Ahad, Mac 18, 2012

Mania: Kejutan Berganda M. Nasir Menerusi Stacy dan Ebi (AF5)


petikan Mstar 18 Mac 2012
Oleh WAHIDUZZAMAN

Tiga komposer Mania Datuk M. Nasir (kiri), Ahmad Dhani (tengah) dan Aubrey Suwito pada minggu pertama program itu di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil, di sini, malam Sabtu. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir membuat kejutan apabila memilih penyanyi Stacy (AF6) sebagai salah seorang daripada lima penyanyi di bawah empayarnya pada siaran langsung minggu pertama program realiti hiburan Mania di Studio 1, Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil, di sini, malam Sabtu.

Selain pemilihan Stacy yang dilihat bertentangan dengan genre lazim komposer itu, M. Nasir turut dikejutkan apabila menerima penyanyi Ebi Kornelis (AF5) yang terpilih daripada tiga senarai Hot Seat program tersebut.

Komposer berusia 54 tahun itu berkata, Stacy menjadi pilihan kerana dia yakin bakat dan potensi juara Akademi Fantasia musim keenam itu boleh diperhebatkan.

Stacy menjadi penyanyi pertama dipilih di bawah komposer M. Nasir.

“Saya tertarik dengan kegigihan, disiplin dan komitmennya ketika mengadakan sesebuah persembahan. Kemahiran dan kesungguhannya boleh diperhebatkan lagi.

“Stacy takkan selama-lamanya membawakan genre ‘pop dance’, dia perlu diberikan lagu-lagu lain yang bersesuaian dengan kemampuan vokalnya,” katanya kepada mStar Online.

Diminta mengulas mengenai reaksi terkejutnya apabila ditetapkan oleh program itu untuk menerima Ebi, komposer lagu Awan Nano itu berkata ia adalah satu cabaran yang perlu dilaksanakan.

“Ini adalah format yang telah ditetapkan program ini. Pada aspek rakaman, vokalnya (Ebi) mungkin boleh diperbaiki.

"Tetapi aspek persembahan dan karakter di pentas itu memerlukan pengubahsuaian yang banyak. Susah juga hendak cakap kerana masih terlalu awal,” katanya yang masih berbaki tiga kekosongan lagi.

Ebi yang berada di bawah M. Nasir adalah peserta pertama yang mara ke Mania menerusi undian Hot Seat.

Minggu pertama program itu menyaksikan persembahan empat penyanyi iaitu Stacy dengan lagu The Edge of Glory nyanyian asal Lady Gaga, Atilia menerusi Gelombang (Salamiah Hassan), Estranged menampilkan Rozana (Search) dan Akim dengan Demi Cinta (Kerispatih), selain Ebi dengan lagu We Will Rock You (Queen).

Dalam pada itu, komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani mendahului senarai penyanyi pilihannya apabila memilih kumpulan Estranged, Atilia dan Akim. Bekas anggota kumpulan Dewa 19 itu berkata, tiga calon tersebut menjadi pilihan kerana kepelbagaian yang ditawarkan mereka.


Atilia tawan hati Ahmad Dhani
“Saya mencari elemen variasi pada penyanyi-penyanyi di bawah empayar saya. Mereka menjadi pilihan kerana saya mencari penyanyi solo lelaki, solo perempuan dan kumpulan.

“Saya pilih Atilia kerana sudah lama tidak terlibat dalam pembikinan muzik jazz dan r&b sejak kali terakhir saya terbitkan album penyanyi Reza pada 1997. Saya ada banyak stok lagu genre itu,” katanya yang berbaki dua tempat di bawahnya lagi.

Berbeza dengan M. Nasir dan Ahmad Dhani, seorang lagi komposer Aubrey Suwito masih tidak membuat sebarang pilihan pada persembahan minggu pembukaan itu.

“Mereka (M. Nasir dan Ahmad Dhani) terlalu membuat pilihan, saya tidak sempat untuk memilih mana-mana penyanyi daripada senarai minggu ini,” katanya secara berseloroh.

Akim terpilih untuk berada di bawah bimbingan Ahmad Dhani.
Mania membariskan 12 penyanyi iaitu Adira, Akim, Atilia, Awi Rafael, Alyah, Hafiz Suip, Hazama, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Stacy, kumpulan Estranged dan Kristal, selain tiga peserta yang dipilih menerusi undian tertinggi Hot Seat.

Setiap komposer akan membimbing lima penyanyi dalam persaingan untuk merebut hadiah utama bernilai RM500,000 untuk juara, RM300,000 (naib juara) dan RM100,000 (tempat ketiga).

Penerbit muzik yang berjaya membimbing penyanyi sehingga menjadi juara juga akan membawa pulang RM300,000.

Program yang menggunakan format pemarkahan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton ini disiarkan secara serentak pada setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan live streaming di laman web www.mania.com.my.

Khamis, Mac 08, 2012

BICARA SENIMAN: M. Nasir pujangga zaman

petikan Cyberita Online Ekstra! 6 Mac 2012

Oleh
Mohd Khair Mohd Yasin
 
Pemilihan karya klasik legenda seniman yang berasal dari Singapura ini wajar dan tepat

SEBANYAK 11 album solo, enam album bersama Kembara, 32 album kompilasi dan beratus-ratus lagu hit yang bersifat malar segar dan 50, 000 koleksi lagu yang sudah dihasilkan oleh insan seni ini.

Rekod yang tidak mungkin dicapai lagi oleh sebarang artis atau seniman muzik Melayu dari zaman dahulu, kini dan besar kemungkinan pada era mendatang.

Itulah pencapaian, perjuangan dan pengorbanan manusia seni yang bernama Mohamad Nasir Mohamed sepanjang hayatnya sehingga kini, sehingga sudah bergelar 'Datuk'.

Ketika mengadili bersama ahli panel yang lain untuk Anugerah Planet Muzik 2011 anjuran MediaCorp tahun lalu, penulis merasakan seperti ada keselarasan kekaguman di antara kita apabila lagu Awan Nano diperdengarkan.

'Lagu-lagu M. Nasir terutamanya yang berjudul Awan Nano ini sudah tidak mengikut form atau struktur lagu-lagu biasa lagi,' komen salah seorang pengadil dari Indonesia dalam mengutarakan pengamatannya terhadap karya komposer terulung itu selepas era Allahyarham P. Ramlee.

Seorang lagi komposer dari seberang tambak mencelah: 'Mula-mula apabila saya mendengar lagu ini tidak berapa sangat perasan kekuatannya, tetapi setelah beberapa hari berlalu barulah dapat dirasakan yang karya M. Nasir ini istimewa dan semakin enak didengar,' katanya sambil tersenyum bangga akan komposer industri muzik Melayu terkaya yang berasal dari Singapura ini namun kini sudah bergelar Datuk dan menjadi rakyat Malaysia.

Penulis merasakan fenomena yang menjadikan Datuk M. Nasir sebagai legenda muzik kita zaman ini adalah berlandaskan hasil gigihnya yang melahirkan beribu-ribu lagu dan seni kata sehinggalah ke hari ini dan belum ada yang dapat menandingi bakat beliau malahan karya-karyanya sekali.

Karya mutakhir kini yang paling popular oleh M. Nasir seperti Awan Nano sebenarnya memang menggambarkan keberanian eksplorasi beliau dalam bidang penulisan lagu yang senantiasa mengetengahkan konsep-konsep yang unik di dalam pengolahan karyanya.

Lagu nyanyian Hafiz itu pula memang pada dasarnya adalah berteraskan cerita keruncingan dan permasalahan dalam sesebuah famili menurut penceritaan yang terdapat pada MTV videonya.

Namun hakikatnya pula, seni kata yang dinukilkan oleh penulis lirik yang bernama Budi Hikayat dan besar kemungkinan yang ideanya pula bertunjang daripada pemikiran M. Nasir itu juga menggambarkan perjalanan kehidupan seorang hamba Tuhan yang senantiasa memerlukan perlindungan-Nya demi kesejahteraan kehidupan ini.

Di dalam sebuah rancangan di televisyen TV9 yang dinamakan Inspirasi Personaliti, legenda muzik ini berkongsi petua kejayaannya dengan mengatakan: 'Walau apa pun jenis lagu yang kita buat, pokok pangkal lagunya itu mesti sedap.'

Pemikir dan ahli falsafah muzik yang memasukkan unsur-unsur fikiran dalam karyanya dan sewajarnya dipanggil Pujangga Zaman kini.

Beliau seterusnya mengemukakan disiplinnya dalam arena penulisan seni kata dan lagu di mana beliau menghabiskan sekurang-kurangnya empat hingga lima jam di studionya setiap hari apabila disoal tentang rahsia ketokohannya itu.

Penobatan M. Nasir dan dianugerahkan oleh Majlis Kesultanan Malaysia dengan darjah pangkat Datuk pula memang menempatkan beliau sebagai seorang seniman yang wajar menjadi pewaris keunggulan Tan Sri P. Ramlee di persada seni muzik Melayu kita.

Ketokohannya semakin menyerlah apabila lagunya Suatu Masa telah dipilih dan diikitiraf sebagai wakil karya yang paling popular dan ikonik dari zaman '80-an selain dari lagu Penyesalan daripada kumpulan Unwanted untuk rancangan Hitzbandstand Elektra yang disiarkan oleh stesen MediaCorp saluran Suria pada 2 Mac lalu.

Penulis berpendapat pemilihan karya klasik legenda Datuk M. Nasir tersebut yang dipanggil Sifu kini oleh panel juri yang antaranya termasuk Cikgu Yusnor Ef, Encik Kassim Masdor, Cik Hanim Saleh, Cik Hartina Ahmad, Encik Hassan Salleh, Cik Isadhora Mohamad, Encik Mayuni Omar, Encik Osman Ariffin danTaufik Batisah dan juga orang-orang penting dan utama dari saluran Suria seperti Encik Suhaimi Jais dan Cik Sabariah Ramilan adalah sebuah pemilihan yang begitu wajar dan tepat sekali.

Ilmu yang diwariskan dan dikongsi bersama menerusi karya-karya yang telah dihasilkan oleh M. Nasir seperti Awan Nano sepatutnyalah dijadikan bahan rujukan dan kajian dan biografi perjalanan pengkaryaan dan kehidupannya dirakam atau diabadikan melalui penghasilan buku-buku dan filem-filem doku-drama seperti yang dilakukan penganalisis Barat yang menerbitkan biografi legenda pemuzik dan penyair mereka iaitu Bob Dylan semasa hayatnya masih ada.

Sudah tiba masanya Muzium Datuk M. Nasir yang juga menerima Anugerah Nadi Cipta oleh MACP baru-baru ini ini sebagai pemilik pendapatan royalti terbanyak selama 12 tahun berturut-turut dibangunkan untuk mempamer dan memperdengarkan karyakarya unggul dan uniknya bagi menjana suatu penghayatan seni di kalangan masyarakat kini dalam penakatan perjuangan mereka mempertahan dan mewariskan semangat bangsa, bahasa, muzik dan budaya Melayu kita yang semakin tercabar dari hari ke hari.

'Segalanya adalah kerja sebenarnya,' adalah jawapan jujur Datuk M. Nasir apabila ditanya apakah beliau sedang menuju ke tahap status legenda dan mewarisi mahkota insan yang dipanggil seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

M. Nasir akan muncul sebagai mentor dalam rancangan realiti baru Astro Ria (mio TV 34), Mania, pada 17 Mac ini.

Nota: Penulis adalah seniman tanah air.