petikan Berita Minggu Singapura 24 April 1983
Oleh ERMA KARTIKA
KUMPULAN Kembara telah kembali semula ke bilik rakaman piring hitam. Kali ini rakaman telah dijalankan tanpa Shahlan, yang telah menarik diri baru-baru ini.
Meskipun begitu, tidak ada rintangan yang berlaku. Nasir dan Ali yang merupakan tunggak utama kumpulan ini, telah berganding bahu berusaha menghidupkan nama Kembara agar lebih harum lagi.
Menurut Nasir sewaktu ditemui, kehilangan Shahlan tidak sekali menjejas kemampuan mereka. Katanya, tenaga beliau dan Ali sudah cukup untuk menghasilkan lagu-lagu aliran yang mereka minati.
“Kami dapat mengatasi ini semua dengan hati terbuka. Kami belum lagi berhasrat untuk mencari pengganti Shahlan. Buat masa ini biar kami berdua yang mengharumkan nama Kembara," kata M.Nasir.
Semua lagu dalam LP ketiga Kembara yang bakal diedarkan dalam masa beberapa bulan lagi, adalah gubahan dan ciptaan M.Nasir dan Ali.
Seperti biasa, lagu-lagu Kembara mempunyai tren yang tersendiri. Ia amat berbeza jika dibandingkan dengan lagu-lagu penyanyi dan kumpulan lain.
Dalam hal ini M.Nasir menegaskan bahawa beliau ingin sekali mencari identiti sendiri dan bukanlah amalannya untuk meniru lagu-lagu orang lain atau mencipta lagu dengan cara stereotype sifatnya.
Antara lagu-lagu Kembara yang terbaru ialah Kolar Biru, Musim, Dunia Tanpa Cinta, Gerhana, Kami Anak Zaman Inl, Kiambang, Empat Penjuru, Kawan dan lain-lain lagi.
Tidak dinafikan bahawa nama Kumpulan Kembara mula dikenali sejak LP pertamanya diedarkan beberapa tahun yang lalu.
Dengan lagu-lagu yang mempunyai corak tersendiri itu, nama M.Nasir, Ali dan Shahlan ketika itu semakin memuncak dan dikenali ramai.
Dalam rakaman piring hitamnya yang ketiga ini, Nasir dipercayai telah membuat sedikit perubahan kerana tren dan selera masyarakat pendengar sering berubah.
Nasir menambah: "Memang lagu-lagu itu mesti ada commercial value. Kalau tidak, tidak ada penilaian dari masyarakat. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sering inginkan pembahruan dalam memajukan lagu-lagu Melayu kita," katanya.