Khamis, Julai 10, 2025

Jana semula 'tenaga' rock

petikan Harian Metro 10 Julai 2025

Syafil Syazwan Jefri  syafil.syazwan@hmetro.com.my

M Nasir bakal gegar Axiata Arena menerusi Konsert Datuk M Nasir: Cipta 3.

"Saya sentiasa bersedia. Persoalannya, adakah anda semua bersedia untuk rock?".

Demikian kata Datuk M Nasir yang digelar Sifu dalam industri muzik tanah air yang sekali lagi bakal beraksi di Konsert Datuk M Nasir : Cipta 3 pada 27 September 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Sinonim dengan genre rock dalam karya-karyanya pada era 1980-an dan 1990-an, jiwa ke arah genre muzik itu masih menebal dalam dirinya. Namun, 'tenaga' itu perlu digali semula bagi menghidup semula jiwa berkenaan.

"Dari sudut permainan muziknya, tentunya tidak seperti konsert terdahulu kerana ia bertemakan rock. Saya cuba mendapatkan 'tenaga' rock itu.

"Persiapan saya adalah nak kumpulkan balik jiwa rock dalam diri saya sebab dah lama tinggalkannya dan dah bagi orang lain buat. Tapi, jiwa rock itu sebenarnya sentiasa ada.

"Saya bermula pun dengan menghasilkan album-album rock antaranya untuk kumpulan Search, Wings, Bloodshed dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai persiapan dari segi pemakanan dan penjagaan diri, M Nasir mengakui, ada pantang-larang yang harus diikutinya.

"Pantang-larang dari segi makanan mestilah ada. Jangan buat benda yang tak sepatutnya kita buat contohnya, makan terlalu banyak," katanya.

Berkongsi mengenai gubahan dan susunan muzik, dia yang akan beraksi di pentas selama lebih tiga jam dan mempersembahkan lebih 30 lagu akan menyusun karyanya sebaik mungkin.

"Lagu-lagu rock itu saya akan persembahkan dan lagu-lagu yang bukan rock, saya akan buat susunan muzik rock. Kebanyakan idea akan hadir sewaktu sesi 'jamming'. Jadi, saya akan fikirkan mengenai gubahan muziknya.

"Rock ada pelbagai fahaman juga. Macam-macam jenis fahaman rock. Jumlah lagu 32 lagu semuanya. Lagu-lagu rock panjang, jadi mungkin kalau 20 lagu pun dah tiga jam," katanya.

Penyanyi lagu Mantera Semerah Padi ini juga antara selebriti tanah air yang baru-baru ini menunaikan ibadah haji dan berkongsi pengalamannya.

"Di sana cuaca panas dan saya di sana hampir sebulan. Perubahan cuaca ada beri sedikit kesan kepada kesihatan, tapi masih dapat dikawal. Alhamdulillah.

"Paling istimewa saat menunaikan haji, apa yang kita jangka tak semestinya berlaku. Bagi orang yang pertama kali masuk ke Tanah Suci, dia akan merasa syahdu. Pertama kali melihat Kaabah itu, mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan di situ.

"Tapi, bagi mereka yang betul-betul mengharapkan rahmat Tuhan, dia akan rasa syahdu, sedih tanpa sebab. Mungkin kerana kecintaan yang teramat diekspresikan dengan tangisan," katanya.

Menurutnya lagi, kerinduan kepada Tanah Suci tidak dapat dinafikan walaupun sudah beberapa kali ke sana.

"Tetapi, walaupun sudah beberapa kali ke sana pun, kita akan rasa perasaan sama. Bagi mereka yang sudah selesai mengerjakan haji dan ditanya sama ada nak datang lagi, semua akan cakap nak datang lagi kalau boleh.

"Saya boleh faham perkara itu sebab saya pun alami perkara sama. Alhamdulillah saya dapat mengerjakan haji," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, M Nasir berkata, cabaran terbesar adalah untuk menjaga pertuturan memandangkan setiap yang berlaku di sana adalah di luar jangkaan.

"Sebenarnya, semuanya mudah dikerjakan. Tapi, apabila sampai di sana, tak semudah disangka dengan keadaan ramai umat manusia, segalanya jadi berbeza.

"Perasaan jadi lain, rasa nak cakap sesuatu atau betulkan suasana, sentiasa ada dalam fikiran. Jadi, kita kena kawal benda-benda itu terutamanya mulut kita daripada merungut.

"Selepas selesai haji, saya pergi menziarahi beberapa tempat lain juga. Saya pernah melawat beberapa tempat semasa umrah dahulu.

"Jadi, saya pergi lagi. Antaranya, memanjat Bukit Uhud sampai ke atas puncak. Sempat juga saya ke puncak Gua Hirak," katanya.

Jumaat, Julai 04, 2025

Peminat bertuah Konsert M Nasir berpeluang bawa pulang motosikal Harley Davidson

Petikan Harian Metro 4 Julai 2025

Oleh Syuhada Sukapeli   am@hmetro.com.my

M NASIR bersama Kamaludin bergambar dengan sebuah motorsikal Harley Davidson yang dimiliki oleh bakal pemenang cabutan bertuah yang membeli tiket konsert Datuk M. Nasir : Cipta 3 di aplikasi Etiqa+ pada sidang media pengumuman cabutan bertuah di Dataran Maybank, Bangsar. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Peminat Datuk M Nasir bukan sahaja berpeluang menikmati malam penuh nostalgia dan semangat rock menerusi Konsert Dato M Nasir Cipta 3, malah berpeluang membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson bernilai RM114,000.

Konsert yang bakal berlangsung pada 27 September ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur tampil lebih istimewa dengan kerjasama Harley Davidson dan Etiqa selaku rakan strategik utama malam bersejarah itu.

Lebih menarik, motosikal model Harley Davidson Softail STD FXST lengkap dengan perlindungan insurans Etiqa akan dihadiahkan secara ikhlas oleh M Nasir sendiri kepada seorang pembeli tiket bertuah.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, pemenang motosikal eksklusif itu akan dipilih secara cabutan bertuah yang terbuka kepada semua pembeli tiket, tanpa mengira kategori tempat duduk.

"Ini hadiah paling istimewa dalam sejarah penganjuran konsert Dato M. Nasir. Peminat bukan sahaja pulang dengan kenangan konsert, malah mungkin pulang menunggang Harley Davidson," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, kerjasama ini bukan sekadar meraikan muzik, tetapi mencipta pengalaman berbeza untuk masyarakat.

"Kami percaya muzik adalah jambatan yang menyatukan kita. Melalui aplikasi Etiqa+, kami berikan akses eksklusif untuk pembelian awal tiket dan peluang menyertai aktiviti menarik berkaitan konsert ini," katanya.

Konsert Yang membawa tema 'Malam Ini Gua Rock', turut menggalakkan penonton hadir dengan gaya bebas dan ekspresif menerusi konsep 'Rock Cara Lu… Janji Rock', demi menyemarakkan lagi suasana malam penuh kenangan dan semangat rock.

Pra-jualan eksklusif dibuka menerusi aplikasi Etiqa+ sejak semalam manakala jualan umum bermula jam 11 pagi ini.

Khamis, Julai 03, 2025

KONSERT DATO' M.NASIR CIPTA 3

“Yang mana kau pilih, isi atau kulit? Kertas bungkusan yang indah coraknya Membungkus benda tak kira nilainya Yang mana berharga, isi atau kulit? Hiasan cantik permainan mata Budi yang baik santapan jiwa Isi dan Kulit (1985) 🎶

🔥 Tak payah cakap banyak, Jom beli tiket. Layan lagu ROCK. Tak kiralah ROCK Keras ke, ROCK Cintan ke, Pop ke, Ringan ke, Balada ke, Kapak ke atau Kangkang… Janji ROCK!! 

🤟🏻 Ketua Segala ROCK aka SIFU dah panggil... Jom aaaa… Apa Lagi? 27 September 2025 (Sabtu) 8:30 malam Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur. 

Tiket kategori seperti berikut: RM 258 - TEGUH RM 358 - OPERA HIDUP RM 458 - ISI DAN KULIT RM 488 - SEJATI RM 558 - GADISKU RM 628 - PAWANA 

📍Tiket boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.my/MNasirCipta3 : Pra Jualan tiket akan dibuka untuk pengguna Aplikasi ETIQA+ pada: Khamis, 3 July 2025, 2 petang. Tiket untuk umum akan di jual pada: Jumaat, 4 July 2025 pada 11pagi 

♦️Setiap pembelian tiket, anda akan layak memenangi sebuah motorsikal Harley Davidson pada malam tersebut. (Anda harus add on beli physical tiket untuk cabutan tersebut) 

C I P T A 3 M A L A M I N I G U A R O C K ! ! 

🔥🤘🏻🤟🏻🔥 #datomnasir #datodrhajimnasir #hajiSIFU #Sifu #cipta3 #malamniguarock