Khamis, Ogos 13, 1998

Apabila irama terhenti seketika

petikan Utusan Malaysia 13 Ogos 1998

HIDUPNYA penuh berirama. Dia memujuk dengan irama, berhujah dengan irama dan marah juga dengan irama. Tetapi pada senja Sabtu lalu, iramanya semacam terhenti. Sepi dan hening menyambut tetamu yang datang juga tanpa banyak bersuara.

Awal malam itu bermulalah imbasan warna pudar lagi menyayukan. Cuma rintik-rintik hujan dan halaman yang basah menggantikan irama yang terhenti itu.

Tentunya irama ini tidak sama dengan sebelumnya yang melahirkan Mentera Semerah Padi, Canggung Mendonan, Anak-Anak Kita, Tanya Sama Hud Hud atau Bonda.

Pola iramanya yang dianggap menerobos hukum-hakam muzik yang lapuk sering dipertikaikan. Tetapi pada masa yang sama memikat banyak orang untuk mengamati irama daripada getaran jiwa seninya.

Demikian M. Nasir yang menghadapi satu kehilangan besar dalam hidupnya. Isterinya, Allahyarham Junainah Johari yang meninggal dunia petang Sabtu lalu ketika M. Nasir berada di ambang kejayaan dan kegemilangan.

Luncai Emas, syarikat rakaman dan studio rakaman di Sungai Buluh membuktikan visi Junainah dan M. Nasir mengubah nasib industri muzik tempatan.

Sebenarnya tidak banyak syarikat rakaman bumiputera yang berjaya dan berpengaruh seperti Luncai Emas.

Senja itu, pada wajah anak-anak berlima yang bermata jernih banyak meruntun air mata saudara dan rakan yang berkunjung dan mengucapkan takziah.

Demikian jugalah sepinya isyarat sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga; anak lelaki dan perempuan, sebuah rumah, kehidupan yang bahagia dan mampu berkarya dengan selesa.

M. Nasir dan Junainah memang mengimpikan anak perempuan sebagai melengkapkan keluarga mereka.

Lalu kehadiran Nilam Sari berusia tiga bulan terlalu membawa erti.

Allahyarham Junainah penyanyi Ideal Sisters yang meninggal dunia petang itu semacam menyentak seluruh irama M. Nasir. Selain isteri, Junainah adalah orang yang sentiasa di sisi M. Nasir dalam apa juga keadaan; manis dan pahit. Tenang dan gelora.

Allahyarham sentiasa di sisi pentas apabila M. Nasir muncul dalam Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tiga tahun lalu.

Malah ikut bangun apabila M. Nasir dihempap kontroversi yang paling getir dalam kariernya dua tahun lalu. Itulah wanita bernama Junainah.

Junainah menjadi penting dalam hidup M. Nasir bukan kerana dia penyanyi Ideal Sisters yang popular akhir 70-an. Allahyarham penting kerana menjadi sebahagian daripada proses kreatif karya-karya terbaik yang pernah dilahirkan oleh seniman ini.

Mereka mempunyai lima anak; Ilham, Yassin, Hidayat, Syafie dan Nilam Sari. Mereka juga banyak menyumbang kepada penghasilan irama yang menjadi penghantar buah fikiran M. Nasir.

Memang benar, manusia ada persamaan dalam sekian banyak perbezaan dan jurang. Peristiwa pilu yang menimpa M. Nasir dapat dirasakan oleh semua. Melihat Nilam Sari yang tidak tahu apa-apa tentang kehilangan ibunya, siapa yang dapat menahan daripada ikut sebak di dada?

Perlu diingat, seniman juga manusia yang mempunyai perasaan seperti orang lain. Kehilangan ini bukan main-main. Bukan gimik yang menjadi sebahagian daripada tradisi budaya pop kita.

Tidak semua kehilangan itu menjadi begitu sepi lagi menyayukan. Dan kematian pula bukan suatu yang luar biasa. Tetapi pemergian Junainah begitu menyentuh dan mengharukan. Kalau mata yang memandang terasa sebaknya, apa lagi M. Nasir yang setiap detik melihat mata jernih mata anak-anak tanpa ibu di sisi mereka.

Perasaan ini membuktikan manusia dihubungkan oleh tali perikemanusiaan yang sama; dapat ikut merasa dari jiwa yang berbeza. Lalu kesayuan banyak orang pada majlis menziarahi Allahyarham Junainah adalah kelangsungan keutuhan kemanusiaan antara kita. Kita sebenarnya mengerti dan merasai apa yang orang lain rasa.

Tetapi tanpa bicara dan tanpa irama juga manusia boleh mencipta suasana yang dimengertikan oleh semua orang.

Kunjungan ke rumah M. Nasir di luar waktu tugas nampaknya lebih bermakna untuk menyelami kejernihan di kelopak mata seorang seniman dalam mendepani saat-saat segetir ini.

Biasanya dia diselubungi keriangan. Irama yang dilahirkan menghiburkan orang selain mencubit dalam kemanisan.

Dalam perjalanan pulang, saya teringat pada sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga, ada anak lelaki dan perempuan, rumah dan kedamaian.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Oleh: KU SEMAN KU HUSSEIN

Isnin, Ogos 10, 1998

Pemergian tragis Junainah Johari

petikan Bintang Popular 14 September 2008
Oleh Hardi Effendi Yaacob

M Nasir dan Junainah

INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan berita kematian bekas anggota Ideal Sisters, Junainah Johari, 36, yang juga isteri kepada seniman terkenal, M Nasir, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang, 8 Ogos 1998, akibat penyakit lelah dihidapinya.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Nana, diserang penyakit itu kira-kira jam 10 pagi beberapa hari sebelum kematiannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan tidak sedar diri sejam kemudian.

Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya, namun sehingga menghembuskan nafas terakhirnya, arwah masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lebih menyedihkan, Allahyarham masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Nilam Sari, yang ketika ibunya meninggal dunia, baru berusia dua bulan.

Selain Nur Nilam Sari yang juga satu-satunya cahaya mata perempuan Nana dan Nasir, mereka turut mempunyai empat anak lelaki - Ilham, Yasin, Mohd Hidayat dam Shafie - yang ketika itu berusia dalam lingkungan 3 hingga 13 tahun ketika itu.

Dilahirkan di Singapura, Allahyarham dibesarkan di Kampung Kembangan, Singapura sehinggalah beliau berkahwin dengan komposer dan penyanyi terkenal itu pada 12 September 1981

nota kaki: Petikan asal berkenaan peristiwa ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.