Selasa, September 26, 2000

M. Nasir wakili negara ke Jerman

petikan Utusan Malaysia 26 September 2000

KOMPOSER M. Nasir akan mewakili negara buat kali kedua dalam Kolobrasi Penulisan Lagu Antarabangsa-Music Bridges/Expo 2000 di Jerman hujung bulan ini.

Pemilihan komposer itu berasaskan kemampuannya mencipta lagu untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Kolobrasi penulisan akan diadakan mulai 30 September hingga 8 Oktober depan.

Pengasas Music Bridges, Alan Roy Scott dalam satu kenyataan berkata, dia yakin M. Nasir mampu melangkah lebih jauh dalam bidang penciptaan di peringkat antarabangsa.

''Sebab itulah saya memilih M. Nasir untuk menyertainya,'' kata Alan lagi.

Selain Malaysia, 35 komposer dari 20 buah negara akan menyertainya termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Belgium, United Kingdom, negara-negara benua Afrika dan negara-negara Asia.

Kolobrasi itu akan diadakan di dua buah bandar di Jerman iaitu bandar Goslar yang akan dilangsungkan sesi penciptaan lagu.

Acara kemuncak, iaitu dendangan lagu-lagu yang dicipta akan diadakan pada 7 Oktober di bandar raya Hanover.

Kali pertama M. Nasir me-wakili kolobrasi anjuran Music Bridges, Kolobrasi Penulisan Pasifik Harmoni lima tahun lalu dalam satu upacara yang diadakan di Bali, Indonesia.

Ia bukanlah satu pertandingan sebaliknya satu perkumpulan antara pencipta-pencipta lagu untuk mencari formula menghasilkan lagu terbaik.

M. Nasir akan bergabung dengan komposer lain dalam satu kumpulan untuk menghasilkan lagu-lagu ciptaan mereka.

Sekiranya dalam kelompok kumpulannya tiada penyanyi, M. Nasir sendiri akan menyanyikan lagu yang telah dihasilkan itu.

Syarikat Luncai Emas iaitu pemegang hak cipta hasil karya M. Nasir berbangga dengan penyertaan M. Nasir ke sana.

''Dia akan bertolak pada 29 September depan dan akan kembali ke tanah air pada 9 Oktober,'' kata Pengurus Hak Cipta Luncai Emas, Jennifah Johari.

M. Nasir kini dalam proses menghasilkan album terbaru yang menampilkan muzik yang disifatkannya sebagai muzik dunia.

Dia akan menghasilkan lagu ciptaan sendiri yang turut dihasilkan dalam bahasa Inggeris kerana ia bakal diterima dengan lebih menyeluruh.

Ahad, September 03, 2000

Pengakuan Marlia Musa pada hari pernikahan - "M.Nasir ialah cinta pertama saya''

petikan Utusan Malaysia 3 September 2000


WANG dinar emas menjadi mas kahwin M. Nasir kepada Marlia.

Mulai tahun depan mereka bukan saja akan menyambut hari itu sebagai Hari Kebangsaan tetapi juga hari ulang tahun perkahwinan mereka.

"Ia adalah satu tarikh yang senang diingat,'' seloroh Marlia apabila ditanya kenapa mereka memilih tarikh itu.

Tetapi artis berusia 33 tahun itu kemudian menambah, mereka memilih tarikh 31 Ogos kerana kesesuaian masanya.

Kisah cinta M.Nasir, 43, dan Marlia hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu, dan mereka kemudian memilih untuk bersama sebagai suami isteri.

Ini merupakan perkahwinan kedua M.Nasir selepas kematian isterinya Junainah Johari, manakala Marlia menamatkan zaman gadisnya.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di rumah Marlia di Subang Jaya pada hari Khamis lalu ketika seluruh rakyat Malaysia bergembira merayakan Hari Kebangsaan.

Mereka selamat diijab kabulkan dalam suasana yang serba sederhana tetapi meriah. Marlia berwalikan sepupunya Muhammad Aris Jailani. Bapa kepada Marlia, Musa Albakri sudah lama meninggal dunia.

Kebanyakan 500 orang jemputan yang hadir merupakan keluarga terdekat pasangan itu termasuk rombongan keluarga M.Nasir dari Singapura.

Keluarga M.Nasir dari Singapura yang turut hadir pada majlis itu ialah bapa, abang dan kakaknya. Ibu pengantin lelaki tidak hadir khabarnya kerana masalah kesihatan.

Bagi majlis akad nikah tersebut, M.Nasir membawa tujuh dulang hantaran berbalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pengantin perempuan.

Setiap hantaran dihias dengan begitu cantik terdiri daripada barangan diri seperti pakaian, barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan jam tangan. Wang hantaran daripada pengantin lelaki ialah sebanyak RM20,000.

Apa yang uniknya dalam majlis akad nikah itu ialah M.Nasir memilih untuk menggunakan wang dinar emas sebagai bayaran mas kahwinnya kepada pengantin perempuan.

Tiga belas keping wang dinar emas bernilai RM2,000 menjadi bukti penyatuan kedua-dua mereka.

Menurut M.Nasir, dia memilih wang dinar tersebut kerana 'ingin kembali kepada tradisi Islam.'

M.Nasir duda lima anak itu kematian isteri sejak dua tahun lepas.

Daripada perkahwinan pertama, M.Nasir memiliki lima orang anak iaitu Muhammad Ilham, 14, Muhammad Yasin, 12, Muhammad Hidayat, 6 tahun, Muhammad Syafii, 5 tahun dan Nilam Sari, 2 tahun. Cuma Hidayat, Syafii dan Nilam Sari kelihatan hadir pada majlis tersebut.

Penyatuan pasangan Nasir-Marlia kini secara tidak langsung menjadikan Marlia 'ibu segera' kepada lima orang anak tiri.

Kata Marlia, dia tidak mempunyai masalah dengan anak-anak M.Nasir kerana proses penyesuaian antara dirinya dengan mereka berjalan lancar.

Biar apa pun kata Marlia, dia akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang masih kecil itu.

Begitu pun artis itu memang agak berkecil hati apabila persoalan penerimaan anak-anak tiri itu diajukan berulang kali. Marlia tidak menafikan bahawa dia memang agak sensitif dengan soalan seperti itu.

"Hanya mereka yang melihat saja tahu bagaimana rapatnya hubungan saya dengan anak-anak Abang Nasir.

"Saya tetap sentiasa memperbaiki hubungan tersebut. Tanggungjawab itu bukan kecil kerana kini saya bukan saja harus memikirkan dua kepala tetapi lima yang lain,'' kata Marlia.

Berbulan madu? Kata M.Nasir, setakat ini mereka tidak merancang untuk ke mana-mana lantaran kesibukan kerja. Tetapi mereka tetap akan mencari satu tarikh yang sesuai kelak.

"Tetapi mungkin dalam negara saja kerana kami ingin menyambut seruan kerajaan,'' katanya.

Bercerita tentang percintaan mereka, kata M.Nasir, dia sebenarnya sudah lama mengenali Marlia iaitu sejak Marlia berusia 16 tahun. Ketika itu M.Nasir berusia 26 tahun. "Pada masa itu Marlia adalah pelakon radio di Singapura,'' katanya.

Kata M.Nasir, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Marlia kerana menganggap wanita itu cukup sesuai untuk mengisi kekosongan hidupnya dan anak-anak.

Bagi Marlia pula, M.Nasir adalah cinta sejati yang pertama. Seperti pasangan lain, Marlia dan M.Nasir berharap ikatan itu berkekalan.

Kata Marlia, selepas berkahwin M.Nasir tetap tidak menghalang dirinya untuk terus berlakon. Bagaimanapun kata Marlia, selepas ini dia harus teliti memilih tawaran. Itu kerana dia tetap akan mengutamakan masa untuk keluarga barunya.

"Kalau berlakon drama televisyen mungkin itu agak berat tetapi kalau drama pentas saya akan menimbangkan sebarang tawaran,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Marlia juga menolak dakwaan bahawa dia akan bekerja dengan syarikat M.Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selepas diijab kabulkan, M.Nasir dan Marlia mengadakan majlis persandingan mereka di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 1 September dan di rumah pengantin lelaki di Sungai Buloh pada 2 September.

Jumaat, September 01, 2000

M. Nasir dan Marlia pilih bernikah di Hari Kebangsaan

petikan Utusan Malaysia 1 September 2000

Akhirnya penyanyi itu memilih pelakon Marlia Musa sebagai pasangan hidupnya. Mereka bernikah semalam ketika rakyat negara ini dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan ke-43.

Tarikh itu sengaja dipilih untuk menyenangkan mereka mengingati dan merayakan ulang tahun perkahwinan serentak dengan perayaan sambutan Hari Kebangsaan.

M. Nasir, 43 membawa wang hantaran se-banyak RM20,000 serta tujuh dulang hantaran manakala pihak Marlia, 33 membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Penyanyi itu membawa 13 keping dinar emas bernilai RM2,000 sebagai mas kahwin ketika bernikah di rumah keluarga Marlia di Subang Jaya tengah hari semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Subang Jaya, Othman Arifeen. M. Nasir menjawab akad nikah sebanyak dua kali.

Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu dihadiri oleh kira-kita 500 tetamu. Sekitar 50 orang rombongan daripada pihak M. Nasir menghadirinya termasuk bapanya yang kelihatan uzur.

Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya malam ini manakala M. Nasir akan mengadakan majlis di Dewan Serbaguna Bandar Baru Sungai Buloh, tengah hari esok.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu M. Nasir berkata dia belum memikir-kannya kerana masih banyak komitmen kerja yang harus diselesaikan.

"Saya hanya cuti beberapa hari sahaja dan akan meneruskan kerja selepas ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis akad nikah itu.

Mereka menyatakan kemungkinan akan berbulan madu bersama lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu di kawasan peranginan dalam negeri.

M. Nasir yang kelihatan ceria sepanjang majlis berlangsung tidak pernah menghalang Marlia aktif berlakon, malah dia senang melihat isterinya maju dalam kerjayanya.

"Sekiranya dia maju ke depan, saya lagi suka,'' kata M. Nasir apabila ditanya mengenainya.

Sementara itu Marlia berkata dia akan membataskan aktiviti seni untuk memberi tumpuan pada keluarga dan kerjanya sebagai pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan.

"Telah lebih dua tahun saya tidak berlakon drama televisyen dan kali terakhir saya berlakon teater pada April lalu,'' kata Marlia.

Dia akan menimbangkan tawaran berlakon drama televisyen sekiranya dapat menguruskan masa dan keutamaan akan diberikan kepada keluarga.

"Saya akan terus berlakon teater selepas ini,'' kata Marlia lagi.

Ditanya mengapa dia memilih dinar emas sebagai mas kahwin kata M. Nasir dia ingin kembali kepada tradisi Islam dalam perkahwinan.

Dia akan membawa Marlia pindah ke rumahnya di Sungai Buloh selepas majlis perkahwinan mereka selesai sepenuhnya.