petikan Utusan Malaysia 21 Jun 1998
Kata teman itu lagi, sukarnya 'membaca' diri M. Nasir samalah seperti payahnya menterjemahkan lukisan-luki-san abstrak beliau. Segalanya menuntut satu renungan yang mendalam sama seperti karya seni abstrak artis itu yang banyak menimbulkan persoalan - segalanya perlu 'dilihat' dari mata hati dan akal.
Dan sewaktu Mingguan Malaysia mengunjungi M. Nasir di kediamannya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buluh, Selangor untuk merakamkan hobi beliau baru-baru ini, M. Nasir hanya mampu tertawa ketika kenyataan itu dipanjangkan kepadanya.
''Saya akui bahawa sebuah karya seni hakikatnya adalah gambaran pengalaman manusia di alam maya ini, yang dicurahkan dengan segala yang tersirat, menggunakan komposisi, warna, imej dan ruang sebagai bahasa mereka,'' kata M. Nasir sambil menyelak sehelai demi sehelai rahsia hidupnya.
Ramai yang mengenali M. Nasir sebagai penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi dan pelakon.
Mungkin ramai yang tahu bapa kepada lima cahaya mata ini, Mohd. Ilham, Mohd. Yassin, Mohd. Hidayat, Mohd. Shafie dan Nurnilamsari memiliki bakat sebagai seorang pengarah.
Tetapi sebelum 'menjadi' semua itu, M. Nasir sebenarnya adalah pelukis sepenuh masa dan pada hari ini minat itu masih terus menebal dalam dirinya.
Menyingkap zaman lalunya, M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir berkata, dia menjalani zaman kanak-kanaknya di Bukit Panjang, Singapura.
Anak keempat daripada sembilan adik-beradik ini yang lahir pada 4 Julai 1957 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kerajaan Bukit Panjang sebelum melanjutkan pelajarannya ke Vocational Institute Boys Town.
Dia kemudian menyambung pendidikan di Nanyang Academy Of Fine Arts, Singapura.
Di sinilah, M. Nasir disogokkan dengan segala bentuk seni dari Barat terutamanya hasil karya pelukis tersohor Leonardo Da Vinci sehingga beliau mendapat Diploma Seni Halus (Fine Arts).
''Saya tidak akan melukis hanya sekadar diajak berpa-meran sebaliknya ada yang lebih menggoda atau di sinilah kerinduan sekali gus tanggungjawab.
''Seperti Leonardo Da Vinci, saya berasa manusia tidak terus menjadi sebaliknya ia bertolak daripada kebodohannya yang tulus,'' akuinya jujur.
Pengamatannya yang mendalam terhadap karya-karya pelukis kelahiran Itali itu telah memberi inspirasi kepada M. Nasir untuk mencipta gaya dan teknik yang tersendiri. Tulen dan matang.
Menyuluh karya beliau, ternyata lukisan-lukisan M. Nasir tidak menekankan nilai-nilai moral tetapi penerimaan sepenuhnya dari penghayatan yang datang dari dalam diri orang yang melihatnya.
Dan ketika membicarakan soal kanvas dan warna, M. Nasir menjelaskan, pelukis sepertinya tidak hanya me-mainkan warna dan garis yang kasar mata.
Mainan garis di atas kertas dan kanvas atau sapuan warna bukan hanya sekadar palitan spontan atau tiba-tiba, katanya.
''Sebaliknya ada yang mengundang saya untuk berbicara lebih dekat dan akrab pada kertas dan kanvas,'' jelasnya.
Katanya warna tidak penting di peringkat dasar kerana bagi beliau 'hidup kita memang penuh dengan warna'.
Apa yang lebih jelas, kata M. Nasir, selagi beliau diusik oleh alam dalam diri, selagi itu, dia akan dijemput dengan keinginan untuk meluah dan melontarkan apa saja yang terpendam di dalam sanubarinya ke atas kertas dan kanvas.
M. Nasir memulakan kerjaya dalam bidang muzik dengan membabitkan diri sebagai penulis lirik. Pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 1970-an, dia banyak menulis lirik secara sambilan tetapi kebanyakan liriknya dirakam oleh kumpulan Alleycats, Flybaits dan Yunizar Hussein.
Sewaktu berusia 23 tahun, M. Nasir mula beralih ke bidang seni suara dan dia pernah merakamkan album secara solo. Kaset pertamanya berjudul Untuk Pecinta Seni dan dia menggunakan nama Mohamed M.N ketika itu.
Selain melukis, M. Nasir yang pernah terjun ke layar perak pada tahun 1986 ini sebenarnya juga minat dengan seni dekorasi.
''Saya berkongsi minat yang sama dengan Junainah dan yang pasti kami mengetengahkan konsep perabot yang bercirikan artistik,'' katanya.
Memasuki sejenak ke ruang rimba belantara album kompilasi terbaru M. Nasir berjudul Terbaik M. Nasir, kita bakal bertemu dengan satu 'lorong' yang mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya.
Kelainan dua lagu iaitu Kias Fansuri dan Andalusia dalam album kompilasi yang memuatkan 12 lagu ini, sesungguhnya memberi lonjakan baru kepada penampilan M. Nasir.
''Ketika membuat lagu untuk diri sendiri saya lebih gemar membuat kajian, ada makna yang tersurat dan tersirat dan Kias Fansuri harus dihayati pendengar terutama maksud bait liriknya,'' kata M. Nasir.
Lagu itu dikatakan simbol perjuangan tokoh tasawuf, ulama dan penyair terkenal, Hamzah Fansuri pada awal abad ke-18, ketika kegemilangan kerajaan Islam Acheh.
Kias Fansuri sesungguhnya menyelitkan falsafah kehidupan manusia yang dekat dengan pencipta-Nya.
Sekali gus lagu ini sebenarnya menyorot cara pemikiran M. Nasir yang menjurus kepada soal manusia dan kemanusiaan serta hidup dan kehidupan. Manakala Andalusia menyorot keagungan tamadun Islam di Sepanyol.
Andalusia terserlah menerusi susunan muzik dengan rentak asli Melayu dan melodinya ala padang pasir, mana-kala lenggok vokal M. Nasir agak besar sedikit dan itulah kelainan kali ini.
Penggunaan alat muzik tradisional termasuk marwas dan barakas dengan vokal latar Jay Jay menambahkan kekuatan untuk lagu ciptaannya ini.
Menghayati lirik Kias Fansuri pula, peminat bukan sahaja menyedari akan perjuangan sufisme M. Nasir tetapi yang pasti dapat melihat M. Nasir sebagai seorang seniman yang hidup dengan perasaan, mempertajamkan perasaan, memperdalamkan perasaan serta meninggikan nilai perasaannya.
Tidak salah kalau dilabelkan M. Nasir sebagai seorang pemikir kerana lagunya dihasilkan selepas dia mendalami karya seperti Syeikh Hamzah dan kejujuran mungkin menjadi nadi kepada muzik genre M. Nasir.
''Secara realitinya, diri dan lagu saya tidak boleh ber-khayal, sebaliknya kalau mahu berkhayal saya cipta lagu untuk orang lain.
''Saya mahu album solo saya melambangkan diri sebenar saya, sebab itulah saya tidak berkhayal dalam album, sebaliknya mengajak orang lain berfikir,'' akuinya jujur.
Berbalik kepada soal lagu Kias Fansuri, Nasir menjelaskan, dia sudah lama meneliti karya Syeikh Hamzah dan bagi album kompilasi Terbaik M. Nasir yang dikeluarkan oleh BMG Music (M) Sdn. Bhd. itu, pendekatan kemelayuan tetap menjadi agenda utamanya.
Lagu sebelum ini yang turut dimuatkan dalam Terbaik M. Nasir ialah Bonda, Apokalips, Inang Pulau Kencana, Rajawali Terbang Tinggi, Tanya Sama itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Anak-Anak Kita, Gurindam Gu-nung Tahan, Tari Rimba Mistikal dan Mustika.
Kajian M. Nasir menerusi lagu sebenarnya banyak ke arah kemanusiaan, agama serta yang selalu dilaungkannya - Melayu ! Mood dan suara M. Nasir segar apabila soal Melayu dibangkitkan dan bagi beliau, walau banyak mana pun cuba dilakukan, Melayu yang diinginkannya belum juga kunjung tiba.
Ditanya, Melayu bagaimana sebenarnya yang diidam-kan, M. Nasir dengan tenang menjelaskan, ''Melayu yang idealisme dan yang penuh dengan perjuangan murni.''
Yang pasti, tema yang dihasilkan oleh M. Nasir meliputi segala-galanya dan tidak dapat disangkalkan bahawa lagu-lagu M. Nasir memikat sesiapa juga.
Buktinya, Mentera Semerah Padi memikat peminat rock, Bonda memikat kaum ibu, pemuda dengan Sentuhan Listrikmu dan kanak-kanak dengan lagu Anak-anak Kita.
Oleh: RUHAIDINI ABD. KADIR dan SAHARUDIN MUSTHAFA