petikan MalaysiaKini 24 Julai 2022
oleh Rimanilzah
Pada 1981, kami sekeluarga berpindah ke perkampungan setinggan di Kampung Sentosa C, Batu 6, Jalan Klang Lama. Pada waktu itu, abang sulung saya, Nyah, pandai menghasilkan speaker buatan sendiri.
Nyah juga ada amplifier dan pemain kaset.
Ketika itu belum ada bekalan elektrik. Jadi, kalau hendak menggunakan amplifier dan pemain kaset, kuasa elektrik dari bateri basah digunakan.
Apabila kuasanya telah kurang, Nyah akan membawa bateri basah itu ke sebuah kedai membaiki motosikal di Batu 6, Jalan Klang Lama untuk dicas.
Di rumah Nyah, saya mula mendengar lagu-lagu Kembara melalui kaset yang dibeli di pasar malam. Harga kaset pada waktu itu RM2.80 jika tidak silap.
Saya perlu menjimatkan belanja sekolah kalau hendak membelinya.
(Sekarang, saya memiliki semua kaset dan cakera padat original kumpulan Kembara.)
Pada 1983, Kampung Sentosa C dilanda kebakaran. Nyah berpindah ke Kampung Pantai Dalam, tetapi kami sekeluarga masih menetap di rumah setinggan yang dibina semula.
Selepas itu, saya selalu lepak di rumah Saha, kawan setinggan saya. Abang kepada Saha ada kaset-kaset Kembara dan sebuah mini compo.
Di rumah Saha, saya semakin meminati lagu-lagu Kembara. Saya juga mula mengenal dan meminati puisi pada waktu itu.
Kumpulan Kembara membawa banyak kenangan kepada saya dan kawan-kawan. Antaranya lukisan pada sampul-sampul kaset Kembara mula menarik minat saya terhadap seni lukis walaupun pada waktu itu saya tidak faham akan makna imej-imej yang terdapat pada karya S Amin Sahab tersebut.
Lagu-lagu Kembara juga membawa makna yang tersendiri kepada kami.
Tahun-tahun 1980-an, tinggal di rumah setinggan dengan atap zink berbahang. Tidak jauh dari rumah ada landasan kereta api. Kalau ke sana, kami melihat kereta api lalu.
Apabila mendengar lagu Ekspress Rakyat, bagai ada perasaan mahu menjelajah seantero tanah semenanjung muncul.
Di tepi jalan dekat Taman Kanagapuram, Jalan Klang Lama kami melihat buruh kasar daripada kaum Melayu, Cina dan India duduk di tepi longkang. Mereka menunggu “kepala” datang mengangkut mereka dengan lori untuk mengambil kong.
Tentulah lagu Senandung Buruh Kasar itu berkesan dan bermakna kepada kami.
Kita mesti terus hidup
Di tepi jalan Batu 6, Jalan Klang Lama ada satu gerai menjual surat khabar. Pak Darus - bapa kepada kawan saya - ialah tuan punya gerai itu. Jadi, ada satu perasaan 'semacam' apabila kami mendengar lagu Penjual Surat Khabar.
Apabila terdengar lagu itu sekarang, saya akan teringat kepada arwah Pak Darus dan anak-anaknya yang menjadi jiran kami.
Mak pula selalu berleter: “Kalau tak ada pelajaran, abang nak jadi apa?”
Jadi, apabila mendengar lagu seperti Perjuangan, Hati Emas, dan Impian Anak Jalanan, semacam ada suatu keazaman untuk berusaha. Seperti ada satu inspirasi apabila mendengarnya.
Semasa di Tingkatan 6 di Victoria Institution, saya dan kawan-kawan membuat pementasan teater. Kami telah memilih lagu Rupa Tanpa Wajah sebagai lagu latar.
Kata-kata “kita mesti terus hidup” yang terdapat dalam lirik lagu Balada Osman Tikus dan Sesat Di Kuala Lumpur pula menjadi moto hidup kami semasa bersekolah.
Saya selalu ke Hentian Pudu Raya untuk membuat dubbing lagu-lagu kegemaran di sebuah kedai kaset di situ. Ada sebuah kedai buku juga yang selalu saya kunjungi. Kadang-kadang saya menghantar kawan, saudara mara, atau buah hati untuk menaiki bas di situ.
Apabila mendengar lagu Di Perhentian Pudu Raya ada kenangan yang muncul.
Lagu menjadi penanda zaman
Kalau ke Kuala Lumpur kami selalu makan di benteng selera. Sekarang, benteng di Jalan Pasar itu sudah tidak wujud lagi. Semasa remaja pula kami menjadi kutu. Kami pakai jeans koyak dan jaket lusuh. Bersembang di tepi tembok dengan Amie, Saiful, dan Sahar macam-macam perkara.
Sekarang, apabila mendengar lagu Benteng Selera dan Kutu, kenangan zaman remaja itu muncul kembali.
Yang paling tidak boleh blah ialah waktu putus cinta. Apabila mendengar lagu Mencurah Janji Di Daun Keladi, hati bagai disayat-sayat sembilu. Tetapi masih tekan butang rewind berulang kali untuk meraikan perasaan terluka dengan mendengar lagu itu.
Banyak lagu Kembara yang membawa semangat zaman tahun-tahun 1980-an. Ada yang kekal relevan sehingga kini, dan ada yang hanya menjadi penanda zaman.
Persoalan dalam lagu seperti Duit, Kolar Biru, dan Kawan masih bersesuaian sehingga sekarang.
Manakala lagu seperti Perwira, Di Perhentian Pudu Raya, dan Panorama Jingga menjadi penanda zaman era 1980-an.
Kata-kata seperti 1984 (Perwira), Pudu Raya (Di Perhentian Pudu Raya), dan mercu tanda Dayabumi (Panorama Jingga) mewakili tahun-tahun kencana 1980-an.
Sesiapa yang membesar pada 1980-an tentu memahami kehidupan marhaen baik di bandar besar mahupun di luar bandar. Ada yang berhijrah ke bandar untuk mencuba mengubah nasib mereka. Yang masih di luar bandar, dengan cabaran masing-masing pula.
Lagu-lagu Kembara banyak mengungkap kegetiran pada zaman itu.
Misalnya, lagu seperti Panorama Jingga dan Sesat Di Kuala Lumpur mewakili anak muda yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Manakala lagu seperti Impian Seorang Nelayan pula mewakili keperitan kehidupan masyarakat luar bandar.
Lagu-lagu Kembara seolah-olah menjadi soundtrack kepada suka duka hidup golongan marhaen. Apabila didengar pada waktu ini pula, lagu-lagu tersebut bagai membawa diri kita lalu terhantar ke terowong masa di lebuh raya kenangan.
Dari 1981 hingga 1986, Kembara telah menghasilkan tujuh buah album, iaitu:
1981 – Kembara
1982 – Perjuangan
1983 – Generasiku
1984 – Seniman Jalanan
1984 – 1404 Hijrah
1985 – Duit
1986 – Kembara Seniman Jalanan (Lagu-lagu dari filem)
Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang lagu-lagu yang terkandung dalam tujuh buah album tersebut. Dari segi falsafah kehidupan, citra ketuhanan, unsur-unsur alam, pandangan hidup, nilai kemanusiaan, semangat Melayu, dan sebagainya.
Menghuraikannya akan menjadikan tulisan ini lebih panjang.
Saya pertama kali menyaksikan konsert Kembara pada 1986 iaitu di Panggung Anivessary. Konsert itu merupakan penggambaran untuk filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani.
Jadi, kami yang menonton konsert itu bagai menjadi pelakon tambahan. Ada kawan yang sanggup memanjat pokok untuk mendapat sudut pandang yang lebih baik.
Setelah 33 tahun semenjak Kembara muncul di persada seni tanah air, pada 21 hingga 23 Nov 2014, konsert Kembara: Hati Emas diadakan di Istana Budaya. Kali ini konsert tersebut diadakan di tempat mewah dan berhawa dingin dengan harga tiket yang mahal.
Harga sekeping tiket untuk menyaksikan konsert tersebut sama dengan sebulan gaji seorang buruh kasar pada 1980-an. Anggota Kembara juga tidak lagi memakai jeans lusuh, kasut Fung Keong, dan mengikat bandana di kepala.
Namun begitulah perubahan masa. Dari segi pendapatan, kebanyakan 'peminat kipas mati' yang datang menyaksikan konsert Kembara telah semakin stabil. Peminat baru pula datang untuk mengenali dan mendekati zeitgeist 1980-an.
Emosi dan kenangan memang tidak boleh dibeli. Tetapi perasaannya tetap sama apabila terimbau dengan mendengar lagu-lagu Kembara.
Kumpulan Kembara selamanya akan menjadi ikon generasi Melayu 1980-an yang telah melalui perjalanan hidup serba mencabar.
Kumpulan Kembara sekali lagi akan mengadakan konsert, iaitu Panorama Jingga 1414 di Plenary Hall, KLCC pada 31 Julai 2022 ini. Jom berpesta di sana.
RIMANILZAH ialah peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj dari ‘kota basah’ di utara Semenanjung.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini