petikan Utusan Malaysia
9 Ogos 2005
Oleh WANDA IDRIS
``SEBURUK mana pun saya, kalimah Allah tetap saya pegang.'' Kata-kata Jamal Abdillah itu mungkin memberi kesan di hati penonton sebaik pulang menyaksikan rakaman Konsert Fenomena Jamal bersama M. Nasir di RTM baru-baru ini.
Malah menyaksikan ragamnya pada rakaman untuk tayangan Hari Raya itu, ramai mengakui, ia menghiburkan.
Masakan tidak, sepanjang rakaman itu, banyak aksi dan kata-kata yang lahir menggeletek hati peminat.
Siapa sangka, si pemalu itu semakin pandai menggoyangkan badan mengikut rentak lagu malah ungkapannya juga begitu bersahaja kala membalas kata-kata M. Nasir.
Sememangnya rugi andai tidak menyaksikan persembahan program Hari Raya selama sejam setengah itu.
Bayangkan! Dua ikon bersatu di pentas hiburan! Justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan kalau ia menjadi suatu fenomena.
Kedua-dua penyanyi unggul itu tidak sahaja kelihatan begitu relaks di pentas malah teruja menghiburkan peminat.
Dengan kuasa masing-masing, baik M. Nasir mahupun Jamal Abdillah nyata mendapat tepukan dan teriakan gemuruh yang sama rata daripada para peminat yang memenuhi Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun bak kata Jamal sedikit berfalsafah ketika ditemui Mega selepas selesai rakaman persembahan itu, `seni itu rasa dan rasa itu jiwa.'
Dan benarlah bagai dikata, bakat seni raja pop dan sifu itu berjaya menguasai rasa dan jiwa para peminat yang memenuhi setiap sudut auditorium.
Lagu-lagu dendangan dua penyanyi unggul itu nyata menyerap ke seluruh perasaan penonton yang rata-ratanya peminat setia mereka.
Penonton bergembira dan bertepuk tangan kala mengiringi lagu rancak yang didendangkan.
Dan pada ketika lagu-lagu berentak perlahan dilontarkan, peminat turut merasai getarannya.
Sehinggakan ada yang mengalirkan air mata saat kedua-dua penyanyi itu mendendangkan lagu-lagu ketuhanan dengan penuh penghayatan.
Kepadamu Kekasih yang terus menjadi malar segar diungkai penuh kesyahduan di tangan Jamal dan M. Nasir.
Duet paling menghiburkan
Sememangnya segmen duet Jamal dan M. Nasir paling menghiburkan selain segmen solo masing-masing pada persembahan konsert itu.
Nyata, mereka punya chemistry dengan paduan vokal yang mengasyikkan, dendangan lagu-lagu pilihan mengusik jiwa termasuk lagu duet popular mereka, Ghazal untuk Rabiah.
Seperti lazim sebuah program Hari Raya, beberapa lagu Hari Raya popular turut dihidangkan termasuk lagu-lagu Salam Aidilfitri dan Salam Dunia.
Sementara itu, pada segmen solonya, M. Nasir menyampaikan lagu-lagu ciptaannya yang dipopularkan oleh penyanyi lain seperti Laila Namamu Teratas, Ratnaku dan Jaket Biru selain lagu Mentera Merah Semerah Padi, Hidayah dan Satu Hari Di Hari Raya.
Jamal Abdillah pula menyampakan beberapa lagu daripada album barunya Aku Penghibur antaranya Seroja, Menaruh Harapan, Gadis Melayu serta medley Kekasih Awal dan Akhir dan Malam Minggu Yang Mesra serta lagu Berdendang Dalam Tangisan.
Menariknya, M. Nasir dalam keterujaannya, sanggup `memberi' satu lagu percuma Tanya Sama Itu Hud Hud kepada para peminat setianya yang masih terus setia menanti biarpun rakaman sudah selesai.
Kali pertama bersama satu konsert
Melihat kejayaan dan sambutan peminat terhadap persembahan duet itu, terlontar persoalan, sama ada mereka tidak mahu menjayakan satu konsert bersama.
Ditemui selepas persembahan itu, kata M. Nasir;
``Kita pun tak tahu hasilnya begini sebab ini kali pertama kami mengadakan satu show penuh bersama.
``Tapi kalau ada sponsor yang mahu menjayakan konsert seperti itu, apa salahnya.''
Bagaimanapun tegas M. Nasir, dia tidak berhajat untuk menghasilkan satu album duet bersama kerana menganggap ia tidak praktikal.
``Masa buat lagu Ghazal Untuk Rabiah pun, saya tak rancang untuk dinyanyikan secara duet.
``Tetapi apabila lagu itu siap, saya rasakan itu yang baik dan ia menjadi,'' katanya yang mengenakan dua persalinan rekaan Tom Abang Saufi pada persembahannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan