Khamis, Mac 22, 2007

Aduh Saliha cari publisiti murahan?

petikan Mstar Online 22 Mac 2007
Wahida Asrani

Sejak filem bercorak muzikal fantasi yang diilhamkan dari lagu hits Aduh Saliha ini diuar-uarkan sejak akhir tahun lalu, sudah ramai yang mula berteka-teki siapakah gerangannya yang sesuai memegang peranan Saliha itu.

Nama-nama artis wanita seperti Salima, Sharifah Amani, Fasha Sandha, Leez dan bintang baru Yatt, adalah antara yang dicanangkan bakal menjadi heroin filem tersebut, bergandingan bersama penyanyi sensasi Mawi.

Begitu banyak ujibakat diadakan semata-mata untuk mencari gadis yang sesuai untuk menjadi Saliha - seorang yang menawan, pandai mengaji, menyanyi dan mempunyai sifat lemah-lembut, seperti gambaran gadis dalam lagu nyanyian Mawi yang dicipta oleh M. Nasir.

Jangkaan pihak media, 'pertanyaan' itu akan selesai dan siapakah 'Saliha' itu bakal terjawab jua apabila filem kedua arahan M.Nasir itu dilancarkan malam tadi, bertempat di Kelab Shah Alam, Selangor.

Namun, Saliha nampaknya belum 'muncul-muncul' juga! Yang diumumkan hanyalah barisan pelakon lain yang bakal membintangi filem yang menelan belanja kira-kira RM1.6 juta, antaranya adalah Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Que Haidar, Felix, Awal Ashari, Noniswara, Zulhuzaimy dan M. Nasir sendiri.

Mungkinkah juga ini adalah 'langkah awal' yang sengaja diadakan untuk promosi filem ini? Kalau tidak, masakan begitu sukar untuk mencari gadis yang menepati ciri-ciri Saliha itu.

"Kita bukan ingin cari publisiti murahan. Kita memang sudah mulakan ujibakat sejak Oktober tahun lepas lagi dan saya akui memang ramai yang datang termasuklah artis-artis.

"Tetapi, sehingga kini masih belum jumpa yang sesuai. Kita kalau boleh kita ingin cari muka baru yang berbakat besar di mana dia nanti akan dididik oleh M.Nasir sendiri," ujar Pengarah Fotografi filem ini, Jamal Maarif.

Jamal adalah salah seorang yang mencetuskan idea menghasilkan filem Aduh Saliha bersama-sama M.Nasir dan Loloq, yang merupakan penulis skrip filem ini.

Saliha mesti 'kena' dengan Mawi - M.Nasir

"Saya mahu seseorang yang 'kena' dengan Mawi. Seorang yang menawan, walaupun dia tiada pengalaman di dalam bidang lakonan, tetapi asalkan dia boleh berlakon dan mempunyai personaliti yang saya inginkan, itulah yang saya cari," luah M.Nasir apabila ditanya mengapa dia terlalu cerewet memilih pemegang watak Saliha itu.

Namun, katanya lagi, dia yakin akan berjaya 'menemui' Saliha sebelum bermulanya penggambaran filem itu dalam masa sebulan lagi.

Ditanya adakah dia akan mempertimbangkan Sharifah Amani sebagai heroin filem tersebut setelah nama pelakon itu disebut-sebut sesuai memegang watak itu berikutan perwatakannya dan Mawi menerusi iklan Silky Girl dilihat mempunyai 'chemistry', M.Nasir enggan memberi sebarang komen.

Bagaimanapun, ujarnya, dia akan mempertimbangkan semula beberapa nama yang hadir ke ujibakat yang dijalankan, andai kata 'Saliha' masih belum berjaya 'dijejaki' jika masa penggambaran semakin hampir.

"Memang ada beberapa nama dalam senarai 'favourite' saya, tetapi saya tidak akan dedahkan lagi siapa. Jika nanti masih belum temui Saliha, saya akan pertimbangkan nama-nama yang ada dalam senarai itu," kata M. Nasir.

Selain watak Saliha, turut mencuri perhatian ialah barisan pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut, terutamanya nama-nama besar seperti Erra Fazira, Nasir Bilal Khan dan Que Haidar.

Nama Mawi saja sudah cukup gah untuk 'jual' filem ini, namun mengapa masih memerlukan barisan artis yang hebat untuk ditampilkan di dalam filem ini? Mungkinkah M.Nasir tidak mahu mengulangi kegagalan filem pertamanya dulu, Merah?

"Jika anda rasakan filem Merah itu gagal, terpulanglah pada persepsi masing-masing. Ini bukan soal gagal atau tidak. Saya ambil pelakon-pelakon hebat lain kerana merasakan watak-watak yang ada dalam filem itu sesuai dengan mereka.

"Walaupun nama Mawi sudah cukup kuat, saya masih merasakan pelakon-pelakon lain itu perlu di dalam filem ini. Saya mahu semua yang ada dalam filem saya ini kena pandai berlakon, walaupun hanya jadi Pak Pacak.

"Mawi sendiri walaupun dia tidak ada pengalaman, tetapi itu tidak bermaksud dia tidak boleh berlakon. Dia ada bakat," ujar M.Nasir.

Katanya lagi, dia juga mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap filem ini dan merasakan filem ini yang bakal ditayangkan tahun depan mampu mendapat sambutan ramai.

"Jika gagal, memang saya akan kecewa sekejap, tetapi saya akan bangkit semula," ujarnya.

Filem terbitan The Cameracrew Productions Sdn Bhd ini, akan menjalani penggambaran di Keningau, Kundasang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Aduh Saliha mengisahkan tentang sebuah kumpulan muzik pop, Gagak Kayangan yang ingin mencuba nasib di persada muzik tanahair. Disebabkan album pertama mereka tidak berjaya, Man Hero (Mawi), bertekad agar masyarakat dapat menerima muzik mereka.

Namun, satu kejadian aneh berlaku terhadap mereka yang kemudiannya membawa diri mereka di dalam satu daerah hutan yang misteri. Di situlah Man Hero bertemu dengan Saliha yang akhirnya dia terperangkap antara cinta dan kerjaya.

1 ulasan:

Saudagar Mimpi ... berkata...

Gagak kayangan? Macam ku pernah dengar je nama tu? Sekitar tahun 1998 dulu M Nasir ada rancangan nak buat filem mistik dgn tajuk Gagak Kayangan...tapi terbantut. Tak silap aku dulu si Hattan dgn Azhar Sulaiman yg nak jadi heronya. Filem tu pun mengalami masalah yg sama jugak, tak ada pelakon heroin.

Hmmmm...Adakah skrip filem Gagak Kayangan itu dijadikan filem Aduh Saliha?