petikan NSTP emedia 5 Januari 2004
SALAM sejahtera buat pembaca Metro Ahad. Selepas EMI setuju memuatkan hampir 50 peratus lagu ciptaan saya sendiri dalam album sulung yang akan keluar awal tahun depan, saya mula menyimpan cita-cita untuk mengikut jejak langkah sifu dalam industri hiburan, siapa lagi kalau bukan komposer hebat, Abang M Nasir.
Kalau dulu saya sekadar meminatinya, tetapi kini saya mula mengagumi bakat dan kelebihan yang Tuhan berikan kepadanya. Beliau sangat istimewa. Abang M Nasir mampu melahirkan idea muzik yang lain daripada orang lain, bahkan dia menyanyikannya sendiri.
Bila menyanyikan lagu sendiri, pastinya dia dapat menghayatinya dengan sepenuh hati dan sebab itu agaknya kita dapati setiap lagunya ‘berjiwa’ dan ‘hidup’.
Justeru, saya ingin sekali menjadi sepertinya... komposer dan penyanyi. Abang M Nasir juga sudah membuktikan bakatnya dalam dunia lakonan apabila berlakon dalam filem Merah, Kembara Seniman Jalanan, Selubung dan paling baru, Puteri Gunung Ledang.
Pasal lakonan, mungkin saya tak boleh ikut jejaknya lagi kerana menyanyi pun baru hendak bertatih. Jadi, biar saya tumpukan perhatian kepada lapangan seni suara sebelum mengambil keputusan untuk mencuba berlakon pula.
Ada sesetengah pekerjaan bergantung kepada faktor usia. Seperti karier seni, mungkin kita hanya mampu bertahan dalam industri (sebagai penyanyi) untuk jangkamasa lima, 10 atau 15 tahun. Selepas itu mungkin populariti kita mulai menurun dan digantikan oleh orang baru. Jadi jika ingin terus ada dalam industri seseorang artis perlu ada bakat yang pelbagai. Kalau tidak ‘laku’ lagi di atas pentas, kita boleh kerja di belakang tabir.
Saya bersyukur kerana selain diberi bakat menyanyi, saya juga boleh mencipta lagu. Kalau hasil ilham saya yang dimuatkan dalam album sulung nanti diterima peminat, saya akan terus mencipta lagu untuk diri sendiri dan jika ada penyanyi berminat untuk menyanyikan lagu saya, saya sedia bekerjasama dengan mereka.
Sebagai persediaan jangka panjang, saya perlu merancang masa depan mulai sekarang. Saya sudah berusia 24 tahun dan tiba masanya saya serius dalam karier.
Apabila kerjaya nyanyian saya mantap dan banyak pengalaman, saya ingat hendak menceburi dalam lapangan penerbitan pula. Kemudian saya akan cari bakat baru untuk menubuhkan artis berkumpulan menyanyi secara harmoni... lebih kurang seperti kumpulan Ruffedge dan VE.
Saya suka nyanyian secara harmoni. Di dalam album saya, anda akan dapati mana-mana lagu yang sepatutnya dibantu oleh penyanyi latar untuk menghasilkan suara harmoni, saya ‘buat’ sendiri. Sebab itu ada rakaman sesetengah lagu mengambil masa kerana saya perlu merakamkannya berulang kali. Tetapi jika menyanyi ‘live’ nanti, saya akan gunakan penyanyi latar atau merakamkannya dulu dalam studio.
Seperti saya katakan pada minggu lalu, saya dan bintang Akademi Fantasia (AF) yang lain bergerak secara solo. Memang seronok menyanyi berkumpulan, tetapi sampai bila! Pihak Astro sendiri menggalakkan bintang AF buat show sendiri, kecuali ada permintaan yang inginkan kami menyanyi bersama-sama.
EMI pun memang galakkan saya buat show solo supaya apabila keluar album nanti saya sudah dapat menyesuaikan diri. Lagipun, seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, AF melahirkan kami sebagai penyanyi solo dan bukan berkumpulan. Hanya kebetulan selepas keluar dari AF kami selalu dijemput buat show bersama-sama.
Saya hendak beritahu anda semua yang pada Krismas lalu saya dapat hadiah istimewa daripada adik-beradik saya, iaitu sebuah gitar. Sudah lama saya hendak beli gitar baru, senang sikit untuk mencari ilham mencipta lagu.
Biasanya saya cipta lagu menggunakan keyboard atau gitar, tetapi lebih senang dapat ilham dengan memetik gitar. Lagipun gitar senang di bawa ke mana-mana. Nampaknya ‘selamat’ duit saya, tak payah beli gitar lagi. Terima kasih kepada keluarga yang sangat memahami minat saya dan sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua keadaan.
Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Misha Omar kerana menang Vokal Terbaik dan lagunya Bunga-Bunga Cinta dinobatkan sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu 18 yang diadakan pada Ahad lalu.
Sejak awal lagi, saya yakin dia akan berjaya. Dia mempunyai gaya dan suara tersendiri. Tahun 2003 mencatatkan kejayaan buat kerjaya Misha dan saya harap kejayaan itu akan berterusan untuk tahun ini.
Nampaknya tuah terus menyebelahi saya apabila dipertemukan regu yang hebat dalam industri, mula-mula berduet dengan Nora menyanyikan semula lagu popularnya Di Persimpangan Dilema.
Vokal Fran
Manakala pada sambutan Krismas peringkat kebangsaan yang diadakan di Sabah baru-baru ini, saya dipertemukan pula dengan Francisca Peter (Fran). Kami menyanyikan lagu Kehebatan Cinta. Vokal Fran tidak berubah, malah terus mantap selaras kematangan usianya.
Sewaktu Nora mengadakan persembahan Nite Live di Planet Hollywood pada 28 Disember lalu, sekali lagi kami berduet menyanyikan lagu ‘top kami’, Di Persimpangan Dilema.
Ketika saya menyaksikan show Nora pada malam itu, saya belajar sesuatu daripadanya. Kehebatannya menyanyikan lagu sendiri memang tidak boleh disangkal lagi, tetapi dia juga sangat yakin ketika menyanyikan lagu penyanyi lain.
Dia boleh menyanyikan lagu orang lain seperti lagunya sendiri dan dibawa dengan sepenuh hati.
Saya menyedari untuk menjadi penyanyi bagus dan serba boleh, seseorang artis mesti boleh membawakan lagu penyanyi lain dengan baik. Dan bonus jika penyanyi itu boleh menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa.
Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada peminat tersayang. Terima kasih di atas sokongan anda semua yang ‘menjadikan’ saya seperti sekarang ini. Harap bersabar menunggu kelahiran album sulung saya. Ia lambat sedikit demi menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk anda semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan