Khamis, November 18, 2010

Konsert Alam DVD9???


Kelmarin ketika SM pulang berhari raya di kampung, sempat la singgah dkt kedai  yg menjual pelbagai jenis DVD  ni. Belek punya belek, terjumpa DVD9 ini. Nampaknya seperti biasa, kalau DVD tu dapat sambutan, pastinya ia akan dicetak rompak. DVD M Nasir Konsert Alam Muzik ini tidak terkecuali.

Bagi peminat sifu di luar sana, beli la yang Ori.

Rabu, November 17, 2010

Music Aid 2010

Pelbagai masalah dan musibah menimpa para pemuzik tempatan sejak kebelakangan ini. Nama-nama besar sebelum ini seperti Yazid Search, Booty Boy, Zainal Rampa dan ramai lagi kini sedang terlantar sakit mahupun dilanda pelbagai kesulitan. Terbaru adalah kehilangan penyanyi Shamrin Fotograf.

Menyedari hakikat ini, Karyawan bakal merangka satu acara bagi membantu para pemuzik tanahair iaitu program Music Aid 2010 : Dari Pemuzik untuk Pemuzik” dengan tujuan pengumpulan dana Tabung Kebajikan dan Kecemasan Pemuzik , dibawah Biro Pemuzik Professional Karyawan yang diketuai oleh Aznan Alias. Turut menyokong dan membantu ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, serta tajaan sistem PA dari Mubari Sound & Light dan Heaven Studio.

Ianya satu acara persembahan yang menampilkan kepelbagaian genre yang akan diadakan pada Ahad , 21 haribulan November 2010, bertempat di Dewan Sivik Petaling Jaya , bermula jam 3.00 petang sehingga jam 12.00 malam. Diantara para artis yang sudah mengesahkan penglibatan mereka ialah M.Nasir, Ramli Sarip, Spider, Faizal Tahir, Ana Rafali & Marhean, Suhu dan kepelbagaian artis seperti Satira, Fieldplayer, Maharajah, Naizel, Transformasi DS, Loudspeaker, Sharinband, Dezmelon, Genskii, Mercyside, Roundrobin dari label seperti 2crank.com, Sonic Velocity, PAVA, Jazzcomn dan sebagainya. Pengilang peralatan muzik Soundline juga bakal membuka ruangan pameran dan jualan mereka disana dimana 5% dari setiap pembelian akan disalurkan kepada tabung kebajikan ini.

Bagi yang berminat untuk hadir , sistem sumbangannya ialah dengan kos minimum RM 30 bagi durasi persembahan yang bermula sejak jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam.

Jadi, jangan lupa untuk hadir, berhibur sambil menderma . Kehadiran anda adalah manfaat dan rahmat yang besar bagi mereka yang sedang memerlukan bantuan ini.

Selasa, November 16, 2010

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa
petikan Utusan Malaysia 16 November 2010
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

MANIS bertudung Merah turut membabitkan penyertaan para pelakonnya yang terdiri daripada penonton di panggung tersebut.

SELAIN bergelar pelakon dan pensyarah di Fakulti Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Marlia Musa juga merupakan pengarah dan aktivis teater tanah air sejak lebih dua dekad lalu.

Sepanjang bergelar pengarah, isteri penyanyi M. Nasir ini telah mengarahkan pelbagai jenis teater termasuklah teater kanak-kanak berjudul Manis Bertudung Merah di Panggung Eksperimen, Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Marlia, naskhah itu merupakan teater kanak-kanak pertama dan terakhir yang diarahkannya selepas dia menyedari bukan mudah untuk mengarahkan teater genre tersebut.

“Ini adalah teater kanak-kanak pertama yang saya arahkan dan ini juga kali terakhir saya mengarahkan teater kanak-kanak. Saya dapati amat sukar untuk mengarahkan genre ini berbanding genre-genre lain.

“Mengarahkan teater untuk tontonan orang dewasa lebih mudah kerana gaya bahasa, jalan cerita, mesej dan arahannya dihalakan secara terus. Sementara teater kanak-kanak memerlukan masa dan penelitian.

“Saya tidak mahu memperendah-rendahkan nilai pemikiran kanak-kanak. Banyak aspek misalnya, daripada segi psikologi yang harus ditekankan dalam pementasan teater kanak.

“Sebab itu saya harap para penonton yang 80 peratus penonton Manis Bertudung Merah pada malam ini yang terdiri daripada kanak-kanak faham tentang teater arahan saya ini,” ujarnya.

Para pertemuan dengan Hits selepas berakhirnya pementasan teater yang dipersembahkan oleh para pelajar peringkat diploma Aswara itu, Marlia berkata, dia tidak serik atau tersalah genre sewaktu mengarahkan teater kanak-kanak.

Sebaliknya, kata Marlia, dia terbabit dalam pementasan itu sebagai salah satu aktiviti dan ujian buat para pelajar fakulti terbabit dalam menterjemahkan teori subjek yang mereka pelajari di Aswara.

“Seramai 20 pelajar Fakulti Teater Aswara terbabit dalam pementasan ini di mana mereka dipecahkan kepada dua kumpulan. Pemarkahan pengajian mereka akan dikira daripada aktiviti-aktiviti seperti ini.

“Antara cabaran kami mementaskan teater ini ialah memastikan durasi pementasannya tidak terlalu lama iaitu sekitar satu jam. Maklumlah penonton taeter ini kanak-kanak berusia empat tahun hingga 12 tahun. Kalau terlalu lama takut nanti mereka akan cepat bosan dan mengantuk,” jelasnya.

Menerusi teater yang mengenakan tiket berharga RM10 untuk orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak itu, kesemua tenaga kerja di sebalik tabirnya dijayakan oleh para pelajar Aswara.

Manis Bertudung Merah antaranya dilakonkan oleh Atiqah Abu Bakar sebagai watak Manis, Yusmar Affendi (serigala), Erween Nezam (ayah), Nur Azila (emak), Fathanah Amirah (Repunzel), Hazrul Aswad (Hansel), Nur Nazliah Norazman (Gratel), Amirul Hakim (Putera) dan Nurhanisah Jaffar (nenek).

Naskhah yang diadaptasi daripada cerita dongeng Barat berjudul Little Red Riding Hood itu memaparkan jalan cerita yang mudah untuk difahami golongan kanak-kanak.

Biarpun jalan ceritanya berdasarkan kisah dongeng di Barat tetapi intipati mesejnya sesuai diserapkan dalam diri mana-mana juga kanak-kanak tanpa mengira bangsa.

Tambah Marlia, antaranya isu kehilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa culik yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini jelas ditonjolkan menerusi teater arahannya itu.

“Dalam teater ini kami mahu mendidik kanak-kanak supaya menjadi lebih cerdik dalam menilai tipu helah pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Misalnya, bagaimana mahu mengenal pasti kata-kata manis atau pujuk rayu seseorang yang berniat jahat bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa dalam kes-kes jenayah seperti itu.

“Sebab itu, kami tidak paparkan adegan kanak-kanak dilayan dengan buruk sebelum perlakuan jahat dilakukan ke atas mereka.

“Ini kerana, cara itu memang sudah diketahui oleh golongan kanak-kanak. Sebaliknya cara-cara halus ini lebih merbahaya dan patut disedari oleh golongan tersebut,” jelasnya.

Tambah Marlia, suaminya M. Nasir turut memberi kerjasama dengan mencipta tiga buah lagu khusus dipersembahkan sebagai muzik latar pada pementasan yang diadakan tiga hari berturut-turut itu.

Tiga lagu itu ialah Di Taman Manis, Renggo Pujangga dan Hutan Tiga di mana liriknya pula ditulis oleh pelakon Che Kem yang juga salah seorang pensyarah di Aswara.

“Ketiga-tiga lagu itu adalah lagu-lagu baru yang dicipta oleh suami saya untuk pementasan ini. Muzik dan melodinya sesuai untuk pementasan teater kanak-kanak. Dia (M. Nasir) cipta lagu itu pun selepas saya pujuknya berbuat demikian,” katanya lagi.

Selasa, November 02, 2010

Hanya ‘Jauhari’ kenal lagu Spider

petikan Utusan Malaysia 2 November 2010

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH

TIGA tahun sepi tanpa album baru, Spider berharap KitaSatu mampu mengembalikan ingatan para peminat terhadap mereka.

SPIDER bolehlah dianggap bertuah kerana berjaya menambat hati Luncai Emas Sdn. Bhd., pada suatu sesi uji bakat yang dianjurkan oleh syarikat rakaman milik M. Nasir itu pada 1997.

Kumpulan berasal dari Johor Bahru itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga mereka kemudiannya diambil bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.

M. Nasir mengakui, Spider bukan sahaja berbakat tetapi hanya ‘jauhari’ yang faham bidang muzik sahaja yang mengenali konsep lagu-lagu yang mereka persembahkan.

“Bagi orang yang ‘jauhari’ dalam dunia muzik, mereka boleh kenal konsep muzik dalam lagu-lagu Spider,” katanya pada sesi pradengar album terbaru Spider berjudul KitaSatu baru-baru ini.

Pada majlis yang diadakan di pejabat syarikat rakaman Universal Music (M) Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor itu, beliau mengulas genre muzik yang dimuatkan dalam album itu.

Semasa mengulas ‘jauhari’ yang merujuk kepada pepatah Melayu berbunyi ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’, dia menjelaskan kepelbagaian muzik Spider.

Menerusi album kelima Spider itu, mereka menampilkan pelbagai konsep muzik termasuklah pop, balada, ska, rock dan country yang diadunkan dalam gaya yang tersendiri.

“Walaupun ada pelbagai konsep muzik tetapi pada dasarnya irama ska menjadi teras dalam lagu-lagu Spider. Contohnya, ada lagu balada dalam album ini seperti yang berjudul KitaSatu.

“Tetapi elemen ska tetap ada dalam lagu itu. Malah, kalau ada yang kata lagu itu ada pengaruh atau persamaannya dengan lagu lama Spider, Relaku Pujuk, ia tidak menghairankan.

“Ini kerana, ‘tangan’ yang membuat lagu itu adalah orang yang sama juga. Cuma kali ini lagu itu (KitaSatu) adalah sebuah lagu baru yang ada kepelbagaian tersendiri,” ujarnya.

KitaSatu yang mengandungi tujuh lagu terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd. itu akan berada di pasaran mulai 9 November ini.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu berjudul Ajaib, KitaSatu, Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku, Tapi Bagaimana, KitaSatu (Akustika) dan Tapi Bagaimana (Akustika).

Selain M. Nasir yang juga merupakan Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. turut menulis lirik lagu-lagu yang berjudul Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku dan Tapi Bagaimana.

Presiden Universal Asia Pasifik, Sandy Monteiro yang turut serta pada majlis itu turut mengakui, Spider merupakan kumpulan rock yang mempunyai ramai peminat ketika ini.

Menurut Sandy, dia yakin Spider melalui album itu mampu menarik perhatian para peminat, sambil menyifatkan mereka sebaris dengan kumpulan rock legenda tanah air yang lain.

“Kami sudah lama ingin bekerjasama dengan Luncai Emas dan Spider. Saya dapati selepas era tahun 1980-an dan 1990-an Spider adalah kumpulan rock tempatan paling berpotensi.

“Biasanya dalam sebulan saya ada dua atau tiga hari sahaja di Malaysia, tetapi apabila dapat tahu Spider akan mengadakan majlis pradengar album ini, saya tidak mahu ketinggalan menghadirinya,” ujarnya.

Disebabkan kualiti dan kepelbagaian muzik, Sandy juga yakin album terbaru Spider itu mampu mencatat jualan yang memberangsangkan sama seperti album-album terdahulu mereka.

Apatah lagi katanya, jualan album itu juga boleh dirangsang menerusi format digital atau muat turun yang kini menjadi salah satu trend terbaru dalam jualan album di negara ini.

“Album ini boleh capai jualan tahap platinum menepati sasaran kita sehingga 30,000 unit termasuk format fizikal (cakera padat dan kaset) dan muat turun secara digital.

“Kami juga akan kembangkan populariti Spider, contohnya dengan mengadakan kolaborasi lagu-lagu dalam album ini dengan artis-artis lain. Ia akan membantu penjualan album ini.

“Sasaran kami juga ialah untuk mencalonkan album ini dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun depan dengan menepati syarat harus ada lima lagu dalam sebuah album,” jelasnya.