Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
PENYANYI ini mengotakan janji memberikan persembahan menghiburkan.
Tak perlu penonton ramai, sifu muzik M Nasir tetap hebat membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Dewan Perdana Felda
WALAUPUN jumlah kehadiran peminat pada majlis makan tengah hari sempena Minggu Setiausaha bersama M Nasir tidaklah begitu ramai, namun kemeriahan tetap dirasa di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini apabila artis serba boleh itu tampil menghiburkan mereka pada acara anjuran Ami Global.
Di hadapan kira-kira 450 tetamu, penyanyi yang juga komposer dan pelakon terkenal berusia 52 tahun itu mengotakan janjinya untuk memberikan persembahan menghiburkan buat setiausaha serta peminat yang hadir pada acara itu.
Dewan besar berkenaan mungkin kelihatan agak lengang, namun ia sedikit pun tidak menghalang penghibur yang sudah lebih tiga dekad terbabit dalam seni itu menghidangkan nyanyian terbaik demi peminat yang sanggup berhabis untuk melihat persembahannya. Lalu, sebanyak 10 lagu disenaraikan M Nasir untuk hiburan mereka petang itu.
Diiringi lima pemuzik - Ujang, Nan, Robot, Pa’ang dan Firdaus, serta dua penyanyi latar, artis kelahiran Singapura itu memulakan persembahan pada ketika tetamu menjamu selera dengan melantunkan lagu Hati Emas. Seterusnya dia menyanyikan lagu Rajawali Terbang Tinggi, Sentuhan Listrikmu, Juwita Citra Terindah, Keroncong Untuk Ana dan Mentera Semerah Padi.
Selepas mengalunkan enam lagu, pelakon utama filem Selubung itu mengundurkan diri buat seketika untuk memberikan laluan kepada pengacara majlis, Afdlin Shauki menggeletek hati peminat dengan lawak selambanya.
Jika pada segmen pertama M Nasir tampil kemas dengan imej korporat, segmen kedua menyaksikan lelaki yang dilahirkan pada 4 Julai ini bergaya lebih santai, yang dirasakan lebih sesuai dengan corak persembahannya yang agak rancak, hari itu.
Pada segmen berkenaan, dia menyambung persembahan dengan mendendangkan irama indah, Suatu Masa, diikuti lagu lebih meriah, Phoenix Bangkit, Raikan Cinta dan Ada. Ketika ini, peminat sudah mula berasakan bahangnya apabila penghibur itu turun ke bawah dan mengajak mereka menyanyi serta menari bersama-samanya.
Apabila suasana sudah menjadi ‘hangat’, persembahannya bagai cepat tamat. Lalu, sesudah mengucapkan terima kasih dan berlalu ke belakang pentas, dia dipanggil kembali oleh peminat yang belum puas, untuk mempersembahkan sebuah lagi lagu rancak. Kali ini dia disertai Afdlin. Saat itu, kesemua peminat bangun berdiri, bertepuk tangan dan bergoyang mengikut irama dialunkan.
M Nasir sememangnya mengotakan janji untuk menukar suasana petang itu kepada persembahan yang mengumpan peminat bergoyang sama menerusi pilihan lagu yang disampaikan.
Sayangnya, peminat di negara ini memang dikenali dengan sikap pasif mereka apabila menonton sesuatu persembahan. Atau mungkin faktor usia kebanyakan peminat yang hadir hari itu menghalang mereka menunjukkan tindak balas lebih positif kepada nyanyian penyanyi berkenaan.
Hadirin nyata sukar untuk memberikan tindak balas yang memberangsangkan pada peringkat awal persembahan. Kebetulan pula ketika itu mereka masih lagi asyik menjamu selera. Hanya selepas M Nasir turun ke bawah dan membiarkan peminat menghampirinya, barulah keadaan nampak lebih ceria sedangkan, sejak awal persembahan lagi penghibur itu sudah pun menunjukkan keghairahannya sebaik saja berada di pentas.
"Sememangnya saya sudah menjangkakan, pada peringkat awal persembahan itu, suasananya agak hambar kerana tetamu masih lagi menikmati hidangan.
Bagaimanapun, sebagai penghibur, pertunjukan kenalah diteruskan.
"Mungkin pada masa depan, kami perlu lebih memberikan perhatian kepada soal waktu persembahan," katanya ketika ditemui sebaik saja tamat acara.
Mengaku wujud sedikit masalah teknikal pada sistem bunyi pada peringkat awal, namun M Nasir cukup berpengalaman untuk tidak membiarkan keadaan itu mengganggu tumpuan untuk memastikan peminat terhibur dengan kemunculannya.
Seandainya dia berjaya menghidangkan persembahan menghiburkan, Afdlin pula nyata memikat hadiri dengan celoteh dan gelagatnya. Tidak perlu mengadakan permainan yang bukan-bukan, Afdlin cuma perlu mengajak peminat mendengar beberapa cerita pendek termasuk bagaimana orang berbadan gempal lebih selamat apabila lemas, serta mereka juga mungkin terselamat apabila ditembak kerana peluru mengambil waktu yang lama untuk menembusi badan.
Lebih kelakar apabila dia menyanyikan lagu The Purest of Pain (A Puro Dolor) nyanyian asal Son By Four dengan menukar liriknya kepada cerita telenovela. Saat itu, peminat bagai pecah perut mendengar lirik kelakar yang terpacul dari mulut artis berbakat besar itu.
Turut mengisi agenda petang itu ialah pertunjukan fesyen daripada butik Amin Jauhary. Manakala penceramah motivasi terkenal, Dr Azizan Osman, tampil sebagai penaja utama acara.