Isnin, Ogos 08, 2005

Mawi lulus ujian nyanyi Aduh Saliha

petikan Berita Harian 8 Ogos 2005

ADUH SALIHA dicipta Pengetua Akademi Fantasia 3, M Nasir, selepas diminta menyediakan satu lagu untuk dinyanyikan Mawi pada konsert terakhir, Sabtu lalu.

Lalu, dia mencipta satu lagu yang dikira sesuai dengan keupayaan Mawi ketika itu. Begitupun, pada konsert akhir, dia tidak dapat melarikan dirinya daripada berasa risau, bimbang jika Mawi melakukan kesilapan atau lari tempo ketika menyanyi.

Namun, kerisauan M Nasir dibalas baik Mawi apabila sifu itu mengaku, Mawi ‘lulus’ ujian menyanyikan lagu berkenaan.

“Saya berpuas hati apabila Mawi dapat melepasi kepayahan itu. Dia sudah lulus. Tetapi, saya tidak boleh kata dia cemerlang malam ini. Bagi saya, semua pelajar sudah menunjukkan persembahan terbaik pada beberapa minggu sebelumnya. Malam ini, masih ada pelajar buat silap,” kata M Nasir selepas sidang akhbar berakhir.

M Nasir turut menyuarakan pujian pada Mawi yang menunjukkan peningkatan dan usaha sepanjang bergelar pelajar AF3.

“Lihatlah, selepas dia lupa lirik pada konsert kedua, dia tidak lagi lupa lirik pada konsert berikutnya. Mengenai soalan sama ada saya akan menerbitkan lagu untuk albumnya, jika diberi peluang, mungkin saya akan berbuat demikian,” katanya.

Pencipta, penulis lirik, pelakon, pengarah dan pelukis ini juga mengaku, dia meletakkan harapan agak tinggi pada pelajarnya apabila dia diberikan tanggung jawab sebagai pengetua.

“Namun, saya kena sedar, mereka bergelar pelajar. Jadi, setiap orang ada kelemahannya. Tetapi, saya berbangga apabila dengan hanya dalam tempoh sepuluh minggu, kita nampak AF3 melahirkan penghibur yang memiliki ‘sesuatu’.

“Sewaktu mula-mula dulu, saya khuatir sama ada program ini mampu melahirkan penghibur berkualiti kerana kesuntukan waktu. Saya rasa, saya sudah menukar sesetengah pendapat orang ramai yang AF3 juga mampu melahirkan penghibur yang agak baik, dalam tempoh singkat. Begitupun, dia orang masih perlu belajar lagi, bukan setakat ini saja.

“Saya menerima tawaran sebagai pengetua dulu pun kerana saya menganggap ini cabaran besar buat saya. Ia satu cabaran yang baik dan saya dapat lihat, pelajar terbabit boleh melakukannya,” ujar M Nasir yang mengaku pengalaman bersama AF3 amat manis buat dirinya.

2 ulasan:

Jiwa Rasa berkata...

Selepas mendengar lagu Aduh Saiha, saya ulang mendengar kembali album Phoenix Bangkit...

Ada sedikit persamaan dengan lagu Sahabat Gua dan Raikan Cinta?

Saudagar Mimpi ... berkata...

Mungkin kerana konsep world music yang dibawa mawi dan m.nasir menyebabkan persamaan itu.