Rabu, Disember 21, 2005

Kenapa Mahaguru jadi buruan?

Mawi muncul bersama M. Nasir dan Loloq untuk membicarakan lagu Aduh Saliha bersama pengacara WHI, Syafinaz (kanan).APA yang paling hangat di pasaran pada masa ini? Kalau soalan ini ditanya kepada penjual-penjual kaset dan CD ketika ini mereka akan kata Mahaguru. Siapa Mahaguru?

Siapa lagi kalau bukan M. Nasir yang menggilap Mawi dan beberapa bintang Akademi Fantasia gemerlapan ketika ini. Kekuatan M. Nasir adalah penciptaan lagu-lagunya.

Biar siapa pun menyanyikan lagunya, peminat pasti akan terasa keunikannya. Kelainan inilah yang istimewa kepada M. Nasir. Mahaguru adalah album yang menghimpun 16 lagu ciptaannya dan dinyanyikan oleh pelbagai artis dari era 70-an hingga kini.

Sambutan hangat peminat muzik tempatan terhadap album Mahaguru kini telah mencecah jualan 15,000 unit. Ia sekali gus membuktikan karya M. Nasir tetap laku walaupun bersaing hebat dengan genre muzik baru yang semakin popular sekarang ini.

Khabar terkini album kompilasi Mahaguru menduduki tangga kedua carta RIM jualan album Melayu paling laris. Manakala sebuah lagi album kompilasi terbitan Nova Music, May Live & Unplugged at Planet `05 menduduki tangga pertama.

``Mahaguru menghimpunkan lagu-lagu popular M. Nasir dilihat lebih variasi dan secara tidak langsung mengundang pembeli dari pelbagai peringkat usia. Kami percaya ini adalah antara faktor utama membuatkan album Mahaguru meletup di pasaran,'' demikian kata Eksekutif Promosi Nova Music, Rouslan Moktar.

Selain itu karya lagu M. Nasir diakui evergreen, walaupun ia dicipta 10 atau 20 tahun yang lalu. Anak-anak muda pada masa ini walaupun dilahirkan selepas era emas Alleycats dan Flybits, tetapi mereka mengenali kumpulan tersebut kerana lagu ciptaan M. Nasir.

Biar banyak mana lagu baru dicipta, biar banyak bintang baru dipuja, kita harus mengakui karya-karya M. Nasir bak sebutir permata yang tetap berharga.

Album Mahaguru terbitan Nova Music ini pasti mengisi rindu kita terhadap karya-karya M. Nasir kerana ia memaparkan gabungan lagu-lagu yang cukup hebat dan sentiasa segar dalam jiwa kita.

Ramai tentu masih terpesona dengan lagu Dua Insan yang asalnya dinyanyikan oleh M. Nasir dan Yunizar Hussein tetapi kini dinyanyikan semula oleh Ezad Exists dan Iva Virgina.

Lagu Sandarkan Pada Kenangan yang menjadi lagu tema filem Azura yang pernah pecah panggung suatu ketika dahulu dan dirakam semula oleh Jamal Abdillah dan Siti Sarah menjadi kegilaan baru-baru ini.

Lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang sinonim dengan kumpulan Alleycats pula diberi nafas baru dengan penghayatan penuh asyik oleh penyanyi Hattan.

Lagu peniup semangat Mentera Semerah Padi disuntik dengan elemen muzik ska oleh kumpulan pop rock paling popular masa kini Spider untuk memberikannya satu dimensi baru.

Nyata sekali, gelaran Mahaguru yang bermaksud guru segala guru bertepatan dengan karyanya yang tidak lapuk dek zaman.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam CD Mahaguru ialah Dua Insan (Ezad Exists & Iva Virginia), Sandarkan Pada Kenangan (Jamal Abdillah & Siti Sara), Sekuntum Mawar Merah (Hattan), Mentera Semerah Padi `04 (M.Nasir & Spider), Suatu Masa (M. Nasir), Sampai Hati (Spring), Falsafah Cinta (Slam), Semakin Hampir Makin Jauh (Sunday), Kenangan Lalu (Flybaits), Milik Siapakah Gadis Ini (Sudirman), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Di Bayang Awan (Awie), Syakila (Razzi Rahman), Beradu Suratan (Joey) dan Senja Nan Merah (Awie & Ziana Zain).

2 ulasan:

efry arwis berkata...

tiada yang lain selain darinya.

antimawi berkata...

Tak lain tak bukan, anti-mawi

hahaha

http://mawi.sangat.fakap.net