Khamis, Oktober 04, 2007

Mawi mula bimbang

petikan Berita Harian 4 Oktober 2007
Oleh Rozdan Mazalan

Bintang popular berkongsi cerita mengenai pengalaman pertama di lokasi Aduh Saliha

"APA yang paling saya bimbangkan adalah menunggu reaksi penonton dan peminat hasil lakonan pertama saya. Bagaimanapun saya percaya penonton lebih memahami situasi saya yang sebelum ini bermula sebagai penyanyi dalam industri seni ini," kata pelakon utama filem Aduh Saliha, Asmawi Ani atau lebih dikenali dengan panggilan Mawi.

Mawi yang diberikan cuti selama dua hari oleh pengarahnya, M Nasir pulang semata-mata untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Maestro Talent & Management Sdn Bhd, sempat menceritakan pengalamannya dalam dunia lakonan yang baru diceburinya.

Dalam masa dua minggu berada di lokasi penggambaran di Keningau, Sabah, Mawi membuat rumusan bahawa berlakon bukanlah suatu kerja yang terlalu merumitkan.

"Buat masa ini watak yang saya lakonkan tidaklah begitu banyak. Dua puluh peratus yang sudah saya lakukan hanyalah watak yang ringan saja dan memerlukan banyak penghayatan dan bermain emosi saja.

"Tetapi saya dapat melihat proses menghasilkan filem ini terlalu susah dan rumit. Sebagai pelakon saya hanya mengikut arahan saja, namun saya melihat krew adalah orang yang paling sibuk dan saya tahu kepenatan yang ditanggung mereka lebih-lebih lagi bekerja di bulan puasa ini.

"Sekiranya tiada babak, saya akan menghafal dialog saja dan banyak menghabiskan masa menunggu giliran. Saya juga belum berkesempatan untuk melakukan aksi dan berdialog bersama heroin saya Saliha," katanya yang masih belum mendapat aksi yang mencabar.

Dalam Aduh Saliha, Mawi yang membawa watak Man Hero terperangkap dalam alam lain. Dia cemas, keliru dan takut apabila menyedari dirinya dikelilingi makhluk luar biasa. Dalam usahanya kembali ke dunia asalnya, Man Hero terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

"Saya akan menghadapi babak yang lebih berat selepas pulang daripada cuti Aidilfitri selama seminggu iaitu bermula 12 Oktober ini seperti babak 'fighting' bersama pelakon Fiz Fairuz yang menjadi anak kepada Aida Rahim dalam filem ini.

"Sebelum ini saya pernah juga belajar silat semasa di kampung. Silat yang diberi nama Pukul Pelaga itupun tidaklah sehebat mana. Untuk filem ini saya harus mempelajari daripada seseorang untuk menampakkan lakonan saya lebih berkesan.

"Saya akui memang sukar menghidupkan karakter Man Hero seperti mana dikehendaki pengarah. Mulanya saya masih terbawa-bawa cara saya dalam watak ini. Selepas beberapa kali ditegur M Nasir, akhirnya lahirlah Man Hero. Penat memang penat, tapi saya seronok.

"Karakter saya adalah seorang yang sentiasa berada di dalam keadaan yang pelik kerana saya tersesat di dalam hutan dan berjumpa dengan makhluk asing bernama Tiong Kasim lakonan Nasir Bilal Khan yang boleh menjadi manusia dan burung tiong.

"Bermacam-macam kejadian pelik saya alami semasa berada di dalam hutan sehinggalah saya berjumpa dengan Saliha yang juga sesat di dalam hutan itu," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan menjelang Aidilfitri, Mawi berkata dia menyerahkan segala-galanya kepada keluarga memandangkan dia terlalu sibuk dengan kerjaya seninya.

"Tahun ini saya lebih sibuk sedikit berbanding tahun sebelum ini. Saya mahu menumpukan perhatian kepada bidang lakonan yang baru diceburi. Persiapan itu saya serahkan kepada keluarga saja.

"Insya-Allah saya akan beraya di kampung halaman pada hari pertama dan pada hari raya kedua berkemungkinan saya akan membawa keluarga bercuti beberapa hari bagi meluangkan masa bersama mereka," katanya yang baru sekali dapat berbuka bersama mereka," katanya yang baru sekali dapat berbuka bersama keluarga.

FAKTA: Mawi

* Watak Man Hero atau nama sebenarnya Wiraman yang dibawakan Mawi dalam filem Aduh Saliha adalah seorang pemuzik yang tersesat di dalam hutan semasa perjalanan untuk mengadakan persembahan di sebuah kampung.
* Man Hero menjadi insan yang dihormati di kampung yang ditujui dalam pencarian jalan keluar daripada hutan itu kerana paras rupanya menyamai Man Hadi insan yang dianggap sebagai penyelamat daripada malapetaka di kampung itu, namun menghilang diri tanpa sebarang berita.
* Terbaru Mawi turut dilantik sebagai ikon Astro Oasis iaitu saluran terbaru Astro yang akan disiarkan pertama kali pada Aidilfitri ini dengan digandingkan bersama Heliza.
* Dia juga akan mengendalikan program berbentuk jelajah ke tempat tinggalan sejarah Islam di luar negara seperti Turki, Syria, Istanbul dan banyak lagi.
* Kini Album Doa, Berzanji dan Qasidah yang diterbitkan Maestro Talent & Management Sdn Bhd tahun lalu terjual sebanyak 120,000 unit dan tahun ini album yang sama diterbitkan dalam bentuk MTV karaoke yang menampilkan 20 doa harian.

1 ulasan:

rimanilzah berkata...

selamat hari raya. maaf zahir batin