diatas pentas cuma ada piano yang dimainkan oleh Zul Mahat. Kali ini terdapat beberapa props tergantung pada pentas. Teringat pula konsert Pink Floyd bila ada props pelik pelik sebegini. Apa pun lagu ini disampaikan dengan penuh penghayatan cuma aku rasa backing vocal untuk lagu ini tidak semantap seperti dalam album.

- set gitar akustik -
12. Suatu Masa
Lagu slow lagi. Jadi jiwang karat sebentar.
Salah satu momen penting, mood, pencahayaan dan feel M Nasir terserlah.Penonton juga ikut menyanyi
Diakhir persembahan M Nasir kata, "saya ingat yg datang ni peminat untuk konsert Alam, rupa-rupanya semua minah-minah dengan mamat sentimental. Penonton bantai gelak sekali lagi.

13. Langam Pak Dogo
Untuk lagu ini M Nasir memetik gitar sambil menyanyikan lagu ini Langgam Pak Dogo dalam loghat Kelantan

14. Getaran Jiwa
Sebagaimana yang dikatakannya sebelum konsert tentang kemungkinan beliau menyanyikan lagu ini, lagu Getaran Jiwa dinyanyikan dengan penuh penghayatan mengikut versinya sendiri. Klasikal kerana julung-julung kali mendengar sifu menyanyikan lagu Seniman Agung itu.

15. Keroncong Nostradamus
Best! Permulaan lagu ini hanya dimainkan dengan gitar tong, tetapi dipertengahan lagu lagu ini dilengkapkan dengan iringan band. Umpama satu ombak besar menerjah suasana hening dipagi hari. Chewah...

16. Mentera Semerah Padi
Pentas digelapkan. Sifu keluar dari pentas. Irama Nafiri kedengaran menandakan lagu seterusnya adalah Mentera Semerah Padi. Mungkin juga lagu ”sejati” kata adikku. Ternyata lelaki peniup nafiri lengkap berpakaian silat dengan langkah tari seperti nak bersilat mengesahkan tekaan aku. Lagu ini bagi menyuntik semangat untuk audien menyanyi bersama.

17. Raikan Cinta
Antara lagu paling ”happenning” pada malam itu.Memang tak boleh lupa la. M Nasir berjaya mengajak hampir semua penonton berdiri dan bertepuk tangan. Aku yang di upper row dapat melihat dengan jelas bagaimana sifu menguasai penonton. Hebat!
Sempat beliau mengusik penonton. Katanya ... ”ooo sebenarnya di dalam itu meronta-ronta....(hahahah betul tu semua orang sebenarnya cuba mengawal diri untuk menari dan tapi disebabkan di IB ada peraturan jadi kontrol la sikit)

18. Sahabat Gua
19. Phoenix Bangkit Dari Abu
20. Ada
21. Apokalips
Lagu-lagu ini adalah klimaks yang mana telah mengamatkan Istana Budaya sebagaimana sepatutnya sebuah konsert berjalan. Irama rancak, padu disamping respons penonton yang telah menukar atmosfera IB menjadi pentas ronggeng yang disertai para marhaen dan bangsawan yang dahagakan sentuhan alam muzik bertenaga.

Dipenghujung lagu, Nasir memanggil rakan-rakan pemuzik berkumpul didepan pentas seolah-olah isyarat temasya telah tamat dan masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Disebalik barisan rakan-rakan pemuzik, sifu hilang dan muncul seorang pelakon pentomin yang sedang memegang seekor ayam.

Tirai ditutup.
We want more!-we want more!-we want more! jerit audiens serentak. Ada juga yang menjerit minta lagu Mustika.

ENCORE : MC muncul sekali lagi. Jika mahu lagi katanya audien kena menjerit lebih kuat. Sifu muncul kembali dan mendendangkan 4 lagu lagi

21. Hijab kekasih
Best lagu ni. Penonton bagai hanyut dengan lagu ini

22. Sentuhan Listrikmu
M Nasir kata bila dengar lagu ini, bila balik nanti, kita akan bayangkan dan mimipikan betapa seksinya lagu ni....diakhir lagu ini dia suruh siapa yg bawak husband or wife ucapkan “i love u”..
Trivia : Sebenarnya lagu ni begitu bermakna buat aku dan isteri. Lagu ini seperti lagu tema semasa kami bercinta kerana secara kebetulan aku dan isteri sebenarnya berjumpa dalam alam cyber. Hasil chat berbulan-bulan lamanya sedangkan kami tak pernah berjumpa sebelum ini. Hari pertama aku berbual dengannya melalui telefon, lagu Sentuhan Listrikmu ni berkumandang dari komputernya. Kebetulan.
Untuk pengetahuan listrik bermaksud elektrik.

24. Andalusia
Prestasi M Nasir di pentas masih mengagumkan ketika menyanyikan lagu ini. Aku layan habis lagu tentang sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol ini. Penonton seolah-olah mahukan lagi.

25. Juwita Citra Terindah
Lagu terakhir pada malam itu. Audiens menyanyi bahagian korus bersama-sama. Ooo oh oooo oh ....

Hadirin bertepuk tangan dan memberi standing ovation tanda penghargaan buat beliau. M Nasir meninggalkan pentas.

Konsert tamat. Puas hati kerana sifu berjaya mengoptimumkan penggunaan sistem bunyi dan kemudahan pentas sebaik-baiknya.Crowd upper circle meninggalkan dewan. Aku dan adik aku bergegas turun utk turut serta dalam sesi bertemu peminat, autograph dan bergambar. Datang jauh jauh rugi kalau lepaskan peluang ini.
Peminat M Nasir begitu ramai menunggu beliau keluar dari pintu dewan utama.
Hasil kebijaksanaan adik yg mem`blend’kan diri dalam barisan maka dapatlah aku berada dalam kelompok awal untuk sesi itu. Aku bawa 2 inlay kaset iaitu SOLO dan Canggung Mendonan. Oleh sebab M Nasir sign guna pen hitam aku cuma hulur kulit album SOLO bersama buku program untuk ditandatangani. Sempat juga bersalam, dgn sifu sambil mengucapkan tahniah. Moga sifu terus dikurniakan kudrat untuk berkarya.
Malam itu aku pulang dengan satu lagi kenangan meraikan temasya seorang wira yang tidak akan dilupakan. Aku juga berharap konsert ini akan diterbitkan dalam bentuk dvd kelak agar memori yang tersimpan dapat diimbas semula.

Tahniah buat sifu, para pemuzik dan semua warga kerja Luncai Emas, Box Office, Istana Budaya dan semua yang telah menjayakan konsert Alam Muzik. Terima Kasih kerana merealisasikan impian para peminat karya sifu diluar sana.

18 ulasan:

matakucing berkata...

nice review bro.. aku tak sempat nak review lagi hahaha..tp tetap terbaik la

hamlau berkata...

Salam SM,

Untung kamu dapat bersama dgn sifu pada malam kedua.. kerana ada 5 set list tambahan dan dapat bangun dan beronggeng atau "menurun" bersama sifu.. malam pertama penonton tak berani nak bangkit pasal tak dijemput oleh sifu.. tapi ada rasanya sindiran sifu pada keadaan yang tidak dapat membenarkan dia berbuat demikian.. kata sifu "tak dapat joget, duduk goyang sikit-sikit pun jadi" - mungkin kerana hari tersebut ramai para bangsawan dan VIP yang hadir..

Macam manapun tetap terhibur dan bangga dapat hadir.. walau ada terkilan sikit.. ;)

hamlau berkata...

Maaf, silap pada pautan hamlau di atas..

juga boleh bersama peminat muzik nusantara di FaceBook Muzik Nusantara Group:

http://www.facebook.com/group.php?gid=51691106691

Norhaidatul Azian Tajul Ariffin berkata...

terbaik la saudagar ulasan ni...
ni di katakan berjalan,mentafsir dan berfikir..
inilah dia yang m.nasir hendak dalam penghayatan pada karya karya emasnya..
:-)

azyze gomez berkata...

Wah, kamu berjaya mencoret perjalanan konsert dengan teliti! Bravo!

Saya bagai hayut dalam irama M.Nasir saat dia mula menyanyi, memori susunan lagu saya tidak sehebat anda.

dan oh, saya cemburu lihat kamu berjaya dapatkan 2 autograf beliau! Saya hanya mahu minta beliau menandatangan album Canggung Mendonan dan Prahara Seni Abadi tapi kakak pengurus di sebelah beliau (adakah itu Ain?) dengan nada sedikit keras kata "Satu je dik, ramai lagi orang." Rasanya tinggal tak sampai 20 orang di belakang saya. Ambil gambar dengan sifu pun tidak sempat.

Tapi konsert ini sememangnya pengalaman indah yang takkan saya lupakan sampai bila-bila!

algojo berkata...

Cayalah bro.. Ulasan yang paling menarikk.. Gua boleh khayal baca dari mula sampai habis.. :)

Algojo berkata...

Oh.. lupa nak cakap SM.. lagu sentuhan listrikmu tu pun lagu tema untuk aku dan 'si dia' .. heheehe.. lagu ni memang kuat 'karennya' dan sering membuai perasaan gua.. wakakak

Saudagar Mimpi ... berkata...

Matakucing : Thanks. Review yang hang dah buat pun gerek jugak.

hamlau : Aku memang puas hati pada malam tu walaupun sifu tak menyanyikan banyak lagu-lagu hits dari zaman Kembara. Mungkin keadaan dan peraturan di IB sedikit sebanyak mengawal pergerakan penonton untuk beronggeng. Apa yang SM lihat pada malam itu ada perlunya juga penonton menjaga pergerakan mereka kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Seingat SM pada malam kedua di Upper Circle ketika lagu Ada terdapat seorang penonton lelaki yang meninggalkan tempat duduk dan menari gila-gila di bahagian depan. Ini menyebabkan pegawai IB menyuruh penonton itu kembali ke tempat asalnya. Keselamatan perlu diutamakan juga.

azyze gomez : Thanks. Rasanya coretan ini pun banyak kelemahan dan ralat disana sini.
Kakak pengurus yg berdiri ditepi sifu tu bukan Ain la... Saya pun hanya bernasib baik kerana pada mulanya sifu hanya turunkan autograf pada buku program sahaja. Selepas itu saya minta juga autograf pada sampul kaset SOLO itu. Nasib baik sifu bagi. :)
Saya juga tidak sempat bergambar bersama sifu disebabkan kamera ada pada adik saya yang beratur jauh dibelakang.Terkilan jugak la sikit...:(

Algojo : Terima Kasih bro. :)
Lagu Sentuhan Listrikmu sememangnya lagu cinta bervoltan tinggi.

Tanpa Nama berkata...

Ulasan terbaik & menarik, SM. Saya pun di upper circle pada mlm tu. Berjoget sakan bersama sifu. Paling tak dilupakan joget masa lagu Ada, lenguh pula kaki (tp berbaloi). Walaupun lepas habis sifu nyanyi Juwita, rasa nak jerit "we want more" lagi. Tak dpt lupakan kemeriahan mlm tu, pengalaman terindah di IB. Sememangnya cair & jatuh cinta dgn sifu mlm tu.

Semasa Sentuhan Listrikmu,
"M Nasir kata bila dengar lagu ini, bila balik nanti, kita akan bayangkan dan mimipikan betapa seksinya lagu ni....diakhir lagu ini dia suruh siapa yg bawak husband or wife ucapkan “i love u”.."

Tambahan lagi, sifu kata siapa yg girlfriend- boyfriend tu jgn nak feel sgt, blm confirm lagi. hahaha!

Samael berkata...

"kalau nak pegang, pakai sapu tangan..." kata M. Nasir sambil menggosokkan tangannya. hehe.. dat was funny! ^_^

memang konsert malam tu terbaik!

Usratika berkata...

salam sm,

saudara duduk di barisan hadapan upper circle 3 ke?sebaris dengan sorang perempuan pregnant? :)saya duduk di barisan hadapan sekali upper circle 3 dan di tengah-tengah.datang bersama isteri yang tengah pregnant.nak bagi anak dalam perut dengar lagu2 m nasir..hehehe

Saudagar Mimpi ... berkata...

Norhaidatul Azian : Maaf tertinggal reply. Rasanya banyak lagi review yg menarik diluar sana yang melaporkan suasana hari pertama hingga malam ketiga.

Tanpa Nama : Hahahah. Joget sampai lenguh. Lepas tu lengguh kepala lutut turun tangga IB. :)

Samael: Yup. Setuju dgn anda. Memang antara yg terbaik.

Usratika : Salam Usratika. Ya saya didepan sekali di upper circle 3 bersebelahan dengan mamat berkaca mata. Adakah saudara yang telah
1.ditegur oleh pegawai IB kerana cuma nak mengambil gambar menggunakan kamera berkuasa tinggi (chewah)
2. menari dan menyanyi (kira enjoy habis) pada setiap lagu pada malam tu.
3.Datang bersama seorang wanita bertudung yang hanya duduk sahaja.
4. Meminta lagu Mustika?
Jika ya, sememangnya kita memang pernah mengamatkan upper circle bersama-sama.

Fuzzy Rizal Aris berkata...

wow...ada encore pada malam kedua...untung juga ye datang hari kedua, at least sifu dapat momentum and respons dari hari pertama, so ada improvements..kami datang hari pertama macam bench mark pulak...sure best ek sifu buat encore.

deaf_angel berkata...

so kira zan datang malam pertama, ko kedua, mata-kucing ketiga?
wah tiga2 review best.

Usratika berkata...

yup..isteri saya bertudung dan hanya duduk sahaja (sebab dia mengandung dan akan insyaallah akan bersalin pada 16hb ni..hehe)

kawan sebelah saya yang mempunyai kamera DSLR tu.hehehe..dia juga yang meminta lagu mustika..malam tu memang bertujuan nak 'nakal' sedikit dalam ruang lingkup kefeudalan istana budaya..hehehe

apapun, ulasan yang baik bagi persembahan yang mengasyikkan :)

Saudagar Mimpi ... berkata...

Fuzzy : Encore malam kedua memamg best. Semua orang bangun dan berteriak minta lagi sekuat-kuatnya. Mungkin disebabkan respon yang baik dari penonton maka sifu keluar dan mendendangkan empat lagu lagi.

deaf_angel : Itu la, aku tulis review ni selengkap mungkin agar rakan-rakan seperti kau yang tidak dapat hadir pada malam tu dapat juga mengambarkan suasana hebat yang kami alami :) Membaca review zan untuk malam pertama & matakucing untuk malam terakhir melengkapkan pengalaman ini.

Usratika : Terima kasih & Tahniah!
Selamat menjadi ayah/bapa. Lepas ni boleh la saudara dodoi guna lagu Anak-anak kita :)
Almaklum la masuk ke Istana, pastinya ada rasa takut-takut dengan para pengawal Istana. Nakal sedikit tidak mengapa kot. Lagipun bukan selalu dapat mengunjungi Istana.

Basri Jalil berkata...

Harap Luncai Emas / Warner Muzik atau BMG keluarkan lah DVD konsert ini seberapa segera. ramai yang tak berkesempatan menonton malam itu.

Setakat ini semua konsert artis hebat di Istana Budaya seperti Jamal Abdillah dan Ramli Sarip telah pun di edar dalam VCD atau DVD. Takkanlah konsert M Nasir tak dibuat DVD.

Saudagar Mimpi ... berkata...

Basri Jalil : Sememangnya ramai (termasuklah saya) yang berharap benar supaya konsert ini diterbitkan dalam bentuk DVD/VCD. Mungkin mereka memerlukan masa yang sesuai untuk mengedarkannya.