Rabu, Ogos 28, 2019

Api hikayat seorang sifu muzik

petikan Kosmo 28 Ogos 2019
Ahmad Isyafiq Mad. Desa

M. Nasir berazam mahu menyambut empat dekad penglibatannya sebagai penyanyi dalam sebuah konsert bersama para peminat. Foto oleh MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Lazimnya pertemuan empat mata dengan seniman, Datuk M. Nasir sering berlangsung dalam suasana serius dengan hanya beberapa persoalan berbalas jawapan ringkas dari bibirnya.

Bagaimanapun, lain pula karakter pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed itu ketika ditemui pada majlis promosi Konsert M. Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wajahnya terukir alur teruja, kerap berjenaka dan terbuka menjawab setiap persoalan yang dilontarkan wakil media.

Perkongsiannya pada petang tempoh hari persis sebuah hikayat pengkisahan setiap inci pengabdiannya sehingga digelar sifu dalam arena seni suara Nusantara.

“Saya masih ingat permulaan kerjaya sekitar 40 tahun lalu. Saya sendiri tidak pasti apa yang ingin dicapai dalam industri kecuali mahu membuat muzik.

“Sama ada sebagai penyanyi atau pemuzik, saya sangat jelas mengenai hasrat membawa melodi baharu dalam arena muzik pada ketika itu,” tuturnya.

Identiti

Melanjutkan bicara, 
M. Nasir berkata, pada era awal kemunculan sekitar lewat 1970-an, beliau amat terinspirasi dengan muzik yang dibawa Peter Gabriel iaitu seniman berpengaruh di England yang juga bekas ahli kumpulan Genesis.

Sejak awal berkarya, beliau mengakui terdorong menyuntik elemen teater dalam setiap penciptaan lagu. Lelaki kelahiran Singapura itu juga percaya, identiti tersendiri harus menjadi pegangan jika mahu menonjol dalam industri.

“Semakin lama berada dalam industri, saya semakin jelas dengan identiti muzik yang mahu dibawa. Saya cuba membawa pembaharuan dalam setiap persembahan terutama aspek penciptaan lagu.

“Meskipun membawa pembaharuan dalam muzik, tanggungjawab utama saya adalah mempopularkan muzik Melayu dari aspek penulisan lirik dan mendalami lebih serius setiap lagu dengan kisah bersandarkan kehidupan,” jelasnya.

Mengumpul pengalaman selama empat dasawarsa, penyanyi, penulis lirik dan komposer itu sempat menghitung perjuangan pada awal kemunculan. Beliau tidak pernah menyangka, hayatnya dalam industri bertahan sehingga kini.

Pemilik label Luncai Emas itu juga tidak lagi memandang dirinya sebagai penghibur semata-mata. Fokus beliau kini adalah untuk kekal berkarya melahirkan naskhah berkualiti seimbang antara hiburan dan nilai seni.

“Apabila berada pada tahap ini tugas saya adalah berkarya. Setiap kali melakukan persembahan, saya impikan persembahan tersebut harus memberi makna terhadap penonton,” jelasnya.

Lama tidak muncul dengan produk baharu, pelantun Apokalips itu sebenarnya sedang berencana untuk melancarkan sebuah single baharu sebelum menjayakan konsert solonya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 November ini.

Kali terakhir mengubati kerinduan peminat adalah menerusi sebuah duet bersama Malique bertajuk Mantera Beradu yang diterbitkan pada tahun 2008. Tahun ini, pengasas kumpulan muzik folk Kembara itu bersungguh-sungguh mahu segera melancarkan single sementelah lebih seabad tanpa produk baharu.

“Saya harap dapat melancarkan sebuah lagu baharu sebelum konsert solo berlangsung. Saya sudah mempunyai beberapa buah lagu tetapi masih dalam proses pemilihan,” ujarnya.

Seniman berusia 62 tahun itu juga enggan semberono menerbitkan dan mengeluarkan lagu baharu kerana realistik terhadap penerimaan pendengar masa kini.

Dalam fikiran beliau, biarlah material berkenaan berbunyi segar dan tidak klise serta seiring dengan permintaan pasaran masa kini. Biarpun wujud kebarangkalian naskhah tersebut ditolak, beliau tidak gentar.

“Industri muzik telah berubah, penerimaan pendengar juga berubah. Jadi, untuk mengeluarkan lagu baharu dan menonjolkan lagu tersebut dalam pasaran, itu bukan tugas mudah.

“Namun jangan khuatir, saya masih ada (keinginan berkarya),”

Konsert

Berbicara mengenai konsert solo bersempena 40 tahun penglibatan dalam industri, M. Nasir nyata teruja berkongsi perihal persembahan yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

Biarpun pernah mengemudi deretan konsert berskala mega, M. Nasir menjanjikan penampilan menerusi Konsert M. Nasir Satu Hikayat-40 Tahun Perjalanan umpama jalinan intim dirinya dengan peminat.

“Saya mungkin akan menyampaikan beberapa buah lagu yang pernah dicipta untuk artis-artis ternama antaranya Alleycats, Flybaits dan Search.

“Pemilihan lagu sahaja telah mengambil masa selama tiga jam. Semangat saya berkobar-kobar dan berapi untuk menjayakan konsert ini,” luahnya dengan semangat berbunga.

Mengulas lanjut mengenai persediaan konsert, kata M. Nasir, yang tinggal hanyalah tarikh untuk memulakan latihan di samping melakukan persiapan fizikal.

“Senarai lagu telah ada, sekarang ini saya menanti tarikh untuk memulakan latihan bersama pemuzik. Saya tidak khuatir mengenai hubungan kimia bersama pemuzik kerana saya diiring pemuzik The Gong.

“The Gong telah bersama saya selama 20 tahun dalam pelbagai persembahan pentas,” katanya menutup bicara.

Empat dekad kembara sebagai seniman, M. Nasir masih gah memperjuangkan muzik Melayu kontemporari dan ampuh dengan gelaran sifu muzik Nusantara.

Selasa, Ogos 27, 2019

'Kalau menyanyi bagus, jangan takut jumpa saya'

petikan Berita Harian 27 Ogos 2019
Oleh Hanisah Selamat
hanisah@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Komposer, Datuk M Nasir menegaskan, dia tidak pernah membataskan karya ciptaannya hanya untuk penyanyi tertentu seperti disangka ramai.

Katanya, penyanyi baharu tidak perlu takut memintanya menghasilkan lagu, asalkan mereka memiliki vokal berkualiti.

M NASIR mengakui industri tidak pernah ketandusan bakat yang berpotensi untuk menyerlah. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

“Kriteria saya (menghasilkan lagu untuk artis lain) mudah sahaja. Kalau dia rasa sudah bagus, datang jumpa saya.

“Saya pernah memberitahu, ada beberapa bakat muda yang saya nampak berpotensi untuk menyerlah, tetapi tidak perlu saya kongsi di sini.

“Cukup saya katakan, ramai penyanyi muda sedia ada yang bagus,” katanya selepas sidang media Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan, di sini, semalam.

Konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 November depan itu sempena meraikan ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam industri muzik tanah air.

Ditanya mengenai pemilihan lagu, katanya, dia akan membawakan lebih 20 judul sepanjang dua jam persembahan, termasuk lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan penyanyi lain.

“Banyak lagu yang saya hasilkan untuk penyanyi lain berada dalam senarai. Dalam carta pertama, saya letakkan lagu nyanyian Alleycats, Senandung Semalam yang saya tulis liriknya.

“Ada juga lagu seperti Kenangan Lalu nyanyian Flybaits, selain lagu popular Kembara dan Search. Selepas disenarai pendek, saya bawakan kepada beberapa rakan untuk menilai dan berbincang lagu mana yang bersesuaian untuk dipersembahkan nanti,” katanya mengenai konsert anjuran Shiraz Projects itu.

**** TAMBAHAN ****

Video penuh Sidang Media Konsert Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan
(sumber Youtube TehTarikTimes)


Isnin, Ogos 26, 2019

M.Nasir rai ulang tahun ke-40 dengan konsert berskala besar

petikan Astro Awani 26 Ogos 2019
Hasimi Muhamad, Astro Awani


Menyifatkan konsert tersebut sebagai "luar biasa", M. Nasir yang mesra dengan jolokan "Sifu" berkata, ia merupakan penghargaan terbesarnya buat para peminat. - Gambar Facebook Shiraz Projects Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR: Sebagai mengenang suka-duka 40 tahun bergelar anak seni, legenda Datuk M. Nasir bakal menghadiahkan peminat sebuah konsert solo berskala besar pada 23 November ini.

Konsert “M. Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan” yang dijadual berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menyaksikan penyanyi dan komposer berusia 62 tahun itu bakal mempersembahkan lagu-lagu malar segar, sejak kemunculan pertama beliau pada 1979 sehingga kini.

Menyifatkan konsert tersebut sebagai “luar biasa”, M. Nasir yang mesra dengan jolokan “Sifu” berkata, ia merupakan penghargaan terbesarnya buat para peminat.

Lebih istimewa, katanya, konsert kali ini memberi seribu satu kelainan apabila beliau turut mendendangkan lagu-lagu yang pernah dihasilkannya buat penyanyi solo dan kumpulan terkenal tanah air.

“Ia akan ada satu sesi yang mana saya akan cuba menyanyikan beberapa lagu yang saya ciptakan untuk penyanyi lain, yang mungkin orang tidak tahu itu adalah lagu yang saya tulis.

“Kalau lagu itu banyak, saya akan medley dan akan ada satu sesi santai dan intim untuk peminat,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas majlis pengumuman konsert “M. Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan” di ibu negara, hari ini.


M. Nasir dan Shirazdeen Karim (kiri) pada majlis pengumuman konsert "M. Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan" pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

Turut hadir pada majlis tersebut penganjur dan Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn. Bhd., Shirazdeen Karim.

Memilih untuk “merahsiakan” lagu-lagu yang bakal dipersembahkan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Mentera Semerah Padi itu mengakui bahawa berdepan kesukaran untuk memilih lagu-lagu untuk dipersembahkan pada konsert kali ini.

“Memang susah nak pilih (lagu) dan saya mendapat bantuan daripada beberapa individu termasuk pandangan pihak penganjur, Shiraz Projects Sdn Bhd.

“Pilihan mereka kebanyakan adalah lagu-lagu popular tetapi saya juga ada (lagu) lain yang saya mahu nyanyi. Tetapi pendapat mereka (mengenai pemilihan lagu) juga bagus dan perlu dipertimbangkan,” ujarnya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket pada harga antara RM160 dan RM860 bermula jam 2 petang pada 28 Ogos dengan melayari laman sesawang www.myticket.asia.






Ahad, Ogos 11, 2019

Korek Fizikal bersama M Nasir

Menyingkap perjalanan 40 tahun muzik M. Nasir,  pengaruh muzik psychedelic, lirik sebagai pelengkap, kolaborasi bersama Malique, kemunculan muzik Rock dan banyak lagi dalam program youtube #korekfizikal terbitan Thinker Studio. 
Wajib tonton!