Ahad, Februari 03, 2013

Kembara kembali?


petikan Cyberita


KEMBARA TULEN: Bekas anggota Kembara, A. Ali (kanan) dan S. Sahlan (duduk) turut dijemput bagi menjayakan konsert Ekspress Rakyat. - Foto fail KEMBARA KINI: Anggota Kembara yang bakal beraksi dalam konsert pada 30 Mac ini terdiri daripada (dari kiri) Shahrum Basiron (pemain dram); Mohd Shah Othman (pemain kibod); M. Nasir (penyanyi utama); Rahman Suri (pemain bes) dan Zoul (pemain gitar utama). Turut terlibat tetapi tidak ada dalam gambar ialah pengarah muzik Rahman Akib.
- Foto ESPLANADE THEATRE BY THE BAY


KONSERT: Ekspres Rakyat oleh Kembara.

TARIKH: 30 Mac, 8 malam.

TEMPAT: Dewan Konsert Esplanade.

DIPERSEMBAHKAN OLEH:

Esplanade Teater Di Pesisiran.

TIKET: $75, $55, $35 (tidak termasuk yuran Sistic). Boleh didapatkan di Sistic.

Sempena konsert, Datuk M. Nasir akan mengadakan Bengkel Penulis Lagu pada 29 Mac, dari 3 petang hingga 6 petang, di studio latihan Esplanade.

Penyertaan terhad kepada 20 orang. Yuran $60. Untuk pendaftaran sila e-mel kepada ynorhayati@esplanade.com.

BERTIGA atau berlima? Yang original atau kumpulan generasi kedua?

Inilah antara soalan yang selalu memeningkan anggota kumpulan popular era 80-an, Kembara, setiap kali kisah kumpulan ini diperkatakan, termasuk untuk urusan persembahan dan publisiti.

"Dari dulu sampai sekarang, kami kena jawab tentang barisan anggota Kembara. Sama ada tiga atau lima, sebenarnya dari mula sampai sekarang orangnya itu, itu juga," kata Mohd Shah Othman, pemain kibod kumpulan itu.

Apa yang beliau maksudkan ialah Kembara, biarpun secara dasarnya dikenali sebagai kumpulan trio yang dianggotai Datuk M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan, ia sebenarnya sejak mula telah turut mendapat sokongan tenaga dan kreativiti daripada anggota lain yang disebut para pemerhati muzik sebagai "generasi kedua" Kembara.

Mereka ialah M. Nasir sebagai penyanyi utama; Shahrum Basiron, 60 tahun, sebagai pemain dram; Rahman Suri, 59 tahun, sebagai pemain bes; Zulkifli Mohamed atau Zoul, pemain gitar utama; dan Mohd Shah Othman.

Kesemua pemuzik ini masih aktif, sama ada sebagai sesionist, pengarah muzik atau pemuzik di pusat hiburan.

Bahkan seorang lagi anggota, pengarah muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdul Rahman Akib, juga merupakan sebahagian tenaga penting Kembara sejak mula ditubuhkan, tetapi tidak pernah ditampilkan sebagai 'orang depan'.

Bahkan menurut Shahrum, penyanyi adik beradik Eddynor Ali dan Eddy Ali juga pernah muncul dalam permulaan Kembara ditubuhkan.

Ini yang didedahkan dalam satu interviu ekslusif dengan Berita Minggu di pejabat Esplanade Teater Di Pesisiran baru-baru ini.

Semua anggota 'generasi kedua' Kembara hadir, termasuk M. Nasir, yang bercakap menerusi tele-sidang dari Kuala Lumpur.

"Saya masih ingat... semasa di bangunan Wisma (kini Wisma Atria), Nasir yang masa itu sedang melukis batik, ada berkata mahu tubuhkan kumpulan. Dia cari A.Ali... mati-mati nak A.Ali masuk kumpulan ini... macam idola pula. Tetapi soal muzik, nasihat orang lain pun diambil termasuk nasihat Eddy Marzuki," kata Shahrum.

Rahman Suri pula menambah: "Untuk urusan pemasaran, tak perlulah ramai-ramai kedepan. Sebab itu mula-mula cuma Nasir, A.Ali dan Sahlan saja yang dikenalkan. Kami semua memberi sokongan permainan muzik, suara dan rakaman di studio, dari belakang tabir. Jadi apabila Ali dan Sahlan sudah tidak aktif kerana sibuk dengan urusan masing-masing, Nasir tak perlu cari ganti sebab sejak penubuhan kumpulan ini, susah senang kami memang sudah bersama."

MUZIK NUSANTARA

Menurut Nasir penubuhan Kembara pada 1981 di tengah-tengah populariti kumpulan Sweet Charity dan Black Dog Bone ketika itu adalah untuk menawarkan kelainan dalam irama Nusantara tanpa mengurangkan "semangat hard rock". Inspirasi datang dengan menggabungkan jiwa rakyat Melayu dengan pop santai irama The Beatles.

"Masa tu terlalu banyak muzik saduran. Nak hidup lama dalam industri ini, kita kena buat lagu lagu sendiri," kata Nasir, yang ternyata hari ini merupakan seniman Melayu paling 'kaya' dengan karya lagu ciptaannya sendiri.

"Harmoni juga penting. Lirik kena puitis, tetapi berjiwa rakyat... barulah boleh dinamakan Kembara," tambahnya.

Kalau boyband hari ini terlalu memementingkan aspek "wajah komersial" atau pakej lengkap untuk diketengahkan dalam industri hiburan, Kembara hanya bersandarkan kepada lagu yang kuat, baik dari segi irama yang menjadi halwa telinga, hinggalah kepada lirik yang mencuit perasan dan gabungan suara yang cukup harmoni.

Album pertama mereka, Kembara (1981), yang mengandungi lagu popular Hati Emas, meluncurkan terus kerjaya mereka dengan penjualan 25,000 unit album. Sehingga 1986, album Kembara dikeluarkan satu setiap tahun oleh syarikat rakaman Polygram.

GADUH DENGAN A.ALI?

Namun, pengunduran A. Ali dan S.Sahlan daripada Kembara selepas album ketiga menimbulkan banyak spekulasi. Ada yang pernah bisikan kepada wartawan bahawa pergaduhan pernah tercetus antara Nasir dan Ali. Benarkah begitu?

Apabila soalan itu ditanyakan pada 'sifu' muzik itu secara langsung, beliau agak jengkel.

"Mana ada gaduh.? Gaduh dengan you, adalah!" katanya antara serius dengan bersenda. "Tak adalah... biasalah kalau beza pendapat. Tetapi tak gaduh pun," kata Nasir lagi.

Dalam perbualan hari itu, Mohd Shah, yang kini aktif bersama Yayasan Warisan Johor, sempat berkongsi pengalaman ketika mereka di studio untuk mencari lagu.

"Nasir ni selenge. Masuk studio, biasanya lagu belum siap... kadang kala belum ada apa-apa lagi. Kena banyak bersabar. Macam mana kita sibuk pun, tak boleh desak dia buat kerja cepat-cepat. Tetapi bila ilham keluar, lagunya memang baik," ujarnya.

Lagu-lagu yang dihasilkan, majoriti adalah ilham pengalaman sendiri. Seperti lagu Bas No. 13 (1982), merupakan khidmas bas yang selalu mereka naiki, melalui Geylang Serai ke bandar.

TAK SUKA LAGU PEREMPUAN

Satu lagi kerenah Nasir, kata Shahrum pula, ialah sikapnya yang tidak suka menggunaka nama wanita dalam lagu.

"Kita ada buat lagu dengan lirik... Rita Rita... tetapi Nasir tak mahu pakai nama perempuan. Jadi kita tukar kepada Duit Duit untuk lagu Duit sebab masa itu memang tengah sesak," selorohnya.

Bagaimanapun, Kembara tetap mempunyai sebuah lagu menggunakan nama wanita, iaitu Rozita.

Kumpulan tersebut agak sepi selepas menghasilkan tujuh album apabila Nasir memulakan kembaranya ke Kuala Lumpur sekitar peretengahan 80-an. Ketika itu beliau sudah pun popular sebagai penggubah lagu baru kumpulan Search, Wings dan turut terlibat dalam pembikinan filem termasuk filem Seniman Jalanan.

"Kami tak ikut Nasir ke KL sebab kami ada tanggungjawab keluarga di Singapura. Rezeki kami masih di sini," kata Rahman lagi.

Nasir akui sebelum ini tidak ada usaha menyatukan anggota Kembara kembali kerana kesibukan masing-masing. Usaha untuk konsert gabungan mereka telah dibuat tahun lalu, tetapi terpaksa dibatalkan kerana mereka gagal mendapatkan tarikh yang dapat mengumpulkan semua anggota.

Tetapi untuk Konsert Ekspres Rakyat pada 30 Mac ini di Dewan Konsert Esplanade, Nasir berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan S. Sahlan dan A.Ali ikut serta dalam konsert yang pertama kali menggabungkan mereka selepas 25 tahun.

Bahkan, khabarnya ada pihak penerbit konsert di Malaysia sudah merancang siri konsert Kembara seterusnya di negara jiran selepas pementasan pertama di Singapura pada Mac ini.

Berdasarkan senarai 65 lagu popular yang pernah dirakamkan Kembara, agak-agak berapa banyak yang akan dipersembahkan dalam konsert dua jam itu nanti?

"Kita siapkan saja banyak-banyak... lebih 20 lagu. Janji semua puas hati," kata Mohd Shah lagi.

Nasir pula sempat memberitahu kemungkinan akan ada single terbaru kumpulan itu sempena konsert nanti.

"Belum siap... tetapi tengoklah... insya-Allah akan diusahakan," ujarnya.