petikan Harian Metro 19 September 2025
Serimah Mohd Sallehuddin am@hmetro.com.my
M NASIR bercakap pada sidang media selepas sesi latihan Konsert Cipta 3 di My Studio, Bukit Rahman Putra. FOTO Nabila Adlina AzahariSungai Buloh: Datuk M Nasir, menolak tanggapan kononnya kemenangan penyanyi dalam sesebuah anugerah hanya kerana kemampuan mencapai nota tinggi.
Katanya, tidak semua penyanyi bernada tinggi boleh dianggap hebat kerana ada yang sekadar menjerit sehingga menjejaskan keindahan lagu.
"Dalam budaya kita, memang suka suara tinggi. Contohnya, ketika mengaji, kita kagum dengan qari dan qariah yang mampu mencapai nada tinggi.
"Tetapi dalam nyanyian, ada penyanyi bersuara tinggi tetapi tidak sedap didengar. Bezanya dengan yang menang kali ini, suaranya tinggi dan sedap. Itu kekuatannya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert Dato' M Nasir Cipta 3, di sini, semalam.
Menurut penyanyi dan komposer berusia 68 tahun itu, kemampuan mencapai nada tinggi adalah bonus tambahan tetapi bukan penentu mutlak kemenangan.
"Bukan sebab suara tinggi, penyanyi itu layak menang. Kalau nada tak tinggi pun, boleh menang asalkan penyampaian ada rasa hingga menyentuh hati pendengar.
"Namun, kalau mampu membawa nada tinggi dengan merdu, tepat dan kena pada tempatnya, itu memang bonus besar," katanya.
Penerima anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 dan 2024 itu berkata, penjurian lazimnya dibuat berdasarkan gabungan dinamik vokal serta kebolehan teknikal penyanyi.
"Penyanyi dinilai daripada beberapa sudut – pertama, jangkauan vokal atau rentang suara; kedua, keindahan nada; dan ketiga, aspek teknikal seperti kawalan dinamik, teknik pernafasan serta permainan ritma.
"Kalau ada tiga penyanyi, mungkin seorang memiliki rentang luas, seorang lagi nada lebih sedap, manakala seorang pandai bermain teknik.
"Penyanyi bersuara tinggi yang menang kali ini, dia ada semua kelebihan itu. Bukan sekadar kerana nadanya tinggi. Cara dia terbitkan suara ketika rakaman juga penting. Selebihnya, adalah soal rezeki," katanya.
Isu kriteria kemenangan penyanyi kembali hangat selepas penyanyi Atilia Haron memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan tona suara.
"Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade," tulis Atilia.
Bagaimanapun, Atilia kemudian bertindak memadamkan hantarannya.
Meskipun Atilia tidak menyebut sebarang nama, kenyataannya pantas dikaitkan netizen dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 di Arena of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu.