Isnin, April 30, 2007

Siti, M Nasir tak kecewa

petikan Harian Metro 30 April 2007
Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

AKHIRNYA pecah juga dominasi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerusi Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) selepas memenangi kategori berkenaan lapan tahun berturut-turut dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM).

Menariknya, Siti ‘tewas’ di tangan Jaclyn Victor - penyanyi bersuara lantang yang memiliki gaya soul dan blues dalam persembahan nyanyiannya bagi kategori utama yang cukup penting ini.

Bagi mereka yang sudah tidak ‘larat’ melihat Siti saban tahun menguasai kategori itu, angin perubahan yang berlaku dalam keputusan Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-14 (AIM’14) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada malam Sabtu lalu, tentunya disambut dengan rasa cukup gembira dan senang hati.

Sungguhpun begitu, kalau dinilai dari sudut profesionalisme, wajarkah kemenangan bagi kategori itu berpihak kepada bekas Juara Malaysia Idol musim pertama ini?

Bukannya hendak menidakkan kemampuan vokal Jac yang sememangnya hebat dan mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Namun, suka atau tidak, kita harus terima bahawa vokal Siti sememangnya cukup menyerlah dan begitu ‘outstanding’ sekali menerusi album Transkripsi.

Malah, buat kali pertamanya juga Siti turut memberikan jiwa dan penghayatan sepenuh hati dalam Transkripsi.

Hal ini berbeza dengan Jac di dalam album keduanya, Inilah...Jac. Album ini terlalu ‘ringan’ buat vokal Jac dan tidak begitu ‘solid’ jika dibandingkan dengan album terdahulunya, Gemilang.

Ironinya, perkara seperti inilah yang sering berlaku pada penganjuran AIM setiap tahun. Pengiktirafan sebenar yang sepatutnya diberikan kepada insan seni yang layak, diketepikan begitu saja.

Misalnya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) sepatutnya ada penyanyi wanita lain lebih layak menerima anugerah ini berbanding Siti pada tahun-tahun tertentu sebelumnya.

Namun, Siti yang menerimanya. Kenapa? Dan, sekarang ini, apabila terbukti vokalnya sangat bagus dalam album Transkripsi, pengiktirafan yang sewajarnya tidak diberikan ke atasnya.

Kalaulah AIM masih berterusan dengan ketidakadilan sebegini, bagaimana Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIM) selaku penganjurnya hendak memastikan anugerah ini menjadi sesuatu yang berprestij?

Begitu juga dengan kemenangan album Analogi daripada Kristal menerusi kategori Rakaman Album Terbaik. Inilah satu-satunya keputusan yang paling lawak dan tidak masuk akal!

Dari sudut apa Analogi mampu menewaskan album lain seperti Sang Pencinta (M Nasir), Gothik Malam Edan (Search) dan Semalam (Sean Ghazi) yang turut berada di dalam kategori itu?

Paling kelakar, Rock Yeh Yeh 60-an (juga daripada Kristal) yang kualiti rakamannya setakat biasa boleh berada dalam senarai lima pencalonan terakhir kategori ini.

Walhal sebuah album yang diangkat sebagai terbaik haruslah dinilai dari sudut keseluruhan produksi album itu dan termasuklah nilai serta kualiti rakaman album itu sendiri.

Jangan kita melupakan fakta ini dan jangan buat-buat lupa pula! Kalau kualiti rakaman Analogi bagus sangat, buat apa Sang Pencinta diangkat sebagai Album Pop Rock Terbaik. Sungguh tidak logik!

Senario menampakkan seolah-olah ada usaha untuk membahagikan kemenangan kategori itu kepada pihak tertentu. Jika benar, ia tentunya satu budaya yang cukup tidak sihat berlaku dalam AIM.

Bukan setakat itu saja, pemilihan Rock Yeh Yeh 60’an dalam kategori Album Hard Rock Terbaik itu saja sudah menimbulkan pertikaian kerana ia tidak menonjolkan muzik hard rock.

Apapun secara, keseluruhannya AIM’14 pada tahun ini masih boleh dianggap memuaskan dari sudut keputusan mahu pun persembahan. Syabas buat PAIM dan juga barisan pemenang anugerah ini.

Jac ketika diwawancara berkata, dia tidak menganggap kemenangannya dalam Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) itu bermakna dia sudah mendahului Siti.

“Berada pada peringakt akhir kategori ini saja sudah mencukupi. Namun, kejayaan bagi kategori vokal ini sememangnya cukup bererti buat saya,” katanya.

Siti pula berkata, dia tidak mengharapkan sebarang kemenangan pada malam itu, namun pada waktu sama berasa sangat bersyukur apabila produk pertama SNP Productions, Transkripsi, memenangi dua kategori iaitu Album Pop Terbaik dan Album Terbaik.

“Syabas juga buat Jac yang memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Saya tidak kecewa sebab saya rasa semua yang bertanding pada malam ini memang layak menang,” katanya.

M Nasir juga bersikap positif apabila kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) dimenangi Reshmonu.

“Saya tidak kecewa dengan kemenangan Reshmonu. Dia ada kelebihan tersendiri dan trofi itu wajar menjadi miliknya.

“Apapun, saya seronok membuat persembahan pada malam ini kerana cuba membawa satu pembaharuan dalam muzik saya.

“Namun, saya harus akui menghasilkan album Sang Pencinta satu pengorbanan yang cukup panjang sehingga menitiskan keringat dan air mata,” katanya.

Rehsmonu pula mengakui tidak sangka memenangi kategori Persembahan vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) menewaskan calon lain termasuk M Nasir pada malam itu.

“Memang saya terkejut sangat. Sebenarnya saya tidak harap menang kategori ini kerana sedar perlu bersaing dengan M Nasir. Sebaliknya, saya lebih menumpukan perhatian pada kategori Album Inggeris Terbaik. Apapun, saya tetap gembira dengan kemenangan yang tidak dijangka ini,” katanya.

Sementara itu Sean pula berkata, dia berpuas hati dengan kemenangannya menerusi dua kategori pada malam itu.

“Ini memberikan saya semangat untuk meneruskan lagi usaha dalam album yang kedua. Apa yang penting, malam ini saya melalui satu pengalaman yang cukup hebat,” katanya.

Malam Kemuncak AIM’ 14 itu turut menyerlah bila buat kali pertama menggandingkan Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Nor.

Gandingan mereka bertiga bukan saja serasi, malah cukup menghiburkan dengan celoteh bersahaja dan gelagat mencuit hati.

Dalam segmen persembahan, gandingan Serach & Wings sebagai Double Trouble menerusi lagu Gemuruh dan Bujang Senang berjaya menimbulkan satu lagi sejarah pada penganjuran AIM ‘14.

Begitu juga gandingan Mawi bersama Ramli Sarip yang berada di aliran sama. Sofaz juga turut menyerlah dengan lagu Janjiku.


lagi petikan Berita Harian 30 April 2007

Gandingan artis lama, baru gegarkan PWTC
Oleh Zul Husni Abdul Hamid & Nurulhisham Abdul Latiff

Persembahan pada majlis Anugerah Industri Muzik ke-14 penuh warna-warni

M NASIR menari? Ya! Memang macam tidak mahu percaya, tetapi itulah kenyataannya. Rasanya, buat pertama kali penghibur serba boleh itu menari mengikut koreografi, seiring dengan penari yang mengiringi persembahannya tatkala menjayakan segmen persembahan pembukaan Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-14 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Penonton bersorak sakan apabila sifu muzik itu tiba-tiba menyusun langkah dan menghayunkan tangan mengikut rentak tarian penari pengiring ketika menyampaikan lagu Tujuh Nafas Lagi. Persembahannya dikira cukup menghiburkan, sesuai pengalaman lebih dua dekad artis ini dalam dunia seni.

Bukan nyanyian Nasir saja yang dilihat menjadi pada malam itu, sebaliknya kesemua artis yang menjayakan acara persembahan sebenarnya memberikan sesuatu yang bermutu buat peminat.

Jika pemenang Album Pop Rock Terbaik itu menunjukkan kehebatan ketika membuka tirai acara, final pula hangat dengan penampilan dua kumpulan rock gergasi tanah air, Search dan Wings yang mendendangkan lagu Gemuruh, Gothic Malam Edan dan Bujang Senang.

Vokal Amy memang tidak dapat disangkal kemantapannya, manakala Awie pula berusaha memberikan yang terbaik buat semua. Tabik juga harus diberikan kepada semua pemuzik mereka, sehingga penonton bangun berdiri memberikan tepukan sebaik saja kedua-duanya menamatkan persembahan.

Pada satu ketika, Anuar Zain membuat dewan senyap seketika apabila jejaka berusia 37 tahun ini mengalunkan irama merdu Perpisahan diiringi kumpulan muzik orkestra di bawah pimpinan Ramli MS. Suara mendayu penyanyi lelaki ini memang hebat dan memukau. Emosi yang diserlahkan juga meyakinkan. Apakah dengan kelahiran album barunya sedikit waktu nanti, dia akan menggenggam trofi Vokal Terbaik Lelaki pada AIM tahun depan?

Turut menarik perhatian ialah gabungan dua penyanyi berlainan generasi, Ramli Sarip dan Mawi, menyanyikan lagu Iqra’. Seandainya Ramli sudah cukup dikenali dengan kemampuan memberikan nyanyian terbaik menerusi suara seraknya, Mawi pula semakin menunjukkan peningkatan dalam persembahan.

Nyata, tarikan suara juara Akademi Fantasia musim ketiga itu kian berbisa dan penyanyi ini jelas sekali serasi dengan lagu bercorak ketuhanan, serta mempunyai lenggok padang pasir.

Dua kumpulan muzik, Samsons dan Sofaz, juga menghadiahkan peminat dengan persembahan tidak mengecewakan. Samsons tampil bertenaga dengan lagu Naluri Lelaki. Sofaz menerusi lagu Janjiku pula menunjukkan kepada semua, merekalah kumpulan yang akan terus membuka mata peminat pada masa akan datang. Cuma, rasanya permainan muzik oleh anggota Samsons pada malam itu sedikit lebih berbisa berbanding mereka.

Pemenang Vokal Lelaki Terbaik, Reshmonu, menghangatkan pentas dengan persembahan lagu Where There Is Love There Is You petikan album terbarunya, Superfine. Artis ini membawa karnival Brazil bersama-samanya apabila sekumpulan anak muda dengan seni tarian/pertahanan diri capoeira serta pemain api mengiringi nyanyian. Kemunculan Reshmonu sering saja ditunggu-tunggu ramai, dek kelainan yang ditonjolkan.

Negara ini juga tidak ketandusan bakat baru apabila Bob, Fazli Zainal, Sean Ghazi, Izwan Pilus dan Farhan membuktikan mereka berupaya menambah warna kepada industri seni hiburan tempatan dengan bakat besar dimiliki. Biarpun kemenangan berpihak kepada Sean, tetapi empat lagi penyanyi tadi sebenarnya tidak jauh ketinggalan, tidak sampai seinci.

Segmen tribute untuk Allahyarham Seha pula menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza, Aishah, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz berpadu suara mendendangkan lagu Mulanya Di Sini yang pernah dipopularkan Seha dan kumpulannya Freedom. Gabungan empat penyanyi wanita ini sangat menghiburkan. Apatah lagi masing-masing mempamerkan kekuatan vokal yang tiada tolok bandingan tetapi sayangnya impak untuk mengenang arwah Seha tidak terasa. Barangkali, penganjur perlu menyelitkan sedikit ‘citation’ atau klip video mengenai penyanyi itu.

FAKTA
Senarai Pemenang AIM 14


Album Terbaik: Transkripsi (Siti Nurhaliza)
Lagu Terbaik: Juwita... Citra Terindah (M Nasir)
Album Pop Terbaik: Transkripsi (Siti Nurhaliza)
Album Pop Rock Terbaik: Sang Pencinta (M Nasir)
Album Pop Etnik Terbaik: Syahda Berdendang (Syura)
Album Nasyid Terbaik: Bahagia Berkasih (Ahmadi Hassan)
Album Hard Rock Terbaik: Gothik Malam Etnik (Search)
Album Indonesia Terbaik: Naluri Lelaki (Samsons)
Album Inggeris Tempatan Terbaik: Television (Pete Teo)
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki): Reshmonu
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita): Jaclyn Victor
Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album: Raihan (Tawakal)
Artis Baru Terbaik: Sean Ghazi
Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik: Dragon Red
Video Muzik Terbaik: Lost In America (Jordan Suleiman/Pete Teo)
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Semalam (Vivian Chua/Sean Ghazi)
Rakaman Album Terbaik: Analogi (Alip, Mamak, Omi, Kamal, Zairie/Kristal)
Kulit Album Terbaik: Television (Marcus Ericsson/Pete Teo)
Anugerah Wirama: Freddie Fernandez

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Elok juga diadakan kategori untuk Komposer Baru Terbaik (sepertimana Artis Baru Terbaik) untuk AIM akan datang. Ini sebagai galakan kepada komposer baru berkenaan untuk menyumbang karyanya secara berterusan. Sebagai contoh Rich dari Estranged yang telah mencipta sebuah lagu yang menarik bertajuk 'Itu Kamu' dan mungkin beberapa yang lain yang baru nak berjinak dalam dunia penciptaan, perlu ada satu kategori anugerah bagi mereka. Mungkin bukan lagu pertama ciptaan mereka tetapi diambil sebagai lagu ciptaan pertama kali dirakamkan dan dikenali/gemari ramai, sebagai salah satu kriteria pemilihannya.

Saudagar Mimpi ... berkata...

Cadangan yang agak baik gak tu. Kategori yang lebih kurang serupa rasanya ada dalam Anugerah MACP tempoh hari (rujuk : kategori Komposer Muda Berpotensi).
Harap usul ni boleh diambil perhatian utk dibawa ke tengah.

Tanpa Nama berkata...

Kalau musik tempatan nak berkembang pesat jangan terlalu Siti minded, apa-apa mesti siti,posisi johan yang itu yang ni semua rasa-rasanya mesti siti lah yang menang, pikiran terlalu dangkal lah, bila barisan belakang artis lain nak sejajar atau melebihi siti? macam tak boleh...!!! sebab siti paling depan. Saya memang pun peminat siti juga, tapi silap lah jiga terlalu siti minded. Banyak artis lain dengan genre yang berbeda sangat bagus malah melebihi siti. Saatnya revolusi tak siti minded, saya rasa kita mesti melihat ikon atau idol yang lain dengan karakter dan jiwa seorang artis yang lain.