Selasa, Disember 07, 2010

M Nasir terkenang Loloq

petikan Berita Harian 7 Disember 2010
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my

Masih terasa kehilangan rakan gandingan berkarya yang sukar dicari ganti


APABILA menyebut gandingan dua nama besar dalam arena penciptaan lagu tanah air - M Nasir dan Loloq, pasti terngiang-ngiang deretan lagu yang cukup menusuk sukma hingga hampir kesemua paduan kreatif mereka terus segar membuai rasa.

Bagai irama dan lagu, gubahan melodi diilhamkan M Nasir cukup kena dengan seni kata karangan Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis. Tidak hairan paduan mereka terus menjadi siulan terutama dendangan yang disampaikan M Nasir sendiri seperti Apokalips dan Mentari Semerah Padi.

Sekadar menyebut beberapa nama, banyak lagi nukilan mereka berdua yang dialunkan penyanyi lain dan ‘menjadi’ termasuk Di Ambang Wati nyanyian Wings, Nurnilam Sari (Awie & Search), Laila Namamu Teratas (Search) serta Aladin (Spider) tidak ketinggalan lagu Cinta Adam & Hawa nyanyian Misha Omar.

Namun sudah tiga tahun Loloq menyahut panggilan Ilahi dan selepas ketiadaannya, rakan seperjuangan yang juga teman baiknya, M Nasir mengakui kehilangan penulis lirik yang begitu indah lontaran bahasa puitisnya sukar untuk dicari ganti.

Begitupun katanya, melihat senario bakat baru di arena penciptaan kini semakin bercambah ditambah penyanyi muda yang mampu menghasilkan lagu sendiri, dia mengakui sudah nampak seorang dua penulis lirik yang berjaya memikat hatinya.

“Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Loloq atau menghasilkan seni kata sepertinya tetapi kalau lihat dalam era sekarang, saya boleh nampak beberapa penulis lirik yang punya daya cipta keunikan iaitu membentuk identiti sendiri seperti Ad Samad dan Budi.
“Apa pun saya sendiri tidak pernah memilih malah bersedia bekerja dengan sesiapa saja yang mampu menghasilkan karya bermutu sekali gus mampu menarik perhatian pendengar,” katanya yang hingga kini sudah menggubah lebih 2,000 lagu.

Komposer merangkap penyanyi merangkul tiga trofi pada Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 yang berlangsung minggu lalu iaitu Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak menerusi syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

Mohd Nasir Mohamed atau M Nasir yang ditemani isterinya, Marlia Musa turut mencatat sejarah manis tersendiri tahun ini apabila selepas menyandang gelaran Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak sembilan tahun berturut-turut, malam itu anugerah khas Nadi Cipta dianugerahkan kepadanya.

Penyerahan trofi pengiktirafan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan diiringi Pengerusi MACP, Habsah Hassan.

M Nasir berkata, beliau menghargai penghargaan yang diberikan MACP kerana secara tidak langsung ia menghargai usaha pengkarya memartabatkan industri seni terutama dalam arena muzik apatah lagi ia dinilai menerusi pendapatan yang diperoleh berdasarkan royalti.

“Syukur di atas penghargaan ini. Sebagai penggubah dalam apa jua keadaan pun idea biasanya datang secara tiba-tiba. Bagi saya tiada istilah memaksa diri kerana ilham timbul secara spontan sekali pun ketika itu saya dalam keletihan.

“Kebiasaannya perasaan, khayalan dan pemikiran digabungkan bersama hingga mencetuskan ilham. Cuma dalam senario teknologi yang berkembang kini, pemuzik bijak menggunakan saluran untuk berkongsi karyanya seperti menerusi online,” katanya berkongsi aspirasi seninya.

Peninggalan karyanya menampung kehidupan kami

Bagi balu Loloq, Hariah Yaakob, 38, hasil harta intelek yang ditinggalkan oleh arwah suaminya kini mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga apatah lagi dia hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa sejak berkahwin dan kini menjadi ibu tunggal.

“Saya tidak pernah berkerja dan kini menguruskan rumah tangga sepenuhnya termasuk menghantar dan mengambil anak di sekolah. Alhamdulillah dengan rezeki yang masih dapat dinikmati kami anak beranak untuk meneruskan kehidupan kami.

“Kini saya dan anak-anak meneruskan kehidupan seperti dulu. Mereka semakin membesar sekali gus memerlukan perhatian yang lebih. Apa pun saya bersyukur apabila perjalanan hidup ini dipermudahkanNya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Hariah menerima trofi bagi pihak Allahyarham suaminya bagi kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak yang sudah sembilan tahun berturut-turut dirangkulnya.

“Allahyarham menulis tidak tentu masa dan kadang kala bila mata nak terlelap pun dia boleh bangun mengarang. Selalunya saya akan jadi pengkritik tetap sebab dia akan berikan karyanya itu kepada saya untuk dinilai. Saya yang akan bagi pendapat sama ada seni kata itu sesuai dengan melodi atau tidak.

“Memang kami sekeluarga rindukan arwah sebab dialah yang membangkitkan cerita namun segala-galanya ketentuan Tuhan dan sebagai isteri, saya terharu kerana walaupun dia sudah tiada, sumbangan Allahyarham tetap dihargai,” katanya lagi.

Semasa hayatnya, Allahyarham menghasilkan kira-kira 2,000 lirik dengan seni kata yang paling meninggalkan kesan pada Hariah adalah Laila Lagu Namamu Teratas yang disampaikan Search kerana ia mempunyai kenangan buat mereka suami isteri.

Sementara itu, vokalis kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh atau Noh, 26 pula membawa pulang anugerah Komposer Muda Berpotensi sekali gus mengenepikan beberapa teman seperjuangan lain yang turut menyerlah bersama penghasilan mereka.

“Anugerah ini membakar semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai komposer dan menghasilkan lagu pelbagai genre lagu. Saya tidak menyangka mendapat pengiktirafan ini dan ia saya anggap sebagai pemangkin untuk menghasilkan lagu yang lebih baik,” katanya.

Selain penyampaian trofi dan anugerah, kira-kira 500 tetamu dikalangan warga hiburan turut dihiburkan dengan rangkaian dendangan generasi baru dan lama termasuk Kalau Berpacaran paduan suara Sohaimi Mior Hassan, Altimet dan Ana Raffali selain Kepulangan oleh Razis Ismail.

Uji Rashid dan Hail Amir juga tidak mengecewakan apabila mendendangkan Antara Mataku dan Matamu, begitu juga persembahan Zur Eda, L Ramlee, Wincci Soo serta Aizat namun paling memancing tumpuan apabila M Nasir naik ke pentas untuk bersama pemuzik lain ketika segmen tribute untuknya.

Mana mungkin hadirin mampu melupakan kehebatannya beraksi membawakan lagu Hati Emas, Mustika dan Tanya Sama Itu Hud Hud yang dialunkan M Nasir sendiri bersama Adnan Abu Hassan, Pacai, Tam, Taja, Aidit Alfian dan Saari Amri.

Senarai pemenang dan penerima anugerah Malam Mesra MACP 2010.
Lagu Inggeris: Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu: You (Too Phat Featuring Sharifah Aini)
Pencipta: Harikrish Menon,
Lirik: Cairel Adrin Ibrahim (Malique) dan Johan Ishak (Joe Flizzow).
Lagu Cina : Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu: Xian Zai Hen Xiang Jian Ni (Daniel Lee)
Pencipta dan Lirik: Teoh Chek Cheang
Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak: Lagu: Buronan Cinta (The Lima)
Pencipta dan Lirik: Edry Abdul Halim (Edry KRU)
Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak: Lagu: Hanya Kau Yang Mampu (Aizat)
Pencipta dan Lirik: Yusni Hamid
Lagu: Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi: Lagu: Freak (Sandy Rivera & Haze).
Lagu dan Lirik : Sandy Rivera & Harikrish Menon Ramachandran
Komposer Muda Berpotensi: Mohd Noh Salleh (Noh Hujan)
Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak: Luncai Emas Sdn Bhd
Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak: EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd
Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak: Allahyarham Rosli Khamis (Loloq)
Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak: Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)
Anugerah Khas Nadi Cipta: Mohd Nasir Mohamed (M Nasir)

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

baru aku tahu ada anugerah ni
thanks for sharing

Saudagar Mimpi ... berkata...

Deaf-angel : No Problem bro.