Jumaat, Mei 11, 2018

M. Nasir ajak peminat selami sejarah muzik dalam konsert sempena 40 tahun sebagai anak seni

petikan berita media corp
Oleh: SITI NUR AFIQAH HUSSAIN

SINGAPURA: Sempena meraikan 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik, Dato' Dr Mohd Nasir Mohamed, atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, akan menggegarkan pentas MES Theatre di Mediacorp dan mengajak peminatnya untuk selami sejarah muzik masa lalu.

'Konsert Suatu Masa M. Nasir - Raikan Muzik 40 Tahun' bakal dipentaskan pada 6 Julai nanti.

Artis legenda itu mula bertapak dalam industri muzik Singapura dan Malaysia sejak 1978. Sejak itu, beliau menempa nama sebagai penyanyi, penggubah lagu, komposer, penerbit, penyair, pelakon dan pengarah filem. Sepanjang kerjayanya dalam industri muzik, beliau juga dinobatkan dengan pelbagai anugerah. Malah ada yang memberi gelaran 'Sifu', 'Guru', 'Cendiakawan Seni' dan 'Legend' kepada beliau.

Bagi menyambut tahun bersejarah ini, M. Nasir berharap dapat menyambut kejayaannya bersama para peminat yang memberi sokongan padu kepadanya supaya dapat bertahan dalam industri muzik.

Dalam konsert itu, M. Nasir akan mendendangkan lagu-lagu hits merentasi zaman seperti ‘Hati Emas’, ‘Raikan Cinta’ dan ‘Mentera Semerah Padi’.

“Inilah era baru untuk muzik. Walaupun muzik melalui pelbagai evolusi dari tahun demi tahun, ia amat penting untuk kita menerima dan memahami akar muzik kita pada masa ini. Sebab itulah konsert ini dinamakan 'Konsert Suatu Masa M. Nasir – Raikan Muzik 40 Tahun’,” ujar M. Nasir.

“Konsert ini juga adalah satu peluang terbaik untuk saya mempersembahkan muzik saya kepada generasi muda, dan saya harap ia akan memberi inspirasi kepada bakat baru untuk masa depan,” tambah beliau.

Konsert itu juga bakal menampilkan penyanyi terkenal Singapura, Aisyah Aziz. BERITA Mediacorp difahamkan M. Nasir akan berduet bersama Aisyah Aziz.

Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim, teruja dapat membawakan konsert ini dan menyifatkannya sebagai "peluang keemasan bagi para peminat untuk merasakan sentuhan listrik M. Nasir, menunjukkan sokongan sambil meraikan keunggulan dan kegemilangan kerjaya seninya".

Anda yang berminat boleh dapatkan Tiket 'Konsert Suatu Masa M. Nasir – Raikan Muzik 40 Tahun’ secara online di laman www.sistic.com.sg, beli di cawangan SISTIC Singapura ataupun melalui talian hotline (+65) 6348 5555. Tiket dijual pada harga S$118 (VIP), S$98, S$78, S$58 dan S$38.