Sabtu, November 30, 2019

Buka Kotak CD Kompilasi Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan


Sempena konsert tempoh hari, album kompilasi khas 14 lagu ini dirilis untuk peminat yang menyokong Dato' M.Nasir melalui lagu-lagu nyanyian dan ciptaannya yang mewakili setiap album sepanjang 40 tahun perjalanan seni beliau.

Senarai lagu
1. Suatu Masa
2. Hati Emas
3. KepadaMu Kekasih
4. Gerhana
5. Keroncong Untuk Ana
6. Kami Orang Melayu
7. Duit
8. Rupa Tanpa Wajah
9. Mustika
10. Apokalips
11. Mentera Semerah Padi
12. Andalusia
13. Phoenix Bangkit Dari Abu
14. Sang Pencinta

Bagi yang berminat bolehlah mendapatkannya dari Facebook Luncai Emas.

Khamis, November 28, 2019

Terpukau Hikayat 40 tahun M Nasir

petikan Malaysiakini 28 November 2019
oleh Rimanilzah


“Ini pesta liar.... bukan liar yang itu tetapi lebih liar,” demikian lebih kurang kata M Nasir.

Memandangkan betapa “liarnya" konsert pada malam kedua, maka kehadiran saya ke Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sepatutnya dirahsiakan daripada pengetahuan isteri.

Bagaimanapun, isteri saya - sebagai pengurus kewangan keluarga - menyedari ada kecacatan dalam bajet bulanan kami.

“Gaji naik bulan ni, tapi mengapa baki gaji sama saja?” tanya isteri.
Iklan

“Memanglah sama, sebab kenaikan gaji tu dah beli tiket konsert M Nasir,” jawab saya.

Demikianlah permulaan saya untuk tiba untuk menyaksikan konsert M Nasir: Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan. Konsert itu dimulakan dengan kemunculan video menampilkan pak dalang memainkan patung wayang kulit sambil bercerita.

“Di sebalik perang mesti ada lagunya, dan di sebalik lagu mesti ada perangnya.” Begitulah antara dialog yang dituturkan pak dalang yang membayangkan bahawa perjuangan M Nasir dengan lagu-lagunya bagaikan suatu peperangan.

Kata-kata itu mengingatkan saya akan bait-bait lirik dalam lagu Perang Yang Lagi Satu.

Ringkas tapi menarik

Tiada gimik kemunculan M Nasir pada awal konsert untuk kali ini. Semasa konsert untuk filem Kembara Seniman Jalanan (1986) misalnya, M Nasir muncul dari dalam sangkar yang terbakar.

Gimik kemunculan yang paling diingati pula adalah semasa Akar: Manifesasi Akuistika pada 1995. M Nasir muncul dari dalam kain merah yang terbentang di tengah pentas. Bayi yang dijulang dan riak-riak berombak pergerakan kain merah menjadikan permulaan konsert dengan lagu Nusantara ini begitu teaterikal.

Apabila watak Pak Dogo (Sabri Yunus) dan Wak Long (Mat Rock) muncul di sisi kiri kiri pentas pada permulaan konsert, peminat kental dapat menangkap bahawa M Nasir akan memulakan persembahan dengan lagu Langgam Pak Dogo.

Kumpulan dikir barat Arjuna Sukma turut mengiringi M Nasir dalam lagu itu serta enam lagu lain di sepanjang konsert.

Reka bentuk pentas pula ringkas tetapi menarik. Pentas dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Lantai atas menempatkan para pemuzik, kumpulan dikir barat Arjuna Sukma, dan penyanyi latar.

Lantai bawah pula ialah tempat M Nasir bergerak bebas sambil mengalunkan suaranya. Di situ jugalah tempat munculnya penari-penari darwish dalam lagu Bila Rumi Menari dan para pesilat dalam lagu Mantera Semerah Padi.

Layar elektronik juga terbahagi kepada dua bahagian. Layar utama yang besar menjadi latar belakang pentas dan satu lagi layar merentangi bahagian antara lantai atas dan lantai bawah.

Apabila video grafik dipaparkan pada kedua-dua layar, lantai atas akan kelihatan seperti satu jalur melintang atau pentas yang tergantung.


Susun atur pentas itu berjaya memaparkan persembahan visual yang memukau, tetapi bergantung pada tempat penonton berada. Pada hemat saya, penonton yang berada di tengah-tengah Dewan Planery yang menempatkan kerusi kelas Diamond, Platinum, dan Gold (bahagian hadapan) dapat menyaksikan persembahan visual paling menarik.

Konsert malam kedua terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, M Nasir telah menyampaikan tujuh lagu. Ketika itu ada penonton yang menyanyi bersama dan kebanyakannya masih duduk di tempat masing-masing.

Mereka bagaikan masih ragu-ragu untuk bangun dan beronggeng bersama.

Lagu-lagu yang didendangkan adalah seperti yang berikut:

1. Langgam Pak Dogo

2. Anak-anak Kita

3. Phoenix Bangkit

4. Keroncong Untuk Ana

5. Sentuhan Listrikmu

6. Bila Rumi Menari

7. Tari Cinta Rimba Mistikal

Untuk bahagian pertama, paling digemari ialah persembahan dalam lagu Tari Cinta Rimba Mistikal. Paparan grafik hutan dari padangan mata burung di kedua-dua layar dan warna hijau yang melatari lantai atas membuahkan visual yang selari dengan lirik lagu. Rimba bagaikan menari dan suasana mistikal terasa dalam persembahan berkenaan.

Bahagian kedua merupakan medley lagu-lagu ciptaan M Nasir yang pernah disampaikan oleh penyanyi lain, iaitu:

8. Kenangan Lalu (Flybaits)

9. Hingga Akhir Nanti (Alleycats)

10. Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats)

11. Milik Siapakah Gadis Ini (Sudirman)

12. Bercanda Di Pasiran Pantai (Sudirman dan Anita Sarawak)

13. Istana Menanti (Rahim Maarof)

14. Hani (Hattan)

15. Sentuhan Kecundang (Ekamatra)

16. Sampai Hati (Spring)

17. Fantasia Bulan Madu (Search)

18. Sejati (Wings)

19. Peronda Jaket Biru (Wings)

20. Pawana (Search)

Dalam bahagian kedua, para penonton semakin galak menyanyi bersama-sama. Ia menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja menggemari lagu-lagu dendangan M Nasir malahan mengenali lagu-lagu ciptaannya yang dipopularkan oleh penyanyi lain.

Bagi saya, persembahan lagu Bercanda Di Pasiran Pantai adalah paling energetik. Gabungan bunyi alat-alat tiupan semasa lagu asal dendangan Sudirman dan Anita Sarawak itu disampaikan begitu memukau.

Di samping itu, petikan gitar dan pukulan drum dalam lagu Hani juga sedap dan bertenaga.

Paparan pentas pada bahagian kedua itu minimalis saja. Di layar utama hanya terdapat grafik bertulis “M Nasir: Satu Hikayat” yang menjadi ikon konsert. Perubahan dari satu lagu ke satu lagu yang lain hanya ditandai oleh perubahan penataan cahaya.

Selepas bahagian kedua, M Nasir berhenti rehat dan pentas diambil alih oleh Sabri Yunus dan kumpulan dikir barat Arjuna Sukma. Sabri Yunus dan kumpulan dikir berkisah tentang asal usul budu.

Konsert diteruskan ke bahagian ketiga dengan suasana “parti yang semakin liar”. Baki lagu yang disampaikan adalah seperti yang berikut:

21. Ekspress Rakyat (intro sahaja)

22. Hati Emas

23. Perjuangan

24. Gerhana

25. Gurindam Gunung Tahan

26. Bikin Filem

27. Bukalah Hatimu

28. Hijab Kekasih

29. Mantera Semerah Padi

30. Sahabat Gua

31. Apokalips

32. Ada

33. Raikan Cinta

34. Tanya Sama Itu Hud Hud

35. Mustika

Kreativiti M Nasir juga terserlah dalam menampilkan kelainan lagu-lagu yang biasa disampaikannya dalam konsert. Oleh itu, penonton akan mengalami situasi persembahan yang berbeza walaupun lagu yang sama pernah disampaikan sebelum ini.

Misalnya, sebelum menyampaikan lagu Mantera Semerah Padi, dengan selamba M Nasir menyelitkan lagu Apo Kono Eh Jang (Ally Noor dan Mastura) melalui bait lirik, “batu kikir jambatan bosi, menuai padi tigo tangkai”.

Selepas itu, kedengaran bunyi serunai dan mantera yang dibacakan dalam dialek Kelantan. Mantera ini diakhiri dengan ungkapan, “Bukan katamu, kata Allah, berkat kata Lailahaillah. Fuhhhh...”

M Nasir pun mengambil tempat dan di tengah-tengah persembahan muncul pula sekumpulan pesilat berbaju merah di lantai bawah. Paparan di layar turut menunjukkan pesilat berbaju merah.

Situasi lagu lain menyelit bukan sahaja berlaku dalam Mantera Semerah Padi tetapi juga dalam dua buah lagu lain. Lagu I Feel Good (James Brown) tiba-tiba terselit di hujung lagu Bikin Filim dan lagu rakyat Wau Bulan diselitkan dalam lagu Bukalah Hatimu.

Dengan mengambil kira lagu-lagu yang terselit itu, maka benarlah kata M Nasir bahawa beliau telah menyampaikan hampir 37 buah lagu.

Staminanya pada usia 62 tahun dalam menyampaikan lagu-lagu juga amat dikagumi dengan pergerakan yang lincah seperti konsert-konsert yang terdahulu.

Memang diakui M Nasir ada terlupa lirik dan kelihatan janggal dalam beberapa momen persembahan. Namun demikian, peminat tegarnya amat maklum tentang hal ini dan dalam beberapa bahagian “membantu beliau melanjutkan persembahan”.


Seperti kebanyakan konsert lain M Nasir, Ada ialah lagu yang paling berpuaka. Jarang ada penonton yang duduk diam apabila mendengar lagu Ada.

M Nasir menyanyi dan berjoget dalam keadaan tenaga yang dikatakannya secara berjenaka tinggal 50 peratus. Lagu ini berlangsung dalam tempoh masa lebih kurang lapan minit. Masih sangat menyengat seperti selalu.

M Nasir sempat berkata: “Saya tidak mahu ada orang duduk.”

Katanya lagi semasa menyanyikan lagu Ada: “Kita robohkan tempat ini malam ini. Ini malam terakhir dan tak ada lagi, saya tak akan nyanyikan lagu ini lagi. Ini last saya nyanyi. Lagu ini la.”

Selepas lagu Ada, M Nasir seperti lazimnya membuat gimik seolah-olah persembahan akan berakhir. Sebelum keluar dari pentas, M Nasir mengucapkan terima kasih kepada para penonton dan teman artisnya yang hadir, Ramli Sarip dan Amy Search kerana memberikan sokongan kepadanya dalam dunia muzik.

Penonton tahu bahawa itu semua lakonan (yang tidak menjadi) dan seperti yang dijangka M Nasir masuk semula ke pentas untuk mengakhiri persembahan.

Pada kali ini, penonton semakin ghairah menyanyi dan menari bersama-sama mengikut alunan lagu Raikan Cinta dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Malahan pada penghujung konsert, beberapa penonton di tempat duduk Gold dan Platinum telah turun ke bahagian tangga di tempat duduk Diamond. Mereka menyanyi dan beronggeng sepuas-puasnya bagaikan sebuah “parti liar” yang terbimbing.

Konsert diakhiri dalam suasana syahdu dengan lagu Mustika yang dinyanyikan sekerat-kerat sambil M Nasir memanggil para pemuzik seorang demi seorang turun dari lantai atas ke lantai bawah. Para penari darwish, kumpulan dikir barat, para pesilat, dan penyanyi latar juga turut serta dipanggil.

Demikian berakhirnya sebuah hikayat yang bakal terpahat dalam ingatan peminat M Nasir.

Pagi esoknya saya pulang dengan menaiki ETS ke kota basah, Taiping, dengan hati yang puas. Isteri yang menjemput saya di stesen mengingatkan bahawa itu konsert terakhir M Nasir yang saya boleh pergi.

Saya kata, “Mana boleh. Konsert M Nasir ni biar tak menyesal pergi daripada menyesal tak pergi.”

RIMANILZAH ialah 'peminat kipas mati' M Nasir yang acah-acah tak takut isteri.

Rabu, November 27, 2019

Buka kotak CD Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Siri 2

Peminat tegar M Nasir perlu ada CD ini dalam koleksi. 
CD ini merupakan kompilasi sembilan buah lagu ciptaan Dato' M. Nasir untuk Search dan Wings yang dinyanyikan semula oleh beliau secara live sewaktu program bual bicara Magnum Opus 2 di Auditorium DBKL pada 20 April 2019.

Senarai lagu:

1. Isi atau Kulit
2. Sejati
3. Mentari Merah di Ufuk Timur
4. Peronda Jaket Biru
5. Pawana
6. Hukum Karma
7. Gadis Misteri
8. Di Ambang Wati
9. Fantasia Bulan Madu

Rilisan ini telah dilancarkan sewaktu Konsert 40 Tahun Perjalanan M. Nasir baru-baru ini.
Bagi yang berminat boleh mendapatkannya dari Facebook Luncai Emas.

M.Nasir: Hikayat seorang seniman

petikan Astro Awani 27 November 2019
Irwan Muhammad Zain,



Selepas dua malam di Plenary Hall, Konsert M.Nasir Satu Hikayat ini akan meneruskan kembaranya ke Singapura pada Januari 2020 nanti.

KUALA LUMPUR: Empat puluh tahun dalam bidang seni dan masih disegani kerana kelainan karya-karya yang dihasilkan bukan sesuatu yang mudah.

Tentunya dalam tempoh 40 tahun itu banyak yang perlu dilalui dan kisahnya penuh warna-warni serta suka-duka.

Perjalanan karier selama 40 tahun itu dikumpul dan dikisahkan dalam tempoh tiga jam. Selama tiga jam, seniman Datuk M.Nasir bercerita tentang penglibatannya selama 40 tahun dalam bidang muzik menerusi konsert M.Nasir Satu Hikayat.

Selepas empat tahun tidak muncul dengan sebarang konsert, kerinduan peminat seniman yang turut digelar sifu ini terubat dengan konsert yang diadakan selama dua malam berturut-turut di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Panggung dibuka dengan kemunculan istimewa pelakon dan pengarah Sabri Yunus menerusi lagu Langgam Pak Dogo. Sebaik rebab dibunyikan, penonton sudah mula tidak sabar menantikan M.Nasir.

Sorakan dan jeritan penonton sebaik sosok kelahiran Singapura itu muncul di pentas membuktikan bahawa mereka sudah lama menunggu konsert solo seniman bernama M.Nasir.

Selepas Langgam Pak Dogo, M.Nasir terus menghangatkan suasana dengan lagu Anak-Anak Kita dan Phoenix Bangkit Dari Abu.

Seperti kata pegarah muzik, Aznan Alias ketika temu bual sebelum konsert baru-baru ini, semangat penonton akan diserap oleh M.Nasir dan pemuzik untuk menghidupkan lagi suasana.

Ia terbukti apabila seniman berusia 62 tahun itu bukan hanya berjoget di atas pentas, tetapi turut turun untuk menari bersama-sama peminat-peminatnya.

Penonton juga seperti dirasuk apabila turut menari ketika lagu-lagu seperti Mentera Semerah Padi, Apokalips, Sahabat Gua, Bukalah Hatimu dan Raikan Cinta dinyanyikan.

Peminat M.Nasir bukan hanya menari tetapi turut menyanyi saat lagu-lagu berentak perlahan seperti Sentuhan Listrik dinyanyikan.

Ketika Mohar meniup seruling sebagai intro lagu Hijab Kekasih, semua yang ada dalam Plenary Hall terus dibuai perasaan. Lagu itu jarang sekali dinyanyikan ketika konsert.

Selama 40 tahun, M.Nasir bukan hanya menghasilkan lagu untuk diri sendiri semata-mata tetapi turut mencipta lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi lain.

Lagu-lagu ciptaan beliau telah terbukti mempunyai kelainan dari segi melodi dan susunan muzik serta ia menjadi malar segar.

Kerana kelainan lagu-lagu yang dihasilkan tidak hairan ramai penyanyi yang mahu mendapatkan sentuhan ajaib M.Nasir biarpun hanya satu lagu.

Sebagai melengkapkan kisah 40 tahun dalam bidang muzik, M.Nasir menyanyikan kembali lagu-lagu ciptaan beliau yang popular satu ketika dahulu.

M.Nasir menghadiahkan dendangan lagu-lagu seperti Kenangan Lalu nyanyian kumpulan Flybaits, Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar (Alleycats), Milik Siapakah Gadis Ini, Bercanda Di Pasiran Pantai (Datuk Sudirman Haji Arshad dan Anita Sarawak), Istana Menanti (Rahim Maarof), Hani (Hattan) Sentuhan Kecundang (Ekamatra), Sampai Hati (Spring), Fantasia Bulan Madu, Pawana (Search), Sejati dan Peronda Jaket Biru (Wings).

Tidak lengkap kisah perjalanan 40 tahun M.Nasir jika beliau tidak menyanyikan lagu-lagu dari album Kembara. Ekspress Rakyat, Hati Emas dan Gerhana disampaikan secara medley.

Beberapa rakan artis seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Amy Search dan Tam Spider turut hadir memberikan sokongan.

Selain rakan-rakan artis, beberapa ahli politik seperti Nik Nazmi, Najwan Halimi dan Young Syefura atau Rara juga hadir memberi sokongan kepada seniman lagenda ini.

Konsert selama tiga jam dan lebih 30 buah lagu ini diiringi barisan pemuzik hebat yang dinamakan Al-Gong.

Sistem bunyi yang baik menambahkan lagi kehebatan Konsert M.Nasir Satu Hikayat ini.

Selepas dua malam di Plenary Hall, Konsert M.Nasir Satu Hikayat ini akan meneruskan kembaranya ke Singapura pada Januari 2020 nanti.

Dua malam yang cukup meriah dan menghiburkan.

Dua malam yang penuh nostalgia.

Dua malam yang membuktikan M.Nasir merupakan seniman legenda.




TAMBAHAN :
TEKS MUKADIMMAH KONSERT (Sumber FB KSMN)




Isnin, November 25, 2019

Cerita Sebalik Berita: Hikayat seorang seniman

sumber Youtube Astro Awani


Ulasan konsert Satu Hikayat M Nasir oleh Editor Astro Awani, Saudara Nazri Kahar & Saharudin Musthafa 

Meraikan Hikayat 40 Tahun Perjalanan

Oleh Saudagar Mimpi… yang melapor dari Plenary Hall KLCC Kuala Lumpur

REVIEW :
KONSERT M NASIR SATU HIKAYAT : 40 TAHUN PERJALANAN
Sabtu : 23 November 2019
Dewan Plenary, Pusat Konvensyen KL.

Dah lama sangat aku tak pergi konsert sifu M.Nasir. Kali terakhir 4 tahun lepas semasa Konsert..... Kembara di Pasir Gudang 2015.  Jadi bila dapat tahu ada konsert sempena 40 tahun, hati aku ada sedikit teruja nak datang meraikan tokoh yang aku ikuti dari jauh masuk berpuluh tahun ini. 40 tahun bukan tempoh yang singkat. Kalau seorang artis boleh bertahan sebegitu lama dan masih aktif, tentu hasil kerja kerasnya yang banyak berbicara berbanding kisah gossip artis.

Dalam fikiran aku nak datang untuk meraikan beliau saja. Bukan nak dengar sifu M Nasir menyanyi macam telan piring hitam. (kaset dah tak releven ok...)... Aku pun tahu sifu kalau menyanyi selalu silap lirik... Jadi aku dah maafkan sejak berbelas  tahun lepas.
Aku cuma mahu menikmati perjalanan konsert satu hikayat. Mahu rasa aura konsertnya. Tak lebih dari itu.

Selist mengikut turutan (malam Pertama 23 November 2019)

--- video Wayang kulit - - -
--Sketsa Pak Dogo Sabri Yunus
1.Langgam Pak Dogo
2. Anak Anak Kita
3. Phoenix Bangkit Dari Abu
4. Keroncong untuk Ana
5. Sentuhan Listrikmu
6. Bila Rumi Menari
7. Tari Cinta Mistikal

Medley. --- Lagu Hits Ciptaan M Nasir
1. Kenangan Lalu
2. Alleycats... Hingga Akhir Nanti
3. Sekuntum Mawar Merah
4. Milik Siapakah Gadis Ini
5. Bercanda di Pasiran Pantai
6. Istana Menanti
7. Hani
8. Sentuhan Kecundang
9. Sampai Hati
10. Fantasia Bulan Madu
11. Sejati
12. Jaket biru
13. Pawana

Sabri Yunos---Dikir barat.... Intermissions

8.Kembara Ekspress Rakyat.. Intro sahaja
9. Hati Emas
10.Gerhana
11. Gurindam Gunung Tahan
12.Bikin filem
13. Bukalah Hatimu
14.Hijab Kekasih
15. Mentera Semerah Padi
16. Sahabat Gua
17. Apokalips
18. Ada
19.Suatu Masa - - Encore
20.Raikan Cinta
21. Mustika
.....

Berikut adalah imbauan ringkas konsert Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan ini.
Persembahan dimulakan dengan video pak dalang wayang kulit yang memulakan cerita hikayat.

"Di sebalik Perang mesti ada lagunya...dan disebalik lagu mesti ada perangnya"

Itulah antara bait kata Pak dalang wayang kulit bagaikan memberi isyarat perjuangan wujud dalam pelbagai bentuk dan M Nasir juga adalah pejuang dalam hikayat seniman ini.

Langgam Pak Dogo
Sketsa diteruskan dengan  Pak Dogo Sabri Yunus yang muncul sebelah di kiri pentas menandakan lagu Langgam Pak Dogo sebagai pembuka kisah hikayat seorang pejuang dalam medan perang. Peminat memang sudah tahu lagu ini jadi ada yang sudah mula menyanyi bersama.

Anak Anak Kita 
Phoenix Bangkit Dari Abu
Disini aku rasa latar multimedia dan pencahayaan pentas Pleanery Hall ni memang terbaik. Bergantung pada lokasi tempat duduk. Mungkin ada sedikit halangan speaker menyebabkan latar tidak penuh. Bahagian lagu Phoenix Bangkit Dari Abu ni sudah tentu bagai menaikkan semangat untuk meraikan pejuangan. Bagi aku bait lagu...

"Bina jambatan menuju ke seberang
Melangkah jurang lebar dan dalam
Dengan darah dan keringat
Dengan airmata berpegang pada taliNya"

Melodi dan lirik lagu ini sudah cukup kuat membuka jalan  menaik semangat pejuang.  Betul lah orang kata bila kita mengungkapkan kata kata positif.. Kita jadi positif. Lagu ini lain macam auranya dalan konsert seperti ini terutama bila ramai menyanyikan bersama. Jadi aku simpulkan tiga lagu terawal ni sudah berjaya memecahkan tembok penonton yang malu -malu. Bak kata M Nasir malam tu orang melayu pemalu. (Dalam hati aku pulak kata ...malu tapi mahu.. Hahaha)

Keroncong untuk Ana
Lagu keroncong bagi M Nasir rileks sikit. Masih enjoy dengar suara sifu yang nampaknya masih boleh tarik bahagian tinggi. Gong yang mengiringi M Nasir memang sentiasa terbaik.

Sentuhan Listrik
Lagu wajib pegang tangan... Hahhaha. Tangkap feeling ajer lah sambil nyanyi senyap dalam hati.

Bila Rumi Menari
Rasanya sebelum lagu inilah M Nasir  kata bersyukur dapat buat konsert lagi dan dapat beri sebahagiannya  pada kerajaan dan kerajaan sekarang tak ada duit.. Adoi Sempoi giler punya lawak .  Lagu ini juga seolah menjentik ke tepi hal politik-siasah dunia yang dianggap kurang penting berbanding hal hal  rohani. Persembahan diiringi oleh video dan empat orang penari whirling darwish di atas pentas sepanjang lagu. "Kalau aku tak boleh buat, muntah" katanya di akhir lagu....



Tari Cinta Mistikal
Lagu dari album Solo... Lagu lama cinta alam sekitar katanya...

Set Medley
Sebelum memulakan sesi ini M Nasir menyatakan dalam perjalanannya 40 tahun beliau banyak menghasilkan lagu untuk artis lain sama ada Pop dan Rock. Inilah keistimewaan konsert Hikayat apabila beliau menyanyikan semula beberapa lagu hits beliau hasilkan untuk artis lain sejak lewat 70an mengikut caranya tersendiri. Kalau ikutkan bukan sedikit hits yang dihasilkan. Medley dimulakan dengan lagu "Kenangan Lalu" dari  Flybaits  dan diakhiri dengan lagu berirama rancak "Pawana" dendangan Search. Sudah tentu lagu hits yang sering diputarkan di radio ini menjadi tempat penonton menyanyi bersama sehingga kakak kakak dan abang abang yang bertemankan lagu lagu ini semasa lipat baju di rumah turut menyanyi bersama sama.
Siapa boleh tahan diri bila lagu ada chorus sedap weiiii... Mesti ikut menyanyi..kan...

Set Medley. --- Lagu Hits Ciptaan M Nasir

Pop, Balada, Blues
Kenangan Lalu -Flybait
Hingga Akhir Nanti -Alleycats
Sekuntum Mawar Merah - Alleycats
Milik Siapakah Gadis Ini - Sudirman
Bercanda di Pasiran Pantai - Sudirman & Anita Sarawak
Istana Menanti - Rahim Maarof
Hani - Hattan

Rock
Sentuhan Kecundang - Ekamatra
Sampai Hati -Spring

Sesi M Nasir bersama gitar akustik. Katanya gitar tu props saja. Bukan nak main sangat pun... :
Fantasia Bulan Madu - Search
*Masing masing bawak keluar lampu suluh handphone. Fantasi lain macam dewan malam tu
Sejati -Wings*
Peronda Jaket Biru -Wings*
Pawana -Search*

*Lagu Rock ni memang buat peminat sing-along kuat kuat lah!



Intermissions
Sabri Yunos dan kumpulan dikir Arjunasukma mengisi slot dengan dikir jenaka tentang perjalanan konsert dan memperkenalkan ahli ahli pemuzik Gong yang mengiringi Sifu pada malam itu.

M Nasir kembali semula ke pentas dengan mengenakan busana putih.

Medley Lagu dari Kembara
Kembara Ekspress Rakyat.. Intro sahaja
Hati Emas
Gerhana
Lagu wajib.... Bila wajib, wajib sing along. Betul lah dah berapa ratus kali lagu ni perlu ada peminat tak kisah. Apa pun dinamik dan stamina M Nasir nampak masih steady. Dengan umur 62 tahun dah macam 40 tahun. Errr... Puji lebih boleh dapat kemeja T tak...

Gurindam Gunung Tahan.
Selain petikan solo gitar dari Rafi dan Nan yang menarik, lagu ni ada  lirik oleh Loloq ini..
"Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Sungguh jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan"
Siapa nyanyi part ni malam tu dia memang geng Saudagar Mimpi lah.

Bikin Filem
Lagi lagu dari album Saudagar Mimpi. Aku rasa kalau lagu ni kalau diganti dengan lagu Di Jalan Sesat aku akan lebih enjoy & emosional barangkali.

Bukalah Hatimu
Ini lagu groovy habis... . Siap ada rap Kecek Kelantan semua. Sho bido bido pap pap... Maaf vokal penyanyi latar kurang jelas sebab dari tempat aku ramai peminat  jadi backing vokal. Hahhaha..

Hijab Kekasih
Lagu ni lagu penuh perasaan. Layan sambil fikir dan mendengar satu satu instrumen yang dimainkan terutamanya seruling Mohar.

Mentera Semerah Padi
Satu lagi lagu wajib. Anthem orang putih panggil. Video multimedia pesilat merah menyala diikuti 5 orang pesilat bertopeng tanpa wajah muncul semasa lagu ini menarik perhatian penonton.
Ada yang dah mula bangun dari tempat duduk. Dah nak beronggeng tu... Mak cik pakcik pun dah mula dah... Enjin dah panas..Stamina M Nasir jangan cakap...kalau suara dia tak keluar pun, penonton dah tolong sumbangkan suara bahagian mana yang patut.Memang dah hafal sangat kan..

Sahabat Gua
Apokalips
Ada
Ini set yang memang sengaja disusun agar aura penonton memberi tenaga kepada konsert sifu. Antara momen  paling havoc. Satu dewan berdiri. Sebelah tengah kiri kanan tangga semua dah ada orang berbaris beronggeng.. Memang dah jadi parti liar kata sifu. Jangan bagitahu emak. Seloroh M Nasir disambut kelekek penonton.

Suatu Masa - - (Encore)
M Nasir kata masa dah tiba menandakan konsert tiba dipenghujung. Terima kasih kerana menghadirkan diri. Lagu balada ini dinyanyikan separuh sebelum beliau meninggalkan penonton bersama Gong. M Nasir kembali semula dan menyambung semula lagu "Suatu Masa" sebagai tanda konsert berada di set Encore.

Raikan Cinta
Buah last untuk penonton satu dewan yang canggung berdiri dan menari dan menyanyi bersama.

Mustika
Konsert diakhiri dengan irama keroncong "Mustika" yang berterusan dinyanyikan bersama semua penonton dalam dewan. Satu demi satu pemuzik Gong berbaris bersama sifu di atas pentas, memberi ruang kepada Datuk M Nasir mengucapkan terima kasih kepada semua penonton, krew belakang tabir dan keluarga. Usikannya pada Datin Marlia Musa yang berkorban harta mengisi tembolok pemuzik malam itu  disambut ketawa penonton.

Konsert berakhir lebih kurang jam 12 setelah hampir 3 jam berlangsung dengan irama dan lagu dari pecahan album  seperti di bawah...
13 lagu hits dibawa secara medley
4 lagu dari album kumpulan Kembara
1 lagu dari album Dia Ibuku (1981)
2 lagu dari album SOLO (1989)
3 lagu dari album Saudagar Mimpi (1992)
5 lagu dari album Canggung Mendonan (1993)
6 lagu dari album Phoenix Bangkit (2001)

Penonton rata rata meninggalkan dewan dengan wajah puas. Malah ada yang berpeluh-peluh sebab kepanasan selepas sistem hawa dingin di sebelah belakang kurang sejuk. Mana nak sejuk dah  beronggeng umpama berjogging dalam tu! Kedengaran juga cakap cakap di luar dewan, stamina seniman berusia 62 tahun dalam memberi persembahan bertenaga malam itu dikagumi. Naik pentas keluar pentas...nasib baik tak ada adegan sifu terjun dari pentas.

Pengaruh sifu dalam perkembangan dan perjuangan memartabat muzik Melayu sememangnya tidak boleh dinafikan dan dilupakan.  Entah bila lagi akan ada lagi konsert berbayar tempatan seperti ini yang membuktikan seorang tokoh seni yang veteren dalam industri muzik masih laku keras.

Di sebalik perang mesti ada lagunya...dan disebalik lagu mesti ada perangnya
Konsert ini merakam satu hikayat perjalanan bagi pejuang lagu.
Pejuang-pejuang yang berperang dalam lagu-lagu perang.

Lagu malar segar membuai rasa

petikan Harian Metro
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

EMPAT dekad berkarya dalam industri seni bukanlah tempoh yang singkat.

Durasi panjang itu menyaksikan pelbagai perkembangan, dugaan dan jatuh bangun figura terkenal, Datuk M Nasir sebagai penghibur.

Bagi meraikan tahun ke-40 kembara seninya, M Nasir tampil dengan Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan yang berlangsung selama dua hari, Sabtu dan Ahad lalu.

Malam pertama konsert menyaksikan 2,800 penonton dari pelbagai generasi dan latar belakang memenuhi ruang tempat duduk di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Semua mereka bersatu dalam acara penuh gemilang, berkongsi minat yang sama dengan mengagumi M Nasir yang digelar ‘sifu’ di gelanggang seni muzik tanah air.

Kemunculan M Nasir menerima sorakan padu pengikut setianya dan pentas dibuka dengan lagu Langgam Pak Dogo, Anak Anak Kita dan Pheonix Bangkit Dari Abu.

Artis versatil itu kemudian mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana, Sentuhan Listrikmu, Bila Rumi Menari dan Tari Cinta Rimba Mistikal.

Tidak hanya tampil membuat persembahan, M Nasir juga menyelitkan elemen jenaka bersahaja yang membuatkan penonton tak kering gusi.
M Nasir bersama barisan pemuzik dan penari.


M Nasir juga mengambil peluang menzahirkan rasa terima kasih kepada peminatnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kalian yang sudi hadir menyaksikan konsert pada malam ini.

“Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang sudi bekerjasama dengan saya bagi menjayakan konsert ini,” katanya.

Babak paling mencuri perhatian adalah apabila dia mempersembahkan medley lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan artis lain.

“Kebanyakan lagu ini, usianya sudah hampir 40 tahun,” katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Kenangan Lalu, Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah, Milik Siapakah Gadis Ini, Bercanda di Pasiran Pantai, Istana Menanti, Hani, Sentuhan Kecundang, Sampai Hati, Fantasia Bulan Madu, Sejati, Jaket Biru dan Pawana.

Ia detik yang mungkin tak berulang lagi apabila M Nasir membuktikan kemampuannya menyanyikan lagu ciptaannya dengan baik sekali.

SABRI (tengah) turut tampil menghiburkan penonton.
Lagu wajib yang dinanti-nantikan iaitu Mentera Semerah Padi dan Suatu Masa juga turut membuatkan penonton tidak mampu menahan diri untuk berdiri serta menyanyi bersama.

M Nasir kemudian menutup persembahan Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan dengan menyampaikan lagu rancak Raikan Cinta.

Selain M Nasir, penonton turut dihiburkan dengan persembahan dikir barat yang diketuai pelakon yang juga penyanyi dikir barat, Sabri Yunus bersama kumpulan dikir baratnya.

Ahad, November 24, 2019

Konsert M Nasir Satu Hikayat ubati rindu peminat

petikan Bernama  24 November 2019

Berdurasi lebih tiga jam dengan dendangan 28 lagu hits yang mengiringi perjalanan seninya sepanjang 40 tahun, konsert solo ‘M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan’, nyata membuktikan seniman tersohor itu berada pada kelas tersendiri.

M Nasir atau terkenal dengan jolokan sifu berjaya memberikan persembahan mantap dan bertenaga selama konsert berlangsung di hadapan 2,800 penonton, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.

Konsert selama dua malam bermula malam tadi, sekali gus menjadi hadiah yang amat bermakna dan pengubat rindu kepada peminat seni penyanyi serta komposer berusia 62 tahun itu, yang kali terakhir mengadakan konsert solo pada 2015.

Tirai persembahan pada malam tadi bermula dengan lagu Langgam Pak Dogo daripada album Phoenix Bangkit, yang merupakan album solo keenam M Nasir pada tahun 2001 diikuti dengan lagu Anak-anak Kita.
Iklan
Diiringi kumpulan muzik yang dikenali sebagai ‘Gong’ terdiri daripada Aznan Alias, Firdaus Mahmud, Raffi dan Ujang Exists, nyata umpama memberi ‘sengatan’ untuk seniman tersohor itu untuk terus mendendangkan lagu hits ciptaan beliau serta pelbagai lagu yang dicipta untuk penyanyi lain.

Tatkala M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad menyampaikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu, peminat mula bangun dengan memberi tepukan gemuruh tanpa henti sebagai tanda menghargai konsert yang dinanti-nanti itu.

Tidak terhenti di situ, ‘sifu’ terus memukau penonton di dalam dewan dengan lagu Keroncong Untuk Ana yang merupakan satu daripada lagu menerusi album Seniman Jalanan yang diterbitkan pada 1984.

Bait pertama lagu tersebut membuatkan suasana di dalam dewan diam seketika dengan penonton menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing dan menghayati persembahan tanpa henti 12 lagu lain termasuk lagu medley.

Selain itu, persembahan selingan lagu genre dikir barat oleh Sabri Yunus ternyata mencuit hati penonton yang menampilkan lirik spontan beliau.

Penonton yang sejak awal tidak berganjak dari tempat masing-masing terus berdiri apabila M Nasir mendendangkan lagu medley ciptaan beliau antaranya Hingga Akhir Nanti, Bercanda Di Pasiran Pantai, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Fantasia Bulan Madu dan Pawana.

Ternyata penonton menghayati setiap lagu yang disampaikan sehingga membuai emosi serta kenangan penonton yang hadir apabila mereka menyanyi bersama lagu yang pernah menjadi peneman zaman muda mereka satu ketika dahulu.

M Nasir menutup persembahan dengan lagu popularnya Mustika yang membuat penonton bangun memberi tepukan menandakan peminat terkesan dengan ‘magis’ dibawa penyanyi kesayangan mereka.

Perjalanan 40 Tahun Dato M.Nasir Dalam Industri Muzik & Persembahan

sumber Youtube

Temubual KoolTV bersama sifu M Nasir mengimbau perjalanan 40 tahun dalam industri muzik.

Rabu, November 20, 2019

GIG WATCH: “KONSERT M. NASIR SATU HIKAYAT: 40 TAHUN PERJALANAN”

Podcast taken from http://www.bfm.my

Dato' M. Nasir has been a household name in the local music industry for the last several decades. In conjunction with his 40 years of doing music, he is throwing a huge concert this weekend and Ali Johan managed to chat with the legend himself to find out more.

Moon Duo - Eternal Shore

Gig Watch: “Konsert M. Nasir Satu Hikayat: 40 Tahun Perjalanan”

M Nasir - Kerana

Produced by: Haniff Baharudin, Daryl Ong, Othniel Ting

Presented by: Ali Johan, Daryl Ong, Othniel Ting

Selasa, November 19, 2019

Cerita pemuzik menjelang Konsert M.Nasir Satu Hikayat

petikan Astro Awani 19 November 2019
Irwan Muhammad Zain

KONSERT M.Nasir Satu Hikayat akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu bukan hanya oleh peminat seniman tersohor itu tetapi juga pemuzik yang mengiringi beliau.

Gong nama yang diberikan kepada barisan pemuzik yang mengiringi Datuk M.Nasir untuk konsert dan juga rakaman album.

Nama seperti Aznan Alias, Firdaus Mahmud, Raffi dan Ujang Exists bukan asing bagi peminat M.Nasir kerana mereka inilah sering dilihat dalam kumpulan Gong.

"Lagu-lagu M.Nasir ni 'lelap' mata, 'melelap'kan mata, kira macam ini lah ahli muzik kalau main 'lelap' mata maksudnya terbang lah kan," kata Aznan Alias yang juga pengarah muzik untuk konsert M.Nasir Satu Hikayat.

Bagi Firdaus Mahmud yang bermain keyboard, istimewanya Gong ialah kemeriahan barisan pemuzik ketika beraksi di atas pentas.

"Barisan pemuzik Gong ni selalunya tidak pernah kurang dari lapan orang, lebih dari tu, mungkin 12 orang, meriah tu sentiasalah kan," cerita Firdaus.

Bercerita tentang pengalaman dipanggil mengiringi M.Nasir, pemain dram Gong Saharudin Saniman atau lebih dikenali dengan nama Ujang memberitahu perasaannya bercampur-campur antara gembira dan takut.

"Saya banyak tanya kawan-kawan, nak ambil atau tidak tawaran mengiringi M.Nasir, hendak tetapi takut sebab yang lain-lain semua dah senior," ceritanya.

Wawancara penuh bersama Aznan, Firdaus dan Ujang boleh ditonton di video di sini


Isnin, November 18, 2019

Wavelength EP168: M. NASIR & MKNK

Podcast taken from http://www.bfm.my

With our eyes set on unearthing the freshest flavours from unexpected places, we widen our scope with hand-picked musical gems from all across Asia. Dato' M Nasir joins us for a catch up ahead of his much anticipated concert celebrating 40 years in the local industry. We also have a chat with singer, composer and producer Clinton Liew who released his debut album under the solo stage name MKNK. 

M. Nasir Interview

M. Nasir - Srikandi Cintaku

MKNK Interview Pt. 1

MKNK - Troubles

MKNK Interview Pt. 2

MKNK - Better Believe

Kolloff - Summer (ft. Brahny)

Monsune - Outta My mind

Produced by: Othniel Ting, Ali Johan

Presented by: Othniel Ting, Ali Johan

Sabtu, November 16, 2019

Antara temubual paling menarik bersama M.Nasir menjelang Konsert Satu Hikayat

sumber Youtube Rancak TV


Soalan. Apa maksud "melodi sudah mati? ....

Jawapan M Nasir : ______________________________________________

*kena tengok interview ini sampai habis. Memang menarik...

Khamis, November 07, 2019

Begitu Begini DJ Nazz Bersama Datuk M.Nasir

sumber Youtube

 "Saya rasa saya lalui benda tu semua...tapi saya tak faham ianya satu kesusahan... " 
-M.Nasir bila ditanya tentang zaman susah.

Sementara menunggu hari Konsert 40 Tahun Perjalanan M Nasir, kita layan dulu bual bicara Datuk M. Nasir bersama DJ Nazz eksklusif dalam #BegituBeginiDJNazz