petikan KOSMO 12 Januari 2024
Oleh NUR EMIRA SAIZALI
TAMASYA Anak Muda, acara anjuran Luncai Emas yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.
MERIAH dalam acuan sendiri. Tamasya Anak Muda (TAM) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Januari lalu.
Acara yang diadakan di JioSpace, Petaling Jaya tersebut menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.
Meskipun tidak segempak konsert-konsert arus perdana lain, TAM tetap dilihat berjaya menghimpunkan kelompok anak muda yang rata-rata penyokong dan pencinta muzik Nusantara.
Boleh dikatakan, acara anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. tersebut ibarat lokasi ‘healing’ selain antara konsert pembuka bagi tahun 2024.
Selain konsert pada hari kedua, hari pertama dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program diadakan, antaranya melibatkan Tamasya Sunburst Marketplace yang menampilkan jenama terkemuka, kedai unik serta instalasi seni yang menarik serta muzik ‘busking’ untuk dinikmati pengunjung.
BAND yang berpaksikan irama 1970-an, Margasatwa tidak ketinggalan menjadi daya tarikan Tamasya Anak Muda anjuran Luncai Emas baru-baru ini. – AFIQ RAZALI
Hari kedua konsert dibuka dengan persembahan Fazleena & The Lasykar yang terkenal dengan karya-karya puitis membuai emosi.
Menerusi persembahannya, Fazleena mendendangkan lima buah lagu antaranya Sederhana, Bertahan dan Kota Kenangan.
Tidak menunggu lama, penyanyi meningkat naik, Arish Mikhael pula memeriahkan pentas dengan lagu Mulanya Di Sini, Antara Puisi dan Nukilanmu.
Ariel berjaya memukau ramai dengan kehebatan vokal yang sebelum ini kerap disamakan dengan penyanyi legenda, Allahyarhaam Sudirman Arshad.
Mengambil alih pentas, Satwo dan Leaism menghiburkan penonton menerusi nyanyian bertenaga selain sebagai persembahan terakhir bagi sesi pertama tersebut.
Memasuki babak kedua, kumpulan Margasatwa menghangatkan pentas dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu pop Nusantara yang diperjuangkan.
Menyampaikan tujuh buah lagu seperti Yang Asli, Ego dan Asmara Botol Kaca, termasuk single baharu, Kasa Rubia, ternyata kemunculan Margasatwa antara persembahan yang paling dinanti-nanti ramai pada hari tersebut.
Kehangatan konsert diteruskan Amir Jahari yang berjaya memukau emosi ramai dengan lagu-lagu berhantunya iaitu Ingin Pulang, Tanpamu dan Penghibur Jalanan.
Persembahan Amir juga dilengkapkan dengan runut bunyi filem Imaginur berjudul Hasrat yang bakal berentap pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 pada Mac depan.
Amir berjaya menutup segmen kedua dengan cemerlang sebelum diteruskan oleh kumpulan Pitahati dan Iqbal M dalam segmen ketiga.]
PADA usia 66 tahun, aura M. Nasir sebagai penghibur tidak pernah padam bahkan mampu menguasai kepala anak-anak muda zaman sekarang.
M. Nasir ‘menggila’
Persembahan paling dinanti-nanti ramai, kemunculan M.Nasir pada malam tersebut membuatkan seramai 1,500 penonton pulang dengan senyuman puas di wajah masing-masing.
Pada usia emas 66 tahun, M. Nasir masih berjaya memberi persembahan bertenaga selama satu jam tanpa henti menerusi rangkaian 10 buah lagu popularnya.
“Terima kasih kerana datang, marilah anak muda bersatu melawan kesesatan,” laungnya sebelum persembahan.
Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana antara lagu yang didendangkan pada minit awal persembahan sebelum para penonton ‘naik minyak’ berjoget sepanjang Raikan Cinta dinyanyikan.
Meriahnya seperti berada dalam sebuah pesta tarian!
Sifu muzik penuh aura itu juga tidak ketinggalan menyampaikan hits sepanjang zamannya, Apokalips, Phoenix Bangkit, Falsafah Cinta dan Juwita sebelum mengakhiri persembahan dengan Mentera Semerah Padi serta Ada.
Membuat kejutan, M. Nasir turut menyampaikan rangkaian lagu medley ciptaannya yang dipopularkan kumpulan Search dan Wings iaitu Gadisku, Hukum Karma dan Pawana dengan penuh bertenaga.
Pada malam tersebut, M. Nasir diiringi barisan pemuzik terdiri daripada Aznan Alias (gitar), Norman (bass), Ujang (dram), Firdaus (Keyboard) dan Pa’ang (perkusi).
Acara turut dijayakan Sunburst Store, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), SIAR dan Fung Keong serta disokong Yayasan Hasanah dan Arts FAS.
AMIR JAHARI melunakkan halwa telinga peminat dengan lagu-lagu hitsnya.