Selasa, Disember 26, 2017

Akar, jiwa Melayu M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 26 Disember 2017
Alif Fadli Mohd. Sori


SENIMAN tersohor, Datuk M. Nasir mengambil masa hampir seminit berfikir apakah jawapan terbaik untuk menjawab soalan mengenai lagu yang menjadi Magnum Opus sepanjang 40 tahun beliau bergelar anak seni,

Sepanjang tempoh itu juga, sejumlah peminat tegar beliau yang sabar menantikan jawapan tertanya-tanya daripada ratusan lagu ciptaan beliau, karya mana agaknya yang benar-benar sempurna pada matanya.

Seraya tergelak kecil, perlahan komposer terbilang Melayu itu membuka mulut dan menjawab dengan tenang.

Kata M. Nasir, tiada sebarang karyanya yang boleh dianggap sebagai Magnum Opus kerana secara peribadi, beliau berpendapat, setiap lagu yang tercipta merupakan mahakarya yang mempunyai jiwa dan maksud tersendiri yang tidak boleh dibandingkan.

Demikian tingginya apresiasi seorang pemuzik sejati yang menghargai karyanya sama rata. Mencipta lagu dan menulis lirik ikhlas daripada jiwa membuatkan M. Nasir berdiri teguh dalam kelas tersendiri.

“Saya lebih gemar menyanyikan lagu yang ada elemen kerakyatan supaya lebih dekat dengan peminat. Malah pemilihan kata membentuk lirik juga sangat dititikberatkan,” ujar seniman yang merantau dari Singapura ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berkarya.

Terjemahan mengenai apresiasi seni beliau dikongsi dalam majlis anjuran Sahabat M. Nasir, Magnum Opus M. Nasir: Kembara ke S.O.L.O. sempena 40 tahun penglibatan komposer itu dalam dunia seni.

Sebetulnya, selepas lebih empat dekad mengharungi sepak terajang dunia seni, suami kepada pelakon dan bekas pensyarah Datin Marlia Musa dan bapa kepada lima cahaya mata itu tidak pernah berasa bosan dan lelah dengan kerja-kerja seni yang sudah sebati dengan jiwanya itu.

Bahkan yang mengagumkan ialah semangat dan kekentalan jiwa seninya terus marak dan ikrar M. Nasir juga ialah beliau akan terus kekal memartabatkan muzik Melayu.

M. Nasir merupakan seniman yang paling teruja dan gembira jika diajak berbicara mengenai muzik Melayu.

Duduk berbual dengannya akan membawa anda menelusuri sejarah panjang perkembangan muzik Melayu.

Mula melangkah ke gelanggang seni sekitar 1979, pemikir hebat ini memacakkan tiang seninya menerusi album solo pertamanya, Untuk Pencinta Seni yang memperkenal dia kepada peminat.

Bukan mahu membuka lipatan sejarah seninya yang berjilid tebal, namun jelas M. Nasir, tatkala mula ditawarkan untuk menjadi penyanyi, hatinya berbelah bahagi ketika itu.

Sejujurnya, M. Nasir tidak hanya mahu menjadi seorang penyanyi tetapi misi seninya cukup luas.

Beliau mahu memperjuang jiwa Melayu di persada yang lebih tinggi dan meluahkan buah fikirannya kepada masyarakat.

“Saya juga seorang pelukis sebelum mula bergelar penyanyi. Apabila mendapat tawaran (merakamkan album), saya berfikir banyak kali.

“Percaturannya sama ada hidup atau mati. Saya kena buat sesuatu untuk memartabatkan muzik Melayu.

“Kalau ketika itu, jika yang saya perjuang tidak menjadi, tak mengapa. Tapi saya kena buktikan identiti Melayu kuat menggenggam jiwa saya.

“Saya mahu muzik Melayu perlu ke arah kedudukan yang lebih dihormati,” kata penyanyi yang mempunyai sembilan album solo dan enam album dengan Kembara selain pernah membintangi 13 buah filem. - Gambar FAISOL MUSTAFA

Album baharu tahun depan

SELEPAS 11 tahun sepi tanpa sebarang album, M. Nasir bertuah kerana namanya masih gah di persada seni. Kedudukannya tidak terganjak. Lalu, apabila beliau mengumumkan bakal tampil dengan album baharu, berita gembira itu disambut dengan sorak gembira oleh peminat komposer hebat ini.

Bukan mudah untuk menggali kotak fikiran untuk menghasilkan karya-karya agung bagi dinikmati semua peminat muzik. Bagi M. Nasir, berkarya itu memerlukan nyalaan api marak yang mencerminkan pemikirannya.

“Apabila mahu tampil dengan album baharu ini, kita kena gali lebih dalam untuk cari pelbagai elemen. Kadang-kadang saya berbual secara serius dengan rakan seperjuangan dalam bidang seni.

“Semuanya sudah dilakukan. Tiada lagi seniman yang mahu memperjuang isu kemanusiaan dan kerakyatan. Tanah seni sudah kering dengan semangat waja pendekar seni yang berjuang.

“Tapi apabila difikirkan semula, kita tidak boleh ada sikap itu. Sebab itu, saya sedang mengumpulkan bahan dan kalau sempat, awal tahun depan saya akan tampil dengan album baharu,” kata pemenang dua trofi Anugerah Juara Lagu pada 1994 dan 2012.

Ditanya mengapakah beliau memilih untuk hanya menyanyikan lagu ciptaannya sahaja, M. Nasir tersenyum sendiri. Mengapa tidak dia membuka peluang itu untuk komposer lain?

Mahu lebih jujur ketika menyanyi, itu jawapan yang keluar dari mulut pencipta lagu Mentera Semerah Padi itu.

Rupa-rupanya beliau lebih faham dan selesa dengan muzik yang ditulis sendiri.

“Saya rasa lebih senang menyanyi lagu sendiri. Apabila menyanyi lagu orang lain, saya hanya menyanyi. Apabila menyanyi, kita kena jujur. Saya ada sebab tersendiri berbuat demikian,” katanya penuh jujur.

Dari Kembara ke S.O.L.O

MENYELAK sejarah pembabitannya dengan kumpulan Kembara, lelaki berusia 60 tahun ini mengimbau saat mula-mula menyimpan hasrat untuk menubuhkan kumpulan nyanyian harmoni tersebut, beliau menyedari banyak cabaran berada di depan mata, namun hatinya yakin untuk menongkah arus perdana ketika itu.

Dalam kotak fikirannya, yang beliau mahu hanyalah platform untuk melontarkan suara emasnya selain wadah bagi mendendangkan buah fikiran menerusi lirik dan gubahan muzik malar segarnya.

Kesyukuran dipanjatkan oleh M. Nasir apabila hasrat murninya disambut baik syarikat rakaman ketika itu yang membuka pintu peluang untuk pemuzik baharu membuktikan bakat dan semangat muzik yang sehingga kini masih membara.

“Ketika itu tiada orang berani tubuhkan kumpulan harmoni. Kena ada kemahiran dan teknik yang betul. Saya banyak terpengaruh dengan muzik rakyat. Bob Dylan antara rujukan saya ketika itu.

“Pada waktu itu, saya tidak ada daya untuk menterjemahkan idea dan pemikiran. Saya buat yang terdaya dan termampu. Saya berkawan dengan pemuzik yang bagus dan dari situ, saya kenal A. Ali (komposer dan penyanyi).

“Saya suka dengan permainan muziknya tapi pada masa yang sama, saya dapat rasakan dia tidak sesuai untuk terus kekal dengan Sweet Charity. Apabila dia keluar, baru saya ada keyakinan untuk tubuhkan Kembara,” kata tunggak utama pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu lagi.

Pembubaran Kembara tidak memadamkan api seni M. Nasir. Beliau sebaliknya, terjun ke bidang perfileman menerusi filem pertamanya, Kembara Seniman Jalanan memegang watak sebagai Bujang.

M. Nasir sedar, perjuangan muzik Kembara tidak semudah yang disangka. Ketika itu, survival kumpulan tersebut dihalang oleh beberapa faktor yang akhirnya menimbus bara api Kembara.

“Kembara sudah tidak sesuai ketika itu. Pemuzik rock pun mengalami kepayahan sama. Pentas untuk sebuah kumpulan memakan kos yang besar, penganjur tidak mampu untuk menampungnya.

“Ketika itu, kumpulan yang berbeza alirannya belum cukup dibantu dari segi teknikal. Sekarang artis yang dahulunya tenggelam mampu kembali berjaya bila berada di pentas yang betul,” kata pemenang Lagu Terbaik Festival Filem Malaysia 1984 dan 1990 itu.

Namun jauh di sudut hatinya, seniman berjiwa besar ini tahu beliau akan menghasilkan albumnya semula cuma masa yang menjadi penentu langkahnya dalam bidang seni ketika itu.

“Lama juga saya buat kerja filem. Tetapi masa itu saya buat produksi orang lain. Jadi pelakon, penulis dan komposer bagi filem. Selepas itu baru saya diyakinkan oleh Datuk Aziz Bakar untuk menyanyi solo kembali.

“Saya ketika itu pun fikir agak lama saya menyepi dan sudah banyak eksperimen muzik saya lakukan. Justeru, terhasilnya (lagu) Mustika menerusi album S.O.L.O,” katanya.

Bahan pembentangan Forum MAGNUM OPUS - Dari Kembara ke SOLO 
(Kredit : Kelab Sahabat M Nasir)

"

Sabtu, Disember 23, 2017

Diskusi kembara muzik solo M.Nasir

petikan Kosmo 23 Disember 2017
Nurul Fadila Awaludin

M.NASIR turut berkongsi pengalaman perjalanan kerjaya nyanyian sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

WAKTU sekitar dua jam diperuntukkan bagi mengupas kisah perjalanan penghibur bernama Datuk M.Nasir sepanjang 40 tahun berkelana sebagai anak seni dalam lapangan seni muzik tanah air memberi pelbagai reaksi kepada peminat setia sifu muzik tersebut.

Perkongsian tersebut dibuat menerusi sebuah forum bertajuk Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir Kembara Ke Solo yang bertujuan meraikan usaha keras beliau bergelar seniman meneruskan kelangsungan seni daripada menganggotai kumpulan Kembara kepada bergerak secara solo.


Berlangsung di Mini Auditorium Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, acara berkenaan dianjurkan oleh Kelab Sahabat M.Nasir bagi membincangkan tentang muzik dan lirik dari sudut sosiobudaya dan nilai komersialisme karya yang dihasilkan.

Diskusi tersebut melibatkan tujuh buah album bersama kumpulan Kembara hingga album beliau bergerak solo bertajuk S.O.L.O. sekitar tahun 1989.

Tiga tahun ‘berjuang’ bersama kumpulan Kembara, pemilik nama Mohamad Nasir Mohamad kemudian mengambil keputusan bergerak sendiri sekali gus menghasilkan lebih enam buah album solo.

Bercerita mengenai transisi daripada penyanyi berkumpulan kepada solo, beliau menyifatkan keputusan tersebut dibuat untuk meneruskan kecinta.annya terhadap dunia muzik.

“Secara peribadi penghasilan album S.O.L.O. bukan satu perkara yang dirancang kerana ia dilakukan mengikut apa termampu pada ketika itu. Kebanyakan mereka berpendapat ia seperti satu perancangan masa depan tetapi sebenarnya tidak.

“Tambahan, disebabkan pada ketika itu industri hiburan tanah air tidak mempunyai penyanyi kumpulan bersuara harmoni, saya mengambil keputusan untuk tubuhkan Kembara,” terangnya.

Mengulas mengenai penghasilan karya, beliau tidak menafikan keinginan untuk menonjolkan ekspresi diri menyebabkan dia memilih untuk mencipta lagu mengikut corak tersendiri.

Bukan bermaksud menafikan kreativiti komposer lain, tetapi baginya menyanyikan lagu ciptaan sendiri membuatkan beliau mudah untuk menyampaikan inti pati lagu tersebut kepada khalayak.

“Menghasilkan lagu sama seperti kita ingin melukis. Mustahil untuk mengharapkan individu lain menzahirkan imaginasi kita sekiranya tidak melakukannya sendiri,” kata pelantun lagu Juwita itu.

Sudut pandangan

Dalam pada itu, forum tersebut turut memperlihatkan penulis lirik Hairul Anuar Harun dan Pengasas Tempatan Fest, Mohd. Nasier Rashid sebagai panel berkongsi pandangan mereka terhadap perjalanan kerjaya seni M.Nasir.

Menurut Hairul, kebanyakan lagu yang dihasilkan M.Nasir sewaktu menganggotai Kembara mahupun dalam album S.O.L.O. lebih menjurus ke arah puisi tentang kritikan sosial terhadap latar masa dan kejadian pada ketika itu.

Menyentuh tentang nilai sosiobudaya, meskipun lirik lagu yang dihasilkan jelas menunjukkan kritikan terhadap sesuatu perkara, namun M.Nasir berjaya menjadikan teguran tersebut tidak terlalu menonjol.

“Kebanyakannya dihasilkan mengikut selera pendengar dan bersesuaian dengan perkara yang sedang berlaku pada ketika itu. Tidak dinafikan wujud unsur kritikan tetapi tidak terlalu ketara kerana masih tetap mengekalkan kesantunan,” ujar Hairul yang penulis lirik lagu Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Hairul turut meluahkan pandangan terhadap corak muzik masa kini yang lebih tertumpu kepada nilai komersial menyebabkan karya mereka sukar untuk menjadi malar segar.



***Tambahan : Ikuti juga catatan menarik oleh blogger/penulis Zan Zaini ****
"Pencarian 40 tahun M Nasir mencipta magnum opus dalam Kembara ke Solo"


M. Nasir mempersembahkan lagu “Rajawali Terbang Tinggi” daripada album S.O.L.O yang diterbitkan pada tahun 1989 pada program “Magnum Opus 40 Tahun M. Nasir KEMBARA ke SOLO" di Mini Auditorium di Matic, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2017. sumber Youtube The Malaysian Insight

M Nasir yang versatil

petikan Harian Metro 23 Disember 207
riadz@hmetro.com.my


MUZIK folk daripada Bob Dylan dan Crosby, Stills, Nash & Young banyak mempengaruhi muzik M Nasir hingga hari ini.
Dalam industri hiburan tempatan hari ini, individu paling layak digelar legenda ialah Datuk M Nasir.

Dalam tempoh 40 tahun kerjaya seninya, M Nasir berjaya sebagai penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, penerbit album, pelukis dan pernah mengarah filem.

Setahu saya, beliau cuma tidak pernah menjadi pengacara saja.

M Nasir juga antara individu yang dihormati hampir semua penggiat seni tempatan. Baik yang aktif di arus perdana atau insan seni yang mementingkan unsur seni dan menolak gosip hiburan.

Dalam erti kata lain, seni yang diketengahkan M Nasir terutama membabitkan lagu dan muzik ciptaannya diterima ramai.

Sehubungan itu, program Magnum Opus: 40 Tahun M Nasir - Kembara ke Solo anjuran kelab peminatnya, Sahabat M Nasir (SMN) di Auditorium Mini MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini sangat menarik.

Ia memberi peluang kepada hampir 100 peminatnya berdiskusi dan berkongsi ilmu dengan M Nasir mengenai pembabitannya dalam bidang muzik bermula dengan album solo berjudul Untuk Peminat Seni pada 1979, bersama Kembara (1981 - 1986) hinggalah kembali merakamkan album solo berjudul S.O.L.O pada 1989.

Selain M Nasir, panel terdiri daripada penulis lirik, Hairul Anuar Harun, pengasas Tempatan Fest dan bekas pengarang majalah R.O.T.T.W Seir Rashid serta pengarang dan kartunis majalah Gila-Gila Ronasina selaku moderator.

Tentu ramai yang bersetuju, sepanjang kerjayanya M Nasir lebih menyerlah dalam bidang muzik. Secara peribadi, saya berasakan M Nasir cukup ‘versatile’ dalam bidang itu.

Selain bersama Kembara dan menaikkan nama Alleycats dan The Flybaits dengan lagu pop ciptaannya, M Nasir juga memainkan peranan penting ketika era kegemilangan muzik rock pada era 1980-an.

Beliaulah individu yang memperkenalkan Search hingga menjadi band rock nombor satu negara. M Nasir juga yang menerbit album dan mencipta lagu rock popular untuk Wings, Bloodshed, BPR, Rahim Maarof, Ella, Hattan, Ariwatan dan banyak lagi.

Pendek kata, ketika itu hampir semua band rock mahu mendapatkan sentuhan berbisa M Nasir.

Dalam program itu, M Nasir turut menceritakan pengaruh awalnya dalam muzik ketika masih menetap di Singapura iaitu lebih kepada lagu folk daripada Bob Dylan.

“Pengaruh banyak datang daripada abang saya yang banyak membeli rekod penyanyi luar. Saya kemudian diperkenalkan dengan Crosby, Stills, Nash & Young. Mereka menjana minat saya untuk menghasilkan lagu berunsur kerakyatan dan marhaen seperti apa yang saya lakukan bersama Kembara,” katanya yang turut mengambil Queen, Pink Floyd, Bob Marley dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebagai rujukan.

“Waktu itu juga kebanyakan anak muda lain lebih meminati muzik heavy rock daripada Deep Purple dan sebagainya, tetapi abang saya kemudian memperkenalkan Led Zeppelin kepada saya,” katanya.

Program ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mengenai albumnya bersama Kembara, pusingan kedua pula mereka membincangkan mengenai album S.O.L.O, manakala pada pusingan ketiga ialah sesi soal jawab bersama peminat.

Malangnya, akibat kekangan masa, hanya tiga soalan daripada penonton dapat dijawab.

Antara yang diperkatakan M Nasir dalam program itu ialah mengenai muzik Melayu yang dikatakan dekat dengannya, terutama dalam album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi, Canggung Mendonan dan Phoenix Bangkit.

“Lagu Melayu banyak dipengaruhi muzik Amerika Latin dan Hindi. Muzik Hindi juga pengaruhnya banyak diambil daripada muzik Amerika Latin. Jadi, sebenarnya tidak jelas di mana muzik Melayu itu sebenarnya,” katanya.

Pada penghujung program, M Nasir turut membuat persembahan secara akustik. Beliau dibantu pemain bass berpengalaman, Yan dan Johan Haron yang juga Presiden SMN bermain cajon.

Apa yang menarik, mereka sepatutnya membawakan dua lagu saja, tetapi M Nasir cukup ‘sporting’ dan penonton pada petang itu puas apabila sifu ini ‘belanja’ sembilan lagu!

Lagu yang dimainkan secara spontan itu ialah Impian Anak Jalanan, Rajawali Terbang Tinggi, Sesat Di Kuala Lumpur, Mustika, Ekspres Rakyat, Mentera Semerah Padi, Kupu-Kupu, Kepada Mu Kekasih dan Hati Emas


Ahad, Disember 17, 2017

M. Nasir bakal keluar album baharu

petikan Utusan Malaysia 17 Disember 2017
Alif Fadli Mohd. Sori

KUALA LUMPUR 17 Dis.- Penyanyi dan komposer tersohor negara, Datuk M. Nasir mengumumkan bakal tampil dengan album baharu selewat-lewatnya awal tahun depan.


M. Nasir, 60, berkata, dia ketika ini masih lagi mengumpul karya-karya bagi melengkapkan album tersebut.


“Berkarya ini kena ada ‘api’. Saya buat untuk orang banyak lagu tetapi untuk saya sendiri, tak banyak mana pun. Buat album baharu kena ada pelbagai elemen.


“Saya sedang kumpul bahan. Mungkin awal tahun depan. Saya harap dapat siapkannya menjelang tahun depan,” katanya yang mendapat sorakan peminat yang hadir dalam forum Magnum Opus 40 Tahun M. Nasir: Kembara ke Solo di sini, semalam.


Majlis anjuran Sahabat M. Nasir itu juga turut mengundang penulis lirik terkenal, Hairul Anuar Harun dan bekas pengarang majalah Rhythm of the Third World, Mohd Nasier Rashid.

Selepas lebih 20 tahun, ini kata M Nasir tentang isu 'Siapa Mahathir?'

petikan Malaysiakini 17 Disember 2017

 Dua patah kata “siapa Mahathir” yang didakwa diucapkan oleh M Nasir pada 1996 telah menyebabkan komposer dan penyanyi terkenal itu digam daripada radio dan televisyen kerana dianggap kurang ajar terhadap perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebih 20 tahun kemudian, apabila ditanyakan semula berkenaan kontroversi itu, M Nasir tidak berminat memberikan ulasan.


“Saya tak suka bincang isu ini. Tak mendatangkan hasil,” katanya kepada wartawan selepas program Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Kembara ke Solo yang diadakan di Pusat Informasi Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur hari ini.

M Nasir sebelum itu diminta mengulas berkenaan pujian Mahathir baru-baru ini kepada golongan artis yang membuat kenyataan yang cenderung dilihat mengkritik kerajaan.

Mahathir yang kini berada di barisan pembangkang sebelum ini memuji tindakan Datuk Sheila Majid yang menulis di Twitter berkenaan ekonomi negara yang tersasar dari landasan sementara rakyat terhimpit dengan beban hutang.


"Anak muda khususnya kena berani ke hadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid,” kata Mahathir.

Mahathir turut memuji selebriti lain termasuk Fathia Latiff yang mengeluarkan kenyataan yang cenderung dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Kenyataan Ratu Jazz dan pelakon itu bagaimanapun dikecam oleh beberapa ahli politik kerajaan dan antaranya ada yang menyifatkan agar artis tidak masuk campur hal-hal politik.

Beberapa artis lain termasuk penyanyi Adibah Noor dan pengacara Sarimah Ibrahim tampil menyatakan sokongan terhadap Sheila dengan menyifatkan bahawa artis berhak bersuara kerana mereka juga rakyat Malaysia.

Larangan menyiarkan karya

Pada 1996, M Nasir dikatakan tidak dapat hadir latihan sempena Malam Puisi Utusan yang menampilkan Mahathir sebagai tetamu kehormat.

M Nasir yang baru mendapat berita kematian ayah mertuanya dan perlu bergegas pulang ke Singapura telah diasak wartawan yang menanyakan alasan beliau tidak hadir.

Anak seni kelahiran Singapura itu menjelaskan bahawa menghadiri pengebumian ayah mertuanya lebih penting kepadanya berbanding acara itu.

Kenyataan M Nasir yang didakwa mengandungi ungkapan "siapa Mahathir" ketika itu telah digembar-gemburkan media meski syarikat naungan beliau BMG telah menghantar surat penafian kepada Utusan Malaysia.


Pihak M Nasir juga menulis surat kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dengan kontroversi itu.

Namun timbalan menteri penerangan ketika itu Datuk Seri Suleiman Mohamed telah mengeluarkan larangan agar karya M Nasir tidak dikeudarakan atau disiarkan dan akhirnya menyebabkan konsert komposer itu yang dijadualkan di Kedah dan Selangor pada tahun berkenaan dibatalkan.

Larangan yang dikenakan ke atas M Nasir itu sering dirujuk sebagai peristiwa yang menggambarkan tahap kebebasan bersuara artis pada era pentadbiran Mahathir.

M Nasir hadir sebagai tetamu istimewa forum yang dianjurkan Kelab Sahabat M Nasir dengan kerjasama Matic.

Selama lebih 2 jam, forum itu membincangkan karya M Nasir dari album pertama kumpulan Kembara hingga album Solo pertama beliau bertajuk 'Solo'.

Di akhir forum, M Nasir sempat menghiburkan hadirin dengan lapan buah lagu, termasuk Mustika dan Rajawali Terbang Tinggi.

Jumaat, Disember 15, 2017

Apa ada pada M.Nasir?

petikan Astro Awani Disember 15, 2017
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani |

KUALA LUMPUR: Setelah 40 tahun seniman legenda Datuk M.Nasir berkecimpung dalam industri muzik, satu sambutan yang dinamakan "Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir" akan dianjurkan.

Presiden Sahabat M.Nasir (SMN), Johan Arif memberitahu forum “Kembara Ke Solo” akan menjadi pemula program yang disusun bagi memenuhi kalendar 2018 dan 2019.

Katanya, forum tersebut akan membincangkan tentang kupasan dari segi muzik, lirik, sosio-budaya dan komersialisme terhadap tujuh album bersama Kembara dan album solo pertama pada 1979 dan kedua berjudul, "SOLO" pada 1989.

"Forum Kembara Ke Solo ini adalah siri pertama dari dua lagi forum yang akan diadakan pada 2018 dan 2019.

“Jadi untuk siri kedua nanti akan focus kepada "Saudagar Mimpi" ke "Phoenix Bangkit" dan siri ketiga adalah pasca album "Phoenix Bangkit", termasuk album terbaru beliau akan datang,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Dua ahli panel terdiri dari Pengasas Tempatan Fest Mohd Nasier Rashid yang juga bekas editor ROTTW dan penulis lirik Hairul Anuar Harun.

Manakala kartunis dan editor majalah Gila-Gila, Ronasina akan bertindak sebagai moderator.

“SMN mahu membawa panelis yang bukan dari kalangan penggiat disekeliling M.Nasir.

“Kita mahukan sisi pandang yang sehabis neutral dan jujur jika boleh,” katanya lagi.

SMN berharap forum ini akan memberikan persepsi bahawa seni dan budaya popular sesebuah bangsa adalah satu entiti penting dalam pembentukan negara bangsa, pemupukan jatidiri dan menyumbang kepada khazanah seni negara.

“Perbincangan secara ilmiah sekaligus mengangkat karya M.Nasir ke satu tempat yang sewajarnya selain mengenengahkan juga beberapa individu penting yang sering dianggap sebagai ‘wira tak didendang’ evolusi muzik Melayu,” katanya.

Forum “Kembara Ke Solo” akan diadakan pada 16 Disember pukul 3 petang bertempat di Mini Auditorium Matic, Jalan Ampang di ibu negara.