petikan Utusan Malaysia 15 Oktober 2024
Oleh WAFA AULA
SUNGAI BULOH: Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M. Nasir menyangkal pandangan yang mengaitkan perpecahan sejumlah besar kumpulan-kumpulan rock di negara sebagai punca muzik rock menjadi semakin tenat.Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed, 67, peralihan trend muzik dunia yang membuatkan kegemilangan industri rock kini menghampiri penghujungnya.
Beliau berkata, kegemilangan muzik rock dan pemuziknya telah mencapai kemuncaknya pada era 80-an hingga 90-an.
“Kini, muzik rock seluruh dunia semakin tenat, tetapi bukanlah kerana ada kumpulan berpecah atau ada ahli band yang meninggal dunia.
“Bagaimanapun, muzik rock masih mempunyai pengikut tegar dan komuniti tersendiri. Tinggal sahaja mungkin kemajuannya tidak serancak muzik-muzik baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
M. Nasir mengulas pendapat segelintir penyanyi yang berpandangan industri rock di Malaysia semakin tenat kerana berlaku perang dingin antara band sehingga menyebabkan perpecahan.
Ditanya mengenai gelombang muzik semasa yang dikatakan bakal mendominasi pasaran tempatan, komposer yang mendapat julukan ‘sifu’ itu merasakan cita rasa pendengar masa kini sukar dijangka.
“Corak gelombang muzik di negara kita adalah berbeza-beza. Contoh seperti lagu leman (jiwang) yang kita tidak sangka akan kembali.
“Pengaruh muzik semasa sukar untuk kita jangka. Tetapi, saya tidak nafikan kegemilangan muzik rock sudah berlalu,” jelasnya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan