Jumaat, Disember 02, 2011

M Nasir kejar gelombang baru


petikan Harian Metro 2 Disember 2011
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
         
KOMPOSER dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir melakar sejarah tersendiri apabila meraih anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 pada Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad yang berlangsung di Hotel Grand Dorsett Subang, baru-baru ini.

Pencapaian konsisten M Nasir bersandar kepada karya lagu popular yang dinyanyikan sendiri seperti Mustika, Mentera Semerah Padi serta Andalusia. Selain lagu yang dinyanyikan lebih 30 artis seperti Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Kekasih Awal Dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Awan Nano (Hafiz AF).

M Nasir memaklumkan, anugerah berkenaan sebagai menambah koleksi peribadinya. Pada masa sama dia tidak menafikan kemampuan komposer lain lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai komposer muda yang ternyata berbakat sekali gus mewujudkan persaingan yang sengit dalam industri seni tanah air.

“Saingan ketika ini cukup kuat. Lebih ramai penyanyi yang bertindak sebagai penulis lirik dan komposer untuk lagu mereka. Macam ada satu gelombang baru. Sebagai komposer yang boleh dikatakan sudah lama berada dalam bidang ini, saya bagai terpaksa mengejar gelombang ini.

“Tidak dinafikan ramai komposer muda yang berbakat. Secara tidak langsung menggalakkan kemunculan pelbagai aliran baru dalam dunia seni tanah air.

“Seperti biasa saya masih meneruskan kerja-kerja menghasilkan album untuk beberapa artis dan jika tiada aral, saya akan tampil dengan album baru tidak lama lagi,” katanya.

Baginya perkembangan dalam industri muzik itu memberi banyak manfaat. Secara peribadi, M Nasir berpendapat lagu perlu dihasilkan berdasarkan ekspresi artis itu sendiri.

Kebimbangannya terarah kepada pendedahan terhadap pelbagai rentak dan genre lagu yang mudah diterima dan kadang kala mudah dilupakan pendengar. Justeru betapa perlunya lagu yang mempunyai kekuatan dan identiti tersendiri supaya terus bertahan dalam industri muzik dalam tempoh yang lama.

Yuna yang popular menerusi lagu Dan Sebenarnya, menerima anugerah Lagu Melayu Kategori Persembahan Terbanyak. Dia yang ditemui pada majlis itu berkata, penyertaannya sebagai ahli MACP cukup berbaloi biarpun hanya beberapa tahun bergelar artis kerana mampu meraih pendapatan berpatutan menerusi pembayaran royalti.

“Ini kali pertama saya menghadiri majlis MACP dan nyata penyertaan bersama MACP cukup berbaloi. Secara tidak langsung memberi galakan kepada karyawan seni untuk lebih bersemangat menghasilkan karya mereka.

“Tidak dinafikan kemunculan komposer muda yang merangkumi penulis lirik merangkap penyanyi seperti Najwa dan Najwa Latif merancakkan lagi industri hiburan tanah air. Bukan mudah untuk seseorang memperjuangkan lagu sendiri. Tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak, semua ini takkan berjaya.

“Bukan mudah juga untuk menghasilkan lirik lagu kerana memerlukan kemahiran tertentu. Setidak-tidaknya kemunculan komposer baru ini dapat memberi pelbagai variasi dalam dunia seni. Tidak dinafikan, lagu ciptaan komposer sedia ada juga mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Bagi penerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam vokalis kumpulan Bunkface pula anugerah solo pertama yang diterimanya itu cukup bermakna buat dirinya. Waktu sama, Sam sedar tanggungjawab berat menantinya selepas mendapat pengiktirafan itu.

“Perjalanan saya dalam dunia seni juga masih jauh. Buat masa ini saya sudah mencipta lebih 20 lagu yang sudah dirakamkan. Saya juga ada berbincang secara lisan dengan beberapa artis untuk menjalinkan kerjasama selain menghasilkan lagu baru dengan mereka. Namun buat masa ini saya agak sibuk dengan beberapa perkara.

“Memandangkan masih lagi baru dalam dunia seni dengan tumpuan saya pada kumpulan Bunkface dan projek khas bersama Azenders. Dalam masa yang sama, album kedua Bunkface dalam proses untuk disiapkan,” katanya.

Sam yang banyak dipengaruhi muzik Punk Rock memaklumkan, setiap lirik yang dihasilkannya berkisar kepada pengalaman hidup dan zaman kanak-kanaknya.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata majlis tahunan itu mengiktiraf sumbangan dan kegigihan ahli mereka dalam berkarya. Tanpa komitmen tinggi dan kerjasama daripada pihak pengurusan dan ahli usaha memperjuangkan pembayaran royalti berkenaan tidak dapat dicapai.

Habsah atau mesra disapa Kak Chah, memaklumkan penggubalan akta dan undang-undang menjelang 2012 pastinya memberi impak kepada pihaknya.

“Kutipan royalti meningkat setiap tahun. Jika tiada aral, kutipan untuk tahun ini boleh mencecah RM40 juta yang merupakan satu rekod baru bagi MACP. Tanpa komitmen dan usaha semua pihak, kejayaan ini tidak mampu dicapai.

“Biarpun hanya bersandar kepada jumlah kaki tangan yang kecil , saya berbangga dengan pencapaian dan dedikasi yang ditunjukkan seluruh tenaga kerja yang terbabit sekali gus dapat merealisasikan objektif penubuhan MACP,” katanya.

Pada majlis yang diacarakan ND Lala itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air antaranya Shila Hamzah dengan lagu Patah Seribu, Najwa Latif (Cinta Muka Buku) dan Yuna.

Penulis lirik Syed Mohd Amin Syed Hashim atau S Amin Shahab, menerima anugerah Nadi Cipta atas sumbangannya menghasilkan lebih 500 lirik lagu yang dinyanyikan lebih 30 penyanyi sejak awal tahun 80-an.

Satu segmen khas bagi lagu ciptaan S Amin disampaikan oleh Farhan dan Hazama seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang dipopularkan Alleycats, Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) dan Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah).

Kemuncaknya persembahan khas pada akhir majlis apabila Pretty Ugly diberi tanggungjawab untuk segmen khas mengenang artis yang meninggal dunia pada tahun ini, Hasnah Haron, Datuk Ahmad Jais, Datin Orkid Abdullah, Seribayu dan Shamrin Fotograf.

Tiada ulasan: