Selasa, Januari 11, 2011

Penangan juara lampau serlah AJL25

petikan Harian Metro 11 Januari 2011
Oleh Norhayati Nordin

SEGMEN pembuka tirai dan 'interlude' penutup yang dipersembahkan dalam acara kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25) di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin nyata berjaya mencuri tumpuan penonton yang memenuhi segenap ruang.

Tirai persembahan yang dibuka Francissca Peter menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran yang pernah muncul Juara Lagu pertama pada 1996, mengimbau semula nostalgia lalu. Masing-masing ada sebab dipilih, termasuk lagu Pada Syurga Di Wajahmu dendangan Nash yang memukau kerana ia menjadi juara pertama kategori Balada.

Kerancakan suasana yang meriah itu diteruskan dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud sebagai juara pertama kategori Irama Malaysia diikuti Ghazal Untuk Rabiah, duet M Nasir dan Jamal Abdillah tetapi dinyanyikan M Nasir dengan gayanya sendiri. Bahkan, yang pasti vokal tiga penyanyi 'senior' ini masih hebat dan tiada tandingan.

Begitu juga pujian yang tinggi harus diberikan ketika segmen 'interlude' mengetengahkan tiga diva berlainan era iaitu Datuk Sharifah Ani, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza yang muncul menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka sementara menanti keputusan diumumkan.

Dimulakan dengan Sharifah Aini yang mendendangkan lagu Kau Tinggi Di Awan dan Oh Di Mana yang mengimbau kegemilangan genre muzik pop tahun 70-an diikuti kelantangan vokal Ziana dengan lagu balada popularnya, Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Apapun, kemunculan Siti Nurhaliza dengan medley lagu Etnik Kreatif, Balqis, Nirmala dan Cindai memperlihatkan betapa genre lagu ini masih diinginkan penonton walaupun sejak beberapa tahun ini lagu-lagu sebegitu tidak lagi berjaya ke final. Dengan lenggok tarian yang cantik, melengkapkan lagi persembahan Siti.

Justeru, persembahan ini berjaya melengkapkan acara kemuncak AJL25 berprestij seiring dengan usia jubli emasnya kerana 14 lagu yang berentap pada malam itu dilihat setara kerana tiada yang paling menonjol. Apapun, pentas pertarungan yang dimulakan Yuna menerusi Cinta Sempurna membangkitkan kehangatan. Ada mengatakan persembahan Yuna dengan petikan keyboard persis Lady Gaga dan Elton John. Tidak ketinggalan, Tomok turut menampilkan persembahan mantap menerusi lagu Berlari. Semarak kerancakan juga dapat dirasai pada persembahan A.P.I menerusi lagu Pelita.

Seperti tentera di medan perang yang berjuang, gimik diketengahkan sesuai dengan lagu Pelita itu. Manakala persembahan Shahir dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan kurang bertenaga walau pun ada kemunculan istimewa pelakon jelita, Nasha Aziz. Persembahan Black dan Meet Uncle Hussain (MUH) dengan lagu Drama King cukup serasi. Bagaimanapun persembahan Hafiz dengan lagu Noktah Cinta juga menjadi. Terutama gimik rebah ditembak dan kemudian Hafiz muncul dengan sut berwarna putih.

Lagu Tolong Ingatkan Aku yang menjulang nama Ana Raffali sebagai juara AJL25 pula dipersembahkan gadis ini dengan gimik menyanyi dalam sangkar. Ana dianggap peserta 'underdog' kerana bukan calon pilihan untuk menang hingga kejayaannya menang besar pada malam itu memang tidak dijangka.


Apakah istimewanya lagu Ana itu di mata juri profesional yang diadili M Nasir sebagai ketua juri, Habsah Hassan, Acis, Azmeer, Amy (Search), Pacai dan Andy Flop Poppy? M Nasir juga diasak dengan persoalan mengenai keistimewaan lagu itu hingga diangkat juara dalam sidang media sebaik selesai siaran langsung. Katanya, lagu Ana sedap, ada sentuhan peribadi dan ringkas. Ia lagu yang kita cari dan apa yang boleh dikatakan, juri sudah membuat pilihan. Malah, keputusan ini dibuat dengan penuh kesedaran dan sebulat suara. Pemarkahan juri juga cukup untuk melayakkan lagu Tolong Ingatkan Aku sebagai juara.

"Bahkan, jika ia dikatakan 'lagu sampah' pun, sudah keputusan kita (juri) yang menilai dan memilih. Jadi, ia lagu terbaik walaupun peningkatannya tak dinafikan belum sampai tahap popular. Bagaimanapun, lirik dan ciptaan lagu ini sangat indah.

"Melodi dan liriknya penuh dengan kejujuran. Ia menggambarkan perasaan sebenar yang dirasai. Sentuhan peribadi dirasai dan rasa pada lagu itu sangat penting. Jadi, kami di barisan juri, memilih lagu yang terbaik dan bukan hanya popular didengar," katanya.

Sedar keputusan memilih Ana sebagai juara akan mencetus 'kontroversi', M Nasir berkata seni itu halus dan melodinya harus dinilai dengan teliti. Ujarnya lagi, keputusan juri adalah muktamad dan harap ia dihormati dan tidak dipertikaikan.

Menyorot kembali perjalanan persembahan, tindakan pihak produksi meletakkan kumpulan pemuzik di bahagian atas harus dipuji kerana selalunya disorok. Selain itu, kombinasi 'menjadi' tiga pengacara Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar. Bagaimanapun, konsep diketengahkan tetap sama iaitu pergaduhan setiap tahun. Cuma, yang menariknya pada segmen 'belajar bahasa Inggeris' yang boleh dikatakan mencuit hati dengan perkataan seperti 'Faizal Is Mail' dan 'Ally Is Kandar'. Mungkin sudah tiba masanya gandingan mereka ditukar pada masa akan datang.

Selain itu, penggunaan khidmat artis popular seperti Noorkhiriah, Datuk Aziz Satar dan Fatimah Abu Bakar nyata tidak membantu kejayaan lagu Selamat Malam yang dipersembahan Faizal Tahir untuk diangkat Persembahan Terbaik. Begitu juga Shahir mengundang Nasha Aziz ketika menyampaikan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan manakala. Artis popular lain yang turut menyerikan AJL25 ialah Zahiril Adzim (Ana Raffali) sebaliknya gimik Faizal terjun dalam air ketika menyampaikan Hanyut berjaya melayakkannya menang Persembahan Terbaik.

Finalis lain turut tidak mengecewakan persembahan mereka iaitu Adira menerusi lagu Ku Ada Kamu, Bunkface (Exravaganza), Black (Sofea Jane), Jahat (Stacy) dan Mencari Konklusi (Hujan) yang muncul dengan gaya dan konsep tersendiri.

Bagaimanapun, tirai AJL25 yang dilabuhkan agak menyedihkan apabila ketika Ana memberi ucapan atas kemenangan tak diduganya, penonton dilihat tidak memberi perhatian dan keluar dari stadium. Apakah ia tanda tidak menghormati atau protes pada si juara?

CORET-CORET
> KETIKA artis membuat persembahan, ada ketikanya Ketua Juri, M Nasir dilihat menggeleng-gelengkan kepala, apakah yang tidak kena?
> AJL25 lakar sejarah apabila buat kali pertama, tiket laris dan stadium dipenuhi penonton. Ada juga yang dilihat terpaksa berdiri untuk menyaksikan persembahan artis.
> SEWAKTU Ziana membuat persembahan, 'spotlight' di suluh terus kepada klon Ziana yang turut sama menyanyi ala-ala Ziana Zain.
> SEKUMPULAN remaja lelaki yang meniru gaya Misha Omar ketika persembahan di AJL berjaya meraih RM5,000 kerana menjadi juara. Klip video dirakamkan mereka kreatif dan melucukan.
> ANTARA finalis yang memang vokal mereka mantap pada malam AJL25 lalu ialah Yuna, Hafiz, Black dan Faizal.
> DI sebalik kegembiraan Ana Raffali menjadi juara AJL25, dia juga kelihatan sedih tatkala kemenangannya dipertikai dan mencetuskan kontroversi.
> LAGU Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana dikatakan 'lagu sampah' pada sesi sidang media selepas acara berprestij itu melabuhkan tirainya.
> DI majlis post party, penyanyi Francissca Peter menjadi tumpuan peminat untuk bergambar dengannya. Maklum balas yang baik itu menambahkan keyakinan Francissca untuk menjayakan konsertnya di Istana Budaya (IB) pada 5 dan 6 Februari depan.
> TAHNIAH kepada pengarah muzik terkenal Ramli MS kerana baru mendapat gelaran 'Datuk' dan beliau juga baru pulang mengerjakan haji di Tanah Suci.
> BUKAN saja suaranya merdu umpama 'buluh perindu' tetapi penampilan baru Datuk Sharifah Aini yang menggayakan tudung selepas bergelar 'hajjah' cukup menawan

Tiada ulasan: