Gambar dari majalah PESTA & Facebook Group Kelab Sahabat M.Nasir
oleh Zainuri Misfar
Suntikan dari Mentera Semerah Padi dan berbekalkan Secangkir Kopi Semanis Puan yang air yang diambil dari Wadi di padang pasir memberikan semangat yang cukup berkesan kepada penyanyi terkenal tanahair, M.Nasir untuk beraksi mantap di Konsert Canggung - M.Nasir di Stadium Negara, Jumaat lalu.
Garapan pelbagai rentak lagu tradisional dari inang kepada keroncong melangkah ke irama joget dan seterusnyq bergoyang dengan dangdut menyaksikan keunggulan M Nasir sebagai penghibur dengan gayanya tersendiri.
Gabungan alatan muzik tradisional dan kontemporari seperti gendang, tabla, seruling, angklong, mandolin hingga sape memaparkan kesungguhan M. Nasir untuk menaikkan martabat muzik berunsur Nusantara.
Penonton terpegun malah tidak menyangka penyanyi, pelakon dan komposer yang terkenal dengan sikap tidak banyak cakap berhasil mengisi setiap ruang persembahan dengan pelbagai gaya yang menakjubkan.
Dia pernah menganggap konsertnya mengetengahkan konsep theatrical itu sebagai pemulaan dalam perjuangan dalam bidang seni, dan ternyata hasrat Nasir berjaya. Dia mengetepikan aspek enjoy.
Dalam kelincahan, keletihan dan nafas yang tercungap-cungap, Naslr masih sempat melontarkan falsafah mengenai kemanusiaan dan kehidupan manusia.
Mulutnya tidak terlepas melaungkan semangat juang dan inilah yang dimahukan oleh peminat yang sudah sekian lama menantikan kemunculannya dala sebuah konsert istimewa.
Sememangnya hampir 10,000 peminat yang menyaksikan konsert pasti sukar untuk melupakan setiap adegan yang dipamer oleh penyanyi itu.
Tapi konsertnya juga terpaksa menghampakan kira-kira 3000 penonton lain yang terpaksa duduk di luar kerana kehabisan tiket.Ini adalah satu langkah tegas penganjur, Boxoffice demi mengelakkan dari kejadian yang tidak diingini. Konsert Canggung M.Nasir ditaja bersama oleh akhbar Harian Metro, BMG, Lion Suzuki dan Telepromo.
Tirai konsert dibuka kira-kira jam 9.15 malam dengan sedikit sketsa daripada Loloq hampir 10 minit, dimana dia mendakwanya sebagai mukadimah konsert itu.
M Nasir memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu Rajawali. Tapi dia sedar terlalu awal untuk mengamatkan keadaan lalu meredakannya dengan membawakan lagu berentak sederhana iaitu Wadi, Inang pulau Kencana, Bukalah Hatimu dan Lara sebelum kembali semula persembahan hangat dengan mendendangkan lagu Aplokalips.
Sambil diiringi wayang wong pada layar putih dibelakang pemain dram ; M Nasir meneruskan aksi lincah dan bersahaja seolah-olah tidak menghadapi sebarang tekanan dengan mendendangkan lagu Perang yang satu lagi, Anak-anak kita, Tanya sama itu hud-hud, Aduhai Kasih aduhai dan Sentuhan Listrikmu.
Setiap lagu yang dimainkan tidak menyenangkan sebahagian penonton apabila mereka bangun bertepuk tangan, menari sambil menyanyi bersama penyanyi itu.Dalam konsert lebih dua jam itu, Nasir tidak banyak membuang masa. Satu demi satu lagu dinyanyikan iaitu Ada, Secangkir kopi semanis puan, Keroncong Nostradamus dan Bonda.
Lagu Mentera Semerah Padi disifatkan kemuncak konsert ini. Beberapa pelakon tambahan yang mengenakan pakaian silat serba hitam, yang hanya menampakkan mata lagak ninja sambil memegang sabit seolah memberikan makna simbolik pada konsert ini.
Dilihat dari dekat, wajah M Nasir seolah terkena libasan sabit, tapi sebenarnya melambangkan perjuangan penyanyi ini untuk mengangkat dan mengukuhkan martabat muzik Melayu.
M. Nasir kemudian meninggalkan seribu tanda tanya kepada penonton apabila dia menyanyikan sebahagian lagu Tudung Periuk di akhir konsertnya.
Keratan tiket : Sumber FB Kelab Sahabat M Nasir
Keratan tiket : Sumber osmantikus.tripod.com
Poster Konsert Canggung sumbangan FB Firdaus Sanudin
Promo Konsert dalam majalah tempatan