Khamis, September 24, 1998

Klip video sebagai karya seni

petikan Utusan Malaysia 24 September 1998

M. NASIR dan Vaneeda pelakon klip video Kias Fansuri.Sesetengah pula menganggap menghasilkan klip video adalah suatu yang mudah kerana ia lebih bebas daripada membuat filem iklan yang lebih cerewet sifatnya.

Tetapi bagi M. Nasir, klip video tetap sebuah karya yang wajar bertolak daripada sensitiviti seni dan bukan bahan untuk mempromosi lagu semata-mata.

Klip video lagu Mentera Semerah Padi nyanyian M. Nasir umpamanya memperlihatkan aspek budaya dan konsep lagu yang menepati klip video itu. Visual dalam Mentera Semerah Padi memberikan makna kepada lagu berkenaan.

Kini M. Nasir menghasilkan klip video lagu terbarunya, Kias Fansuri, sebuah lagu yang menuntut khalayak mentafsir dari banyak sudut kerana lagu ini memuatkan banyak makna tersirat daripada tersurat.

Menurut M.Nasir, pembikinan klip video tidak harus dibuat secara sambil lewa kerana ia memainkan peranan yang lebih daripada tujuan promosi.

''Pentingnya visual seperti klip video dalam mempromosi album memang sukar ditolak. Kalau kita tengok di Barat sekalipun, terlalu banyak pengaruh visual yang mendorong orang membeli kaset seseorang penyanyi itu,'' jelas M.Nasir pada majlis pratonton klip video Kias Fansuri di pejabat BMG Music baru-baru ini.

''Namun begitu, saya sedar ada masalah-masalah tertentu yang menyebabkan kurangnya visual klip video yang bermutu dihasilkan terutamanya tentang kos. Kias Fansuri juga bagi saya sebuah klip video yang memakan belanja yang tinggi,'' ujar M.Nasir mengenai klip video yang memakan belanja RM40,000 itu.

M.Nasir memberitahu, syarikatnya Luncai Emas dan BMG Music telah memperuntukkan RM40,000 untuk pembikinan klip video yang menggunakan filem format 16mm itu.

Tetapi bagi M.Nasir, walaupun jumlah tersebut sama dengan mengeluarkan dua buah album baru tetapi dia yakin kepada pulangannya.

''Jika kita membuat sesuatu yang setimpal, imbuhan yang diterima juga setimpal. Saya yakin pada perkara ini dan mungkin jumlah yang lebih besar akan dapat menghasilkan klip video yang lebih baik daripada yang saya buat sekarang,'' katanya.

Kias Fansuri menampilkan M.Nasir sebagai watak pencerita dan juga raja. Penampilan istimewa dalam klip video ini ialah pelakon Vaneeda Imran yang memegang watak permaisuri.

M.Nasir menggarap pengalaman hidupnya secara kreatif dan simbolik menerusi klip video tersebut. Walaupun pengalaman tersebut terlalu peribadi untuk diluahkannya tetapi M.Nasir mahu setiap orang memahami maksud ceritanya dengan pemikiran masing-masing.

''Susah saya hendak menerangkannya kerana mungkin apa yang saya maksudkan tidak seperti yang orang lain fikir. Mungkin setiap orang memikir perkara yang lain dan mungkin juga sama dengan pemikiran saya. Tetapi watak-watak dalam klip video ini harus dilihat secara simbolik,'' jelasnya.

Klip video Kias Fansuri secara ringkas berkisarkan tentang penyair atau pencerita yang sedang dalam perjalanan mencari erti hidup dan kesempurnaan. Di hadapan kabilah, dia sedang berehat dan berhibur sambil menceritakan pengalamannya terdampar di padang gersang. Bila tersedar, dia terlihat istana dan terpaksa mencuri makan di situ.

Dia telah dihukum oleh raja. Dalam pada itu, dia terlihat permaisuri yang jelita dan telah memerangkapnya. Dia melampaui ilusi dan melihat dirinya menjadi raja berselindung di dalam raja yang zalim itu. Namun semua yang diungkapkan dalam klip video itu adalah lambang pencariannya itu.

Klip video Kias Fansuri merupakan klip video kelima arahan M.Nasir. Klip video arahannya sebelum ini ialah Mentera Semerah Padi (M.Nasir-1994), Beradu Suratan (Joey-1995), Senja Nan Merah (Awie & Ziana Zain-1996) dan Untuk Siapa Kecewa Ini (Joey-1997).

Oleh: ROZI ABDUL RAZAK