Rabu, Disember 05, 2007

Hinakah irama Malaysia?

petikan Harian Metro 5 Disember 2007
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

ENTAH di mana silapnya album pertamanya, Jatuh Cinta Pandang Pertama sukar menembusi corong radio, walhal album itu menampilkan ikon muzik tempatan, M Nasir selaku penerbitnya.

Alasan diberikan, lagu-lagu di dalam albumnya tidak sesuai dengan sasaran pendengar. Selain itu, konsep pop kreatif yang diadun bersama irama Malaysia dan etnik kreatif dikatakan agak berat untuk diterima pendengar sedangkan pihak terbabit tidak memberi peluang terlebih dulu.

Irama tradisi seni warisan bangsa seharus dipelihara dan diberi pendedahan agar ia terus mencerminkan identiti bangsa Malaysia.

Jika tidak, terjadilah apa yang berlaku kepada Anugerah Juara Lagu ke-22 apabila kuota bagi kategori etnik kreatif dikecilkan daripada empat lagu kepada tiga saja tahun ini. Alasan penganjur, tidak banyak lagu yang kuat bertanding dalam kategori itu.

Malangnya, apabila ada anak muda seperti Alif Azfar Ishak (Azfar), 22, cuba mengetengahkan konsep sedemikian pihak stesen radio tempatan khususnya swasta memberi pelbagai alasan kerana enggan memutarkan lagunya.

“Kalau ikutkan, memanglah saya kecewa melihat nasib album saya. Sebagai pendatang baru, saya selalu berasa teruja untuk mendengar lagu saya diputarkan di radio. Tapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Alasan pihak terbabit (stesen radio), lagu saya tidak sesuai dengan format mereka selain lagu-lagu seperti itu tiada permintaan dalam pasaran. Kadang-kadang saya terasa apakah hina perjuangan saya hanya kerana saya memperjuangkan irama tradisional Melayu.

“Malah, kegagalan album ini mendapat perhatian stesen radio bagaikan satu penghinaan kepada penerbit album, M Nasir yang menjadi sumber inspirasi kepada kebanyakan pemuzik handalan.

“Abang Nasir sedar konflik yang berlaku namun buat masa ini dia lebih senang memerhatikan dari jauh,” katanya.

Tambahnya lagi, jika dibandingkan dengan album Haziq AF4, Jatuh Cinta Pandang Pertama lebih moden bukan saja kerana konsep yang diketengahkan pop kreatif, bahkan lagu-lagu yang dimuatkan terdiri daripada pelbagai genre iaitu pop, rock, progresif dan etnik kreatif.

“Sebagai penggemar irama Melayu saya cukup bangga apabila Haziq muncul dengan album berkonsepkan irama tradisional. Lebih membanggakan lagi saya dengar album itu berjaya mendapat tempat di hati peminat.

“Justeru, jika pendengar boleh menerima Haziq dengan konsep sedemikian tiada yang mustahil peminat menerima saya jika kena cara promosinya.

“Saya tampil dengan konsep seperti ini bukan saja kerana minat tetapi atas dasar tanggungjawab pada nusa dan bangsa. Kalau tidak orang muda seperti saya, siapa lagi yang akan memperjuangkan khazanah negara.

“Orang putih datang ke negara ini bukan hendak dengar muzik yang diciplak atau bunyinya kedengaran sama seperti artis mereka sebaliknya mahu mendengar keunikan muzik negara ini,” katanya.

Jatuh Cinta Pandang Pertama mula berada di pasaran pada 22 Ogos lalu. Ia menampilkan lagu-lagu menarik ciptaan M Nasir, Pak Pandir, To'ki dan kumpulan Spider. Antaranya Keranamu Kutanggalkan Egoku, Jarak Rindu, Ghazalku, Sesal, Joget Ijab Kabul, Vanncha dan Kembali.

2 ulasan:

blackpurple @ jowopinter berkata...

Itulah masalahnya saudara. Stesen radio pun tak berapa menyokong, pilih lagu bergenre tertentu baru nak selalu mainkan di radio...

kamalariffin berkata...

cuba tengok filem saya ni beri komen... mungkin terlalu kebaratan... tetapi documentari yg menyusul selepas ini.... penuh dgn falsafah kemelayuan

http://www.kamalariffin.blogspot.com/