petikan Harian Metro 11 Mac 2025
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
ANTARA rakan artis yang hadir pada pengebumian Zul Mahat
Subang Jaya: Suasana hiba terlihat pada wajah rakan-rakan penggiat seni terutama teman rapat komposer dan pemuzik, Allahyarham Zul Mahat semasa hadir pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, hari ini.
Jenazah Zul Mahat atau nama sebenarnya Zulkifli Mahat diurus dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya pada jam 11 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan sambil diiringi keluarga dan rakan-rakan penggiat seni.
Maestro muzik negara, Datuk M Nasir yang dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham, menyifatkan dia kehilangan seorang sahabat yang ceria dan baik.
"Kami dah bekerjasama sejak era 1990-an lagi. Saya memang sudah lama tahu dia sakit sebab kita memang bersama dia. Kami kenal juga sudah berpuluh tahun, malah album pertama kumpulan dia juga, saya yang buat.
"Dia bekerja dengan saya juga sudah lama sebab dia mengiringi saya, dia bermain keyboard. Pemuzik yang hebat banyak tapi saya bukan kehilangan pemuzik tapi seorang sahabat yang baik," katanya.
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin yang malam sebelumnya menitipkan ucapan takziah di media sosialnya turut hadir menziarahi jenazah di masjid dan ke tanah perkuburan.
"Saya kenal arwah sebelum mendirikan rumah tangga dengan Johan Nawawi lagi dan kami masih berkawan meskipun Johan sudah meninggal dunia.
"Saya berkahwin di Kelantan pun dia datang, kami memang berkawan baik. Kita pun tahu arwah selalu berseorangan, jadi arwah Johan selalu cakap kita tak boleh lupa dia, selalu jaga dia.
"Bila arwah tiada pun, kami tetap sahabat dan kami pun tahu dia sudah sakit lama. Dia meninggal pula pada hari Jumaat jadi semoga dia tenang di sana," katanya.
Penyanyi Datuk Nash pula mengenali arwah dari awal pembabitannya dalam bidang muzik dan susunan lagu terbabit dibuat oleh Zul Mahat. "Penerbitnya adalah Allahyarham Jay Jay dan yang 'arrange' lagu itu adalah Zul Mahat. Jadi saya rasa sangat kehilangannya.
"Saya ada juga pergi melawatnya di hospital dan arwah Zul seorang insan yang ceria, walaupun dia dalam wad dia seolah-olah tak sakit. Dia banyak cakap, itulah Zul Mahat yang saya kenal.
"Dia adalah seorang yang sangat baik, dan sangat bagus dalam kerjanya. Saya doakan dia ditempatkan di syurga Allah, perginya dia juga pada Jumaat dan di bulan Ramadan. Maknanya dia insan yang terpilih oleh Allah SWT," katanya.
Sementara itu, Ameng pula berkata, Allahyarham Zul Mahat seorang yang suka berkawan dan banyak berjasa dalam pembabitannya sebagai penyanyi.
"Dia pernah menerbitkan album solo saya yang pertama, Langkah Semakin Jauh, bersama Sony Music rasanya pada 2003. Dia komposer dan pencipta lagu, dia mencipta tiga lagu dalam album itu.
"Jadi mengenali arwah, dia memang seorang yang baik tapi dia selalu keseorangan. Dia duduk seorang diri di rumahnya yang besar dan dia ada studio di rumahnya.
"Saya ada juga datang ke rumah membantunya seperti dia pernah sakit mata, membaiki sistem penghawa dingin dirumahnya dan sebagainya.
"Saya banyak menyokong dia memandangkan dia selalu keseorangan dan saya sempat melawat dia ketika dia masuk wad sebelum ini," katanya.
Turut hadir ke tanah perkuburan ialah Bade Azmi, Ruhil Amani, Betty Banafe, Neves Pretty Ugly, penulis lirik Keon dan ramai lagi.
Zul Mahat atau nama sebenarnya Zulkifli Mahat, 65, pernah berkahwin dengan pelakon Shasha yang membintangi filem Ali Setan 2 dan kemudian bercerai.
Komposer dan pemuzik terbabit menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 9.25 malam tadi.
Sepanjang kariernya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).
Pembabitannya sebagai pemain keyboard menyaksikan Zul Mahat banyak terbabit dengan kerja-kerja rakaman album Datuk M Nasir, Search dan banyak lagi.