ANALITIC

Khamis, Oktober 16, 2003

Unsur kelainan Children of Adam's Peace Train

petikan Utusan Malaysia 16 Oktober 2003

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

SUARA yang sarat dengan tema keamanan dan kedamaian bergaung kuat dan lantang di Dewan Perdana Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.

Acara yang dinamakan Children Of Adam's Pace Train (Perjalanan Anak-Anak Adam) ini menggabungkan beberapa kumpulan nasyid tempatan dengan penampilan istimewa seniman tersohor M. Nasir mendeklamasikan puisi.

Memberi kelainan persembahan malam itu, acara berkenaan turut menampilkan pendakwah dan penyanyi popular antarabangsa, Yusuf Islam atau Cats Steven.

Malam itu Yusuf Islam tidak menyampaikan sebarang lagu secara langsung di depan khalayak tetapi memilih menyampaikan mesej melalui ceramah pendek di pentas.

``Kepercayaan, cinta dan keamanan adalah tiga subjek yang mampu mengubah dunia.

``Toleransi agama antara masyarakat dunia juga mampu menyemarakkan lagi nilai keharmonian dan keamanan seperti diidamkan oleh manusia sejagat,'' jelas Yusuf dalam sesi ceramahnya.

Ini adalah antara mesej penting yang disampaikan oleh bakal penerima Anugerah Sosial Dunia (World Social Award) 2003 di London minggu depan.

Yusuf juga bakal mengadakan persembahan bertema keamanan dunia dan sejagat di Royal Albert Hall, London pada Isnin depan.

Bagaimanapun, bagi tidak menghampakan peminat yang memenuhi dewan berkenaan yang mahu menyaksikan persembahannya, Yusuf tampil dengan dua klip video eksklusif.

Salah satu di antara klip video berkenaan berlokasi di sekitar negara Afrika Selatan dan klip berkenaan baru sahaja di tayangkan di London.

Sebuah lagi klip video bertema keamanan nyanyian Yusuf Islam yang turut dipertontonkan ialah Angel of War.

Persembahan Children of Adam's Peace Train dimulakan oleh deklamasi puisi komposer tersohor, M. Nasir.

M. Nasir memilih puisi karangan beliau sendiri berjudul Petanda yang disampaikan dengan nada dan gaya tersendiri.

Kumpulan Amrain dengan lagu Zikir Kifarah mengubah persepsi bahawa nasyid hanya boleh digabungkan dengan muzik bersifat lembut dan mendayu seperti pop dan komersial semata-mata.

Sebaliknya kumpulan yang dianggotai oleh lima pemuda ini memberi terjemahan berbeza kepada lagu-lagu berunsur ketuhanan apabila menyampaikannya dalam melodi dikir barat. Kelainan inilah yang diinginkan dalam memastikan irama nasyid dan ketuhanan terus berkesinambungan.

Kumpulan Al-Masaar pula muncul dengan lagu Islam Al Quds dalam bahasa Arab sementara Far-East dengan lagu memuja Nabi Muhammad s.a.w. melalui lagu berjudul Muhammad Rasulullah.

Kumpulan Now See Heart kemudiannya muncul dengan lagu Holding On You.

Kumpulan Brothers turut memberi pembaharuan dalam persembahan apabila menyampaikan lagu Neo (Selawat) dalam empat bahasa.

Dengan irama yang cukup harmoni kumpulan yang menjadi perintis nasyid kontemporari ini menyampaikan lagu berkenaan dalam bahasa Arab, Melayu, Cina dan Inggeris.

Kumpulan Qatrunada dan Mawadah muncul dengan dua lagu iaitu Cinta Mencintai dan The Beauty of Islam sebelum kesemua artis muncul dalam acara penutup dengan lagu Children of Adam.

Menilai persembahan malam ini, mungkin kata-kata seniman M. Nasir diawal persembahannya perlu disangkalkan.

``Ini adalah sedikit sumbangan yang kecil,'' kata M.Nasir sewaktu persembahannya.

M.Nasir dan artis terlibat mungkin menganggap ia adalah sumbangan kecil mereka dalam membina nilai keamanan dan keharmonian masyarakat dunia.

Hakikat sebenarnya bukan begitu. Sumbangan golongan artis dan penyair adalah suara besar yang lahir daripada keinginan tanpa paksaan.

Percayalah muzik mampu menyatukan dunia dan mereka inilah pejuang-pejuangnya.

Acara Children of Adam's Peace Train dianjurkan oleh Saba Islamic Media.

Selasa, Mei 20, 2003

Saya sakit, karya dicuri

petikan Harian Metro 20 Mei 2003
Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya sakit, siapa yang tak sakit kalau karya kita digunakan tanpa kebenaran. Sebagai wakil Luncai Emas Sdn Bhd, karya saya kedua paling banyak menjadi mangsa. Saya memang kecewa,” kata komposer terkenal, M Nasir.

M Nasir berkata demikian pada sidang media Penerbit Muzik: Tindakan Undang- undang Ke atas Audio One Entertainment Sdn Bhd (AOE) yang diadakan semalam.

“Saya tidak tahu mengenai komposer lain, mungkin AOE ada mendekati mereka. Apa yang mereka lakukan tetap salah dan saya di sini bersama kawan-kawan tetap menyaman mereka,” katanya.

Luncai Emas bersama enam lagi syarikat penerbitan muzik seperti NSR Music Publishing, Sony Music Publishing, Suwah Music Publishing, Universal Music Publishing dan Warner Chappell Music, sepakat mengemukakan saman RM8.25 juta terhadap AOE, sebuah syarikat pengeluar karaoke Melayu popular kerana disyaki melanggar hak hakcipta lebih daripada 200 karya muzik mereka.

Kumpulan tujuh syarikat itu memfailkan tindakan undang-undang sivil di Bahagian Dagangan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 April lalu. Dokumen guaman bernombor D4-22-544-2003 telah dihantar oleh peguamcara penerbit berkenaan kepada AOE pagi semalam.

Antara penyelesaian yang dipohon ialah perintah injunksi untuk menahan AOE daripada terus melanggar hak hakcipta lagu-lagu penerbit terbabit serta perintah menerbitkan permohonan maaf penuh di akhbar tempatan, ganti rugi termasuk ganti rugi tambahan, faedah dan kos guaman.

Menurut wakil penerbit pada sidang media itu, Sandy Monteiro yang juga Pengarah Urusan Universal Music Publishing, ini tindakan bersama pertama yang diambil penerbit di negara ini serta pendirian mereka terhadap syarikat yang enggan menghormati hakcipta lagu dan mematuhi undang-undang.

“Tindakan ini juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk melindungi kepentingan komposer dan penulis lirik.

“Kami bukan saja mengemukakan di bawah undang-undang sivil malah kami membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan berdasarkan kes jenayah.

“Apa yang kami buat ini, bukan untuk menutup syarikat AOE malah kami ingin menjalankan bisnes dengan mereka tetapi melalui cara yang betul. Kami mahu mereka ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun Sandy tidak memberi jumlah kerugian sebenar yang dialami ketujuh-tujuh syarikat penerbitan itu tetapi dia menganggarkan AOE memperolehi kira-kira RM20 juta setahun dan kerja ini sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu.

Sandy berkata, sebelum ini syarikat secara ‘individu’ cuba menyelesaikan masalah mereka, tetapi bukan saja membabitkan kos agak tinggi malah penyelesaian bagaikan samar-samar. Sebab itu katanya, bermula Oktober lalu, mereka sepakat bersatu mengambil tindakan ini.

Dalam satu lagi perkembangan, Sandy berkata, kelmarin penerbit itu melalui peguamcara mereka membuat aduan kepada KPDNHEP untuk melakukan serbuan ke atas kedai muzik yang disyaki menjual VCD AOE yang dipercayai mengandungi karya muzik cetak rompak.

“Di bawah seksyen 41 (1) Akta Hakcipta 1987, sesiapa saja jika disabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 sebuah lagu atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan bukti, kami percaya AOE masih menerbit dan menjual lagu-lagu ciptaan mereka tanpa kebenaran walaupun tuntutan dibuat berulang kali. Oleh itu, kami tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang,” kata Sandy.

Jumaat, Mac 28, 2003

Babak perang PGL dibuat teliti


BARISAN tentera Pengiran Demak bersiap sedia untuk melancarkan
serangan ke atas Majapahit.

DI sebalik kontroversi serta kekecohan yang menimpa produksi Puteri Gunung Ledang (PGL), penggambaran filem epik terbitan EnfiniTi Productions Sdn Bhd itu tetap diteruskan dengan gigih dan penuh teliti oleh pengarahnya, Saw Teong Hing, bertempat di Institut Haiwan Ayer Itam, Kluang, Johor, hujung minggu lalu.

Di satu lagi lokasi menarik, beberapa babak penting berjaya disempurnakan Teong Hin, antaranya pertemuan rahsia penuh mesra di antara Hang Tuah (M Nasir) dengan Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah (Tiara Jacquelina) serta babak Majapahit diserang pahlawan terkenal, Pengiran Demak.

Bagi babak pertemuan Tuah dan Gusti Puteri Dumilah, pembikinannya dibuat lebih awal iaitu pada 20 Mac lalu selepas semua rombongan produksi berpindah dari lokasi sebelumnya di Gunung Brinchang dan Gunung Jasar, Cameron Highlands.

Hasil daripada latihan berbulan-bulan lamanya yang dibuat sebelum berada di set terbabit, M Nasir dan Tiara nampaknya mampu menghayati babak mereka dengan berkesan. Dalam babak itu juga, Tuah menunjukkan keris saktinya, Taming Sari, kepada Gusti Putri Dumilah.

Dengan gaya penuh yakin laksana seorang serikandi bersama Taming Sari yang menghunus, Tiara membuka bunga langkah dengan pengawasan guru silat, Ariffin Yeop Mahidin.

Jelas terlihat M Nasir mahupun Tiara tidak kekok menunggang kuda kerana sebelum itu mereka sudah menjalani latihan intensif di sebuah kelab kuda di Kuala Lumpur. Segaknya M Nasir beraksi dengan kuda putihnya itu dapat diperhatikan menerusi foto yang tersiar di halaman ini.

Pengarah PGL, Teong Hin, mengakui selama penggambaran berlangsung hingga kini, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu begitu serius menghayati wataknya sebagai Tuah.


M NASIR ketika berlatih sebelum penggambaran bermula.

“Kesungguhan Nasir melakonkan wataknya, tidak kira yang dramatik mahupun lasak, memanglah ketara. Malah ada masanya, Nasir memberikan lebih daripada apa yang kami jangkakan,” kata Teong Hin kepada Persada Seni ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Sebagaimana yang dirancangkan, selesai saja babak itu, pembikinan babak yang lebih besar lagi dilangsungkan dua hari kemudian. Ia bukan saja membabitkan pembinaan set dan props yang kreatif tetapi juga pembabitan 300 pelakon tambahan, 50 kuda terlatih serta pelbagai props perang seperti pedang, perisai dan panah.

Penggambaran babak perang pada hari pertama Sabtu lalu menyaksikan tentera berkuda pimpinan Pengiran Demak, melancarkan serangan ke atas sebuah kampung yang didiami kaum peladang. Huru-hara seketika suasana di situ apabila penduduk kampung lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila serangan dibuat secara tiba-tiba pada waktu siang.

Jika hawa di Gunung Brinchang tempoh hari terlalu sejuk, cuaca di ladang indah persis lokasi filem The Braveheart dan perkampungan Hobbits dalam The Lord of The Rings itu pula panas terik.

Ia memang membakar kulit namun semua krew dan pelakon termasuk ramai kanak-kanak tetap bersabar menunggu isyarat action! daripada Teong Hin dan pembantunya. Malah ada waktunya kanak-kanak terbabit diupah dengan gula-gula supaya rasa bosan mereka berkurangan.

Difahamkan, babak itu hanya akan muncul di layar perak kira-kira seminit saja, tetapi bayangkanlah kepayahan mereka yang terpaksa menahan panas di lokasi selama berhari-hari.

Dalam penggambaran terbabit, Persada Seni turut menyaksikan bagaimana pakar stunts tempatan, Eddie Kong, melakonkan babak lagak ngeri apabila badannya dibakar seorang tentera berkuda.

Cemas seketika suasana apabila tekanan air daripada gelung sebuah kereta bomba di situ tiba-tiba tidak begitu kuat apabila hendak memadamkan api yang menjilat tubuh Kong. Namun langkah keselamatan awal yang dibuat dengan menyapu hidro gel (bahan kalis api) di badan Kong, dapat menyelamatkannya daripada tercedera.

Cuma bahagian pinggang Kong mengalami sedikit lecur kerana api terlalu marak menyambar minyak petrol dan kain guni yang membaluti bahagian bawah tubuhnya itu.

“Sudah 10 tahun saya jadi stuntman. Sebelum ini saya pernah berlakon filem Hollywood 50-50, Lagi-Lagi Senario dan beberapa produksi HVD. Cuma sekali saja saya penah cedera teruk apabila terjatuh ke atas bumbung kereta dari jarak yang agak tinggi,” katanya yang memiliki syarikat Stunt Power.

Yang jelas, produksi PGL cuba menonjolkan kepakaran ramai anak tempatan dalam pelbagai bidang demi menyiapkan sebuah karya epik Melayu yang Malaysia boleh banggakan. Kita tunggu saja nanti bagaimana hasilnya apabila PGL siap ditangani dengan teliti oleh semua yang terbabit.

Rabu, Mac 05, 2003

S.M Salim berduet dengan 10 penyanyi

petikan Utusan Malaysia 5 Mac 2003

POPULARITI lagu Pandang Pandang, Jeling Jeling yang didendangkan oleh Tan Sri S.M Salim dan Siti Nurhaliza secara tidak langsung telah membuka mata banyak pihak.

Ini menyebabkan ramai artis yang menyatakan hasrat mereka untuk berduet dengan penyanyi yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Master Muzik (Persembahan) daripada Universiti Putera Malaysia, Serdang baru-baru ini.

Permintaan yang bertalu itu menyebabkan S.M Salim berada dalam keadaan serba salah. Beliau tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.

Sebaliknya jika pihak syarikat rakaman artis tersebut memberi kelonggaran, beliau bersedia untuk bergandingan dengan siapa sahaja.

``Bukan saya sengaja mahu berduet dengan Siti Nurhaliza. Ini berlaku kerana cadangan penyanyi tersebut. Sebelum Siti tidak ada penyanyi yang menyuarakan hasrat mereka untuk berduet dengan saya.

``Alhamdulillah, lagu tersebut meletup pula. Sekarang ini untuk tidak menghampakan pelbagai pihak syarikat rakaman telah mengenal pasti beberapa penyanyi untuk berduet dengan saya,'' katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bergandingan

Untuk projek album duet itu, S.M Salim akan berpadu suara dengan 10 penyanyi popular masa kini. Penyanyi yang akan bergandingan dengannya ialah Ramli Sarip, Zainal Abidin, kumpulan Raihan, Rosiah Chik, Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, kumpulan Ghazal Remaja Tebrau dan M.Nasir.

Menurutnya, kesemua penyanyi yang disenaraikan itu adalah hasil daripada perbincangannya dengan syarikat rakaman. Sementara lagu-lagu yang akan didendangkan kebanyakannya adalah lagu-lagu baru yang menampilkan rentak asli, world music, R & B dan rock.

Projek

Walaupun projek ini merupakan album S.M Salim namun beliau sebagai penyanyi utama terpaksa mengalah kepada artis jemputan.

Sebagai penyanyi yang sudah 57 tahun membabitkan diri dalam bidang seni, beliau terpaksa menyanyi mengikut konsep muzik setiap artis.

``Kalau menyanyi cara Zainal Abidin, saya tidak kisah sebab sebelum ini saya pernah berduet dengannya menerusi lagu Satu. Saya risau apabila berduet dengan M.Nasir.

``Saya sudah mendengar lagu-lagu dia, saya rasa susah. Entahlah mungkin dalam studio nanti dapat ilham,'' katanya.

Setakat ini antara lagu-lagu yang telah siap dirakam ialah Seiris Hati Sedulang Budi bersama Ramli Sarip, Melenggang Mak Inang dengan Rosiah Chik dan Assalamualaikum bersama Raihan.

Lagu Assalamualaikum yang pernah didendangkan oleh Raihan dalam album mereka telah dinyanyikan semula dengan susunan muzik baru.

Sementara lagu Bukit Kepong yang didendang bersama kumpulan Ghazal Remaja Tebrau adalah lagu pilihan S.M Salim sendiri.

``Saya memang minta lagu itu didendang semula, sebab lagu itu penuh makna pada saya.

``Waktu saya berada di Tangkak, saya melihat rakan-rakan saya ditahan komunis dan sewaktu peristiwa Bukit Kepong, saya sendiri melihat apa yang berlaku. Lagu tersebut saya tujukan khas pada rakan-rakan lama saya,'' katanya mengimbas semula sejarah silam.

Album yang diterbitkan oleh Arab, M.Nasir dan ramai lagi itu dijangka akan berada di pasaran Jun ini.

Selasa, Disember 10, 2002

M. Nasir - Ada pengurusan baru

petikan Utusan Malaysia 10 Disember 2002

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

PADA usia yang sudah melebihi angka 40-an, setelah lebih dua dekad berkarya, komposer M. Nasir masih mengharap supaya karyanya didengar dan dihayati oleh masyarakat negara luar.


M.NASIR bersama isteri, Marlia Musa dan anak - anaknya.

Meskipun tahu langkah itu bukan sesuatu yang mudah, Nasir telah mengambil langkah baru di dalam usaha memantapkan lagi perjalanan kariernya.

``Saya mahu ke peringkat antarabangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Nama beliau dalam dunia muzik tempatan cukup hebat dan mengharum. Malah satu hari nanti seniman kelahiran Singapura ini akan menjadi lagenda besar dalam industri hiburan tempatan yang masih ketandusan individu serba boleh sepertinya.

Suami kepada pelakon Marlia Musa ini dilihat sebagai individu terbaik dalam membawa muzik Malaysia khususnya Melayu ke pentas dunia.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat beliau berjaya di peringkat antarabangsa masih tinggal harapan kerana kekangan demi kekangan diterima seniman itu.

Baru kini M. Nasir menyedari bahawa beliau tidak lagi boleh menunggu. Justeru, beliau perlu melakukan sesuatu bagi mencapai iltizam yang dipendam sejak sekian lama.

Dua dekad dalam dunia muzik, beliau akhirnya mengakui akan kepentingan pihak pengurusan yang bijak dan tersusun di dalam memberi impak yang lebih hebat kepada kerjayanya.

Justeru menurut Nasir, beliau memilih untuk melantik syarikat Dragon DDB sebagai pihak yang menguruskan aktiviti seninya selepas ini.

``Ia sesuatu yang baru. Kalau tidak cuba saya tidak akan tahu. Jadi, saya akan mencuba,'' katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran syarikat berkenaan di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Sebelum ini aktiviti seni M. Nasir diuruskan sendiri oleh kakitangan syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas.

Sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa, Warner Music pihak berkenaan juga banyak membantu dalam soal pengurusan beliau.

Menurut Nasir, sebelum ini beliau yakin akan kemampuan diri sendiri untuk bergerak secara aktif, tetapi ternyata masih banyak ruang yang belum diterokai.

``Saya tahu kebolehan aku. Tapi dalam masa yang sama tidak ada salahnya mencuba kekuatan pihak lain. Saya yakin dengan mereka sebagai pembawa agen perubahan,'' kata bapa kepada enam cahaya mata ini.

Beliau baru sahaja menandatangani kontrak selama tiga tahun lagi dengan Beyond DDB setelah tempoh percubaan selama setahun sebelum ini tamat.

Bagaimanapun, M. Nasir menafikan ketidakupayaan syarikat rakaman yang dinaunginya sehingga menyebabkan beliau memilih syarikat lain dalam soal pengurusan.

``Bukan mereka (syarikat rakaman) tidak boleh buat. Saya tahu apa masalah mereka.

``Bukan mudah untuk jual produk kita di luar, sebab itu saya cuba melalui pendekatan lain dengan Beyond DDB,'' katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Beyond DDB, Amin Hussen berkata syarikat berkenaan bersungguh-sungguh dalam membawa nama M. Nasir ke pasaran negara luar.

Melalui kerjasama sebelum ini Beyond DDB sudah membuat perancangan strategik untuk menjayakan hasrat itu.

DDB merupakan anak syarikat kepada syarikat pengiklanan terkemuka, Naga DDB yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia.

``Setakat ini dua syarikat rakaman di dua negara iaitu Jepun dan Dubai sudah berminat,'' katanya.

Sebagai `suara' baru M. Nasir jelas Amin beberapa perbincangan lain juga sedang dilakukan termasuk mengkaji semula perjanjian kontrak komposer itu dengan syarikat rakaman Warner Music.

``Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan beliau, kami akan melakukan yang terbaik untuk M. Nasir menggapai cita-citanya yang belum tercapai,'' janjinya.

Rabu, Oktober 16, 2002

M. Nasir hibur peminat GP

petikan Utusan Malaysia 16 Oktober 2002

Penyanyi M.Nasir pernah mencatatkan sejarah sambutan yang luar biasa semasa mengadakan konsert di Stadium Negara tujuh tahun lalu. Kemudian diikuti dengan konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selain beberapa konsert yang sederhana saiznya.

Malah pada menjelang ulang tahun kemerdekaan yang lalu M. Nasir turut mengadakan konsert di sebuah hotel di Petaling Jaya. Kekerapan M. Nasir muncul dalam persembahan pentas antara sebab persembahan M. Nasir di Konsert MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang Sabtu lalu kurang sambutan.

Walaupun konsert tersebut terbukan secara percuma kepada pemegang tiket perlumbaan Grand Prix Motosikal Gauloises Malaysia 2002, namun tidak sampai 1,000 orang yang menontonnya.

Kedudukan litar yang agak jauh itu juga mungkin membuatkan pemegang tiket yang tinggal di Lembah Klang keberatan untuk menonton.

Namun persembahan M. Nasir dan kumpulan Spider dengan lagu-lagu popular mereka tetap hangat dan menghiburkan peminat yang hadir.

Kumpulan Spider yang membuka tirai pentas menarik perhatian penonton dengan lagu-lagu Aladdin, Kasih Latifah, Lautku Cukup Masin, Mungkinkah dan Kau saja.

Walaupun baru namun populariti lagu-lagu Aladdin dan Kasih Latifah yang sedang popular membuatkan kumpulan itu turut menggamit peminat.

Apabila penyanyi utamanya, Tam meminta penonton yang duduk supaya bangun, mereka terus bangun dan meluru ke hadapan pentas,

Peminat juga kelihatan menari mengikut rentak lagu yang dipersembahkan oleh mereka.

Selesai persembahan, Spider, M. Nasir memulakan persembahan dengan lagu Duit. Peminat yang pada awalnya duduk di bahagian belakang mula bangun dan menuju ke ruang hadapan.

M.Nasir memilih lagu-lagu yang pernah dipersembahkan di dalam pementasan sebelum ini seperti Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua, Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips, Tanya Sama Hud Hud, Mentera Semerah Padi dan beberapa lagi.

Beliau juga membawa nostalgia kumpulan Kembara dengan menyanyikan lagu-lagu popular semasa bersama kumpulan itu seperti Hati Emas, Gelora, Kepadamu Kekasih dan beberapa lagi.

Sememangnya penyanyi itu tidak pernah ketinggalan menyanyikan lagu-lagu lamanya kerana sedar ia masih diminati sehingga sekarang.

M.Nasir juga memilih pakaian yang ringkas sesuai dengan penonton daripada anak muda yang meminati perlumbaan motosikal.

Dengan seluar jeans, penyanyi berusia pertengahan 40-an itu tidak kelihatan tua apabila beraksi dengan penuh bertenaga di atas pentas.

Malah beliau turut menari dengan gaya tersendiri apabila menyanyikan lagu-lagu berirama rancak.

Pihak Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan konsert tersebut sebagai nilai tambahan kepada pembeli tiket.

``Ia sebagai menghargai sokongan mereka kepada acara ini,'' kata Pengurus Besarnya Ahmad Mustafa.

Rabu, Oktober 09, 2002

Anugerah MACP iktiraf karya terlaris

petikan Utusan Malaysia 9 Oktober 2002
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Loloq (kiri) Along dan M. Nasir selepas menerima trofi pada Anugerah MACP di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Pencipta lagu M. Nasir dan penulis lirik Loloq adalah dua karyawan muzik yang paling banyak mendapat bayaran royalti bagi sepanjang tahun lalu.

Ini dibuktikan menerusi Anugerah Pencipta Terunggul yang dimenangi oleh M. Nasir pada Malam Gemilang Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2002 di Kuala Lumpur Sabtu lalu. Loloq pula menerima Anugerah Penulis Lirik Terunggul berdasarkan royalti lagu yang menggunakan lirik beliau.

Anugerah MACP berdasarkan kutipan royalti yang diterima oleh pencipta lagu dan penulis lirik sepanjang tahun lalu. Keunikan anugerah ini ialah bukan berdasarkan populariti atau undian daripada peminat.

Kutipan royalti yang dikendalikan oleh MACP adalah hasil daripada persembahan muzik di stesen stesen TV dan radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.

Pada majlis itu 15 anugerah telah disampaikan khusus untuk menghargai pencipta dan penulis lirik tempatan yang produktif dan karya mereka diterima oleh peminat.

Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis sinonim sebagai penulis lirik untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir antara penulis lirik yang membawa gaya puitis dalam penulisan lirik lagu.

Bakat muda daripada kumpulan Exist, Azhrul Nasir (Along) pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi.

Syarikat rakaman EMI Music pula menerima Anugerah Penerbit Terunggul sementara Suwah Music sebagai Penerbit Tempatan Terunggul.

Lagu Pandang Pandang Jeling Jeling nyanyian Tan Sri SM Salim dan Siti Nurhaliza menerima Anugerah Lagu Melayu Persembahan Terbanyak sementara lagu Up Town Girl nyanyian Westlife menerima Anugerah Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak.

Anugerah-anugerah lain yang turut disampaikan ialah Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Evening News), Lagu Cina Persembahan Terbanyak (Lu Bian De Ye Hua Bu Yao Cai).

Anugerah Lagu Luar Negara Dengan Pendapatan Tertinggi diberikan kepada pencipta lagu Dui Mian De Nu Hai Kan Guo Lai (Ah Niu).

Anugerah Promoter Terbaik disampaikan kepada Perbadanan Stadium Merdeka sementara Terry Ghani Associates sebagai Syarikat Pengurusan Terbaik.

Selain itu semua stesen radio dan televisyen tempatan turut diberikan penghargaan dalam majlis berkenaan.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tetamu kenamaan Anugerah MACP memuji usaha yang dilakukan oleh karyawan tempatan di dalam menggerakkan industri hiburan tempatan.

Menurut beliau, dengan semangat dan jiwa besar, masalah membabitkan jenayah cetak rompak tidak menjadi penghalang kepada penghasilan karya-karya yang bermutu tinggi.

``Ternyata isu cetak rompak tidak pernah menghalang kreativiti bakat-bakat tempatan dalam dunia seni,'' ujar Muhyiddin.

``Meskipun berhadapan dengan masalah cetak rompak yang tidak pernah selesai, kita masih punya karya yang bermutu dan tinggi nilainya,'' jelas beliau.

Menurut Muhyiddin, kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha untuk membendung jenayah cetak rompak termasuk menimbangkan cadangan supaya mengenakan hukuman sebat kepada pengedar dan peniaga barangan berkenaan.

``Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakannya sedikit masa lagi,'' jelas beliau.

Konsert Astro di Genting Highlands

petikan Utusan Malaysia 9 Oktober 2002

ASTRO menghidangkan tiga konsert hebat membabitkan penyanyi popular tempatan dan luar negara mulai 25 Oktober ini sempena ulang tahun keenam stesen tv satelit itu.

Ketiga-tiga konsert itu dipersembahkan khas kepada peminat lagu-lagu Melayu, Cina dan Tamil.

Astro akan mengadakan konsert Jutaan Kasih pada 25 Oktober di Arena of Stars, Genting Highlands membabitkan penyanyi Erra Fazira, Anita Sarawak, M.Nasir, Ella, Ajai dan Nurul, Maya Karin dan beberapa lagi.

Pada 26 Oktober konsert penyanyi Cina luar negara dan tempatan akan diadakan di tempat yang sama. Antara penyanyi yang akan menyerikan ialah Wong Hee, Frankie Lam dan Kenix Kwok dari Hong Ong.

Gurmit Singh dan Christpher Lee dari Singapura juga akan menyerikan konsert bersama-sama penyanyi tempatan Ah Niu dan Michael Wong. Kedua-dua konsert itu bermula pukul 8.30 malam.

Bagi peminat lagu-lagu India, Astro membawakan banyak penyanyi Tamil pada pukul 4 petang 27 Oktober di tempat yang sama.

Konsert itu menampilkan pengarah muzik popular dari India, Bharadwaj. Penyanyi latar filem Tamil dan Hindi SP Bala, Unni Krishnan, Sujatha dan Anooradha Sriram antara tarikan utama.

Konsert itu turut menampilkan Krishnaraj, Shalini serta beberapa penyanyi Tamil tempatan.

Kutipan tiket untuk menyaksikan konsert itu akan disalurkan kepada badan amal yang akan diumumkan nanti.

Tiket menonton konsert artis Melayu berharga RM60 hingga RM150 manakala konsert artis Cina berharga RM100 hingga RM300.

Tiket daripada RM30 hingga RM100 pula dikenakan untuk menonton konsert penyanyi Tamil.

Pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Ticket Charge Hotline di talian 03-77262002.

Selasa, Oktober 01, 2002

SHARIFAH AINI & M NASIR BERGANDING BAHU

petikan URTV, 1 Oktober 2002
oleh Huzz
sumber : carmahlms.com

Masuk ke studio rakaman lagi ! Itulah yang diteruskan oleh penyanyi yang sudah 33 tahun mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI Malaysia, siapa lagi kalau bukan biduanita Sharifah Aini. Macam dirinya yang masih cantik, begitu juga suaranya masih merdu. Sebagaimana kata M Nasir, "Bukan saja masih cantik ... tetapi masih bergetah !"

Secara eksklusif URTV berjaya menjenguk masuk ke studio Luncai Emas ketika Sharifah Aini merakamkan suara untuk album terbarunya yang ke 75 pada awal September lalu. Rakaman dibuat di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, Selangor pada sebelah malam. Komposer M Nasir dipilih untuk turut menyumbangkan lagu di mana dua buah lagu berentak muzik kontemporari dengan sentuhan world beat ciptaannya berjudul Cinta Alaika (lirik Seth) dan Qasidah Di Jabal Rahmah (lirik S Amin Shahab) dimuatkan dalam album Sharifah Aini kali ini.

Malam itu Sharifah Aini merakamkan lagu Cinta Alaika. Bahagian korus yang sedang dirakamkan malam itu kaya dengan gemersik dan lemak merdu si penyanyi menyebut "Alaika ... Di mana kucari, salju putih menerang wangi" kedengaran begitu hebat sekali. Album ini dijangka berada di pasaran Oktober ini. Kata Sharifah, "Sebenarnya selain Nasir lagu ciptaan LY dan Ajai juga 'best'. Tak tahulah peminat ... tapi bila saya putar berkali-kali rakamana kali ini saya akui saya sangat gembira kerana kebanyakan lagu dalam album ini membuatkan saya berpuashati".

DIA MEMILIKI FAKTOR X

Kak Pah dan M Nasir begitu asyik di dalam studioSeperti komen kebanyakan komposer terkenal termasuk Reggie Verghese (komposer album Inggeris) yang mengatakan Sharifah Aini penyanyi yang kreatif ketika merakamkan lagu ... begitulah juga dengan M Nasir. Kata M Nasir, Sharifah Aini seorang penyanyi yang tahu apa yang dinyanyikan dan dilakukan. Selain dilahirkan dengan bakat istimewa, beliau juga penyanyi yang rajin, kata M Nasir.

Untuk membawa lagu Cinta Alaika ini bukan mudah, irama dan patah lenggoknya dalam alunan 'world beat' yang saya gubah memerlukan seorang penyanyi yang ada karakter tertentu untuk menyanyikannya. Sharifah Aini ini istimewa. Dia ada karakter yang boleh memberi sesuatu pada lagu ini. Dia mempunyai sensualiti dan bertenaga untuk membawa lagu ini. Dia boleh memberikan kreativitinya untuk mencantikkan lagu itu. Dia tidak datang ke studio dengan hanya berharap kepada penerbit atau komposer saja. Dia boleh memberi idea untuk menjadikan lagu itu indah. Terus terang saya katakan saya sendiri anggap dia memiliki factor X dalam menempa kejayaan sebagai penyanyi. Itu kelebihan dan keistimewaan Sharifah Aini," kata M Nasir.

RINDU NAK BERDUET DENGAN NASIR

Kata Sharifah Aini, "Syukur alhamdulillah dipanjangkan usia, disejahterakan kesihatan saya dapat meneruskan hajat nak menghiburkan ribuan peminat saya. Kredit yang diberikan kepada saya oleh Nasir seperti mengatakan saya ini kreatif, ada 'style' membawakan lagu tidak membuat saya merasakan diri ini yang terbaik. Tidak saya nafikan persediaan nak masuk studio bukan sekadar cukup tidur 10 jam sehari, minum air mineral dan air masak lebih dua botol besar sehari atau buat senama di petang hari. Tapi lebih dari itu saya buat persediaan mendengar melodi yang dah diberikan di rumah dan ketika memandu. Bila masuk studio saya sudah ada persediaan. Di studio saya mahu lakukan yang terbaik kerana inilah masanya untuk saya beri tumpuan supaya apa yang terhasil dalam album akan menghiburkan orang," kata Sharifah Aini.

Setelah lama tidak bersama M Nasir bagaimana rasanya bekerja dengannya sekarang?

"Lebih 13 tahun tak jumpa dalam studio ... dia masih macam dia. Kali terakhir dia pernah bekerja untuk album saya pada tahun 1987 kalau tak salah saya. Masa itu untuk album saya yang berjudul Kasih. Kalau ada orang kata dia serius atau menakutkan, pada saya dia okey. Dulu dan sekarang masih 'maintain'. Saya tak ada masalah. Malah ada ketika saya lihat dia seorang komposer yang mesra dan ramah dan suka mengusik saya. Terus terang saya katakan ... Nasir ini kadang-kdang nakal, serius dan ada kehebatannya yang tersendiri. Nakal tu bila ada kala dia kata saya masih cantik ... seriusnya bila dia bekerja dan hebatnya bila saya rasa puas menyanyikan lagu-lagunya. Dari nada rendah sampai tinggi, lepas habis. Puas ... ! " kata Sharifah Aini. "Cuma saya ingin sangat kalau boleh pihak syarikat rakaman saya dan syarikat rakaman Nasir mengizinkan kami berduet dalam satu lagi," kata Sharifah Aini.

Isnin, September 30, 2002

Malam Seni dan Warisan 28 Oktober

petikan Utusan Malaysia 30 September 2002

Sesuai dengan konsep untuk memartabatkan warisan seni dan budaya tempatan, penyanyi dan komposer M. Nasir diundang mengadakan persembahan pada Malam Kegemilangan Seni dan Warisan yang akan berlangsung pada 28 Oktober ini. Acara gilang gemilang itu diadakan di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana, Kuala Lumpur pukul 8 malam.

Pemilihan N. Nasir untuk menyanyi pada majlis makan malam itu adalah tepat kerana beliau seorang seniman yang sentiasa mengangkat nilai-nilai seni dan warisan budaya tempatan.

Dalam persembahan itu, M.Nasir yang terkenal dengan lagu-lagu berteraskan muzik tempatan akan menyampaikan beberapa buah lagu popularnya sambil diiringi oleh pemuzik profesional.

Malam Kegemilangan Seni dan Warisan itu dianjurkan oleh Apex Prima Network dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Menurut jurucakap penganjur, matlamat utama penganjuran majlis itu adalah untuk memperkenal dan mempromosikan budaya serta seni warisan negara kepada generasi hari ini.

Langkah tersebut diambil bagi memastikan warisan seni budaya yang gemilang itu tidak dilupakan oleh generasi muda.

Katanya, perubahan yang begitu pesat membuatkan generasi muda lebih menerima nilai seni dan budaya luar khususnya Barat sebagai mengisi hidup mereka.

``Kita tidak mahu generasi muda leka dalam arus pembangunan. Justeru itulah mereka perlu diterapkan dengan nilai budaya tempatan agar tidak melupakan asal usul,'' jelasnya.

Sehubungan itulah, pada Malam Kegemilangan Seni & Warisan selain daripada lagu-lagu nyanyian M. Nasir, tetamu juga akan disajikan dengan persembahan yang berteraskan budaya warisan.

Antara yang akan dipersembahkan pada malam tersebut ialah pertunjukan fesyen yang menampilkan pakaian tradisional.

Selain itu pada 28 Oktober orang ramai yang berkunjung ke ruang legar Hotel Istana akan berpeluang menyaksikan pameran kraftangan yang dibawakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Bagi yang berminat untuk menyertai majlis Malam Kegemilangan Seni dan Warisan, bolehlah menempah meja yang berharga RM5,000 dan RM2,000 mulai sekarang. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Zarina atau Marshall di talian 03-92005941.