petikan Berita Harian 26 September 2022
Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: "Kisah hidupnya penuh cabaran. Banyak pasang surutnya."
Itu pandangan Datuk M Nasir, 64, mengenai sosok sahabatnya, Allahyarham Bob Lokman yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat lalu.
M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu.
Tambah M Nasir, kebanyakan perkara yang berlaku memberi kesan terhadap emosi teman baiknya itu.
"Arwah seorang pemberontak dalam bidang seni yang diceburinya.
"Berasakan hala tuju bidang seni bukan lagi seperti diharapkan, arwah akhirnya membuat keputusan berhijrah untuk lebih fokus dalam bidang agama.
"Selepas itu, arwah bawa keluarganya berpindah ke Kota Bharu dan memulakan kehidupan baharu di sana.
M Nasir yang sudah mengenali Allahyarham Bob sejak empat dekad lalu mengaku terlalu banyak peristiwa pahit manis terjadi kepada penulis lirik itu. Foto NSTP Hazira Ahmad Zaidi
"Kisah hidupnya seperti sebuah drama atau filem yang penuh dengan dugaan," katanya kepada BH Online.
Tambah M Nasir atau lebih dikenali sebagai sifu, beliau mula bekerjasama dengan arwah Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, ketika pembikinan album pertama kumpulan Wings berjudul Belenggu Irama.
"Saya kenal arwah sejak awal 1980-an. Kami mula berkolaborasi ketika pembikinan album sulung Wings.
"Selepas itu, barulah kami jadi rakan sekerja, seperjuangan dan seterusnya hubungan menjadi lebih rapat seperti adik-beradik.
"Dari situ, arwah mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Sebelum ini, arwah adalah seorang penghibur serta pengacara," kata penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi ini.
Jumaat lalu, Allahyarham Bob menghembuskan nafas terakhir di kampung halaman di Kubang Kerian, pada jam 3 petang.
Jenazah Allahyarham Bob disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, pada jam 9.30 malam, hari sama.
Sebelum ini, Allahyarham Bob dilaporkan bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).
M Nasir turut menyifatkan Bob sebagai penulis lirik sangat romantis.
"Arwah Bob dan Arwah Loloq masing-masing ada perbezaan tersendiri terutama daripada segi pemikiran.
"Saya lihat penulisan Bob lebih kepada romantisme. Loloq ada elemen itu tetapi lebih kepada moden.
"Setiap lirik yang ditulis terhasil daripada perkara yang pernah berlaku di sekeliling serta dapat menyentuh emosinya.
"Contoh, lagu Taman Rashidah Utama. Dia beritahu saya, liriknya ada kena mengena dengan kisah percintaannya masa zaman muda-muda dahulu," ujarnya.
Ketika dihubungi, M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa baru pulang menziarah keluarga Allahyarham Bob di Kota Bharu, Kelantan.
"Kali terakhir saya melawatnya adalah beberapa bulan lalu. Ketika itu, keadaan kesihatannya sudah merosot," katanya.
Selain album Wings, arwah Bob juga bekerjasama dengan M Nasir dengan menulis lirik lagu Isabella dendangan kumpulan Search yang cukup popular pada akhir 1980-an.
Penangan lagu Isabella, album Fenomena di bawah label Pacific Music Corporation (PMC) terjual lebih 250,000 unit, lantas dianggap rekod luar biasa bagi jualan album Melayu, ketika itu.
Di Indonesia album Fenomena dilaporkan dijual kira-kira sejuta unit.