Petikan URTV - Mei 1994
Ruangan MINDA ARTIS oleh Mohd ...
(Terima kasih Wiraaz Collezzione)
M Nasir merupakan seorang aktivis muzik yang cukup kreatif dan disegani ramai. Selain muncul sebagai seorang penyanyi popular, beliau merupakan seorang pelakon, komposer, pencipta dan penulis lagu yang memiliki wacana tersendiri ketika berkarya.
Barangkali disebabkan ciri ciri inilah menyebabkan kenapa M Nasir sentiasa 'dlburu' oleh para penyanyi amatur yang mahu mendapatkan karya karyanya bagi dijadikan tiket untuk menempah populariti.
Sehingga tahun 1993 sahaja insan seni yang dikatakan sebagai manusia unik ini telah menghasilkan sekitar 70 buah karya lagu untuk disumbangkan kepada penyanyi-penyanyi lain terutamanya kumpulan muzik rock.
Ikutilah wawancara khas M.Nasir mengenai beberapa perspektif penting di dalam Industri muzik di Malaysia serta pandangannya mengenai falsafah muzik yang dihasilkan.
SOALAN: Perkembangan muzik di Malaysia pada keseluruhannya boleh dikatakan baik. Kita sudah memiliki bakat-bakat baru yang mahu berkarya, tetapi tahap karya kita masih 'senada dan seirama’. Apa pandangan saudara?
M.NASIR : Sebenarnya setiap karya itu suci cuma cara berkerja dan pembawaan yang dilakukan berbeza. Tugas seorang pengkarya adalah untuk mengajak masyarakat berfikir. Dari aspek ini, selain melodi penghasilan lirik juga adalah penting untuk menuju ke arah itu. Kita mempunyai penulis lirik seperti ini.
SOALAN : Apabila bercakap mengenai lirik, ada yang berpendapat bahawa Iirik yang menggunakan perkataan yang dianggap asing sebagai “simbolik” dan falsafah yang sukar difahami. Apakah benar?
M.NASIR : Soal ini tidak timbul kerana pendengar sekarang sudah tahu menilai antara yang bermutu dengan tidak bermutu. Apa yang penting kalau melodi itu indah,
penyampaian di dalam segala apa bahasa sekalipun masih orang meminatinya.
SOALAN : Adakah saudara kecewa sekiranya karya seperti itu tidak mendapat sambutan pendengar?
M.NASIR : Sebagai pengkarya, kita cuba membawa pendekatan karya kita ke dalam bentuk pasca-modenisme. Sebahagian besar pendengar memahami dan dapat menerima karya itu. Kalau mereka kurang faham mengenai muzik atau lirik yang dihasilkan saya tidak berasa kecewa kerana sekurang- kurangnya percubaan ke arah membentuk pemikiran masyarakat sudah dilakukan.
SOALAN : Adakah saudara fikir bahawa muzik kita boleh menuju ke peringkat yang lebih global?
M.NASIR : Sebenarnya muzik mencerminkan masyarakat tetapi cara kita untuk menglobalkannya masih tidak mencukupi. Dasar muzik kita adalah terbuka menyebabkan “wajah” muzik kita sendiri tidak ada identiti. Setakat ini sebahagian besar karya kita tidak mempunyai “akar umbi”
SOALAN : Kalau begitu bagaimanakah caranya untuk menglobalkan muzik kita?
M.NASIR : Dalam soal ini setiap pemuzik seharusnya banyak menghasilkan karya yang mempunyai akar umbi. Muzik itu adalah sebagai media dan saya berpendapat nilai nilai etnik muzik boleh dikembangkan kepada pendekatan yang popular.
SOALAN : Adakah pemuzik kita perlu mengangkat nilai nilai etnik di dalam karya mereka?
M.NASIR : Itu sudah pasti. Kalau perkara ini tidak dititikberatkan, bermakna satu hari nanti nilai-nilai etnik dari negara ini akan hilang. Justeru itulah dalam berkarya setiap pemuzik seharusnya memperlengkapkan dirinya terlebih dahulu dengan asas asas pengetahuan mengenai kebudayaan.
SOALAN : "Canggung" merupakan album terbaharu saudara. Bagaimana pula dengan usaha saudara untuk meletakkan album "Canggung" di tengah-tengah gemerutu karya cinta antara lelaki dan perempuan?.
M.NASIR : Mencari erti dalam menghasilkan album sekarang ini amatlah merimaskan lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan tekanan dan kemahuan perasaan serta harapan khalayak pendengar yang menjulang tinggi. Namun begitu, pada pandangan saya album yang sebegini gagasannya harus dihasilkan walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi.
SOALAN: Apakah pandangan saudara setelah terhasilnya album "Canggung"?
M.NASIR : Sebenarnya pembikinan album ini dari segi tekniknya adalah cuba mengeksploitasikan beberapa percubaan termasuk dari rakam secara “convensional” kepada penggunaan komputer. Walaubagaimanapun ciri-ciri asli masih menjadi terasnya.
SOALAN: Barangkali album ini berteraskan dari falsafah muzik yang cukup kuat.
Bagaimanakah caranya saudara mengumpulkan khalayak pendengar?
M.NASIR: Saya rasa persoalan ini tidak pernah timbul kerana apa yang saya paparkan turut merangkumi semua unsur muzik dalam dunia. Antaranya termasuklah unsur muzik China, Arab, India, Jepun dan Australia di samping penggunaan alat tradisional seperti gendang ibu, gendang anak, serunai dan kompang.
SOALAN : Apa harapan saudara terhadap album inl?
Yang penting ialah karya yang saya hasilkan ini dapat membantu dari segi pemikiran masyarakat.